Feb 21, 2019 - 1847

“Saya Berhijab Bukan kerana Orang lain, Tetapi Saya Lakukan Demi ALLAH” — Ini Kisah Hidayah Eyra Hazali

Eyra Hazali luah hasrat hati dan keinginan mahu berubah setelah 365 hari kumpul kekuatan berdikit-dikit.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

Eyra 1

Kredit foto: IG Eyra Hazali 

 

 

 

Transisi Eyra benar-benar mengejutkan. Namun ia cukup menggembirakan hati semua. Ceritakan bagaimana dan bila momen bersejarah itu berlaku?

Sebenarnya niat Eyra mahu bertudung sudah lama terlintas dalam hati, kira-kira setahun lamanya. Tetapi Eyra sendiri tak yakin. Eyra asyik fikirkan, soal kerja. Bagaimana kalau Eyra tak dapat tawaran kerja lepas ni?

 

Adakah rezeki untuk Eyra bekerja lagi dan sebagainya. Daripada situ iman ini boleh dikatakan selalu berbolak-balik, ada turun naiknya. Tetapi dalam masa sama, Eyra asyik fikirkan mahu bertudung dan ia berlanjutan selama setahun.

 

Hinggalah tanggal 11 haribulan lalu, usai Subuh Eyra terdetik “Okey, apa kata Eyra pakai tudung pergi PC AME nanti” (Sidang Media Anugerah Meletop) lalu Eyra sarung sahaja.

 

Mama pula tertanya-tanya mengenai kepastian Eyra mahu bertudung sama ada benar-benar nekad atau sekadar cuba-cuba.

 

Pada Eyra soal ini akan mengubah segalanya lebih-lebih lagi penampilan imej Eyra sendiri dan kerjaya Eyra sebagai pelakon. Dan sejujurnya ketika itu Eyra masih punya komitmen kerja yang memerlukan Eyra tidak bertudung. Tetapi perkara itu Eyra ketepikan dahulu.

 

 Lantas dalam sehari sebelum menjelang Sidang Media itu, Eyra cuba. Boleh dikatakan hampir 90 peratus Eyra menutup aurat. Dan Mama bertanya lagi adakah Eyra akan bertudung untuk ke PC keesokan harinya kerana maklum mengenai kehadiran pihak media ketika majlis tersebut.

 

Hinggakan ia membuatkan ramai tertanya-tanya, “Eh Eyra… Eh, Eyra” dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.

 

Bagi Eyra tidak mudah untuk menguar-uarkannya di media sosial terlebih dahulu kerana Eyra mengambil keputusan ini demi memikirkan diri sendiri, keluarga dan juga kerana Allah.     

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Kali pertama berhijab, sukar atau tidak suai padan dengan pakaian sedia ada?

Sejujurnya sebelum berhijab lagi Eyra tidak gemar berpakaian yang terlalu menjolok mata. Dan ramai yang maklum mengenainya. Kalau memakai baju lengan pendek, Eyra akan sarung jaket.

 

Dan selebihnya Eyra akan memakai baju lengan Panjang. Dan pandangan skeptikal umum mengenai penampilan seseorang selepas berhijrah dan berhijab itu agak skeptikal.

 

Misalnya perlu berstoking, kalau lengan tidak cukup panjang hendaklah menyarung hand socks, tudung tidak boleh terlalu singkat, baju tidak boleh mengikut liuk tubuh itu dan ini.

 

Benar itu semua adalah apa yang dituntut tetapi bagi individu seperti Eyra yang baru sahaja bertudung, ia memerlukan masa dan proses itu sewajarnya dilalui secara berperingkat, perlahan-lahan.

 

Eyra mohon beri masa dan ruang untuk Eyra perbaiki satu persatu.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Mungkin terdapat segelintir selebriti yang pada awalnya berhijab tetapi lama-kelamaan imej itu semakin longgar. Daripada bertudung menutup dada tetapi semakin lama semakin singkat paras tudungnya dan baju pula semakin ketat dan sendat. Komen Eyra?

