Mar 13, 2018 - 10694
HATI milik jejaka sawo matang ini teguh untuk terus berjuang dalam bidang yang dicintainya. Kini Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak sedang merasai manisnya
populariti. Nama anak kelahiran ibu kota ini disebut-sebut, wajahnya pula digilai oleh si gadis.
Sejak awal pembabitan dalam bidang lakonan, tidak banyak produk yang dibintangi pemuda kacak ini. Namun satu demi satu tawaran diraih sehingga membuka ruangnya menjelajah industri seni. Hadir awal ke studio penggambaran, lebih awal daripada waktu yang dijanjikan, bukti glamor tidak membuatkannya terbuai.
Pengalamannya berhadapan kamera memudahkan tugas hari itu dan selesai sahaja sesi penggambaran, kami bercerita sisi hidupnya sebagai anak seni. Jelas aktor pujaan ramai ini mempunyai impian besar, menunggu masa untuk digapai.
Tahniah! Pengikut Syafi q di Instagram sudah 1 juta. Itu bukti Syafi q benar-benar dikenali kerana tidak ramai artis di Malaysia yang mempunyai followers seramai itu. Apa yang membuatkan Instagram qkylez diikuti ramai?
Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka begitu ramai pengikut Instagram saya. Agaknya peminat suka dan mahu mengetahui pergerakan saya. Ada feedback mengatakan mereka suka membaca kapsyen. Sebenarnya Instagram lebih kepada kerjaya saya.
Saya menggunakan media sosial untuk mempromosikan drama dan filem lakonan saya, selain tujuan endorsement serta menarik perhatian klien. Setiap gambar dan kapsyen yang dimuat naik di media sosial saya dirancang dengan konsisten.
Akaun saya bukan milik saya secara peribadinya kerana ia diuruskan oleh pihak pengurusan. Jika saya tidak sempat post sebarang gambar, mereka
akan lakukannya tetapi atas persetujuan saya. Namun jika ada memberi respon pada komen peminat, ya... itu saya. Ada masanya rajin saya melayan.
Mengapa akaun tersebut dihadkan untuk hal kerjaya sahaja? Bukankah peminat mengharapkan artis kesayangan berkongsi gambar peribadi untuk tatapan mereka?
Saya enggan berkongsi kehidupan peribadi di laman sosial. Memang saya ada akaun lain yang lebih personal tetapi tidak aktif. Saya tidak suka mengambil gambar untuk
dimuat naik di Instagram, mungkin saya jenis individu yang tidak mahu orang mengetahui kehidupan harian saya.
Pada saya, ia seolah mendedahkan diri untuk dikecam dan saya tidak mahu merimaskan fikiran dengan perkara yang tidak sepatutnya.
Di Instagram, Syafiq dikenali sebagai Capik. Adakah itu nama panggilan ketika kecil?
Bukan nama panggilan sebaliknya nama tersebut dicipta oleh pihak pengurusan kerana kebanyakan pengikut saya ialah golongan remaja. Saya percaya setiap apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan itu terbaik kerana selama ini pun saya bergantung kepada mereka untuk mengatur perjalanan karier saya.
Jadi jika mereka berpendapat ia sesuatu yang baik, tidak ada salahnya untuk saya menurut.Ternyata percaturan tersebut tepat. Nama yang kedengarannya ‘sempoi’ itu disenangi para pengikut saya. Kebanyakan menggunakan nama Capik apabila memberi komen di Instagram.
Bagi yang tidak mengenali Syafiq Kyle, siapakah diri anda yang sebenarnya?
Saya seorang yang pendiam. Bagi yang tahu, mereka memahami saya tidak banyak bercakap tetapi sebaliknya buat mereka yang tidak mengenali Syafi q Kyle, mereka mengatakan saya sombong, muka ketat.
Saya seorang yang murah senyuman tetapi sebenarnya saya pemalu. Hanya tuntutan kerja membuatkan saya bercakap.Jadi saya berharap, seperti satu azam buat saya pada tahun ini agar mudah didekati, menjadi seorang yang lebih mesra dan senang berkawan.
