Dec 10, 2018 - 52934

"Tolong Berhenti, Mummy, Tolonglah!" — Kisah Benar YB Hannah Yeoh, Antara Politik dan Pengorbanan Seorang Ibu

Interpretasi Horizon Baru — Ikuti temu bual eksklusif kami bersama YB Hannah Yeoh yang bermula di studio InTrend Malaysia, lantas berakhir di Parlimen Malaysia!

 

 

Oleh: Nurulhuda Hussain 

 

 

 

 

 

 

Sebagai sesi perkenalan, boleh Yang Berhormat (YB) Hannah huraikan serba-sedikit latar keluarga, yang tidak pernah kami ketahui sebelum ini?

Saya anak sulung daripada empat adik-beradik (tiga perempuan dan seorang lelaki). Dilahirkan pada Januari. Uniknya, ibu saya hamil tidak lama selepas itu dan melahirkan adik kedua pada Disember (tahun yang sama).

 

Oleh kerana itu, kami berdua dianggap seperti kembar kerana berkongsi banyak perkara sama. Bapa seorang ahli perniagaan manakala ibu suri rumah. Mempunyai Ijazah Undang-Undang dari University of Tasmania, Australia.

 

Pernah berkhidmat sebagai peguam selama tiga tahun selain pernah bekerja sebagai Pengurus Acara selama dua tahun sebelum menyertai politik ketika berusia 28 tahun.

 

Setahun selepas itu, saya memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) untuk dua penggal.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Karakter ketika di rumah, adakah YB seorang ibu yang tegas atau bagaimana?

Saya fikir lebih kepada kombinasi kedua-duanya. Hal ini kerana saya tidak suka memaksa anak-anak melakukan sesuatu yang mereka tidak suka. Ya, saya ada menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan misalnya jika mereka mahu menyertai kelas ballet dan sebagainya saya akan cuba turuti keinginan mereka.

 

Dalam soal ini banyak mengingatkan saya ketika dibesarkan dahulu. Bapa mahu saya sertai kelas Taekwondo tetapi jujurnya ketika itu, saya tidak meminatinya. Setiap kali pergi kelas, jiwa saya akan memberontak dan marah.

 

Sedangkan hati saya kepingin sertai kelas ballet seperti rakan-rakan lain. Walaupun cuma tinggal satu sahaja ujian kelayakan tali pinggang hitam, akhirnya saya putuskan untuk berhenti.

 

Rentetan itu, saya tidak mahu perkara sama dilalui anak-anak saya. Biarlah mereka lakukan apa yang digemari tanpa paksaan sesiapa waima kami sebagai ibu bapa. Dalam soal ini, saya fikir pendekatan ilmu keibubapaan harus ada pro dan kontranya.

 

Walaupun daripada segi kontranya, anak-anak tidak akan sudahkan apa yang dimulakan tetapi saya mahu mereka belajar, mencari minat dan kesukaan lantas menemukan bakat tersendiri.

 

Misalnya anak-anak saya kini (Shay Adora Ram, tujuh tahun dan Kayleigh Imani Ram, lima tahun) gemar bermain alat solek. Anak sulung pernah berkata dia bercita-cita mahu membuka salun rambut.

 

Saya tidak pernah membantah atau menyatakan, “Oh, ini bukan karier yang profesional,” itu dan ini. Sebaliknya, saya ingatkan jika itu adalah minat dan kecenderungan, maka mereka perlu berusaha dan beranikan diri untuk terokai ke tahap seterusnya.

 

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Jika punya masa terluang, apa yang YB lakukan?

Dahulu saya suka membeli-belah! Tetapi sekarang, sekali sebulan pun belum tentu kerana kekangan masa dan tuntutan kerja. Pada saya, sudah memadai jika pergi ke kompleks membeli-belah walaupun tidak membeli.

 

Sekadar ‘cuci mata’ sudah memuaskan hati saya.

 

 

 

Sisi lain yang ramai tidak tahu mengenai YB (bukan sekadar dari ruang lingkup politik semata-mata)?

Saya sangat takut kucing! Saya gemar minum teh hijau, tidak suka makanan dan minuman bergula, tahu memasak dua tiga masakan sahaja. Saya suka memasak tetapi saya tak suka mengemas. 

 

Seperkara mengenai memasak, saya tidak handal memasak dalam durasi yang singkat kerana saya perlukan masa yang mencukupi untuk melalui proses itu.

 

Selain itu saya gemar makan petai dan durian jenis Musang King.

