Mar 22, 2017 - 47534

“Daddy Mereka Tak Pernah Sekali Tanya atau Beri Duit Yuran, Semua Saya Usahakan Sendiri” — RITA RUDAINI

Kekuatan dalaman sebagai ibu tunggal semakin bersebati dalam dirinya. Rita Rudaini sudah berjanji kepada anak-anaknya, dia tidak mahu menangis lagi.

 

Oleh: Onlia Mohd Dom 

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

JIWANYA kental tatkala kehidupan rumahtangga dilanda gelora. Demi kelangsungan hidup  dan kebahagiaan anak-anak, dia rela berkorban agar ‘syurga’ yang dicipta untuk anak-anak terbentang indah di jalur kehidupan pada masa depan. 

 

“Saya tidak pernah berdiet. Saya makan apa saja. Kebetulan saya memang suka makan dan tiada pantang,” jawab Rita apabila saya bertanya mengenai rahsia pemakanannya. Beliau sememangnya beruntung kerana tidak perlu menjaga makan demi melangsingkan badan.

 

Tambahnya lagi, “Setiap pagi saya akan meluangkan masa selama setengah jam untuk berjoging dan menghabiskan rutin senaman tertentu di gimnasium selama sejam pula. Itu yang saya lakukan setiap hari walau sibuk macam mana pun. Selain itu, saya juga gila mengemas, mungkin secara tidak langsung menambah masa riadah saya.”

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar; pelakon dan duta kepada produk kecantikan kini sibuk mengendalikan restoran Rumah Kueh di Kota Damansara. Dilahirkan pada 11 April, Rita banyak berlakon dalam drama tempatan dan sesekali di layar filem. Pernah berkahwin dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak. Pasangan ini dikurniakan dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 8 dan Airit Qaqa Arjuna, 6, sebelum berpisah pada 2010. Sejak itu, Rita tidak pernah berkahwin biarpun banyak gosip mengenai percintaan beliau di media massa.

 

Gaya harian yang membuat Rita berasa selesa? Dan siapa pereka pakaian yang digemari?

Saya seorang yang simple. Dalam berpakaian, saya lebih suka gaya ringkas. Saya pilih rekaan simple seperti kemeja-T dan jeans untuk di rumah atau di luar. Saya tidak mengutamakan jenama atau gaya tertentu. Malah, saya juga tidak mempunyai koleksi dress atau pakaian haute couture seperti artis lain. Jika hendak menghadiri acara atau sebarang majlis, saya biasanya menggunakan khidmat pereka fesyen Hazel Hisyam. Dia adalah pereka muda yang kaya dengan idea rekaan ringkas. Saya sangat selesa memakai pakaian rekaannya dan suka setiap ideanya. Hazel juga tahu cita rasa saya yang simple but elegant.

 

Apakah aktiviti Rita waktu senggang? 

Waktu kecil, emak tak pernah tinggalkan saya adik-beradik, ke mana-mana kami bersama. Itu yang saya buat pada anak-anak sekarang. Jika ada waktu lapang, biasanya saya membawa anak-anak keluar berjalan-jalan, menonton wayang, membeli-belah atau bercuti di tempat-tempat menarik di dalam mahupun luar negara. 

 

 

 

 

Jika bercuti ke luar negara, lazimnya Rita ke mana? 

Jika berpeluang bercuti ke luar negara, biasanya saya akan mengutamakan kehendak anak terlebih dahulu. Mereka suka ke Disneyland, jadi kami akan bercuti di negara yang mempunyai taman permainan Disneyland. Anak-anak juga suka bermain salji dan ski. Dan saya memang menunggu musim sejuk di luar negara sebab nak bawa anak-anak bermain ski. Percutian di luar negara bagi saya hanya untuk memenuhi tuntutan anak-anak. Saya akan cari tempat menarik untuk mereka supaya pengalaman berada di situ dihargai.

 

 

 

 

 

 

Penglibatan selebriti tanah air dengan kerja-kerja amal bagaikan trend. Bagaimana dengan Rita?

Buat masa ini belum lagi. Saya memberi bantuan secara peribadi saja. Saya belum berkesempatan hendak membuat kerja amal dalam skala besar. 

 

Sejak bergelar ibu tunggal, anak-anak pernah bertanya di mana ayah mereka dan mengapa ayah tidak balik? Anak-anak faham dengan situasi yang Rita alami? Bagaimana dengan bekas suami, pernah menyertai sebarang aktiviti dengan anak-anak Rita?

Alhamdulillah, anak-anak tidak pernah sedikitpun bertanya di mana daddy mereka. Mungkin kerana waktu anak-anak saya ditinggalkan, mereka masih terlalu kecil dan tidak ingat apa-apa. Mungkin jugalah Allah SWT nak bagi kesenangan kepada saya daripada segi itu supaya saya tidak perlu berdepan dengan pelbagai soalan daripada anak-anak. 