Tercalon dan seterusnya memenangi anugerah Lelaki Dambaan InTrend. Apa perasaan Syafiq?
Ia penghargaan untuk saya daripada InTrend. Terima kasih untuk itu. Ia sebahagian daripada kenangan manis yang dikutip sepanjang perjalanan karier saya pada 2017.
Sebaik mengetahui saya tercalon, sudah memberi kegembiraan buat saya. Menang atau kalah, bawa pulang anugerah atau sebaliknya, saya tolak ke tepi kerana menang itu bukan intention saya.
Namun apabila diumumkan sebagai Lelaki Dambaan, I’m so happy. Tak percaya pun ya juga. Kemenangan ini membuatkan saya rasa usaha selama ini dihargai dan membuka peluang kepada saya untuk ke hadapan lagi.
Ada kalangan peminat industri hiburan tanah air meletakkan Syafi k sebagai Hero Malaya sebaris aktor yang pernah mencipta fenomena tersendiri. Pernahkah Syafiq terfikir bahawa sudah ke tahap itu diri Syafiq ditempatkan?
Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri mengenai hero pilihan mereka. Ia juga bergantung kepada peredaran masa. Bila ada yang beranggapan saya sebagai Hero Malaya, saya menerimanya. Cuma bagi diri saya sendiri, saya belum layak menyandang status tersebut.
Keterampilan dan kebolehan saya tidak lagi menonjolkan diri saya sebagai Hero Malaya, apatah tidak ada lagi hasil karya yang benarbenar mencabar karakter. Berikan saya masa, insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik.
Artis dan fesyen tidak dapat dipisahkan. Apa gaya pilihan Syafiq?
Saya memilih fesyen sukan dengan merujuk kepada gaya ahli sukan. Kasut pilihan sudah tentu sneakers dan jenama kegemaran saya ialah Adidas.
Jika saya perlu hadir ke acara, penata gaya banyak membantu cuma saya lebih selesa menggayakan pakaian sendiri. Seboleh-bolehnya saya tidak menggunakan khidmat pereka, bimbang saya kurang berkenan.
Difahamkan Syafiq berjinak-jinak dalam dunia bisnes. Apa yang mendorong Syafiq untuk mengeluarkan produk dengan jenama sendiri?
Kylez Lab adalah percubaan pertama saya berbisnes. Saya akui tidak pandai berbisnes tetapi syukur saya mempunyai grup yang membantu dan membimbing saya. Walau bagaimanapun saya cuba sehabis baik kerana ini adalah bisnes saya.
Saya sangat gementar dengan sambutan orang ramai, mengenai penerimaan dan pandangan mereka. Saya cuma berharap produk yang saya perkenalkan ini mendapat tempat di pasaran.
Adakah Syafiq mengusahakan bisnes ini kerana mahu merebut peluang sementara diminati ramai?
Saya patut mengambil kesempatan ini. Masa atau peluang tidak selalunya ada. Selagi ada kesempatan, saya berusaha sehabis baik atas anugerah populariti ini untuk berbisnes. Memang saya masih hijau tetapi saya yakin inilah masa yang terbaik.
Wangian dan suplemen kecantikan lazimnya menjadi produk pilihan para artis. Syafi q pula memilih sesuatu yang agak berbeza iaitu pupur muka. Mengapa?
Ramai pengikut saya terdiri daripada lelaki dan perempuan. Oleh itu saya mengeluarkan produk uniseks dan mudah digunakan. Pupur muka dengan tiga pilihan iaitu V-Shape Mask, Charcoal Mask dan Silk Mask.
Satu kotak mengandungi enam keping pupur muka dengan manfaat tersendiri. Insya- Allah, jika ada rezeki, ada produk lain yang menyusul.
Adakah ini bermakna Syafiq seorang yang mengambil berat penjagaan wajah?
Terus terang balik sahaja daripada penggambaran, saya cuma mencuci muka, mandi dan terus tidur. Jika terlalu penat, saya terus tidur. Saya kurang mengambil berat penjagaan wajah kerana kulit saya tidak bermasalah,tidak seperti zaman persekolahan dahulu yang mana wajah saya berjerawat dan berparut.