 

 

 

 

 

 

Daripada bidang guaman ke pentas politik, bagaimana peralihan itu berlaku dan boleh huraikan kisah selanjutnya?

Memandangkan saya tidak cemerlang dalam subjek aliran Sains, maka saya belajar jurusan undang-undang. Saya memasang impian dan berhasrat untuk berhijrah dari Malaysia. Mengapa?

 

Kerana saya tidak sukakan Malaysia ketika itu. Dengan masalah rasuahnya, diskriminasi perkauman dan banyak lagi. Selepas tamat pengajian di University of Tasmania, Australia selama tiga tahun dan bertugas sebagai peguam; saya tekad mahu teruskan kehidupan di sana sahaja.

 

Namun, saya gagal memperoleh hak kerakyatan memandangkan polisi pekerjaan di sana; sesuatu jawatan itu hendaklah ditawarkan kepada semua warganegara Australia terlebih dahulu.

 

Dan jika tiada rakyatnya yang memenuhinya barulah ia dibuka kepada bukan warganegara.

 

Sebagai orang biasa yang tiada kabel atau laluan istimewa, ia menyukarkan saya. Lantaran itu bapa menyuruh saya pulang kerana dia tidak mampu lagi menampung perbelanjaan dan kos hidup saya di sana. Saya kembali ke Malaysia dan memulakan kerjaya sebagai peguam selama tiga tahun.

 

Sungguhpun begitu, pada saya kehidupan sebagai fresh graduate bukanlah mudah. Saya masih tinggal bersama ibu bapa dan perlu membayar ansuran kereta dan perbelanjaan lain.

 

Maklum sajalah, walaupun menetap di Subang Jaya yang demografiknya terdiri daripada kelas pertengahan; gaji yang diperoleh tetap tidak mencukupi. Ekoran itu saya mula bertanya kepada diri sendiri.

 

Mengapa kita tidak mempunyai sistem pengangkutan yang bagus, mengapa begitu banyak masalah rasuah dan lain-lain?

 

Kemudian, seorang junior ketika di sekolah dahulu berkata kepada saya, “Mengapa mesti merungut dan tidak lakukan sesuatu? Sudahkah kamu berdaftar untuk mengundi?” Lantas saya mulai sedar.

 

Pada 2007, setahun sebelum PRU13 saya mendaftar sebagai pengundi pada usia 28 tahun. Mengapa saya lewat mendaftar? Kerana sebelum itu saya tidak percaya kuasa pengundi boleh mengubah tampuk pemerintahan sedia ada.

 

Pada 2008 saya menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP). Mereka menawarkan banyak kerusi untuk pembangkang. Malangnya tidak ramai yang mahu bertanding kerana mungkin ya, jika nasib tidak baik maka leburlah wang pertaruhan dan perlu menanggung kekalahan. Saya sahut cabaran itu dan itulah kali pertama saya mengundi (2008) untuk diri sendiri. Ia nyata menyebelahi saya apabila memenangi kerusi sebagai ADUN Subang Jaya. Sejujurnya saya tidak terfikir atau bercita-cita untuk menjadi ahli politik tetapi sebaliknya keadaan dan perancangan Tuhan yang mengemudi saya ke jalan ini.

 

Dahulu saya bercita-cita mahu bergelar penyampai berita kerana berasakan terinspirasi untuk menjadi seperti Wan Zaleha Radzi dan barisan penyampai berita yang lain ketika itu.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Kali pertama bertanding dan terjun ke dunia politik, bagaimana perasaan YB?

Sudah tentu takut kerana ia adalah kali pertama. Saya tidak sempurna tetapi syukur kerana saya tidak mempunyai apa jua skandal atau sejarah lampau yang memerlukan saya menyembunyikannya daripada sesiapa.

 

Mengenai politik, ia adalah sesuatu yang baru bagi saya. Saya tidak pasti apakah idealoginya, saya tidak tahu perbezaan antara Ahli Parlimen dan ADUN ketika itu.

 

Saya hanya ada masa dua minggu untuk mempelajari semua perkara berkaitan Subang Jaya.

 

Rakan-rakan banyak membantu ketika tempoh berkempen. Antara beberapa nama individu yang banyak membantu adalah suami saya, Ramanchandran Muniandy, Edward Ling, Jai Isaacs dan Reuben Varughese.

 

Selain itu saya tidak lupakan mentor dan individu berpengaruh dalam DAP seperti Tony Pua (Ahli Parlimen Damansara) yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia politik.

