Jul 06, 2018 - 6332

“Ya, Saya Ibu yang Garang dan Shidi Pula Lebih Cool” — Ini Cara VANIDAH IMRAN Mendidik Anak-anaknya

Siapa yang tidak merindui wajah nan satu ini di layar perak mahupun skrin televisyen? Pasti semua ternanti- nanti kemunculannya membawakan apa jua watak. Isteri mithali, ibu penyayang dan berilah peranan apa sekalipun pasti disudahkan sesempurna mungkin.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

MELIHAT raut wajahnya cukup ayu dan tersirat kelembutan. Tetapi apabila berbicara mengenai isu Hari Ibu dan kala InTrend mengupas bagaimana cara didikannya membesarkan Mikail Aimran dan Maryam Rashika, dia tegas dalam pendirian ini. “Ya, saya ibu yang garang.”

 

Masih terngiang-ngiang di telinga kala melakukan sesi temu bual di telefon bersama selebriti terkenal, Vanidah Imran kala ditanya mengenai didikan terhadap anak-anaknya. Mementingkan disiplin dan kala usia anak-anak masih kecil; Vanidah yang menggelarkan dirinya sebagai ibu masih menerapkan konsep amalan ibu-ibu zaman dahulu dalam soal mendisiplinkan anak-anak.

 

Baginya memanjakan anak dan berkongsi limpahan kasih sayang harus ada garis sempadan. malah mengakui membesarkan anak-anak pada zaman milennial ini bukan calang-calang sukarnya.

 

Semuanya perlu diselarikan dengan pendekatan yang bisa mengetuk pintu hati dan membuka minda serta jiwa anak-anak yang bakal melangkah ke peringkat dewasa. Ikuti apa kata Vanidah mengenai paparan tema sempena meraikan Hari Ibu edisi ini

 

 

 

 

 

 

 

 

Vanidah Imran:

Perasaan kali pertama bergelar ibu kira-kira 17 tahun lalu, boleh imbas semula momen itu bersama InTrend?

Sudah tentulah gembira dan teruja. Ibu, makcik-makcik dan rakan-rakan terdekat sudah bercerita, memberi nasihat dan panduan ketika itu tentang jangkaan dan segala kemungkinan yang bakal saya lalui.

 

Malah daripada segi pemikiran, saya sudah bersedia bergelar ibu. Pendek katanya, saya punya sistem sokongan yang kuat ketika itu.

 

Dalam kalangan rakan-rakan pula, ada yang sudi dan sedia membantu jika saya menelefon mereka memerlukan bantuan atau apa jua.

 

 

 

 

Bagaimana pula berhadapan dengan cabaran membesarkan anak lelaki dan perempuan, ada bezanya mungkin?

Saya tidak pasti bagaimana pendekatan ibu-ibu lain. Tetapi berdasarkan pengalaman saya mempunyai anak lelaki dan perempuan, mendidik anak lelaki dan perempuan banyak bezanya.

 

Mungkin tidak sama sepenuhnya, tetapi berdasarkan pemerhatian saya rata-ratanya hampir sama sahaja. Anak lelaki lebih playfull, sukar memberi tumpuan dan ambil mudah. Manakala anak perempuan lebih fokus dan matang.

 

Anak lelaki matang juga tetapi lewat sedikit. Seperti anak perempuan saya (Maryam Rashika) jika punya waktu lapang, dia akan membaca buku dan suka membaca.

 

Berbeza dengan anak lelaki saya (Mikail Aimran), masa lapangnya diisi dengan hmmm... bermain game, YouTube.

 

 

 

 

 

 

 

Setuju atau tidak jika dikatakan tiada acuan khusus yang boleh diikut untuk mendidik anak kerana lain orang lain caranya bukan? Boleh ulas dengan lebih lanjut mengenai situasi ini?

Ya, betul. Kita boleh mendengar dan mengambil sesuatu sebagai input. Saya membesarkan anak-anak seperti mana cara saya dibesarkan oleh ibu bapa saya dahulu. Ya, saya ikut cara orang lama.

