Jan 20, 2017 - 5109

Dato’ Nurulhidayah Kembali Bangkit Selepas Suaminya Kembali ke Rahmatullah

Kenali Dato’ Nurulhidayah Dato' Seri Ahmad Zahid bukan seorang VVIP tetapi seorang wanita biasa yang gemarkan fesyen.

 

 

Oleh: Nurul Huda Hussain

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

Pada tahun lepas, suami kepada Dato’ Nurulhidayah iaitu Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi meninggal dunia. Beliau difahamkan tidak sedarkan diri ketika menjalani pembedahan gigi di sebuah klinik pergigian di Bangsar. Pemergiaan suaminya membuat Dato’ Nurulhidayah menjadi seorang wanita yang cekal demi tiga anak mereka. 

 

Kini dia bangkit dengan semangat yang tinggi demi kerjaya serta keluarga. Ikuti temu bual eksklusif Dato’ Nurulhidayah berkongsi cerita tentang minatnya dalam bidang fesyen serta citarasanya mengenai fesyen. 

 

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

Bagaimana membahagikan masa antara ketiga- tiga bidang yang diceburi?

Terpulang kepada tanggungjawab dan kebijaksanaan menguruskan masa. Saya meminati ketiga-tiga bidang yang saya ceburi kini. Sepanjang hari bekerja saya akan fokus pada tugasan di pejabat dan hujung minggu pula jika ada masa terluang saya akan turun menjalani latihan askar Wataniah. Manakala bisnes pula saya tumpukan selepas waktu pejabat.

 

Saya akui penat dan agak terkejar-kejar namun semuanya dilakukan demi kesungguhan dan minat. Biarpun sudah berkeluarga, namun komitmen terhadap ketiga-tiga cabang kerjaya ini tetap saya tumpukan. Dan jika boleh saya kongsikan, ada kaitannya antara ketiga-tiga bidang ini dalam memastikan kelangsungan hidup saya.

 

Dalam askar Wataniah misalnya, ia mengajar mengenai disipilin dan jati diri. Memenuhi tuntutan tugas di pejabat memerlukan disipilin dan ketekunan. Malah saya melihat kedua-dua bidang ini mengajar mengenai erti survival selain mencabar mental dan emosi. Bidang perniagaan pula mendidik saya agar bijak merancang dan mempunyai pelan susulan bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik. 

 

 

Siapa yang banyak memberi pengaruh fesyen pada diri anda?

Tiada individu spesifik. Fashion sense yang saya ada hari ini adalah cetusan inspirasi saya sendiri. Saya selesa dengan acuan yang saya bentuk. Selesa dan praktikal, itu yang saya fokuskan dalam penampilan, baik gaya harian ataupun di pejabat. 

 

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

Maka, harga bukan ukuran untuk anda bergaya, begitu?

Ya, sudah semestinya. Bagi saya tidak perlu terlalu mahal untuk membeli apa jua baik pakaian, beg tangan atau kasut dan sebagainya. Praktikal dan ikut kemampuan, itu yang saya amalkan.

 

Selagi ia selesa dan praktikal dipakai, saya gayakan sahaja. Saya orang yang ringkas dalam berfesyen. Tiada istilah over the top atau terlebih belanja dan sebagainya. 

 

 

Signature gaya anda? 

Ringkas. Saya sukakan putih dan hitam kerana ia mudah disuai padan dengan apa jua padanan warna. Saya agak play safe kerana lebih selesa dengan sesuatu yang plain. Tetapi saya akan adunkan dengan aksesori untuk memperlihatkan elemen corak.

 

Untuk gaya kasual, saya selesa dengan kemeja, baju-T dan jeans. Saya juga tidak menggemari sesuatu yang terlalu menyerlah atau warna-warna terang. That’s not me! 

 

 

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

 

Persediaan yang lazim dilakukan sebelum menyarungkan apa jua busana?

Selain mengikut tema, saya juga memilih material atau fabrik yang sesuai. Dan sudah semestinya dengan iklim cuaca Malaysia, fabrik kapas adalah pilihan paling sesuai lagi selamat... hahaha.

 

Selain itu saya juga selesa jika menyarung baju kurung daripada material sifon untuk menghadiri majlis perkahwinan misalnya. Selain selesa, teksturnya yang ringan menyerlahkan penampilan lebih sofistikated. 

 

 

Laman sosial dan internet, sejauh mana ia membantu agar anda kekal up-to-date dengan perkembangan fesyen?

