Dec 19, 2018 - 8818

YB NURUL IZZAH ANWAR: “Saya Mahu Lihat Politik yang Memainkan Isu Bangsa dan Agama, ditamatkan Riwayatnya”

Rakyat tergelombang semenjak PRU14, dan dia antara figura penting yang telah bersama-sama mencorak perjalanan yang panjang ini. Dia, seteguh karang.

 

Teks: Rosie Haslinda Nasir 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

27 Disember 2013: 

“God is Great, to Him we submit. Our lives, choices and feelings are of Your grace. Hear out your humble servant, let not she be disgraced.” 

(Tuhan Maha Besar, kepada-Nya kita berserah. Hidup, pilihan dan perasaan kami bergantung kepada sifat Maha Pemurah-Mu. Dengarlah rintihan hamba-Mu yang hina ini, jangan biar dia diaibkan.)

 

DARIPADA seorang lelaki yang amat mencintai. Demikianlah kicauan Twitter milik Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, yang akhirnya tertakdir berpisah dengan wanita Reformasi luar biasa yang pernah dinikahinya – Nurul Izzah Anwar, kerana tiada lagi mawaddah dan rahmah dalam gelegar rumahtangga. 

 

Tetapi Nurul Izzah Anwar bukan sejenis wanita lekas tersungkur atau mudah tumpas meski dengan air mata darah. Perpisahan dengan bekal azimat dua pengarang jantung anugerah terindah Ilahi, Raja Nur Safiyah dan Raja Harith; menjadikan perjuangannya lebih berbara. Lantas marak bernyala. Sehingga dia meluru ke angkasaraya Reformasi. 

 

Dia, Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar, semakin cermat dan pintar memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan yang tertimbang di kiri dan kanan tangannya. InTrend Malaysia berbesar hati dapat merakam pemikiran luar biasa berani, susuk muda, antara pemain politik terpenting yang telah bersama-sama mencorakkan landskap Malaysia Baharu pasca PRU14. 

 

Bagaimanakah perasaannya kala YB mula-mula melangkah ke kamar Parlimen Malaysia?

Dalam penggal pertama semasa saya memegang jawatan ahli Parlimen, saya hamil anak kedua. Siapa saja yang berada di tempat saya, pasti rasa berdebar. Mampukah saya mengimbangi tuntutan-tuntutan jasmani wanita berbadan dua, dengan ‘pertempuran’ sengit di meja perbahasan Parlimen? 

 

Tetapi yang paling saya ingat, waktu itu, saya amat menekankan peri pentingnya keperluan mewujudkan tempat khas untuk para kakitangan wanita menyusukan bayi. Untuk wanita berjaya, harus ada suasana yang mendukung. 

 

Walau bagaimanapun, setiap wanita harus memilih. Apakah dia mahu menjadi kekal berkarier walau sudah bergelar ibu? Atau apakah dia rasa sudah cukup menjadi suri dalam teritori rumahtangganya? 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

YB masih muda dan cantik. Stail bagaimana, dan selebriti mana yang YB senangi?

Fesyen? (berkerut) Semalam dah cuba fesyen pun orang marah? (ketawa mengelekek).

 

Sebenarnya saya pakai apa yang saya rasa selesa. Macam semalam (merujuk kepada kebaya hitam Khoon Hooi yang dipakai pada hari kedua di Parlimen Malaysia), ramai bertanya, “Kenapa pakai tudung jenis selendang panjang?” 

 

Saya jawab, “Sebab saya meraikan pereka fesyen tempatan.”

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

Kalau saya suka batik misalannya, saya akan cari pereka-pereka muda. Saya sarung karya lokal untuk tonjolkan lokaliti itu. Bukan sahaja mempromosi tunas muda industri, saya juga mahu memasyhurkan khazanah negara. 

 

Jadi, janganlah tanya saya tentang fesyen dan selebriti luar negara. Kecuali hal muzik, yakni Radiohead (senyum simpul). Tapi saya suka lihat Vivy Yusuf. Saya fikir, banyak kejayaan telah Vivy lakar yang harus kita raikan bersama. 

 

Amalan kekeluargaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling YB hargai dari dulu sampai hari ini?

Saya amat hargai masa yang Papa luangkan apabila kami dapat berkumpul dan makan malam bersama. Walau sibuk dan pulang lewat malam sekalipun, Papa akan pastikan setiap seorang daripada kami diberikan ciuman selamat malam. 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

Pada 16 Mei, permohonan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana menuntut kebebasan akibat fitnah dan penyalahgunaan kuasa yang bercanggah dengan prinsip keadilan – akhirnya termakbul. Boleh YB imbas momen itu? 