 

Tetapi saya sulamkan dengan pendekatan yang moden untuk disesuaikan dengan peredaran zaman. Apatah lagi dengan dunia media sosial hari ini, ilmu pengetahuan mereka lebih ke hadapan.

 

Bukan seperti zaman kita atau zaman ibu bapa kita dahulu. Jika dahulu tidak bermakna tidak. Tetapi kini, tidak bermakna mengapa? Mereka mahukan penjelasan dan sebagai ibu kita perlu bersedia untuk menjawab.

 

Justeru saya mengambil pendekatan secara pertengahan. Lazimi dengan bercerita dan memberikan contoh supaya mereka lebih faham. Namun ketegasannya masih ada.

 

 

 

 

 

Jika tidak keberatan boleh huraikan dengan lebih terperinci bagaimana cara Vanidah mendidik anak ketika usia kecil mereka?

Jika mereka buat perangai di rumah orang misalnya, jika terlompat-lompat, terkinja-kinja siap sedialah. Jari-jemari saya laju sahaja singgah di paha. Tidak kurang juga saya berdecit, mereka akan memandang semula ke arah saya lalu saya jegilkan mata, mereka akan duduk diam.

 

Oh, saya tak bolehlah kalau anak-anak tak duduk diam di rumah orang, guling-guling atas lantai di kompleks membeli-belah. Anak Vanidah Imran buat perangai macam tu? Nak tengok maknya naik hantu?

 

Hahaha... Kala mereka tantrum di shopping mall misalnya, saya akan angkat dan laju sahaja saya akan mencubit paha mereka. Dan sambil mencubit, saya akan ketapkan gigi seraya berkata, “Nak ibu cubit lagi ke?” Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

 

Semua perlu dilakukan ketika mereka masih kecil lagi. Biarpun perkara-perkara biasa seperti menghulurkan tangan dan bersalaman dengan orang, tunduk jika berjalan di hadapan orang itu saya tetap titikberatkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Antara Vanidah dan suami, siapa lebih tegas dan dominan dalam mendidik anak-anak?

Rata- rata ibu bersifat pendidik. Tetapi ayah lebih kepada perkara yang ekstrim atau yang lebih serius. Misalnya saya sering ingatkan anak-anak, “Jangan sampai ibu beritahu abah okey!” Shidi lebih cool dan saya akan meminta bantuan jika tidak mampu menangani sesuatu isu, contohnya, “Yang, tolong Yang. Tak nak dengar cakap budak-budak ni.” Dan di situ abahnya pula akan ambil alih.

 

 

 

 

Bagaimana pula pendekatan yang digunakan apabila anak meniti usia remaja, apa peranan Vanidah terhadap mereka?

Saya banyak bercakap dengan mereka. Masih marah tetapi tidaklah terlalu ketara berbanding ketika mereka masih kecil dahulu. Tidaklah menjerit-jerit, lebih kepada menasihati mereka.

 

Misalnya, “Ibu dah tak larat nak marah-marah, membebel. Tak menyampah ke dengar ibu membebel? Ibu sendiri rasa menyampah dengar suara ibu sendiri,” dengan nada suara seperti merayu.

 

Secara tidak langsung pendekatannya kini lebih secara halus tetapi berbekas dan biarlah terkesan dalam ingatan mereka. 

 

 

 

 

 

 

 

Cabaran mendidik dan membesarkan anak-anak dalam dunia hari ini?

Sejujurnya tidak mudah malah saya akur dan mengakui anak-anak saya tahu lebih banyak berbanding saya. Ada kalanya mereka lebih cenderung untuk mempercayai apa yang mereka baca dan lihat di media sosial.

 

Dan tugas saya adalah untuk sentiasa bersedia dan memberitahu mereka bahawa apa yang mereka baca di laman sosial itu tidak semuanya betul. Insta famous umpamanya, itu mungkin sekadar rekaan semata-mata yang dipaparkan untuk meraih kepercayaan orang ramai.