Apa yang Eyra cuba praktikkan adalah bertudung hingga ke paras dada. Pakaian pula sememangnya Eyra tidak suka menyarung baju yang ketat atau singkat hingga menampakkan bentuk tubuh kerana Eyra sendiri berasa malu.

 

Eyra kini dalam fasa menyesuaikan diri dengan imej baru. Dan insya-Allah Eyra akan cuba pastikan kekal dengan imej ini.

 

 

 

 

 

Definisi dan tafsiran bertudung itu sendiri bagi Eyra bagaimana? Adakah ia sekadar menutup kepala atau seseorang itu menyarungnya hanya kerana sudah ‘sampai seru’ atau punya makna yang tersirat di sebaliknya?

Bagi individu yang free hair seperti Eyra, ya bertudung itu terlalu besar maknanya. Kerana pada Eyra bukan mudah mengambil keputusan untuk menutup kepala, leher, melabuhkan tudung hingga paras dada – Ia mengambil masa selama setahun.

 

Apatah lagi Eyra perlu biasakan diri dengan cara yang betul menutup aurat, menjadikan solat sebagai satu kelaziman walaupun Eyra maklum ia adalah perkara wajib tetapi Eyra hanya memandang enteng sebelum ini.

 

Jadi, dalam tempoh setahun itu, Eyra cuba perbaiki kualiti dalam solat. Alhamdulillah selepas Eyra cuba, Eyra tidak lagi tinggalkan solat.

 

Kalau tertinggal sekalipun Eyra akan qada’. Hinggakan Allah bantu dengan menjentik satu perasaan.

 

Jika tidak solat, hati Eyra tidak tenang. Gelisah rasanya kalau tidak solat. Masya Allah, suatu perasaan yang tidak pernah Eyra lalui sebelum ini. Dan Alhamdulillah selepas itu Eyra cuba perbaiki cara menutup aurat pula.

 

Bertudung ini cukup besar pengertiannya kepada wanita muslimah. Dan menutup aurat itu melibatkan semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

 

Ya Eyra akui orang ramai mengharapkan Eyra menutup aurat dengan mengikut apa yang disyariatkan.

 

Tetapi Eyra lebih selesa untuk melengkapkannya, melalui semua proses itu perlahan-lahan, peringkat demi peringkat. Alhamdulillah kini Eyra benar-benar berasakan sejak bertudung, ia melindung maruah diri.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Selain terbitnya naluri itu usai Subuh, apa lagi peristiwa atau momen yang mungkin mengetuk pintu hati Eyra untuk berhijrah dan nekad berhijab?

Ayah tidak pernah memaksa Eyra bertudung malah dia lebih kenal anak-anaknya. Dan dia sendiri tahu bahawa Eyra belum bersedia untuk bertudung. Benar, tanggungjawab ayah menegur, menasihati anak-anak dan kalau anak-anak masih berdegil, dosa itu kita sebagai anak yang perlu tanggung.

 

Tetapi dalam masa sama Eyra terfikir, takkanlah pula mahu tunggu dan biarkan ayah suruh baru nak bertudung? Dari mana datangnya keikhlasan dalam diri kalau ditegur baru mahu berubah?

 

Dan perkara itu membuatkan Eyra terdetik dalam hati dan fikiran. Sementelah usia ayah semakin meningkat dan andai ditakdirkan ayah dijemput pergi terlebih dahulu, Eyra takut kalau tidak diberi kesempatan masa dalam tempoh itu untuk berubah.

 

Seperkara lagi, Eyra pernah terbaca (tidak ingat pula dari buku mana) mengenai kata-kata hikmah ini ‘Mengapa kita mahu ketepikan hidayah Allah sedangkan hidayah-Nya cukup mahal’. Umpamanya Eyra sudah dikurniakan hidayah tetapi buat tidak tahu, tidak mengambil berat tentangnya.

 

Dan dalam masa sama, Allah SWT masih terus memberi rezeki bahkan semakin melimpah ruah banyaknya. Itulah yang Eyra rasakan dalam tempoh setahun itu.