Ini semua tercetus atas dasar berlakunya penepian prinsip keadilan dan perlanggaran hukum yang mengakibatkan pemenjaraan beliau. Saya berjuang berdasarkan prinsip keadilan. Itu harus jelas. Tidak ada kompromi. 

 

Lalu kerana itu saya pergi ke Persidangan Hak Asasi Manusia, saya berusaha mencari gali, bekerjasama dengan beberapa pihak, sampailah terlahir fatwa daripada Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia. Sehinggalah juga akhirnya, tersimpul satu keputusan daripada The United Nations Working Group on Arbitrary Detention pada 2016 yang berpendirian bahawa Datuk Seri Anwar wajib dibebaskan. 

 

Jadi apabila berlakunya peristiwa 16 Mei itu, kita perlu faham, bahawa pengampunan diberikan atas dasar perlanggaran. Dan penepian prinsip keadilan dan undang-undang.

 

Saya selalu diminta supaya istiqamah, supaya selalu komited dengan perjuangan. Pada detik itu, barulah saya benar-benar melihat dan merasai begitu dekat dengan nurani. Indahnya sebuah kesabaran. Dan ikhlasnya sebuah pengorbanan. 

 

Kerana hakikatnya, bukan mudah untuk kami sekeluarga mengharungi dugaan ini. Dari 1998, saya selalu memujuk hati. Sabarlah, tak apalah, tunggulah. Mungkin setahun dua saja.Tiba-tiba dah 2018! Dan kami masih bergelut berjuang untuk membebaskan Datuk Seri Anwar. 

 

Ini bukan soal bebas atas nama. Tapi bebas dengan clean slate, dibersihkan maruah kami sekeluarga.

 

Alhamdulillah! Inilah janji Allah SWT. 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

Tahun lalu, Tun M pernah mengutus sepucuk surat kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan mahu menarik keluar parti dari gabungan Pakatan Harapan (PH). Lalu YB sendiri menderu ke London untuk berjumpa dengan Tun M, memujuknya supaya menarik balik keputusan itu. Apa yang ada dalam fikiran YB ketika itu? Mengapa YB terpanggil untuk bermusyawarah empat dinding? 

Saya sayangkan Malaysia. Apabila saya mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama memikul perjuangan ini, tentu saya harus fikirkan cara terbaik untuk memenangkan gabungan ini. 

 

Kerana apa? Kerana kita mahu melawan rasuah dan kebobrokan moral. Kita mahu murnikan dan gilap kembali maruah kita kerana imej kleptokrasi sudah terpalit ke muka. Kita mahu mengembalikan Malaysia ke persada demokrasi, yang mampu memberikan keadilan kepada rakyatnya. 

 

Justeru, waktu itu, saya tidak nampak jalan lain kalau Tun M tidak bersama dalam gabungan Pakatan Harapan.

 

Sumber foto: Instagram @anwaribrahim_my

 

 

Ya, dorongan itu datang daripada berbagai-bagai trajektori. Ia tidak mudah. Tun M dilihat sebagai diktator selama 22 tahun, dan tiba-tiba kita ingin menobatkan beliau kembali. Tetapi saya dapat lihat komitmen dan kesungguhan Tun M terhadap agenda Reformasi. Tun M komited mahu meluruskan hasrat, hakikat dan matlamat. 

 

Walaupun begitu, perjalanan saya ke London, tetap terisi tanda tanya. Apakah nanti Tun M sudi mendengar? Saya pun tak tahu sama ada beliau akan setuju atau tidak. Yang saya tahu, saya cuma berusaha dan bertawakal. 

 

Lagi pun ini inisiatif berkumpulan daripada banyak pihak. Bukan saya seorang. 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

Sewaktu kerjaya dan masa depan Datuk Seri Anwar tertumbang pada malam 16 Julai 2008, bagaimana YB terus ke hadapan dan terus juga menaakul kehidupan tanpa ketua keluarga?

Betul, hidup kami berubah selepas malam itu, 20 September 1998. Saya masih ingat lagi, perasaan saya pada momen itu. Saat itu, saya rasa sangat lemah. Tak berdaya. Powerless. Dan ia adalah momen paling rapuh dalam seumur hidup saya. Saya tidak mahu mengingati atau melaluinya buat sekali lagi. 

 

Selepas ditangkap, Papa lenyap terus daripada radar kami. Kami pun tak tahu di mana Papa berada. Lalu, kami menulis surat bertalu-talu. 