 

Seperkara lagi saya sering mengingatkan mereka bahawa budaya mat saleh dengan budaya kita jauh berbeza. Malah tidak semua perkara yang mereka lakukan itu nampak cool. Dan dalam kalangan mereka juga, tidak semua yang dilihat berpendirian moden, ada juga masih percaya dan berfikiran konservatif.

 

Dan pada peringkat usia ini, saya sebagai ibu sering mengingatkan mereka bahawa kita punya agama dan budaya yang harus dipegang dan dihormati.

 

Daripada aspek pemakaian misalnya, saya sering tekankan kepada anak-anak agar lebih peka. Tidak boleh sesuka hati sarung apa sahaja yang mereka suka. Jika mahu ke majlis perkahwinan misalnya, ikuti dan hormati tema pakaian yang ditetapkan.

 

Setiap cara pemakaian itu hendaklah sesuai dan menepati kehendak sesuatu majlis atau acara dan bukannya mengikut pemilihan individu atau dalam bahasa kasarnya ‘ikut suka hati’. Pada saya, jika anda mengikuti sesuatu tema secara tidak langsung ia menggambarkan anda menghormati dan peka dengan apa yang digariskan.

 

Dan dalam masa sama, orang lain akan menghormati anda. Mungkin ia tampak mudah dan ringkas tetapi itulah persepsi yang akan memberi tanggapan sama ada anda layak dihormati atau sebaliknya.

 

 

 

 

 

 

 

Walaupun tidak semua, tetapi kebanyakan lelaki zaman kini seolah-olah sudah ketandusan lelaki sejati. Yang bertanggungjawab, hormat kepada wanita dan sebagainya. Komen Vanidah dalam isu ini?

Didikan itu bermula dari rumah dan saya tidak berani untuk mengulas lebih terperinci kerana saya tahu masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri. Tetapi bagi saya, apa yang saya praktikkan adalah sekurang-kurangnya anak-anak saya tahu bagaimana untuk memasak, waima menu yang ringkas.

 

Terutamanya lelaki, sekurang-kurangnya kalau dia tinggal di asrama, atau punya rezeki melanjutkan pelajaran ke luar negara misalnya; tahulah dia berdikari. Andai kata dia sudah berkahwin, isterinya dalam tempoh berpantang umpamanya; sekurang- kurangnya dia boleh membantu meringankan beban isteri, memasak, mengemas rumah itu dan ini.

 

Pada saya, bagaimana ketrampilan anak saya, tingkah laku dan sikapnya bergantung kepada bagaimana cara didikan saya terhadapnya. Saya sering mengingatkan Mikhail yang dia harus rajin belajar dan apabila sudah bekerja kelak, bekerja dengan bersungguh-sungguh, dan jika sudah berkeluarga; jaga isteri dan anak-anak.

 

Malah saya didiknya mengenai tanggungjawab seorang lelaki yang perlu dipatuhi seperti yang digariskan dalam agama.

 

 

 

 

 

 

 

Kini Vanidah menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Apa yang cuba Vanidah buktikan kepada anak-anak? Atau mereka sekurang-kurangnya harus mengikuti jejak langkah ibu mereka suatu hari nanti?

Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang amat bermakna dan ‘berkuasa’. Benar sekarang adalah zaman media sosial, internet, perniagaan dalam talian dan sebagainya. Walaupun mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak berpelajaran tinggi tetapi berjaya dan masih lagi boleh mencari duit menerusi pelbagai cara.

 

Tetapi apa yang kita dengar adalah secara dasarnya sahaja. Cuba selidiki dan perhalusi sedalamnya. Pasti jalan yang dilalui tidak mudah seperti yang disangka. Daripada perspektif lain, ada juga dalam kalangan graduan yang masih lagi tidak mendapat pekerjaaan.

 

Namun jika diteliti, cuba semak semula dan cari apakah punca sebenar mereka gagal mendapat kerja. Misalnya saya beri contoh mudah; ada dalam kalangan mereka yang gagal menulis dengan baik terutamanya dalam Bahasa Inggeris.