Sudah semestinya banyak membantu terutama bagi wanita on-the-go seperti saya. Dalam berfesyen misalnya, apabila kita melihat seseorang tampil bergaya tidak semestinya ia secocok dengan stail kita. Apa yang penting, jangan jadi mangsa fesyen. Tambahan pula adanya aplikasi pada telefon pintar, pasti kita tidak akan ketinggalan. 

 

 

 

 

 

Falsafah anda dalam berfesyen? 

Stay classy and evergreen. Saya lebih suka baju kurung berbanding sesuatu yang diolah dengan drastik. Saya suka kekalkan tradisi kerana bagi saya fesyen berubah tetapi stail yang akan kekal. Saya tidak peduli apa yang orang cakap mengenai penampilan saya. 

 

 

Bagaimana pula dengan anak-anak, anda tentukan fesyen mereka?

Sudah semestinya. Tetapi saya tidak pernah manjakan anak-anak dengan membeli pakaian berjenama atau yang mahal-mahal. Saya bukanlah dilahirkan sebagai anak raja yang kaya-raya sehingga punya harta menggunung untuk diwarisi atau dibelanjakan.

 

Jenama seperti ZARA Kids dan H&M Kids adalah antara yang kerap saya belikan untuk mereka. Jika ada yang mahal sekalipun misalnya Burberry dan lain-lain hanya akan saya belikan buat mereka untuk acara-acara rasmi atau majlis tertentu sahaja. 

 

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

 

Jenama yang mendominasi isi almari anda? 

ZARA dan MNG kerana ia praktikal, selesa dan harga yang berpatutan. 

 

Ikon fesyen yang dikagumi? 

Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah kerana baginda seorang yang elegan di kaca mata saya. 

 

Pereka fesyen yang digemari? 

Jovian Mandagie kerana dia kreatif dan dinamik dalam menampilkan sesuatu rekaan. 

 

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

Cara anda menjaga penampilan agar memberi contoh yang baik kepada anak-anak?

Saya sering ke gimnasium bagi mengekalkan stamina kerana karier saya memerlukan saya bergerak ke sana sini. Senaman dan aktviti kecergasan juga menjamin kesihatan saya berada pada tahap yang optimum.

 

Anak-anak semakin membesar, dua orang anak lelaki berumur 12 dan tujuh tahun manakala yang bongsu, perempuan enam tahun. Rata-rata saya menerapkan disiplin dan dalam konteks berpakaian, kebersihan dan kekemasan sering dititikberatkan. 

 

 

 

Bergaya itu tidak semestinya menyarungkan yang berjenama dan mahal semata-mata, komen anda?

Setuju kerana bagi saya yang bekerja setiap hari, bukan jenama yang menjadi ukuran. Apa yang lebih penting bagi saya, biarlah orang melihat hasil kerja kita dan bukannya harga atau jenama di belakang baju kita.

 

Bagi saya, personaliti, tingkah laku dan keyakinan dalam diri yang mencerminkan 'pakaian' sebenar anda. Ia adalah terjemahan kepada identiti anda. 

 

 

Kredit foto: Instagram @nurulzahid

 

 

Jika fesyen punya tanda aras atau mempunyai ukuran tertentu, apakah nilainya bagi anda? 

Fesyen itu secara fizikalnya bagi saya sesuatu yang mahal namun lebih mahal lagi 'harga' pemakainya. Seseorang itu nampak lebih mahal dan eksklusif kerana personaliti, buah pemikiran, pembawaan diri dan lontaran idea yang dikongsikan. Bagi saya itu jauh lebih mahal daripada sehelai pakaian yang sedia mahal harganya. 

 

 

Pernah terbit rasa cemburu melihat rekaan pereka fesyen kita?

Tidak kerana saya percaya dan yakin setiap daripada kita berbeza cita rasa dan keinginannya. Malah masing-masing mempunyai kelainan dalam menterjemahkan kreativiti yang ada. Justeru dengan adanya pelbagai rekaan memberi kelebihan dalam kuasa memilih. 

 

 

Pandangan anda mengenai cara orang kita berpakaian, bagaimana?

Saya sentiasa menghormati orang lain bukan bersandarkan cara pemakaiannya. Saya menghormati mereka kerana personaliti dan tingkah-laku yang ditonjolkan. Apa yang mahu mereka pakai, itu terpulang kepada hak masing-masing. Selagi mereka selesa dan senang menyarungapajua,itutidakmendatangkan isu bagi saya. 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.