Jul 30, 2019 - 1913

“Tuanku Persis Lady Diana. She is beautiful” — Jurusolek, Khir Khalid Terpegun Sebelum Mula Menyolekkan...

Sejarah tercipta; sentuhan Khir Khalid bersemayam di singgahsana apabila Raja Permaisuri Agong berkenan melantik beliau untuk menggalas tanggungjawab menatarias baginda.

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

Intrend khir 1

Kredit foto: Khir Khalid

 

 

Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah daripada InTrend Malaysia ke sisi KYDMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KYDMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Mainumah Iskandariah semepena pertabalan Seri Paduka Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

 

 

Antara yang pasti mencuri tumpuan ialah penampilan Raja Permaisuri Agong ketika upacara pertabalan berlangsung.

 

Rakyat-jelata memuji seri kejelitaan Raja Permaisuri Agong yang nampak begitu gemilang auranya. Di sebalik keanggunan baginda itu, pasti ada tangan emas yang menyempurnakannya.

 

 

 

Intrend khir 2

Kredit foto: Khir Khalid

 

 

Jurusolek profesional negara, Kharulnizam Khalid atau lebih dikenali sebagai Khir Khalid sudi berkongsi cerita bagaimana momen bersejarah itu berlangsung dalam perasaan bercampur baur, hanya Tuhan yang tahu.

 

 

 

Perutusan Melalui Dato’ Rizalman Ibrahim

Ini adalah pertama kali Khir Khalid berpeluang menatarias Raja Permaisuri Agong. Sebelum ini, beliau hanya mengenali baginda dari jauh sahaja. Pastinya, peluang ini suatu pengalaman paling bersejarah sepanjang 20 tahun beliau bergelar juru solek.

 

Malah, katanya sebelum memulakan solekan lagi, perasaan gentar bergegaran dalam dirinya.

 

“Sudah lama saya tidak diasak perasaan sebegini dan hari ini saya menikmati perasaan ‘gentar’ ini...” katanya yamg tidak mampu menolak kerisauan di hati sebelum memulakan tugasan.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Khir Khalid (@khirkhalid) on

 

 

Bercakap mengenai lamaran yang diterima, ringkasnya ia dikhabarkan melalui pereka kesayangan Raja Permaisuri Agong sendiri iaitu Dato’ Rizalman Ibrahim.

 

Khir dan Dato’ Rizalman memang sudah kerap bekerjasama dalam beberapa majlis, jadi ini bukan sesuatu yang sukar kerana Dato’ sendiri sudah sedia maklum bagaimana hasil kerja Khir.

 

“Malam itu saya tidur di rumah Dato’ Rizalman. Dan, bergerak seawal jam 6 pagi. Kami tiba di perkarangan istana setengah jam kemudian.

 

Tugasan saya bermula dengan menyolekkan puteri-puteri baginda terlebih dahulu,” cerita Khir.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Khir Khalid (@khirkhalid) on

 

 

“Oh, Sungguh Cantik Wajah Tuanku!”

Hanya itu yang terdetik di hati Khir Khalid sebaik Tuanku muncul di hadapan mata beliau.  Menurut Khir, kecantikan Raja Permaisuri Agong mengingatkan beliau kepada mendiang Puteri Diana. Seakan-akan.

 

Malah, aura Tuanku lebih terserlah saat baginda memulakan bicara. Cara baginda memanggil nama Khir Khalid itu sendiri sudah cukup membuatkan diri terasa begitu dihargai.

 

 

 

Intrend khir 3

Kredit foto: Khir Khalid

 

 

Ayat pertama yang keluar daripada mulut baginda ialah, “Saya tidak sabar untuk dimekap...” Membuatkan Khir Khalid bertambah selesa dan hilang rasa gugup sebentar tadi.

 

Lagi pula Khir dan Tuanku berasal dari negeri yang sama, Johor Darul Takzim membuatkan kemesraan itu makin lekas terasa.

 

Raja Permaisuri Agong mempunya kejelitaan asli yang tidak perlu diubah itu dan ini.

 

Memiliki wajah persis wanita kacukan, Tuanku punya kanvas wajah polos dan sudah terletak cantik. Maka, Khir tidak mahu mengasak dengan bebanan solekan yang berat.

 

“Walaupun saya tidak mahu bermain dengan solekan berat tetapi saya tetap mahu seluruh dunia melihat Tuanku Permaisuri kita disiap cantik.

 

Paling cantik dari yang pernah terlihat sebelumnya. Ini hari penting buat baginda dan pastinya saya bersungguh-sungguh untuk menjadikan baginda teragung di singgahsananya.”

 

 

Intrend khir 5

Kredit foto: CHANEL Blurry Green (318) Les 4 Ombres Multi-Effect Quadra Eyeshadow

 

 

 

Tuanku Tidak Gemar Bersolek Tapi Untuk Kali Ini...

Itulah kenyataannya. Lihat sahaja wajah-wajah Tuanku pada hari kebiasaannya, baginda lebih selesa dengan solekan tipis dan jangan terkejut kerana Tuanku sendiri menatarias wajah baginda sendiri.

 

Hanya, untuk sesetengah majlis penting barulah Tuanku sedia disolekkan oleh jurusolek profesional.

 

Namun, untuk upacara besar seperti ini, baginda bersetuju dan lebih mudah lagi, tiada trial makeup dititahkan baginda.

 

Khir Khalid hanya perlu hadir pada hari pertabalan sahaja untuk meneruskan solekan rasmi. Tuanku memberi sepenuh kepercayaan kepada yang pakar.

 

 

Intrend khir 6

Kredit foto: GUERLAIN ROUGE G The Original The Double Mirror Case

 

 

 

Berbeza seperti selalunya, kebanyakan jurusolek akan memilih rona pembayang mata kecoklatan. Khir mencabar kreativitinya dengan memilih emerald green untuk layangan kelopak mata Tuanku dan hasilnya sungguh menakjubkan!

 

Kebetulan pula, Tuanku sendiri gemar bermain warna cuma menerusi aplikasi amatur, tutur baginda.

 

Lagi pula, melihatkan pada busana putih gading rekaan Dato’ Rizalman itu, pembayang mata ini kelihatan amat cocok sebagai padanannya.

 

Untuk kanvas wajah baginda yang sudah sedia cantik itu, Khir mencampurkan bedak asas dua tekstur iaitu jenis cecair dan kusyen.

 

Tuanku tidak memerlukan teknik shading atau contouring yang keterlaluan. Hanya sedikit layangan sebagai pembentuk sisi wajah. Memadai.

 

 

 

 

Kata-Kata Indah Tuanku Selepas Siap Disolek

“Nasib baik ada Khir Khalid...” begitulah kata-kata terakhir Tuanku sebelum melangkah pergi usai disolekkan.

 

Dan, kata-kata itu terngiang-ngiang sehingga saat wawancara ini dilakukan bersama InTrend. Menurut Khir, Tuanku Permaisuri mempunyai keperibadian yang sangat unggul selayak gelarannya sebagai Raja Permaisuri Agong Malaysia.

 

Inilah kenangan dan pengalaman terindah buat Khir Khalid selama bergelar jurusolek.

 

Lucunya, kekalutan yang melanda dirinya sepanjang bersama Tuanku itu menyebabkan beliau tidak sempat untuk ‘selfie’ bersama baginda. “Nervous, nak minta bergambar pun tak terluah...” ujarnya mengakhiri perbualan.

 

DAULAT TUANKU. DAULAT TUANKU. DAULAT TUANKU.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by ISTANA NEGARA (@istana_negara) on

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.