Namun apabila telah mengusahakan Kylez Lab, sedikit banyak membuatkan saya menitikberatkan penjagaan kulit. Sudah menjadi rutin setiap malam untuk membersihkan wajah, memakai mask dan menyapu krim malam.
Saya juga bersyukur kerana mendapat tajaan daripada MyClinic untuk melakukan rawatan wajah pada setiap bulan. Sebenarnya pengambilan makanan berkhasiat itu yang lebih penting. Jika elok dalaman, ia menyerlahkan kecantikan kulit. Saya pastikan mengambil makanan sihat dan minum cukup air.
Bagaimana pula Syafiq mengawal berat badan?
Sebagai anak seni, keterampilan diri amat penting. Apabila saya melihat diri sendiri di kaca TV, tatkala berat mencapai 80 kilogram, tidak begitu indah di pandangan mata. Jadi saya berusaha mengawal berat badan. Berat saya cepat naik, cepat juga turun. Alhamdulillah, berat saya sekarang cuma 65 kilogram.
Saya seorang yang kuat makan, lagi-lagi apabila ada makanan kegemaran iaitu daging. Masaklah apa sahaja, saya pasti makan. Tambah pula emak orang Kuala Pilah, bila emak masak daging salai cili api itu bila dimakan dengan nasi, memang bertambah.
Bila kuat makan, saya kena bersukan. Sama ada bermain bola atau ke gimnasium. Bermain bola memang rutin saya setiap hari, paling tidak pun selang sehari. Cuma ke gimnasium, saya pergi jika saya tidak begitu kepenatan bila habis penggambaran.
Syafi q mencipta nama selepas mendapat tempat kedua pertandingan Hero Remaja 2011/2012. Namun populariti Syafi q tidak menyerlah berbanding Fattah Amin selaku Hero Remaja mahupun Saharul Ridzwan pemenang tempat ketiga. Ada pula yang membanding-bandingkan kalian. Apa komen Syafiq mengenainya?
Saya akui perjalanan karier seni saya tidak semudah laluannya berbanding mereka namun tidak pernah sesekali untuk saya mengalah. Saya percaya itu adalah rezeki mereka untuk merasai nikmati populariti terlebih dahulu. Malah saya amat percaya bahawa rezeki setiap individu itu berbeza dan ia sudah diaturkan Allah.
Saya mengenali mereka. Fattah sangat gigih, begitu juga Saharul yang begitu berdedikasi sebagai seorang pelakon. Apa yang mereka peroleh, bergantung kepada usaha mereka sepanjang berada dalam industri. Saya sendiri banyak belajar daripada mereka dan kami saling berkongsi ilmu.
Walaupun dahulunya kami berdiri di atas satu pentas, kami membina hubungan dengan sangat profesional. Tidak sekelumit timbul rasa cemburu melihat mereka
dikenali lebih dahulu kerana saya amat percaya bahawa jalan cerita setiap orang itu berbeza.
Lagipun antara kami betiga, saya yang paling muda. Sewaktu pertandingan itu berlangsung, saya baru 20 tahun. Ketika itu saya sudah pun berlakon untuk siri Tanah Kubur tetapi saya menyertai pertandingan tersebut untuk mencabar diri dan membina nama dalam industri.
Bercerita mengenai karier sebagai pelakon, Syafiq bermula dengan watak kecil melalui Tanah Kubur dan kini nama Syafi q meniti di bibir penerbit. Apa perasaan Syafiq?
Ya, saya bermula dengan Tanah Kubur. Walaupun wataknya kecil, sedar atau tidak, 14 musim saya bersama Tanah Kubur. Perasaan saya biasa sahaja, tidak ada yang teruja biarpun kini memegang watak utama. Diberi kepercayaan sebagai watak utama sebenarnya bukan sesuatu yang menyeronokkan tetapi ia amat mencabar.