 

Daddy mereka tidak pernah sekalipun menyertai aktiviti anak seperti sambutan hari jadi atau majlis anugerah di sekolah apatah lagi mengirim wang. Semua saya usahakan sendiri. Duit yuran sekolah anak pun tidak pernah diberi atau ditanya. 

 

Pada saya itu tidak menjadi masalah kerana dari dulu lagi saya sudah biasa berdikari. Hidup saya sekarang sibuk nak membesarkan anak-anak. Bagaimanapun, jika pada masa depan, anak-anak tidak boleh menerima ayah mereka, waktu itu, jangan tuding jari kepada orang lain. Salahkan diri sendiri kerana tidak berusaha mengambil tahu hal darah daging sendiri. Saya pun tiada masa nak rosakkan emosi anak-anak dengan nak tolong 'cover’ ayah mereka. Itu bukan tanggungjawab saya. 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Bagaimana pula dengan urusan anak-anak semasa Rita bekerja atau berniaga? Siapa yang menyemak kerja sekolah mereka, mengajar mereka mengaji atau ilmu agama? Apa impian Rita terhadap anak-anak?

Sejak dulu hingga sekarang, saya mengurus sendiri anak-anak. Sayalah driver mereka, menghantar ke sekolah, mengambil pulang ke rumah. Saya juga cikgu peribadi anak, menyemak kerja sekolah. Sayalah tukang basuh dan tukang masak. Saya tidak mempunyai pembantu rumah. Kadang-kadang saya minta bantuan rakan baik yang menjadi personal assistant untuk menjemput anak dari sekolah dan menjaga mereka jika saya ada urusan di luar.

 

Dalam bab ilmu agama pula, saya menggunakan khidmat seorang ustaz untuk mengajar mereka mengaji dan solat selain mereka belajar Kafa di sekolah. Impian saya sudah tentulah hendak melihat anak-anak menjadi lelaki matang yang berdikari dan pandai ilmu agama kerana itu sangat penting. 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Zaman sekarang, ramai ibu bapa membelikan gajet seperti telefon pintar kepada anak-anak sebagai hadiah. Ada juga yang memberi tablet kepada anak untuk bermain 'game' supaya tidak mengganggu mereka. Apa pandangan Rita dalam bab memberi telefon pintar atau tablet kepada anak?

Saya kena ikut peredaran masa. Zaman kanak-kanak saya dengan zaman anak-anak saya jauh berbeza. Saya sendiri misalnya memang membeli dan menghadiahkan iPad kepada anak-anak untuk digunakan. Banyak kegunaan iPad kepada mereka contohnya mengenal huruf, mengenal lagu kanak-kanak dan menghafal doa, selain bermain game. Di sekolah pun, anak-anak sudah didedahkan kepada ICT. Mereka belajar menggunakan komputer dan iPad. Jadi penggunaan gajet penting untuk anak belajar. Asalkan jangan disalahgunakan. 

 

Saya selalu menegur dan mengingatkan anak-anak supaya tidak terlalu asyik dengan iPad. Saya pun tentukan batasan masa untuk mereka menggunakan iPad. Biasanya mereka boleh bermain iPad puas -puas sewaktu cuti sekolah saja.

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Biasanya anak lelaki bergurau kasar atau bergaduh sesama mereka. Anak Rita bagaimana? Sepanjang membesarkan mereka, adakah Rita pernah menggunakan rotan untuk mendisiplinkan mereka?

Biasalah anak-anak saya masih kecil, kalau bermain tidak sah tidak bergaduh atau berebut barang. Menjadi ibu kepada dua anak lelaki yang sedang membesar memang mencabar. Begitupun, saya selalu ajar dan menasihatkan mereka supaya berkongsi apa saja. Saya juga tegas dengan anak-anak. Sebab dari kecil inilah kita perlu mengajar mereka. Jika sudah besar baru hendak diajar sudah tidak berguna kerana waktu itu mereka sudah boleh berfikir dan mempunyai pandangan sendiri. 

 

Disebabkan itu, dari kecil lagi saya sudah mendidik anak-anak dengan tegas. Kalau mereka melakukan kesalahan, saya akan tegur dan jelaskan kenapa perbuatan itu salah. Jika mereka mengulang kesalahan yang sama, saya akan marah dan beri amaran. Saya buat semua ini kerana saya sayangkan mereka.

 

Selain itu, kaedah yang saya guna untuk mendidik anak adalah meluangkan masa bersama mereka setiap malam sebelum tidur. Kami akan bersembang di katil sambil berbaring. Ada masanya kami tutup lampu dan berbual di dalam gelap. Kiranya macam pillow talk lah. Dengan cara itu anak-anak fokus dengan apa yang saya cakap atau cerita. 

 

Waktu itu juga mereka banyak bertanya kenapa? Mengapa? Itu bermakna mereka fokus dan faham apa yang saya ceritakan. Perbualan kami juga menggunakan ayat yang betul, bukan pelat atau bahasa kanak-kanak. Saya susun ayat penuh dalam perbualan kami supaya mereka belajar cara bercakap dengan betul dalam usia muda dan cepat matang. 