 

Benar setiap apa yang berlaku atas izin-Nya dan rezeki Allah. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak perlu berusaha, bekerja keras dan rajin. Bukankah Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri yang mengubahnya?

 

Justeru, saya melihat aspek pendidikan adalah sesuatu yang amat penting untuk dikuasai. Apatah lagi dalam kepesatan zaman ini, nilai skrol atau ijazah anda seolah-olah terlalu murah. Dan apa yang saya tekankan kepada anak-anak adalah; mereka seharusnya menguasai pendidikan dan biarlah sekurang-kurangnya berjaya meraih Sarjana.

 

Tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun, mereka perlu berjaya sehingga peringkat itu. Sekurang-kurangnya ada kelayakan dalam pendidikan yang akan membantu mencorak masa hadapan mereka kelak.

 

Sejujurnya saya memilih untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana kerana sudah lama memasang niat untuk berada di peringkat ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Antara Mikail dan Maryam, siapa yang lebih cenderung ke arah bidang seni?

Mikail lebih cenderung kepada bidang muzik manakala Maryam saya lihat lebih meminati bidang psikologi.

 

 

 

Adakah Vanidah menggalakkan anak-anak menceburi bidang seni atau tidak? Dan jika tidak mengapa berpendirian demikian?

Bukan senang mahu mencari makan dalam bidang seni dan hiburan. Jika sekadar itu tidak menjadi hal. Sejujurnya sejak mereka kecil lagi saya dedahkan mereka dengan bidang seni.

 

Misalnya saya menghantar mereka ke kelas teater, saya galakkan mereka menyertai pertandingan bercerita ketika di peringkat sekolah, malah saya sendiri mengajar mereka bagaimana untuk berlakon.

 

Ya, saya beri pendedahan cuma apabila berbicara mengenai soal profesyen; saya payah sedikit. Banyak perkara yang harus dipertimbangkan. Terutamanya Mikail, dia lelaki dan suatu hari nanti bakal beristeri dan punya anak.

 

Di bahunya terpikul tanggungjawab yang berat. Dan seperti yang saya katakan, bukan senang mahu cari makan dalam bidang ini apatah lagi nak beri anak orang makan, besar dan berat amanah itu.

 

Saya sering ingatkan Mikail, jika benar-benar meminati muzik ikutlah saluran yang betul. Dapatkan diploma, ijazah dan seumpama dengannya. Belajar dan terus belajar, bukannya setakat syok sendiri sahaja.

 

 

 

 

Apa inisiatif anak-anak yang menyentuh hati Vanidah sepanjang bergelar ibu?

Apa jua yang mereka beri dan usahakan membuatkan saya benar- benar menghargai. Tidak kiralah sama ada kecil atau besar, atau pemberian dalam apa jua bentuk sekalipun tetap saya hargai.

 

Itu membuktikan mereka faham dan tahu menilai erti kasih dan sayang seorang ibu mengikut kefahaman mereka sendiri. Ada-ada sahaja dan pada bila-bila masa mereka akan datang kepada saya lalu memeluk dan mencium saya.

 

Itu perkara yang lumrah dalam kalangan kami malah sudah dididik dari kecil lagi. Seperti Mikail walaupun lelaki, waima di hadapan kawannya sekalipun; jika dia mahu memeluk saya; saya tidak pernah menolak.

 

Malah saya sering berkata kepadanya walaupun dia sudah berkahwin suatu hari nanti, he will always be my baby. Saya tidak pasti bagaimana cara yang diamalkan orang lain tetapi pada saya tidak perlu malu untuk menunjukkan kasih sayang anda kepada ibu.

 

Tidak kiralah sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Selagi hayatnya masih ada, manfaatkan ia sebaiknya. Kerana kita tidak tahu bila masanya kita akan pergi dijemput-Nya.

 

 

 

 

 

 

Jika tidak keberatan kongsikan apa lagi didikan yang diasuh sejak kecil dan masih lagi dipraktikkan hingga hari ini?

