Feb 19, 2017 - 5092

Baju Apa Cantik Untuk Badan Pir? Bagaimana Lari Daripada Imej Baju Hitam? Ini 15 Tips Untuk Anda

Kami bawakan tips fesyen paling mudah untuk anda praktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Selamat mencuba!

 

 

 

15 TIPS FESYEN PALING MUDAH UNTUK ANDA 

 

TIPS 1

Sukar mencuci stoking jarang kesayangan? Mudah terkoyak? Selepas membilas, jangan memerahnya. Sebaliknya, gulung stoking basah itu ke dalam tuala kering, kemudian perahlah tuala tersebut. Apabila menjemurnya, hamparkan di atas pakaian lain.

 

TIPS 2

Stoking jarang terkoyak kerana tersangkut pada laci pakaian? Selepas memakainya, simpan semula di dalam sampul plastik asalnya. Atau, gulungkan ia di dalam sehelai skarf sutera. Barulah simpan di dalam laci.  

 

TIPS 3

ika anda memiliki badan bentuk pir, hindari daripada memakai skirt atau seluar cerah. Pilihan selamat, sarungkan skirt atau seluar rona gelap. Atau gunakan teknik berpakaian monokrom. Misalannya, baju biru sederhana cerah dipadankan dengan seluar biru gelap.

 

 

TIPS 4 

Bosan memakai kemeja putih yang sama? Cuba teknik ini: Ikatkan skarf sutera atau sifon multiwarna. Atau ikatkan skarf motif safari. Teknik lain, sematkan korsaj bunga yang besar, atau pakai beberapa lapisan rantai mutiara yang labuh.

 

TIPS 5

Apa harus dibawa di dalam bagasi apabila bercuti? Jangan lupa kaca mata hitam, kamera, topi, tisu lembap, kertas pedap minyak, selipar, krim tabir suria, semburan muka, pembersih tangan antibakteria, pengilat bibir dan… panadol.

 

TIPS 6

Sepasang subang mutiara menyerlahkan gaya sofistikated. Namun jangan sekali-kali memakainya apabila anda memilih ‘sporty style’. Atau pastikan anda ada menyimpan sekurang-kurangnya satu cekak rambut atau simpai berperincian yang eksklusif.  

 

 

TIPS7

Sehelai skarf yang cantik amat berguna. Selain melilitnya pada leher, lipat memanjang lalu ikatkan skarf dengan bergaya pada kepala. Atau, ikat skarf menjadi reben berjurai pada tas tangan kesayangan. Cubalah. 

 

TIPS 8

Laraskan tali tas tangan agar sepadan dengan ketinggian anda. Ia tidak sepatutnya terlalu pendek sehingga kelihatan ‘tersepit’ di bawah ketiak. Ia juga tidak sewajarnya terlalu panjang sehingga mengatasi  garis pinggul. 

 

 

 

 

TIPS 9

Bosan asyik berbaju hitam? Cuba teknik blok warna. Gabungkan baju hijau lemon dengan seluar merah jambu. Atau padankan blaus kuning neon dengan kardigan biru elektrik. Tetapi awas! Hadkan kepada tiga warna prima. Atau anda akan tampil keterlaluan seperti badut. 

    

TIPS 10

Kaca mata hitam merupakan aksesori mesti ada semua fesyenista! Simpan sekurang-kurangnya satu kaca mata hitam statement paling trendy! Pilih kaca mata hitam potongan mata lebah atau aviator. Yang penting, ia mesti sesuai dengan bentuk wajah anda. 

 

 

 

TIPS 11

Aksesori adalah medium terpantas menyerlahkan gaya funky. Jika anda tidak gemar memakai rantai atau subang, pilih gelang-gelang ‘chunky’ untuk digayakan. Sarungkan dua hingga tiga urat gelang dempak ini serentak. Efeknya pasti wow!  

 

TIPS 12

Badan anda lurus, kurang cantik, tiada potongan? Apa kata sarungkan jaket berstruktur, kardigan kait atau shrug. Pilih juga jaket berlapel atau berperincian butang cantik agar gaya lebih eksklusif.  

 

TIPS 13

Apabila berpakaian, jangan sekali-kali mencampuradukkan motif floral dengan motif safari. Fokuslah kepada satu satu tema sahaja atau  kelak anda kelihatan seperti bas bergerak di dalam Zoo Negara.

 

TIPS 14

Bentuk badan anda seperti pembaris? Sudah kehilangan lekuknya? Ayuh timbulkan ilusi pinggang masih berbentuk dengan memakai tali pinggang. Pastikan warna dan saiz kelebaran tali pinggang sesuai dengan pakaian anda.    

 

TIPS 15

Jika memakai dress glamor berlabuci, anda tidak perlukan anting-anting chandelier atau gelang dempak emas berkilau. Pilih satu saja titik tumpu pada diri anda; sama ada rambut, telinga, tangan, badan atau kaki. Ingat, anda adalah seorang fesyenista. Bukan lampu disko bergerak. 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Maaf Kalau Saya Tak Kenal Anda Tapi Tiba-tiba Anda Mahu Baju Tajaan. Gaji Pekerja Perlu dikira” — Syaiful Baharim

  • Seterus →

    Ini Panduan Terbaik Beli Jeans Paling Sempurna Mengikut Bentuk Badan Anda