May 03, 2019 - 262

“SOLAT Pun Masih dalam Bahasa Inggeris,”— Michael Ang Akhirnya Mengaku Peluk Islam.

Setahun lebih berahsia, akhirnya Michael membuka mulut kepada InTrend. Teka-teki berakhir apabila dia kini mengaku, “Ya, saya sudah peluk Islam.” Ketahui isi hatinya sebagai mualaf, apa bezanya?

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

Intrend Mic 1

Kredit foto: Michael Ang

 

 

 

Alhamdulillah, syukur dengan berita gembira ini. Tahniah Michael! Tetapi mengapa memilih untuk merahsiakannya selama setahun setengah?

Alhamdulillah, terima kasih. Pada saya tiada apa-apa sebenarnya. Saya cuma tidak mahu ia dihebohkan lantas meraih perhatian semua.

 

Saya gusar jika dikecam dan saya boleh membayangkan apa kata netizen, komen-komen dan sebagainya andainya saya terus mengumumkan saya telah menganut agama Islam.

 

Hinggakan saya malas mahu melayan itu semua. Benar saya bukan selebriti tetapi tetap menjadi tumpuan ramai. Sebaliknya, saya fikir ia terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum.

 

Saya berpendapat ia antara urusan saya dengan Allah SWT. Biarlah perkara yang baik ini saya simpan sendiri.

 

 

 

 

 

 

Sementelah Michael sentiasa dikelilingi rakan-rakan artis berbangsa Melayu malah dalam masa sama banyak mengarah drama Melayu; apakah ia antara faktor pendorong yang secara tidak langsung menarik minat Michael untuk lebih mendekati agama Islam? Komen Michael?

Oh, tidak sama sekali. Bukan kerana sesiapa pun atau datang daripada bisikan sesiapa. Saya bukanlah seorang yang suka dengar cakap orang. Kerana kalau sesuatu perkara itu berlaku ke atas diri saya, saya sendiri akan nilai; saya sendiri akan mencari dan membuat keputusan.

 

Sebaliknya ia berlaku dan terdorong atas diri saya sendiri.

 

 

 

 

Apa pula perkara atau mungkin peristiwa yang benar-benar mengetuk pintu hati Michael untuk mendalami lantas jatuh cinta kepada agama Islam?

Ia bermula dari lubuk sanubari sejak saya berumur sekitar 14 hingga 15 tahun lagi, saya sudah mempunyai satu kepercayaan bahawa dalam dunia ini hanya ada satu Tuhan sahaja yang menciptakan semua ini untuk manusia.

 

Tetapi saya tidak tahu Tuhan yang mana satu. Malah dahulu, apabila saya mahu ‘berdoa’ saya bercakap sahaja, luahkan apa yang terbuku dalam hati.

 

Rentetan itu, saya sering tertanya-tanya mengenai isu agama. Jauh di sudut hati saya mengatakan bahawasanya hanya ada satu Tuhan sahaja di sebalik semua ini. Lantas, saya ambil inisiatif untuk belajar dan membaca buku-buku agama apabila membaca Al-Quran (terjemahannya) membuatkan saya tertanya-tanya.

 

Lantas saya tertarik dan teruja untuk tahu banyak perkara di dalamnya. Dan hanya selepas membaca Al-Quran saya dapat merasakan sesuatu. Mungkin hidayah adalah perkataan yang tepat untuk menggambarkannya.

 

Saya mendapat petunjuk melalui satu mimpi. Dan apa yang saya boleh katakan, itulah yang ditunggu-tunggu selama ini. Bahawasanya saya memang mengimpikannya, betapa saya benar-benar mahu memilikinya selepas bertahun-tahun lamanya.

 

Dan menerusi mimpi itu jugalah lebih menguatkan naluri saya untuk mendalami dan memeluk Islam.

 

 

 

intrend mic 2

Kredit foto: Michael Ang

 

 

 

Kalau Michael boleh perincikan apa yang terkandung dalam mimpi yang disifatkan cukup istimewa itu?

Saya bermimpi tiba-tiba ada seseorang lelaki Arab berpakaian seperti jubah dari kain guni memanggil nama saya lalu menarik tangan dan membawa ke suatu tempat. Dalam mimpi itu, ‘dia’ membawa saya ke suatu khemah biasa tetapi apabila saya masuk ke dalam, saya dapat lihat adanya cahaya putih bersinar di dalamnya.

 

Di dalam tempat itu ada empat tiang berdiri teguh dan ada teko berwarna emas bergantungan di atasnya. Dalam masa sama, di dalamnya mengalir air berbau wangian mawar. Saya seolah-olah dapat hidu bauan itu dan berasa tenang ketika berada di dalamnya.

 

Apabila saya melihat keadaan sekeliling, ada jubin putih dan ditengah-tengahnya ada tulisan seakan tulisan bahasa Arab.   