Saya masih suap anak saya. Misalnya jika Mikail teringin sekali-sekala, “Nak ibu suap boleh?” Dan saya akan suap. Jika Maryam berkata, “Eee... tak malu ke dah besar pun nak ibu suap?” Saya tetap tegakkan pendirian, walaupun dia sudah berkahwin dan punya anak suatu hari nanti, he’s still my baby. I will feed him. And you can’t break it no matter what.

 

 

 

 

Bagaimana dengan penglibatan Vanidah dengan aktiviti anak-anak di sekolah, misalnya jika ada penganjuran aktiviti yang memerlukan penglibatan ibu bapa?

Saya akan pastikan dapat luangkan masa bersama mereka. Misalnya jika sukan sekolah, hari mengambil kad laporan, larian yang melibatkan ibu bapa; pasti salah seorang daripada kami (sama ada saya atau suami) akan turut hadir.

 

Dan jika boleh kami pastikan kedua-duanya ada. Lebih-lebih lagi jika ia atas permintaan anak-anak, misalnya, “Ibu I want you to come,” maka saya akan tolak segala undangan atau urusan kerja untuk beri tumpuan kepada mereka.

 

Pada saya sebagai ibu bapa kita harus meluangkan masa apatah lagi jika ia adalah permintaan mereka. Dan sewajarnya kita menghormati dan cuba penuhi permintaan mereka dalam bentuk itu.

 

Apa yang saya amalkan, jika urusan kerja saya mereka harus fahami dan hormati; begitu juga dengan permintaan mereka yang harus saya hormati dan cuba penuhi. Ini melibatkan soal masa.

 

Malah saya percaya, jika kita luangkan waktu bersama mereka sejak kecil, kelak akan datang apabila kita sudah tua; kita harapkan mereka ada masa untuk kita dan insya-Allah mereka akan peruntukkan masa untuk kita. Usah berkira masa dengan anak-anak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Nasihat dan peringatan Vanidah buat ibu- ibu muda yang masih lagi ‘bertarung’ selain bergelumang dengan kerenah anak kecil juga yang bakal bergelar ibu. Kongsikan?

Sayang dan manjakan itu memang tidak dinafikan penting untuk mengeratkan hubungan dan tautan kasih sayang antara ibu dan anak. Tetapi biarlah berpada-pada. Perlu diingat, disiplin juga sama pentingnya.

 

Dan paling utama, jika anda sudah punya anak ia bermakna segala perkara perlu dikorbankan. Seluruh jiwa, tenaga dan masa anda hanyalah untuknya. Anda perlu ubah cara hidup sebelumnya.

 

Tiada lagi istilah keluar lepak hingga tengah malam. Ataupun membawa anak kecil keluar hingga lewat malam hanya semata-mata untuk penuhi masa anda bersama rakan. Kasihanilah si kecil itu, hormatilah waktu tidurnya. Tanggungjawab untuk memiliki anak sebenarnya tidak mudah.

 

Baik daripada segi emosi, kesabaran, kewangan dan segalanya harus difikirkan. Bukan tujuan saya mahu menakut-nakutkan tetapi itulah realiti sebenar di sebalik yang indah pada pandangan mata anda.

 

Pastikan anda benar-benar bersedia, fahami dan pelajari ilmu keibubapaan. Benar ia tidak mudah tetapi carilah jalan untuk memudahkannya. Cari titik persefahaman dengan pasangan. Dan sempena Hari Ibu yang bakal menjelang, Selamat Hari Ibu saya ucapkan buat semua ibu seluruh dunia.

 

Andalah penyeri keluarga, tunjang segala kekuatan yang ada. Dan benarlah tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia.

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Kau Jual Tudung?! Boleh Hidup Ke?” — Dulu Kena Kecam, Kini Pengasas Tudung People Untung Ratus Ribu

  • Seterus →

    Ajarkan Mereka Agama” — DATIN SRI NONISWARA Kongsi Rahsia Terbaik Bentuk Anak Soleh & Solehah