 

Tapi biasalah budak-budak sementara nak besar ragam mereka macam-macam. Sebagai ibu, kita kena banyak bersabar dan tidak jemu menegur, itulah tanda kita sayang mereka. Ada ibu bapa mengambil sikap membiarkan anak mereka melakukan kesalahan dengan alasan anak masih kecil atau belum matang, bagi saya itu salah dan tidak sayang anak namanya. Kalau kita sayangkan anak, kita kena betulkan apa yang tidak betul.

 

 

Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia 

 

 

Kongsi perasaan Rita mengenai kehidupan solo serta susah-payah membesarkan anak-anak dan tanggapan serong masyarakat terhadap ‘title’ ibu tunggal?

Tipulah jika saya kata mudah. Membesarkan anak-anak kecil seorang diri memang sangat mencabar. Tapi saya sangat yakin, setiap kesusahan itu adalah ujian Allah SWT. Allah SWT menguji hamba-Nya yang betul-betul boleh menanggung. Dan setiap perkara yang berlaku, pasti ada hikmahnya.

 

Prinsip hidup saya mudah, jangan peduli kata-kata orang. Mereka tidak pernah sekalipun berada di tempat saya atau merasai apa yang saya rasakan. Jadi, teruskan saja kehidupan seperti yang saya impikan selama ini iaitu bahagia. Lagipun yang nak merasa bahagia itu adalah saya dan anak-anak.

 

 

 

 

Rita juga khabarnya daripada keluarga yang bercerai-berai. Bagaimana Rita menjaga hubungan baik dengan adik-beradik dan ahli keluarga yang lain? Pernahkah mereka ambil pusing soal jodoh dan rumahtangga Rita?

Alhamdulillah, hubungan saya dengan keluarga sangat rapat. Keluarga saya juga sangat memahami saya. Disebabkan itu, mereka tidak pernah campur tangan dalam masalah rumahtangga saya sebelum ini. Bagaimanapun mereka bersedia membantu jika saya mengadu atau meminta bantuan dan nasihat. Saya bersyukur dan berasa sangat beruntung mempunyai mereka. Keluarga pun bersikap terbuka dengan siapa jodoh saya. Mereka selalu mendoakan yang baik-baik untuk saya.

 

 

 

Iktibar daripada kegagalan rumahtangga terdahulu?

Banyak yang saya pelajari sebagai pedoman diri. Cukuplah dengan kisah itu. Saya tidak mahu mengenang mengenai rumahtangga lama. Saya juga tidak mahu mengulang bercerita, tak nak pandang dah, tak nak mengungkit dan sudah buang jauh-jauh daripada hidup saya.  

 

Tidakkah Rita rindu untuk bercinta dan kembali berumahtangga? Impian dan harapan dalam kehidupan berumahtangga jika ada jodoh pada masa akan datang?

 

Untuk bercinta semula, semua itu saya serahkan kepada Allah SWT. Saya serahkan jodoh saya kepada Allah SWT. Dengan siapa Allah SWT aturkan, saya reda. Saya percaya dan sangat yakin Allah SWT akan bagi yang terbaik buat saya dan anak-anak. 

 

 

 

 

Ciri lelaki dambaan Rita?

Seorang lelaki yang kuat daripada segi emosi dan fizikal, matang, bijak, berdikari dan simple macam saya.

 

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos hidup semakin meningkat, adakah Rita ligat mencari rezeki demi membesarkan anak-anak? 

Memanglah ekonomi negara kita tengah bermasalah dan saya pun terasa kesannya juga. Tetapi bagi saya rezeki ada di mana-mana. Nak kata saya ligat berlakon, tidak juga sebab saya jenis memilih drama, director dan casting. Jika sesuai dan jalan cerita bagus, barulah saya terima. Pun begitu, sebagai ibu tunggal sudah pasti saya perlu bekerja keras demi kelangsungan hidup dalam membesarkan anak-anak. Seboleh-bolehnya saya mahu membahagiakan mereka dan melempar jauh titik duka yang melanda kehidupan saya sebelum ini. 

 

Sumber foto: Instagram

 

 

Kongsikan perkembangan terkini Rita dalam bidang lakonan dan perniagaan?

Saya masih aktif dalam bidang lakonan. Masih sibuk dengan penggambaran drama. Saya juga menjadi duta produk kesihatan dalaman iaitu Zofeabeauty. Cuma jadual harian saya bertambah padat disebabkan  perniagaan  yang baru saya ceburi iaitu Rumah Kueh. Ia memfokus pada perniagaan makanan dan kuih-muih. Adat berniaga memang ada turun naiknya tapi saya sentiasa bersikap positif dan sentiasa berfikir bagaimana hendak mengukuhkan lagi perniagaan ini. Saya tidak mahu berputus asa di tengah jalan. Saya mahu buktikan yang saya boleh! 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Dia Setia, Pemurah dan Humble, He Is My Dream Guy!" — Izara Aishah

  • Seterus →

    "Anak-anak Tak Pernah Tanya Kenapa Ayah Tak Balik dan Tidur Bersama” — FASHA SANDHA