 

Jika saya berhadapan dengan apa jua masalah, saya akan berjumpa Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia juga Ahli Parlimen Puchong). Nama-nama lain termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang menjadi idola saya.

 

Saya tidak nafikan pada usia yang muda apatah lagi kali pertama terjun ke gelanggang politik, sudah tentu tekanannya amat tinggi. Saya perlu arif dalam soal isu juga berhadapan dengan komen-komen daripada barisan yang lebih senior.

 

Ada yang berkata, “Oh, awak tak boleh warnakan rambut. Tak sesuai jadi ahli politik kalau awak warnakan rambut.” Sehinggakan saya tidak pasti apa yang saya lakukan sama ada betul atau tidak.

 

Namun lama-kelamaan saya sedar bahawa tidak kiralah sama ada mewarnakan rambut atau tidak, ia tidak menjadi penanda aras anda adalah ahli politik yang bagus atau tidak.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Saranan dan nasihat daripada barisan senior – apa yang perlu dijauhi dan dilakukan sebagai jagoan baru dunia politik?

Live a clean life so that you don’t have a secret life. Kerana jika anda punya kisah lalu yang mahu disembunyikan, anda seolah-olah perlu menipu untuk berselindung daripadanya.

 

Kedua, pastikan semua yang dilakukan didokumenkan secara hitam dan putih. Tetapkan pendirian, yakin dan jelas mengenai garis sempadan yang harus dihormati.

 

Ketika itu juga saya menerima pelbagai tunjuk ajar dan komen membina daripada Teresa Kok mengenai apa yang sesuai dan patut dipakai oleh seorang ahli politik.

 

 

 

 

 

 

Kata hati dan apa yang mahu diperjuangkan?

Saya mahu perjuangkan dua isu utama iaitu memerangi rasuah kerana saya fikir dan percaya masalah kemiskinan di Malaysia boleh ditangani. Kita punya sumber dan dana mencukupi untuk diagihkan kepada golongan miskin.

 

Isu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga hak-hak istimewa orang Melayu. Saya bersetuju bahawa kebanyakan golongan miskin terdiri daripada masyarakat Melayu. Tetapi jika dilihat dalam isu rasuah pula, hanya menguntungkan golongan elit dan masyarakat Melayu masih terpalit dengan kemiskinan.

 

Maka terbukti ia tidak adil. Justeru itu ia perlu ditangani dan diuruskan dengan betul supaya sumber-sumber kerajaan boleh diagihkan sama rata.

 

Isu kedua adalah politik perkauman. Ia hanya digunakan oleh parti-parti yang tidak mempunyai polisi jelas untuk diketengahkan kepada rakyat. Apabila tiada polisi dan hanya ‘bermain’ dengan politik perkauman, ia hanya mencetuskan sentimen.

 

Dan sebagai rakyat, jika anda percaya kepada politik perkauman, anda cuma tertipu sahaja dengan helah bijak yang ditonjolkan oleh parti-parti politik ini.

 

Oleh yang demikian, dalam era Malaysia baharu ini, alangkah baiknya jika masa yang ada digunakan sebaiknya.

 

Misalnya membincangkan polisi atau isu-isu yang lebih besar dan relevan seperti pemansuhan GST kepada SST dan sebagainya. Secara tidak langsung anda mula berdebat mengenainya.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Bergelar Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, bagaimana YB menyesuaikan diri dan menggalas tanggungjawab ini?

Saya bertuah dan bersyukur kerana mempunyai bos yang baik, Kak Wan (Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri).

 

Saya selesa bekerja bersamanya malah dia tidak mempunyai apa jua agenda tersembunyi, punya rekod yang bersih dan dia tahu apa yang harus dilakukan. Saya banyak belajar daripadanya tentang bagaimana dia mengendalikan semua aspek dan menguruskan keluarganya. 

 

Dia mempunyai anak yang lebih ramai daripada saya, bagaimana dia menangani tekanan ketika suaminya tiada, bagaimana dia memainkan peranan sebagai ibu, nenek, presiden parti dan banyak lagi. Saya benar-benar mengaguminya.

 

Ini baru bulan pertama, saya masih belajar mengenai selok- belok dan perincian kementerian ini. Misalnya ketika di Parlimen, saya perlu menjawab persoalan yang berkaitan dengan kementerian ini dan saya perlu bingkas mempelajarinya.