 

Masa itu tahun 1998, mesin faks sangat luar biasa fungsinya. Budaya e-mel belum ada. Jadi kami tidak berhenti-henti mengutus surat-surat faks kami ke balai polis. Memohon dan menggesa supaya dibenarkan berjumpa dengan Papa. 

 

Akhirnya, pada suatu hari, adik saya Hana (berumur enam tahun waktu itu), jatuh sakit. Hana menulis surat pendek kepada Musa Hassan. 

 

Tuan,

Hana demam. Hana nak jumpa Papa. 

 

Di hujung surat pendek itu, Hana titipkan cap jarinya yang halus. Percaya atau tidak, tidak sampai 24 jam selepas itu, kami dapat berjumpa Papa! Tapi hati kami luka sekali apabila lihat ada kesan pukulan pada wajah Papa. 

 

Tetapi senyuman Papa tetap sama. 

 

Yang terlintas di fikiran saya saat itu, kalau budak sekecil Hana yang hanya pandai menulis sepotong ayat pendek, yang tiada sebarang kuasa kerana tandatangannya, yang bukan seperti gergasi politik lain, melainkan hanya ada rayuan pilu dengan setompok cap jari berdakwat hitam; boleh menginisiatifkan perubahan – kenapa tidak kita? 

 

Pada saat itu, saya bisikkan dalam hati saya, no one was powerless. 

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

Kembali lagi pada tahun 1998 – yang ditekankan pada waktu itu adalah idea untuk melawan ketakutan. Janji untuk mereformasikan institusi – maksudnya bukan saja memberikan ‘kemerdekaan’, tetapi 'pride', maruah, penghormatan. Apakah kemenangan PRU14 satu petunjuk, kita sedang keluar dari ketakutan? Komen YB?

Dari jeriji penjara, Papa selalu mengingatkan saya, berkali-kali, bahawa perjuangan ini, bukannya tentang dia, tentang saya, atau tentang keluarga kami. Saya, hanyalah sekeping petak daripada ribuan petak teka-teki yang bertaburan dan perlu dicantumkan. 

 

Ia satu perjalanan yang panjang. Kemenangan dalam PRU14 sebenarnya merupakan satu isyarat dan indikasi yang amat jelas, bahawa rakyat Malaysia mahukan perubahan. Rakyat Malaysia mahukan kejernihan dalam tadbir urus. Rakyat Malaysia sebenarnya mahu keluar dari kepompong ketakutan itu. 

 

Tetapi bagi saya, semasa kita membersihkan sistem, harus juga kita menguatkan cabang-cabang demokrasi.

 

Satu-satunya momen tertautnya kembali ukhuwah antara Datuk Seri Anwar dan Tun M yang takkan YB lupakan?

Pada September 2016, sewaktu Papa dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana permohonan pendengaran injunksi untuk menghalang perlaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, Tun Dr. Mahathir turut muncul dengan diiringi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

 

Kedatangan mereka membuat situasi mahkamah riuh-rendah dan kaget luar biasa. Wartawan berpusu-pusu merakam momen bersejarah itu. Bayangkanlah, selepas 18 tahun peristiwa pemecatan Papa, dan setelah sekian lama mereka tak pernah lagi bertentang mata, Tun M dan Papa saling bertemu. 

 

Momen itu sungguh mengharukan, kerana Tun M hadir untuk beri sokongan moral. Detik keramat itu bertambah signifikan kerana pada saat itu, kedua-duanya senada menolak kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri Najib Razak. 


Sumber foto: Instagram @anwaribrahim_my

 

 

Sebaik Papa tiba dengan diiringi pegawai penjara, Papa bersalam-salaman dengan Tun M yang duduk di galeri awam. Ramai tersentuh. Ramai juga yang terlongo. 

 

Saya sampai di mahkamah agak lambat hari itu. Lalu saya menderu ke bilik saksi yang menempatkan Papa dan Tun M. Melihat raut wajah dan lirik mata persona yang telah berusia 92 tahun, membuatkan hati saya sangat-sangat tersentuh. Yang datang silih berganti memenuhi sangkar dada waktu itu, adalah rasa sedih. 

 

Ya, saya rasa sedih. Kalaulah arwah datuk saya masih hidup, dia pasti seusia Tun M. 

 

Jika dalam pilihanraya 2013 lalu, ketika Pakatan Rakyat dipimpin Papa, BN hanya mampu menang dengan kelebihan 23 kerusi Parlimen. Tapi kalah undi popular dengan 47 peratus berbanding 52 peratus. Jadi bayangkanlah, apakah pula impaknya dalam PRU14 apabila Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar sudah sama-sama berganding bahu? 