 

Dan sebenarnya Eyra dapat rasakan hidayah itu semakin lama semakin hampir apabila menjalani sesi penggambaran drama bersiri Mr Grey.

 

Sejak setahun yang lalu, Mummy sering ingatkan Eyra supaya solat. Apabila Mummy bertanya dah solat ke belum, pelbagai alasan Eyra beri, sengaja lengahkan masa dan lain-lain. Dan suatu hari ketika masih shooting, Eyra pakai tudung; terdetik di hati ‘Eh nampak macam cantik pula’.

 

Hinggalah salah seorang kru berkata kepada Eyra, sebenarnya kalau kita bertudung Allah akan memperlihatkan kecantikan itu lebih daripada sebelumnya kerana kita telah menutup aurat dan maruah yang sepatutnya.

 

Tetapi Eyra sekadar memperlekehkan dan tidak ambil pusing.  Lantas Eyra cuba perbaiki solat sedikit demi sedikit. Selepas lengkapkan solat, hati Eyra semakin tenang.

 

Kemudian Eyra cuba pula berzikir dan langkah seterusnya adalah cuba menutup aurat.

 

 

 

 

 

 

Perasaan selepas berhijab dan bagaimana rasanya menutup kepala ketika keluar rumah?

Ya Allah, Eyra sungguh terharu. Selepas diberi peluang melalui perasaan itu, barulah Eyra sedara bahawa hidayah Allah sememangnya mahal dan besar pengertiannya. Tidak semua yang merasainya dan benar-benar menghargainya.

 

Bayangkan, Allah SWT tanpa henti memberikan kita rezeki, memberi itu dan ini tetapi hakikatnya apa yang kita beri kepada Allah sebagai tanda kita mensyukurinya? Pada Eyra setiap daripada kita Allah beri hidayah cuma jalan ceritanya sahaja yang mungkin berbeza.

 

Eyra pernah keluar bersama keluarga. Ketika itu bulan Ramadan. Eyra berpuasa dan solat tetapi tidak bertudung dan entah kenapa tiba-tiba diselubungi perasaan seoalah-olah ada yang tidak kena.

 

Dan lama-kelamaan Eyra cuba perlahan-lahan pakai tudung. Malah sebenarnya apabila kita meletakkan urusan dengan Allah sebagai prioriti, berzikir, solat dan sebagainya hati kita akan lebih tenang. Dan itu yang Eyra rasakan.

 

Dan berdasarkan pengalaman Eyra minggu lalu, Eyra berzikir ketika berlari di atas treadmill. Dan masya-Allah, tidaklah terlalu penat, tercungap-cungap, lebih relaks saja.

 

Berbeza dengan pengalaman sebelum ini, sesiapa yang berada di gimnasium tahu Eyra akan penat, lemah badan, tiada tenaga, pening hingga berasa mual.

 

Benarlah kata orang, apabila kita mendekatkan diri kepada Allah urusan dan perjalanan hidup kita akan dipermudahkan.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Sebelum berhijab secara keseluruhan, Eyra pernah cuba-cuba pakai tudung ketika keluar rumah atau sekadar cuba menggayakan tudung di hadapan cermin di rumah, kongsikan?

Oh pernah! Ketika kawan mengajak keluar, Eyra fikir ‘Okey, mengapa tidak kalau Eyra cuba pakai tudung’ sebabnya kawan Eyra berhijab orangnya. Dan penerimaannya amat baik, malah Eyra sendiri berasakan tiada cacat celanya.

 

Setiap kali keluar dengannya, secara tidak langsung Eyra akan bertudung. Hanya selepas mengambil keputusan berhijab, Eyra teruskan sahaja niat itu.

 

Sebagai public figure dan perlu berhadapan dengan netizen, sejujurnya Eyra tidak yakin dan tidak berani mahu menguar-uarkan di media sosial mengenai niat untuk berhijrah dan berhijab.

