Aug 24, 2018 - 2301
Oleh: Afiza Kamarulzaman
PENYERTAANNYA dalam Gegar Vaganza dilihat bukan sekadar memenuhi tempat yang ada kerana setiap episod yang ditandinginya, pasti memberikan impak yang padu. Menerusi rancangan itu juga sebenarnya, mengubat rindu para peminat Liza Hanim yang selama ini menyangkakan bahawa dia sudah bersara dari dunia seni.
Beliau sendiri sudah pun muncul dengan single baru yang berjudul Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fedtri Yahya. Lebih menarik lagi, Liza Hanim tercalon dalam Muzik Muzik setelah sekian lama tidak menjengah rancangan itu.
Kalau boleh Liza kongsikan detik-detik permulaan Liza bertudung kerana waktu itu Liza juga melakukannya secara senyap-senyap, bukan?
Saya mula berhijab pada 2010. Sebenarnya, beberapa tahun sebelum itu pun memang sudah terdetik di hati untuk melakukannya tetapi biasalah, hati masih goyah. Syaitan berbisik, macam mana kalau nanti ‘job’ kurang?
Ceteknya pemikiran waktu itu kerana dulu kebanyakan yang bertudung hanyalah penyanyi nasyid. Jarang sekali kita melihat penyanyi biasa bertudung dan buat persembahan seperti biasa.
Akhirnya, suatu hari, ketika mahu bersiap ke ofis, saya capai pakaian yang menutup aurat, dan tidak semena-mena tangan turut mencapai shawl yang ada lalu menyarungkannya.
Saya turun ke bawah, dan ayat pertama suami yang tercengang waktu itu, “Are you sure?” And i said, “Yes!” nak tahu apa dia kata? “Terima kasih, sayang...” Allahu akbar, saya terpukul dengan jawapan itu.
Saya minta maaf kepada suami kerana selama ini mengheretnya sama ke lembah dosa kerana tidak menutup aurat dengan baik.
Bagaimana mula-mula menyempurnakan kembali ‘wardrobe’ lama?
Pening jugak masa itu kerana wardrobe saya tidak sepenuhnya mengikut syariah. Jadi, perlahan-lahan saya membeli anak tudung dan hijab. Sikit-sikit, lama-lama, cukuplah keperluan wardrobe yang memenuhi syariah.
Pada permulaan memakai tudung, memanglah ada terasa panas tapi lama-lama jadi kebiasaan dan selesa. Ramai juga bagi publisiti lepas saya bertudung kerana waktu itu penyanyi bertudung tidak ramai.
Sekarang, alhamdulillah, selepas lapan tahun ia bukan lagi ganjil. Ramai artis bertudung hari ini dan masih boleh cari makan.
Liza dilihat makin cantik selepas berkahwin dan makin ‘meletop’ setelah melahirkan anak berbanding zaman anak dara dulu. Apa rahsianya?
Makin cantik? Hahaha, alhamdulillah. Rasanya wanita ‘bloom’ selepas melahirkan anak dan sebaik menjengah usia 30 tahun. Seperti saya, selepas melahirkan anak timbul kesedaran untuk mula mengambil berat soal kesihatan kerana saya perlu sihat dan kuat untuk menjaga mereka.
Saya mula mengambil beberapa vitamin, makan secara sihat dan menjaga kesihatan secara total. Air adalah sumber penting dalam kehidupan saya. Saya minum secukupnya. Paling penting, stay, think and be happy.
Find your happy pills, kerana semua orang mempunyainya. Dan, bagi saya, Allah dan keluarga adalah sumber kebahagiaan hidup saya.
Kelihatan langsing sekarang berbanding zaman anak dara, Liza ada mengamalkan apa-apa rutin?
Berat badan ini ada pasang surutnya. Berat badan paling tinggi pernah saya alami ialah 78kg pada tahun 2012. Memang rasa sangat tidak selesa. Solat pun sakit, jalan termengah-mengah.
Apabila nak cari baju, kecewa dan sangat tertekan. Saya mula beli baju plus size. Ia sangat mengecewakan kerana saya tidak dilahirkan dengan saiz besar. namun, masa itu tetap tak sedar diri, hahaha...
Cuma, pada satu hari selepas insiden di tepi pantai, saya jalan termengah-mengah di atas pasir, saya mula tekad untuk menurunkan berat badan. namun, saya tidak mahu melakukannya dengan diet yang keterlaluan.
Saya mula belajar tentang how the body works? Saya belajar tentang kalori, defisit kalori dan BMi (body management index). Selepas sudah faham bagaimana untuk menurunkan berat badan berlebihan, bagaimana mengira kalori yang diperlukan setiap hari, saya mula merancang pelan diet saya.
Saya makan semuanya termasuk karbohidrat kerana tubuh kita memerlukan semua nutrien. Saya juga belajar tentang porsi makanan, mengawal pengambilan makanan dan pastikan ada juga aktiviti bersenam.
Bunyinya macam susah, tetapi percayalah ia berkesan! Benar, menurunkan berat badan tidak mudah seperti shake shake sahaja. Jadikannya gaya hidup, dan kemudian kamu akan mampu mengamal dan menjadikannya rutin biasa, insya-Allah.
Bagaimana dengan penjagaan suara?
Lebihnya, ini adalah anugerah Allah. Cuma, yang boleh saya kongsikan adalah air, air, air! Hidrasi untuk penyanyi sangat penting. Saya jarang minum air sejuk, apatah lagi minuman berais. Once in a blue moon, kalau teringin sangat barulah saya ambil.
Saya juga elakkan makanan berminyak. ia sangat tidak bagus untuk tekak kerana mudah diserang batuk. Saya cuba elakkan terutamanya beberapa hari sebelum mengadakan persembahan.
Liza bersenam juga untuk menguatkan core dan diaphragm. Selebihnya, praktis dan praktis.
Besarkah bajet cantik bulanan Liza? Boleh kongsi?
Ehhh, taklah besar mana! Actually, tipu! Hahaha. Skincare products bukannya murah tetapi kalau sekali beli boleh tahan sampai tiga bulan. Rawatan facial pula dua kali seminggu. Berurut sekali sebulan.
Untuk kulit kena penjagaan ekstra kerana kulit saya punyai pori-pori terbuka dan ada pula bekas jerawat dari zaman remaja dulu. Tapi kira okeylah, sebab dapat subsidi daripada suami.