 

Benar ia bukan satu tugas mudah kerana saya terikat dengan pelbagai temu janji, ramai yang mahu berjumpa dan sebagainya. Untuk itu saya perlukan satu pasukan dan sistem sokongan yang dapat membantu kelancaran urusan kerja.

 

Saya harap masyarakat dapat memahami dan memberikan masa kerana maklum jangkaan terhadap kerajaan baharu amat tinggi. Seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimana dia mengharapkan punya waktu 36 jam sehari untuk melakukan semua kerja.

 

Ini baru tugas-tugas hakiki, belum dicampur lagi dengan kiriman e-mel, WhatsApp dan sebagainya. Kami masih perlu kemas kini maklumat di media sosial dan lain-lain.

 

Itu belum termasuk memenuhi undangan, jemputan pelbagai acara dan program sementelahan terdapat tiga pecahan golongan sasar kementerian ini iaitu wanita, kanak-kanak dan masyarakat.

 

Justeru, bagaimana saya perlu melayani semua permintaan ini? Bukan bermakna saya merungut tetapi masih mencari rentak menyesuaikan diri dengan rutin baru. Rentetan itu saya perlu lebih selektif, teliti dan meletakkan kewajaran untuk menghadiri apa jua majlis.

 

Bukan bermakna saya enggan hadir kerana saya tidak suka, tidak mahu dan sebagainya. Tetapi, jika hanya menghadiri acara tanpa punya masa untuk memikirkan isu-isu berbangkit dalam kementerian ini, nyata ia hanya akan merencatkan proses kerja yang lain.

 

Saya peruntukkan Isnin hingga Jumaat di Putrajaya untuk urusan rasmi, mesyuarat dan polisi kementerian. Sabtu pula saya luangkan masa di Segambut memandangkan saya Ahli Parlimen di sana juga jika berkesempatan saya akan hadiri acara mahupun program yang diatur di peringkat kementerian.

 

Manakala Ahad pula, saya isi dengan rutin keagamaan di gereja dan seboleh-bolehnya saya cuba lapangkan jadual untuk bersama keluarga. Saya perlukan waktu rehat waima sehari untuk memastikan saya kembali produktif keesokan harinya.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Kehadiran YB di persada politik tempatan, apa yang mahu disuarakan dan dibentangkan?

Fasa pertama dahulu, isu yang saya perjuangkan adalah masalah-masalah penduduk Subang Jaya ketika berkhidmat sebagai ADUN. Manakala fasa kedua pula bertindak sebagai Speaker Majlis Perundangan Dewan Negeri Selangor yang membawa usul perundangan, perkasakan dewan, demokrasi dan sebagainya.

 

Kini di fasa ketiga sebagai Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. Saya mahu pastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak menjadi prioriti dan dilindungi kerana kanak-kanak adalah aset negara.

 

Pada peringkat ini adalah penting untuk saya kaji dan bentuk semula polisi bagi undang-undang yang melibatkan kanak-kanak, perlindungan dan bagaimana kita boleh pastikan ada sistem pengasuh di Malaysia dan seumpama dengannya.

 

Minggu pertama bekerja, saya perlu uruskan kes tragis yang meragut nyawa bayi Adam Rayqal. Serentak itu, pihak kementerian umumkan antaranya agensi kerajaan harus mempunyai pusat jagaan kanak-kanak terutamanya bagi pekerja yang mempunyai jadual kerja(shift).

 

Pihak kementerian menyasarkan tanggal 1 Januari 2019 ia akan dilaksanakan. Benar ia berkait rapat dengan peruntukan wang untuk menguatkuasakannya.

 

Berbicara lanjut mengenai hal ini, saya percaya mengekalkan wanita dalam sektor pekerjaan dan menyediakan sistem sokongan yang baik amat penting.

 

Ini akan memastikan wanita terus bekerja dan jika tidak mereka akan berhenti dan duduk di rumah. Tidakkah ini merugikan kita? Dan berkaitan soal ini, saya fikir kita tidak memerlukan pusat jagaan kanak-kanak kelas pertama yang dibiayai dengan harga yang mahal.

 

Apa yang utama ialah keselamatan, kebersihan dan keselesaan untuk kanak-kanak dipenuhi.

 

Isu seterusnya adalah memperkasakan sistem daftar kanak-kanak. Apabila sistem daftar kanak-kanak ditubuhkan, saya mahu pastikan sesiapa yang mahu berurusan dengan kanak- kanak hendaklah melalui proses pemeriksaan.