 

Bukannya apa, Eyra takut tidak punya kekuatan mahu membidas mahupun mengeyakan apa-apa. Eyra lebih selesa membiarkan ia berlaku secara natural, tanpa ada gesaan, asakan atau suruhan sesiapa.        

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Penerimaan keluarga, tunang dan keluarga bakal mertua selepas berhijab, bagaimana?

Mulanya, ayah, mummy dan kakak Eyra bukanlah menghalang cuma mereka bimbang jika Eyra tidak bersedia untuk berhijab sepenuhnya. Tetapi Eyra tidak terlalu fikirkan sangat kerana lebih fokus dan lebih banyak fikir mengenai dosa pahala perihal itu dan ini.

 

Dan berbicara soal tunang pula, usai Subuh itu Eyra bertanya kepadanya sama ada okey atau tidak kalau Eyra bertudung. Mulanya dia terkejut dan bertanya mengapa mahu bertudung, apa niat di sebaliknya dan lain-lain.

 

Tetapi selepas Eyra jelaskan semuanya, sebenarnya keluarga dan tunang Eyra lebih gembira dan menyambut baik usaha juga niat Eyra. Dan dalam whats App keluarga, kecoh juga semua (hahaha) selepas Eyra maklumkan mahu berhijab.

 

Dan abang Eyra antara yang paling gembira dengan penghijrahan ini. Sejak awal lagi dia pernah berkata ‘Cubalah pakai tudung setiap Jumaat’. Tetapi saranannya sekadar angin lalu sahaja dan Eyra tidak pernah ambil pusing.

 

Kerana Eyra sering tegakkan pendirian bahawa Eyra belum bersedia dan dia tidak perlu memaksa Eyra berbuat demikian. Hingga Eyra whats App ahli keluarga mohon pertolongan mereka untuk padam dan buang foto Eyra yang tidak berhijab di media sosial, abang (Haziq) Eyra yang paling awal membalas dan whats App personal kepada Eyra.

 

Dia yang teruja, menawarkan pertolongan itu dan ini. Berbicara mengenai soal kerjaya pula, Mummy sering ingatkan bahawa rezeki tidak pernah salah alamat.

 

Walau apa jua yang berlaku kepada Eyra, andai itulah rezekinya pasti ia akan hadir.

 

 

 

 

Rezeki dan hikmah selepas berhijab?

Sangat besar dan Eyra sendiri berasa betapa besarnya kuasa Allah. Ketika sesi penggambaran, pengarah mulanya hairan mengapa Eyra tidak membuka tudung sedangkan sebelum ini Eyra sering berbuat demikian. Tetapi selepas dimaklumkan, dia tawarkan untuk melakukan semula penggambaran adegan sebelumnya (re-shoot).

 

Sejujurnya terdetik dalam hati Eyra jika kita melakukan sesuatu untuk Allah, pasti ada jalan atau Allah hadirkan insan-insan yang akan membantu memudahkan urusan atau kerja kita. Kerana Eyra sendiri telah melaluinya.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Siapa yang banyak memberi dorongan dan kekuatan sepanjang kemunculan imej Eyra yang baru?

Keluarga dan Allah yang pasti. Sebabnya sekarang, apa yang tertanam dalam fikiran adalah cari Allah. Eyra seboleh mungkin berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada individu.

 

Bukannya apa, hati kita sebagai manusia ini sentiasa berbolak-balik. Jadi kita perlu cari kekuatan sebagai solusi atau bentengkan diri. Dan untuk itu, Eyra cari masa untuk belajar semula, beli buku-buku, selidik itu dan ini.

 

Ayah juga salah seorang individu penting yang banyak beri dorongan dan kekuatan usai Eyra memilih untuk berhijrah. Ayah seorang yang sukar menunjukkan ekspresinya terhadap sesuatu tetapi ya, dia amat gembira.

 

Eyra keluar berdua dengan ayah sehari selepas berhijab. Dan dia sering ingatkan Eyra agar kekal berada di landasan yang betul, usah terikut-ikut dengan trend hingga tersasar daripada niat asal. Ayah pesan, “Apa-apa yang you buat, buat untuk Allah”.