Apatah lagi pelakon di Malaysia sangat ramai dan untuk menonjolkan diri, saya harus tampil pelbagai dan berbeza untuk dilihat orang. Makanya setiap kali menerima tawaran sebagai pendukung utama, saya amat gementar.
Berlakon adalah pekerjaan saya dan saya bekerja setiap hari tanpa meletakkan diri di atas ataupun di bawah. Apa yang saya peroleh setimpal dengan apa yang saya lakukan. Saya perlu bersyukur dan bekerja lebih keras agar apa yang saya dapat sekarang konsisten.
Syafiq membuktikan bermula dari bawah juga boleh berjaya dan dikenali. Apa bezanya berbanding artis yang baru menyertai dunia seni tetapi diberikan watak utama?
Saya bermula dari bawah kerana itu rezeki saya. Saya perlu berusaha untuk sampai ke atas. Jika ada artis baru dan memegang watak utama serta terus dikenali, itu rezeki mereka.
2017 dianggap tahun terbaik buat Syafiq. Benarkah?
Sepanjang tahun lalu, saya terlampau sibuk dan kesibukan itu telah memberikan hasil. Saya rasa cukup bertuah dan bersyukur kerana jadual kerja saya semakin padat, tanda kehadiran saya diterima industri. Ini adalah berkat doa dan sokongan ibu bapa, keluarga dan saya amat berterima kasih kepada peminat.
Apakah watak yang diimpikan?
Watak yang menjadikan saya superhero atau menampilkan saya sebagai bukan manusia. Contoh seekor binatang, syaitan atau menjadi manusia jadian.
Bukan mudah untuk berada di tahap seperti mana Syafiq berada sekarang. Jadi bagaimana Syafiq mahu mengekalkan populariti yang semakin meningkat naik?
Saya tidak pernah merasakan diri ini popular. Namun apabila ke sana sini, ramai tersenyum, minta bergambar, saya akur inilah impaknya menjadi anak seni yang membuatkan ada yang mengenali saya apabila di luar.
Kehidupan tidak lagi seperti dahulu yang bebas tanpa diperhatikan. Privasi sedikit terhakis. Lantaran itu, ada kalanya risau apabila menjadi perhatian, takut apabila melakukan yang salah pada pandangan orang.
Menjadi popular, ia membawa cabaran yang bukan calang-calang kerana bukan mudah untuk mengekalkan populariti. Populariti datang dengan sendirinya, tanpa perlu dikejar. Jika kita mengutamakan kualiti kerja, ia akan seiring dengan populariti.
Dalam industri hari ini, untuk memastikan diri sentiasa releven, kita perlu selari dengan kemahuan peminat, begitu juga generasi hari ini. Paling utama, kekal menjaga kualiti dan sikap.
Kali pertama ke layar perak untuk filem Langsuir dan bergandingan pula dengan Hannah Delisha yang dikatakan kalian mempunyai hubungan rapat. Apa keseronokannya?
Kali pertama berlakon filem, keseronokkannya amat dirasai ketika penggambaran berlangsung. Saya berpeluang belajar cara pembikinan fi lem. Puas rasanya dapat menginterpretasikan dan menvisualkan kerja, mendalami sinematografi yang dipadankan lagi dengan lokasi yang cantik.
Hakikatnya filem sangat dekat dengan diri saya. Dahulunya saya belajar tetapi kini dapat merealisasikan impian. Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah yang sudi mengambil saya.
Drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer menjadi fenomena sehinggakan nama Syafiq meledak dan menjadi pujaan peminat wanita. Tatkala menerima tawaran drama tersebut, Syafiq menjangkakan ia akan meletup?
Saya tidak sama sekali menjangkakan drama tersebut menerima sambutan yang cukup menggalakkan. Ini adalah hasil sokongan audiens Malaysia yang telah menonton drama ini dan meminati karya seni tersebut.
Saya memberi penghargaan kepada semua tenaga kerja yang berusaha keras. Saya hanya berlakon dan melakukan sebaiknya.
Apakah perancangan Syafiq untuk 2018 ini?