 

Selepas terjaga, tidak pula saya melakukan apa-apa. Tetapi saya dapat merasai sesuatu lantas teringat semula apa yang saya mimpi. Kerana dalam mimpi saya itu, saya dapat lihat ada kain berwarna hitam yang menutupi tempat bercahaya itu.

 

Mungkin itulah antara hidayah atau petunjuk daripada Allah SWT. Hinggalah selepas itu saya google dan tonton YouTube untuk melihat dan mengetahui apa itu kaabah, apa didalamnya.

 

Dan mungkin satu kebetulan, hampir 90 peratus sama dengan apa yang terkandung dalam mimpi saya. Cuma teko yang bergantungan itu dalam mimpi saya ia adalah gantungan emas.

 

Selepas itu, naluri untuk mencari dan mendalami agama ini lebih kuat dan barulah saya sedari bahawa inilah yang saya cari selama ini.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Michael Ang (@michaelang38) on

 

 

 

Selepas memperoleh petunjuk melalui mimpi itu, apakah Michael berjumpa dengan ustaz atau mereka yang lebih arif dalam perihal agama?

Saya berjumpa dengan seorang rakan yang boleh dikatakan warak juga untuk berkongsi pandangan. Katanya itulah hidayah dari Allah. Tetapi saya menidakkannya. Kata saya, “Tak kot!” Mana mungkin saya layak mendapat hidayah daripada Tuhan.Kerana saya tidak terlalu mengambil serius dengan mimpi itu.

 

Pada saya ia hanyalah mainan tidur sahaja. Namun, ada sesuatu yang membuatkan hati saya terbuka untuk terus mengenali agama Islam. 

 

Selepas itu, saya putuskan untuk memeluk agama Islam tanpa menghebahkannya kepada umum.

 

Sedikit demi sedikit saya belajar solat dan apa yang saya belajar, solat lima waktu itu dapat mengingatkan diri saya setelah melakukan pelbagai dosa dan kesalahan.

 

 

intrend mic 4

Kredit foto: Michael Ang

 

 

 

 

Antara puasa, menunaikan solat lima waktu sehari semalam dan membaca Al-Quran; mana satu amalan yang mungkin membuatkan Michael teruja untuk lebih mengetahui selanjutnya tetapi dalam masa sama memberi cabaran kepada diri sendiri, kongsikan?

Mengaji kerana sejujurnya saya akui hingga hari ini masih belum boleh membaca tulisan jawi atau menyebut dengan betul dalam bahasa Arab. Seakan bergulung lidah saya mahu menyebut dan membaca kalimah dalam Bahasa Arab.

 

Sedangkan bertutur dalam Bahasa Melayu pun saya pelat, apatah lagi dalam Bahasa Arab. Malah saya akui, saya solat dalam Bahasa Inggeris. Pada saya mungkin tiada salahnya untuk menunaikan solat dalam Bahasa Inggeris asalkan saya mampu memahami apa inti patinya bukan?

 

Ya, walaupun sudah setahun lebih tetapi masih terlalu banyak yang belum saya pelajari dan kuasai. Ia memerlukan masa untuk saya perbaiki dan pertingkatkan amalan saya.

 

 

 

 

Ada sebarang kelas mengaji atau berguru dengan sesiapa yang Michael lakukan selepas memeluk Islam?

Saya mempunyai seorang ustaz yang membantu saya mengajar banyak perkara dalam agama Islam. Tetapi dek kerana kengkangan masa, memandangkan saya sibuk dengan shooting, maka waktu itu agak terhad. Tetapi saya sentiasa cuba istiqamah dengan apa yang lakukan hingga kini. 

 

Misalnya bacaan surah yang ringkas seperti Al-Fatihah, saya sudah boleh kuasai dengan baik, doa makan dan saya ambil kira juga mana yang penting untuk dikuasai.

 

 

 

 

Mungkin boleh Michael kongsikan, bagaimana dan apa yang dirasai tatkala melafazkan dua kalimah syahadah?

Saya gembira, bersyukur, lega kerana akhirnya ada nama untuk Tuhan saya – iaitu Allah SWT. DIA lah satu-satunya yang berkuasa.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Michael Ang (@michaelang38) on

 

 

 

Penerimaan keluarga pula bagaimana?

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang amat memahami dan sentiasa menyokong keputusan saya. Mereka okey sahaja. Malah abang saya juga percaya bahawa Islam is the right one.

 

Pakcik saya juga adalah seorang mualaf. Boleh dikatakan, keluarga saya bagaikan masyarakat majmuk. Ada yang berkahwin dengan India, ada yang berkahwin dengan penganut Kristian dan banyak lagi.

 

Malah ia tidak menjadi penghalang dan mereka menghormati agama Islam. Ketika menyambut perayaan Tahun Baru Cina kami sekeluarga berkumpul seperti biasa. Begitu juga jika ada yang sakit, kami semua balik untuk melawat. Alhamdulillah semua baik-baik sahaja.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Michael Ang (@michaelang38) on

 

 

 

Jika boleh dikongsi, apa ayat atau surah dalam Al-Quran yang mungkin menyentuh hati lantas membuatkan Michael berasa dekat dengan Allah?