 

Contohnya, saya mahu jiran mengambil anak dari sekolah. Walaupun jiran bersetuju, tetapi saya tidak tahu jika dia mempunyai sejarah atau rekod jenayah lampau misalnya.

 

Dan jika kita mempunyai sistem ini, di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); saya boleh memohon sebagai ibu bapa untuk melakukan proses pemeriksaan.

 

Tidak kiralah apa jua urusan yang melibatkan kanak-kanak, misalnya pengusaha taska yang mahu memilih guru di taska, pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa anda hendaklah melalui proses ini dan pada saya ia perlu diperkasakan.

 

Sekali gus ia mewujudkan persekitaran yang selamat dan melindungi kanak- kanak. Kami juga mahu mengawal selia perkhidmatan oleh pengasuh-pengasuh.

 

Buat masa ini, jika anda menjaga empat kanak-kanak dan ke atas, anda perlu mendaftar sebagai pengasuh di bawah JKM. Tetapi pada saya, jika angka kurang daripada jumlah tersebut juga masih perlu berdaftar bagi memudahkan pemantauan JKM.

 

 

 

 

 

 

Bagaimana pula dengan kerja-kerja pembersihan di peringkat kementerian?

Kami masih mengenal pasti program-program sedia ada serta menganalisa keberkesanannya. Seperkara mengenai isu kanak-kanak di Malaysia, sistem dan strukturnya tidak mengutamakan kelompok ini.

 

Kita tidak mempunyai agensi kanak-kanak dan kita hanya mempunyai bahagian kanak- kanak dalam JKM. Pada saya ia tidak cukup. Kita punya kementerian belia tetapi tiada kementerian kanak-kanak.

 

Ia adalah aset negara yang berharga. Mengapa? Kerana selama ini kanak-kanak bukanlah pengundi dan tidak boleh mengundi. Pada saya, jika kita gagal menangani permasalahan berbangkit mengenai kanak-kanak, kita hanya akan melihat isu berkaitan belia berterusan.

 

Anda akan berhadapan dengan masalah remaja hamil, pembuangan bayi, dadah dan sebagainya. Pada peringkat asas ia harus diperbetulkan.

 

Masalah penderaan seksual, penderaan kanak- kanak umpamanya – ia adalah masalah yang berkitaran. Jika mereka adalah mangsa pada zaman kecilnya kerana tidak boleh bersuara, apabila meningkat remaja dan dewasa mereka akan melakukan perkara yang sama.

 

Kebanyakan pesalah laku, apabila hasil tinjauan dan temu bual dilakukan mendapati bahawa dahulunya mereka adalah mangsa. Benar soal ini tidak disenangi semua pihak seperti pihak berkuasa agama, ibu bapa dan ramai lagi.

 

Tetapi kita perlu bangkit, bersuara dan bentangkannya. Pendidikan seks yang sewajarnya harus diperkasakan lagi, tiada lagi istilah malu dan sebagainya. Kita harus didik dan terangkan kepada kanak-kanak mengenai setiap anggota tubuh mereka, siapa yang boleh menyentuh anggota badan mereka dan siapa yang tidak, apa itu sentuhan selamat dan sebaliknya.

 

Itu semua perlu diterangkan secara terperinci.

 

 

 

 

 

 

Memperkasakan wanita dalam kalangan masyarakat hari ini, pendekatan YB memartabatkan isu ini, komen?


Kita membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk melatih wanita dalam sektor pekerjaan. Bermula di peringkat universiti hinggalah ke sektor tenaga kerja.

 

Sistem sokongan dan struktur pusat jagaan kanak-kanak yang bagus harus diberi perhatian kerana jika tidak, segala latihan dan kursus yang diberi akan berakhir begitu sahaja apabila wanita memutuskan untuk berhenti kerja.

 

Jika anda mahu wanita kekal dalam sektor pekerjaan, aspek memperkasakan wanita perlu seiring dengan sistem sokongan yang efisyen. Misalnya memperkenalkan waktu kerja yang fleksibel, pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja dan bekerja dari rumah.

 

Saya memahami dan boleh kaitkan isu ini kerana saya juga adalah ibu yang bekerja. Saya beri contoh mudah, jika isu pusat jagaan kanak-kanak tidak dapat saya tangani sekali gus ia akan memberi kesan kepada produktiviti kerja.