 

Sebelum ini Eyra tidak pernah fikirkan tentang Allah langsung. Abang pernah whats App, ucapkan tahniah dan dia tumpang gembira apabila Eyra terpilih sebagai watak utama untuk slot Megadrama.

 

Ia bagaikan peluang besar untuk Eyra melangkah ke peringkat seterusnya. Tetapi pada Eyra, ia cuma tawaran kerja biasa. Dan selepas drama bersiri Mr Grey, Eyra mula terima tawaran, bagaikan melimpah ruah rezeki yang datang. Tetapi Eyra masih tidak ambil berat atau melihatnya daripada perspektif lain.

 

Tetapi yang terlintas adalah, ‘Oh ini adalah rezeki yang Allah beri untuk Eyra bantu keluarga’ itu sahaja kerana keluarga banyak bergantung kepada Eyra. Dari kaca mata orang lain, mereka hanya lihat keluarga Eyra senang.

 

Tetapi hakikatnya tidak. Hanya selepas beberapa ketika, barulah Eyra mulai sedar bahawa Allah memberi hidayah itu sedikit demi sedikit dan Dia menampakkan jalan buat Eyra untuk berubah dan berhijrah.

 

Dan Eyra tidak mampu menidakannya. Ya, selama ini Allah yang banyak tolong Eyra dan keluarga.       

 

 

 

 

 

Kita tahu ramai selebriti Malaysia berhijab secara ekspres, maka istiqamah untuk berhijab itu tidak lama. Bagaimana dengan pendirian Eyra untuk terus istiqamah atau sekadar mengikut trend?

Inilah pegangan Eyra kerana selama ini apa yang berlaku semuanya daripada Allah. Semua Allah yang beri. Selama 19 tahun Eyra hidup untuk sama-sama bantu keluarga, ini masanya untuk Eyra kembali fokus kepada-Nya.

 

Allah kurniakan rezeki kepada Eyra bukan dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Tetapi Allah hadirkan insan-insan lain seperti keluarga, kawan-kawan dan tunang. Mereka juga sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan.

 

Dengan adanya mereka, Eyra berasakan diri dilindungi dan terpelihara selain daripada malaikat dan Dia, Maha Pencipta.

 

Jika sebelum ini ketika sibuk ulang alik ke sekolah agama, Eyra antara yang pantas mengaji berbanding adik-adik. Tetapi selepas tinggalkan alam persekolahan semakin lama semakin lalai. Leka dibuai urusan duniawi.

 

Namun Allah masih terus memberi itu dan ini. Jadi untuk apa Eyra mahu berpaling? Apa yang perlu adalah bina kekuatan diri, sentiasa dekatkan diri dengan Allah, itulah yang lebih baik.    

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by miss Panda (@eyra.hazali) on

 

 

 

Harapan Eyra dan penggunaan media sosial untuk menarik lebih ramai remaja ke jalan Allah, komen?

Mungkin media sosial ini adalah platform daripada Allah untuk Eyra berkongsi dan menyampaikan mesej-mesej. Eyra tidak berasa layak untuk berdakwah tetapi lebih kepada perkongsian dan sama-sama berkongsi mesej ke arah kebaikan.

 

Eyra maklum, remaja hari ini semuanya berani belaka dalam pelbagai perkara. Justeru, mana yang Eyra lihat perlunya Eyra berkongsi pandangan, Eyra akan bantu. Dan untuk remaja yang berasakan menutup aurat atau menuju ke jalan Allah sesuatu yang berat atau payah, Eyra mahu mereka tahu bahawa Eyra selalu mendoakan mereka.

 

Dan Eyra harap Allah permudahkan perjalanan hidup mereka. Jika Allah berikan hidayah kepada mereka, dan mereka bisa memanfaatkannya ke jalan yang betul; maka bersyukurlah. Itulah nikmat dan hikmah yang besar pengertiannya daripada Allah.

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.