Sejujurnya masih banyak lagi yang belum sempat saya baca. Tetapi sepanjang setahun lebih ini, melalui tafsiran saya dan apa yang dibaca; saya lihat agama Islam banyak mengajar saya mengenai toleransi, bagaimana adab dengan orang tua dan semuanya berkisarkan nasihat, panduan yang menyuruh kita berbuat baik sesama manusia.

 

Bahawa sesungguhnya hanya ada Allah tempat kita bergantung, DIA lah yang layak disembah.

 

Seperkara lagi yang saya pelajari, dalam Islam juga mengajar kita untuk tidak menghukum orang lain. Kita tidak punya kuasa untuk menilai atau meletakkan justifikasi, lantas menjatuhkan hukum ke atas seseorang.

 

Itu semua urusan Allah SWT yang menilainya. Kita tiada hak untuk menghukum tetapi cuma berhak menegur sahaja. Itupun ada garis panduan dan cara untuk kita menegur.

 

 

 

 

Siapa rakan artis yang menjadi ‘penyimpan rahsia’ selama setahun lebih Michael memeluk Islam?

Sharifah Shahora dan Neelofa.

 

 

 

Kali pertama menunaikan solat, bagaimana perasaan atau apa yang Michael rasai?

Saya solat di rumah. Dan saya lebih tenang, rasa lebih relaks. Selepas solat saya berdoa untuk kebaikan keluarga saya, ibu bapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Apa yang saya niatkan dalam hati adalah untuk kebaikan semua orang yang berada di samping saya.

 

 

 

Jika boleh dikongsikan, momen ketika melafazkan dua kalimah syahadah; bagaimana perasaan Michael ketika itu?

Saya lebih tenang, lega dan yakin bahawa inilah yang saya tercari-cari selama ini. Bahawasanya hanya satu sahaja nama Tuhan saya, iaitu Allah SWT.

 

 

 

intrend mic 5

Kredit foto: Michael Ang

 

 

 

Bagaimana pula dengan amalan berpuasa, apa yang mencabar mengenai perintah agama ini?

Cuma saya tidak boleh merokok sahaja. Selebihnya bagi saya it’s not a big deal bagi menahan diri daripada tidak makan dan minum. Bukanlah mahu mendabik dada tetapi saya bersyukur kerana masih berupaya melakukannya.

 

Dan ya, sepanjang Ramadan tahun lalu saya hanya tinggal puasa lima ke enam hari sahaja.

 

 

 

Mengapa Michael memilih untuk mengekalkan nama sendiri?

Saya menghormati ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan saya. Kerana pokok pangkalnya saya dilahirkan sebagai orang Cina dan bukannya Islam. Maka saya fikir tidak perlu terlalu drastik untuk menukar nama.

 

Pada saya, ia sekadar nama sahaja dan tidak mengubah apa-apa. Hanya kefahaman dan anutan agama kini yang telah mengubah diri saya.

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan cabaran setelah setahun lebih memeluk Islam?

Saya tidak boleh berdoa di hadapan khalayak. Misalnya jika mahu makan, saya meletakkan tangan dibawah meja untuk membaca doa. Jika ada yang memberi salam kadang-kala saya terlepas cakap dan menjawab salam.

 

Malah ada yang berkata, “Eh you mana boleh jawab salam?” tetapi saya hanya mampu tersenyum. Saya hanya menunaikan solat di rumah dan tidak ke masjid kerana bimbang orang akan hairan.

 

Mungkin itulah yang menjadi halangan kerana saya memilih untuk tidak memberitahu kepada umum bahawa selama ini saya sudah memeluk Islam.

 

 

 

intrend mic 6

Kredit foto: Michael Ang

 

 

 

Pernah memasang impian mahu ke tanah suci Mekah suatu hari nanti?

Semestinya ya! Cuma saya masih belum bersedia kerana saya sifatkan banyak lagi amalan yang perlu saya perbetulkan terlebih dahulu. Dan jika ke sana, saya tidak akan menghebahkan kepada sesiapa.

 

Biarlah saya senyap-senyap ke sana, melakukan amal ibadat untuk bertemu Allah. Saya tidak suka canang cerita mengenai amal ibadat kerana pada saya ia cukup peribadi.

 

 

 

 

Harapan Michael selepas ini, bagaimana untuk kekal istiqamah sebagai seorang mualaf?

Saya dengan rendah diri memohon doa daripada kalian semua. Doa yang baik-baik untuk saya dan saya juga mendoakan kebaikan yang sama untuk anda. Benar saya akui tidak mudah bergelar mualaf.

 

Tetapi inilah tekad dan saya tidak pernah sama sekali menyesal memilih jalan ini. Inilah yang saya cari-cari selama ini dan insya-Allah saya akan terus berpegang dengan agama ini hingga saya menghembuskan nafas terakhir.

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.