 

Apatah lagi penglibatan wanita dalam soal tenaga kerja menyumbang sekitar 48 hingga 58 peratus. Terbukti ia angka yang besar dan perlu diberi perhatian. Dan apabila wanita bekerja sekali gus membuktikan mereka tidak terlalu bergantung kepada suami. Jika suami meninggal dunia ataupun bercerai umpamanya, mereka punya pendapatan sendiri dan boleh berdikari.

 

Begitu juga dengan golongan suri rumah. Peranan mereka juga menjadi perhatian dan memahami situasi ini, kita perkenalkan skim KWSP yang melindungi golongan suri rumah.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Institusi kekeluargaan kini dilihat semakin kompleks dan rapuh. Banyak isu yang membimbangkan terus berlaku. Pada peringkat asasnya apa yang harus kita perbetulkan?

Ia hendaklah dimulakan dengan pendidikan seks kepada kanak-kanak juga pendidikan kepada ibu bapa. Jika ibu dan bapa bercerai misalnya, banyak soal yang perlu difokuskan. Dan perceraian sebenarnya bukanlah satu dokumen yang ditandatangani oleh suami dan isteri tetapi anda harus fikir, anak yang menjadi mangsa dan terkesan dengannya.

 

Lebih kritikal jika soal hak penjagaan anak yang dituntut oleh ibu dan bapa. Anak-anak harus diberi kaunseling dan kefahaman yang jelas jika mereka berhadapan dengan isu ini. Tetapi malangnya, sistem di negara kita tidak mengaplikasikan kaedah ini.

 

Lantaran itu, saya sudah berbincang dengan beberapa NGO berkaitan hal ini. Misalnya jika perceraian itu berlaku, ia harus direkodkan di mana ia berlaku dan bantuan kaunseling hendaklah diberi kepada ibu dan bapa.

 

Terangkan duduk sebenar apakah impak perceraian itu kepada anak-anak. Anda tidak boleh membuat kesimpulan bahawa anak anda okey dan tidak terkesan dengan perceraian itu. Dan bagaimana sistem ini berfungsi?

 

Untuk mengingatkan guru-guru agar lebih peka dengan transisi kehidupan yang dialami oleh pelajar. Ini penting kerana jika guru peka misalnya pelajar mulai mendiamkan diri, mengapa pelajar mula membuli; dan jika anda tidak faham apa sebenarnya punca permasalahan ini lantas menghukumnya – ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

 

Dan di peringkat kementerian, kami menganalisa apakah kesannya kepada kanak-kanak dan sistem dalam kerajaan.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Selain pendidikan, apa lagi elemen yang harus dikuasai dan diperkasakan untuk pemantapan wanita hari ini?

Undang-undang. Gangguan seksual umpamanya, kita tidak mempunyai undang-undang khas yang melindungi soal ini. Yang ada cuma Akta Kanun Keseksaan tetapi ia sukar dibuktikan. Susah untuk dibuktikan jika seseorang itu telah melakukan gangguan seksual.

 

Berbeza jika kes rogol, serta- merta ia boleh dibuktikan. Justeru itu, saya melihat perlu adanya penggubalan undang-undang dalam isu ini. Serta perlu ada sistem bagaimana ia perlu diperkasakan agar mangsa dilindungi.

 

Namun demikian, kesukaran itu timbul kerana terdapat percanggahan adat, budaya tentang apa yang dibolehkan atau sebaliknya. Maka dengan itu perlu ada sesi konsultasi dengan lebih meluas.

 

Begitu juga dengan isu perkahwinan di bawah umur. Jika di dalam perundangan, ia menyalahi undang-undang sama sekali namun demikian dalam soal adat tertentu ada yang berkata ia dibolehkan.

 

Menyentuh perihal ini, kita tidak mempunyai statistik atau data yang merekodkan perkahwinan bawah umur, berapakah peratusan pasangan yang gembira dengan perkahwinan itu, berapa ramai yang tidak gembira, adakah pasangan yang bercerai dan ditinggalkan suami dan banyak lagi.

 

Data itu bukan dalam simpanan kementerian ini sebaliknya mungkin direkodkan majlis-majlis agama negeri.

 

Ia membawa pula kepada isu jika pegawai menemu ramah kanak-kanak, kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa mereka gembira, itu tidak penting.

 

Anda tidak boleh katakan bahawa kanak-kanak itu rela kerana dalam undang-undang, kanak-kanak tidak mampu memberi kebenaran walaupun dia rela kerana hakikatnya mereka tidak boleh mengakui dan memikirkan apakah tindakan susulan yang akan berlaku.