 

Malam itu, saya pulang ke rumah selepas seharian memerangi kabilah perasaan. Isi hati saya geruh berpusar-pusar. Kebencian yang pernah saya pendam sekian lama kerana tindakannya itu, bagaikan air ombak yang menyurut apabila saya kembali bermuhasabah. 

 

Ya, apabila kita memaafkan seseorang itu, kita sebenarnya memaafkan bahagian yang paling pahit dalam hidup kita. 

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

To forgive and to forget – adalah dua perkara berbeza. YB jelas sekali sudah memaafkan. Tapi adakah YB mampu melupakan? 

Anda kena faham, akan datang satu ketika, kita memaafkan itu, kerana telah digariskan bersamanya, kemahuan untuk berubah. 

 

Apabila kita bergerak ke hadapan dan bekerjasama dengan pihak yang mungkin pernah menzalimi kita, isunya – kita mahu mereka berubah, dan menerima pakai agenda Reformasi. Memastikan di Malaysia ini tidak berlaku lagi perlanggaran hukum, tekanan atau penindasan kepada mana-mana pihak. 

 

Kita pun tak mahu dihantui lagi kengerian lampau. Kita tak mahu pasrah semata-mata. Sebab dalam Islam pun, kita tidak disuruh berputus asa, dan berserah tanpa berusaha mengubah nasib kita. Kerana Allah SWT akan mengadili kita berdasarkan usaha yang kita lakukan. 

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

YB boleh dikatakan menggelumangi politik secara tidak sengaja. Accidental politician, komen?

Saya terkancah dalam politik sewaktu saya berumur 18 tahun... (diam seketika). Oh tidak, 17 tahun lebih sebenarnya. Saya sepatutnya menjadi seorang jurutera. Tapi ya, saya tiada sesal. Kini saya mewakili Permatang Pauh, tanah tumpah darah Papa, tempat Papa diasuh dan dimanusiakan. Papa memenangi kerusi ini pada tahun 1982 sewaktu umur saya dua tahun. 

 

Ya, pemenjaraan Papa boleh saya katakan satu krisis yang amat baik dalam hidup saya.

 

Kenapa saya kata baik? Kerana kalau hidup kita terlalu mudah, kalau kita tidak disepak, tidak dibadai krisis, kita tidak akan belajar apa-apa pun daripada kehidupan kita yang fana ini. 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Pada usia 18 tahun, saya tekad meninggalkan pengajian saya selama setahun. Saya bergerak ke serata lekuk dan bucu Malaysia. Bertemu ramai aktivis, mengusahakan agenda Reformasi. Saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi Petronas dan kemudiannya di Universiti Tenaga Nasional dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Tempat saya pernah dinafikan di sebuah universiti yang pernah dinaungi Papa waktu itu, dengan alasan, I was too politically toxic to be allowed in.

 

Saya kembali fokus dan melangsaikan pengajian Ijazah Sarjana (MA) di Universiti Johns Hopkins, Washington dalam bidang Kajian Asia Tenggara, Hubungan Antarabangsa dan tamat pada Mei 2007. Tahun 2008, saya dipelawa rakan-rakan komrad politik untuk menyertai mereka, bertanding dalam PRU12 di bawah panji Parti Keadilan Rakyat. 

 

Saya terpana. 

 

Wajarkah saya terjun secara benar dan total kali ini? Kalau saya teruskan cita-cita asal, bekerja dengan mana-mana syarikat cari gali minyak, apakah saya akan menyesal dengan keputusan saya itu? 

 

Hati saya berbelah-bahagi. Serba-salah dibuatnya. 

 

Fikir saya, saya mesti segera berdebur terjun ke dalam perjuangan itu bersama pejuang lain. Jangan gentar untuk menang. Jangan juga kecut untuk kalah. Kerana ya, demokrasi memerlukan demokrats. Reformasi memerlukan reformis.

 

Sokongan Lembah Pantai amat luar biasa. Calon Barisan Nasional meraih 18,833 undi manakala calon bebas memperolehi 489 undi. Namun pengundi Kawasan Parlimen Lembah Pantai telah sudi memberikan 21,728 undi kepada saya. Lalu dengan undi itu, rakyat Lembah Pantai menghantar saya ke Parlimen Malaysia. 

 


 

Apa yang telah YB pelajari daripada bonda, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail? 