Saya mahu menjadi seorang yang berpengalaman, berilmu dan memiliki identiti sebagai seorang pelakon. Saya berusaha mencari hala tuju kehadiran saya dalam bidang seni ini dan menambah pengetahuan bagi mempersediakan diri berhadapan dengan kehendak industri. Saya harus kuatkan mental, emosi dan fizikal.
Apa harapan Syafiq untuk perjalanan karier tahun ini?
Saya amat berharap dapat mengembangkan karier terutamanya dalam bidang perfileman. Saya memahami sambutan filem di negara ini tidak begitu rancak tetapi sebagai pelajar perfileman, saya mahu mempunyai filem sendiri. Saya ingin belajar mengarah dan berbisnes.
Bagaimana pula dengan prinsip hidup Syafiq?
Saya seorang yang fleksibel. Bagaimana seseorang itu melayan saya, begitu layan serupa yang akan saya berikan. Jika seseorang itu tidak melayan saya dengan baik, saya tetap melayannya dengan sebaiknya.
Saya juga tidak pernah terkesan dengan kata-kata orang, apatah lagi kecaman. Memang benar menjadi anak seni itu perlu bersedia untuk berhadapan dengan
kecaman kerana orang sekarang lebih terbuka.
Perkembangan terbaharu Syafiq?
Buat masa ini saya sibuk menjalani penggambaran mega drama bertajuk Tak Ada Cinta Sepertimu bersama Zahirah McWilson. Begitu juga di set penggambaran filem Gol & Gincu 2 digandingkan bersama Diana Danielle, Sharifah Amani, Aedy Ashraf dan ramai lagi.
Siapa idola Syafiq? Saya sukakan kerja pelakon Matthew McConaughey, Natalie Portman dan Leonardo Dicaprio sementara pelakon tempatan, saya menyanjungi Datuk Rahim Razali dan Ellie Suriati.
Apakah hobi Syafik?
Bermain Playstation. Jika berkesempatan, saya berehat dari dunia lakonan dengan melancong. Inilah cara saya meluang masa walaupun ia percutian pendek. Lazimnya destinasi pilihan saya sama ada dalam negara, Singapura dan Thailand bertemankan rakan ataupun sepupu. Jika tidak, berseorangan pun bukan masalah besar buat saya.
Aktiviti ketika melancong, sudah tentulah untuk merasai makanan tempatan, selain saya suka melihat orang. Mungkin pelik tetapi itulah cara saya merehatkan diri.
Februari sinonim sebagai bulan yang menyemarakkan cinta. Bagi Syafiq, apa definisi cinta? Seingat Syafiq, kali pertama bercinta?
Cinta? Pada saya, cukup sekadar cinta itu menyenangkan hati. Kali pertama bercinta, waktu bersekolah dahulu. Cinta monyet kata orang. Saya seorang yang tidak mudah bercinta.
Soal cinta, Syafi q selesa berkongsi dengan peminat?
Saya berkongsi apa yang perlu dikongsi. Kongsi banyak sangat pun tak baik untuk golongan artis. Perkara baik, ada kalanya dianggap buruk oleh sesetengahnya. Jadi saya melihat kewajaran sama ada patut berkongsi atau sebaliknya.
Dalam hal bercinta, bila sampai waktu yang sesuai, iaitu bila mana saya mahu berumahtangga, barulah saya akan berkongsi dengan peminat.
Kongsikan bersama pembaca apakah ciri-ciri wanita pilihan Syafiq?
Syafiq selesa menjadikan rakan artis atau wanita yang bukan latar belakangnya dalam bidang seni sebagai teman hidup? Saya tidak meletakkan ciri-ciri tertentu
untuk menjadi pasangan saya. Cukup si dia menyenangkan hati saya dan sedap mata memandang. Sama ada artis atau bukan, saya tidak kisah. Paling penting persefahaman antara kami.
Syafiq seorang jejaka romantik?
Andai dikatakan saya bukan orang romantik, rasanya saya seorang yang romantik. Cuma mungkin ia bergantung kepada situasi.