 

Mereka tidak tahu- menahu. Dan pada saya, amat baik dan proaktif apabila banyak pihak sudah memperkatakan tentang isu ini. Sekali gus ia membuka mata banyak pihak.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Berbicara soal peribadi, boleh YB ceritakan pengalaman berkahwin dengan jejaka India, bagaimana YB menyesuaikan diri?

Segalanya berlaku pada 2007, setahun sebelum PRU13. Menurut paderi di gereja yang sering saya kunjungi (ketika itu Januari 2007), dia berkata saya akan menerima lamaran dalam bulan Jun.

 

Dan pada bulan Mei, saya masih single. Lantas saya terfikir, mungkin ulasan paderi itu palsu.

 

Menyingkap kisah suami (seorang jurutera IT), beberapa bulan sebelum itu; setiap kali bekerja dia seolah-olah dapat melihat bayangan bahawa bakal isterinya adalah pendakwah di gereja.

 

Ditakdirkan cerita, pada bulan Jun, paderi ke Australia dan meminta saya menggantikannya untuk menyampaikan kuliah di gereja. Ketika saya menyampaikan khutbah, lantas terdetik di hati suami (Ramanchandran Muniandy), inilah bakal isterinya.

 

Tidak lama selepas itu, dia berjumpa dan berkata kepada saya, “I think you are my wife,” tanpa berselindung. Dan momen bersejarah itu berlaku pada Jun 2007.

 

Kami menjalani sesi kaunseling dan saya sendiri berdoa untuk menetapkan kepastian. Tidak lama selepas itu, dia melamar dan saya bersetuju. Maka kami pun bertunang. Namun demikian bapa saya tidak merestui pada awalnya. Baginya kami perlukan masa untuk mengenali hati budi masing- masing.

 

Suami juga memutuskan kami perlu mendapat restu terlebih dahulu malah pada saya restu bapa amat penting. Rentetan itu suami mengambil inisiatif meluangkan masa dan lebih akrab dengan keluarga saya.

 

Selepas benar-benar yakin, barulah bapa saya merestui dan kami berkahwin pada 5 Januari 2008. Majlis perkahwinan kami cukup ringkas, tetapi memberi makna tersendiri.

 

Kami berbulan madu di Bali dan sekembalinya ke Kuala Lumpur (Februari 2008), mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Parlimen dan saya diminta menjadi calon.

 

Saya pernah mendengar pandangan seorang aktivis wanita berkaitan suami isteri. Katanya sebagai isteri anda tidak wajar menyerahkan sepenuh jiwa dan raga kepada suami yang tidak menghargai dan mencintai anda.

 

Kerana syarat asasnya, suami perlu mencintai isteri dan barulah isteri dengan relanya memberi ketaatan dan penyerahan jiwa itu lebih ikhlas, bukannya secara membuta-tuli. Sungguh, perkahwinan bukan mudah dan memerlukan usahasama antara suami isteri.

 

Mengenai ketaatan dan kesetiaan terhadap pasangan umpamanya, anda tidak boleh mengajarnya menerusi program. Hanya kerana mereka hadiri program, itu tidak menjadi penanda aras mereka akan setia.

 

Oleh itu, saya berpendapat nilai-nilai murni dan didikan agama harus didedahkan kepada anak-anak sejak kecil. Namun, kita tidak boleh memaksa orang ramai untuk patuh kepada agama kerana saya percaya tiada paksaan dalam agama.

 

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Pendapat dan reaksi suami YB sementelah kini menjawat jawatan tinggi, sebagai wakil rakyat dan Timbalan Menteri?

Setiap kali menjelang PRU, kami sekeluarga akan berbincang dan berdoa sama ada mahu teruskan ataupun tidak. Daripada aspek keagamaan dan kepercayaan, saya masih meneruskan penceburan dalam politik kerana saya mahu berkhidmat kepada masyarakat.

 

Saya tidak mahu overstay tanpa melakukan perubahan atau idea baru yang hanya seolah-olah mahu menyelamatkan posisi tertentu sahaja. Saya dan suami membuat keputusan bersama dan rentetan itu, apa jua impak selepas itu dipikul bersama.

 

Misalnya kini saya diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri, ia bermakna banyak perkara sudah berubah. Saya sentiasa sibuk, pulang lewat dan sebagainya.

 

Dan memandangkan ia dicapai secara bersama, maka dia tidak merungut jika tanggungjawabnya berganda.

 

Dia selalu menyokong malah turut meminati politik. Lantaran itu, dia akan berkongsi apa jua berita.