Banyak sekali. Mungkin ramai tidak tahu, Mama anak Melayu pertama di rantau ini menerima Anugerah Pingat Emas dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi semasa pengajiannya di Royal College of Surgeons di Ireland. 

 

Mama kemudian ditauliahkan sebagai Pakar Oftalmologi dan berkhidmat sebagai doktor kerajaan 14 tahun lamanya. Akhirnya, Mama mengambil keputusan fokus pada kerja-kerja sukarela apabila Papa dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993. 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

 

Berani berkata TIDAK kepada perkara yang salah. Ini mesej yang selalu YB hantar kepada komunitiraya, kepada seluruh rakyat Malaysia. Tetapi dalam contoh yang kecil dan 'simple', yang boleh kami jadikan panduan buat jutaan pembaca di luar sana, bolehkah YB kongsi, bagaimana YB mendidik dan menyampaikan mesej yang sama kepada anak-anak YB sendiri?

Dalam asas pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak, saya selalu memastikan, mereka harus merasai. Bukan sahaja pengalaman, tetapi setiap duduk letak satu-satu perkara yang mahu saya ajar kepada anak kecil. Ini bukan tentang soal menakut-nakutkan anak-anak. Sebab kita pun tak mahu anak kita menjadi ‘Pak Turut’, jadi macam kerbau yang dicucuk hidung. 

 

Saya selalu berpesan, yang molek boleh ikut. Yang jelik jangan disalin. 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

Dari dulu hingga sekarang, apa yang YB sentiasa cari? 

Dari dulu sampai hari ini, saya sentiasa berpegang, bahawa saya tak mahu jadi pengikut yang pasif.

 

Saya mahu menjadi peserta yang aktif. Saya mahu Malaysia yang mengurniakan peluang dan kesamarataan kepada setiap rakyatnya. Saya mahu kedaulatan undang-undang dipelihara dan dilestarikan. Saya mahu nilai multiras kita membentuk satu pakatan energi yang memperteguh ukhuwah kita. 

 

Saya mahu melihat politik yang memainkan isu bangsa dan agama, ditamatkan riwayatnya. Saya mahu mengukuhkan sebuah institusi yang boleh membebaskan, memencarkan kuasa. Supaya kuasa tidak lagi terletak di Persekutuan semata-mata. 

 

Malah saya juga mengharapkan media massa arus perdana bangkit, menjadi pelopor kepada suara-suara keberanian dan tidak dibonekakan. 

 

Cuma mungkin ada yang terlupa, di luar kotak kepolitikan ini, saya masih pulang ke rumah sebagai wanita biasa. Kerana itu sebagai ibu, saya mahu Safiyah dan Harith membesar di dalam sebuah negara yang meraikan kebolehan serta bakat mereka. Bukannya berdasarkan, “Oh, siapa yang dia kenal?” ataupun, “Oh, si polan si polan itu pun dia tak kenal?” 

 


Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

Sumber foto: Instagram @n_izzah

 

Perkara yang paling mengejutkan YB dalam PRU14, semasa rakyat berbara merayakan kempen Pakatan Harapan? 

Desperation, daripada pihak lawan mungkin? Inilah yang membawa kepada kempen-kempen kepartian yang bersandarkan ras dan warna kulit, kepartian agama. Isu persempadanan semula PRU14 kita juga antara yang terburuk di dunia. 

 

Kami survived. Ia satu perjalanan yang amat pahit namun manis apabila dikenang. 

 

Sebelum kemenangan PRU14, kami berjaya memegang dua negeri paling kaya dan sukses di Malaysia jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain semasa ditadbir urus kerajaan terdahulu.

 

Alhamdulillah! Itu semua adalah testimoni bahawa rakyat Malaysia telah pun perlahan-lahan mencari dan memakai pakaian perubahan. Dan mereka mahukan ‘pakaian’ yang baharu kerana impak-impak positif yang dilihat dan dirasai. 

 

Namun perjalanan membawa hak setiap seorang daripada kita ke neraca keadilan masih panjang. 

 

Suka saya berpesan kepada rakyat Malaysia, jangan leka. Jangan fikir, “Ohhh, kita dah ada kerajaan baru, kerajaan kena putuskan segala-galanya...” 

 

Ini tugas kita bersama untuk menjaga negara kita. Harus ada lebih ramai yang bersedia tampil ke depan, menawar jasa bakti. Tak kiralah daripada ceruk industri mana sekalipun – industri fesyen, muzik, pertanian, pendidikan, automotif, bermacam lagi. 

 

Saya mohon anda bersabar, dan pinjamkan kepercayaan itu kepada kami. 


Sumber foto:Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.