 

Sedangkan bagi saya, apabila tiba di rumah seboleh mungkin tidak mahu berbicara soal kerja. Sudahnya kami akan berdebat dan berikan pandangan.

 

Saya sifatkan ia sesuatu yang bagus kerana secara tidak langsung dia turut meminati dan punya sikap ingin tahu mengenai kerja saya.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

As the clock strikes 12, here's wishing my husband @ramachandran_m a very Happy Birthday!

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Bagaimana dengan penerimaan anak-anak?

Anak saya amat terkesan terutamanya pada bulan pertama saya memulakan kerja di kementerian. Mereka tidak memahami sepenuhnya rutin pekerjaan saya kini.

 

Jika dahulu, saya menjemput mereka pulang dari sekolah dan meluangkan masa bersama di sebelah siang. Tetapi sekarang tidak lagi. Selepas tamat sesi persekolahan dan memandangkan kini mereka sudah pandai menggunakan WhatsApp, setiap jam mereka akan menghantar pesanan kepada saya.

 

Bertanyakan, "Mummy, mangapa Mummy belum balik? Mengapa saya tak nampak Mummy? Sudah pukul 10 malam tetapi kenapa Mummy tiada di rumah?"

 

Saya akui ia cukup menguji dan mencabar. Apatah lagi mereka masih kecil. Pernah mereka berkata, "Tolong berhenti, Mummy, tolonglah. Kerja ini terlalu sukar untuk Mummy. Mummy patut buat kerja lain."

 

Apabila suami mendengar, dia berkata “Kamu tidak boleh berhenti hanya kerana ia sukar. Kamu perlu cuba dahulu dan lihat sejauh mana kamu boleh pergi.”

 

Pada saya ia berbalik kepada soal keseimbangan. Sebagai pendakwah di gereja dan pernah memberi kaunseling, jika kita mengabaikan anak-anak ketika mereka masih kecil, kelak apabila mereka meningkat remaja dan dewasa – mereka pula yang akan mengabaikan kita.

 

Dan memandangkan baru sebulan, maka segalanya masih baru untuk saya sesuaikan diri.

 

Seperkara lagi yang perlu kita didik mengenai budaya VIP dalam kalangan masyarakat adalah, tidak semestinya dengan kehadiran Menteri atau Timbalan Menteri, acara yang dianjurkan lebih gah impaknya.

 

Contohnya, acara derma darah. Tidak semestinya dengan kehadiran VIP, anda akan meraih tabung darah lebih banyak. Isu utama meletakkan VIP memenuhi acara juga perlu diubah.

 

Saya sering mengingatkan kakitangan, hanya satu waktu ketibaan diberi untuk setiap program yang memerlukan kehadiran saya. Kadangkala pihak penganjur tidak sedar.

 

Mungkin mereka mahu kedatangan VIP disambut meriah. Tetapi mereka pinta tetamu datang seawal 8.00 pagi sedangkan VIP dimaklumkan tiba sejam kemudian.

 

Secara tidak langsung, gambaran orang ramai; golongan VIP sering tiba lewat walhal bagi VIP pula mereka fikir sudah menepati masa. Bukankah ia tidak adil? Inilah realitinya dan kita perlu ubah.

 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh) on

 

 

 

Lima sikap suami yang disegani hingga hari ini?

Dia bersifat pelindung, tidak mempunyai isu walau saya memegang jawatan lebih tinggi dan tegas. Pada saya mungkin sudah menjadi lumrah, apabila bekerja kita akan dikelilingi oleh mereka yang berkata, “Anda lakukan kerja dengan baik, bagus!”

 

Kita akan menerima pujian dan sebagainya. Tetapi dia mengkritik dan memberi komen membina. Dia berdisiplin, bijak dan takut kepada Tuhan.

 

 

 

Ucapan YB sempena menyambut Hari Malaysia?

Jangkaan rakyat terhadap pimpinan di Putrajaya cukup tinggi. Mereka mahukan itu dan ini tetapi dalam masa sama, rakyat juga harus mainkan peranan. Banyak yang mahu kita tukar, ubah dan perbaiki.

 

Budaya VIP, memerangi rasuah, dan banyak lagi. Justeru baik di pihak pemimpin dan rakyat kedua-duanya harus mainkan peranan.

 

Bersama-sama kita membina negara baharu dan laksanakan peranan masing-masing.

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! Facebook, ikuti kami di Twitter and Instagram.