Feb 19, 2017 - 535

“Bagaimanakah Rasanya Bila Ibu Melahirkan Saya?” — Lelaki Ini Mengajak Anda Mengenang Jasa Ibu

Kadang-kadang, apabila kita terlepas bicara, kita terlupa akan kewujudan ibu. Lalu kita mengguris hatinya dengan kata-kata kurang wajar. Pernahkah anda berbuat begitu?

 

Oleh: Dr. Mohd Faizal Musa 

 

 

 

 

KALAU saya diminta menulis tentang ibu, saya serta-merta tergambarkan sosok wanita mulia yang menakjubkan; dan tiada tandingannya daripada segi kesucian. Saya barangkali boleh menulis seribu bait puisi tentang ibu tetapi ia tetap tidak akan dapat mengungkapkan kebaikannya. Sungguh budiman ibu sehingga ia tersemat dalam kalbu. 

 

Ibu yang saya maksudkan ini kehilangan ibunya kala ia masih kecil. Ibu terpaksa menjadi diri yang matang sesegera mungkin. Ibu dengan cepat bertindak menjadi wanita yang serba kuat untuk ayahnya yang terpukul dalam diam oleh pemergian isteri yang dikasihi secara mendadak. Ibu bukan sahaja perlu bertahan, ibu bahkan perlu menjadi pendorong yang menguatkan sang ayahnya.

 

Dalam lipatan sejarah, kurang sekali naratif tentang ibu. Mungkin kita kurang berminat dengannya. Barangkali nama ibu terpinggir kerana ibu tersingkir. Ibu memilih untuk memupuk cinta. Terlalu besar nama ibu, tidak ada bandingannya. Kalau tidak ulung tidak ada tempat ibu di syurga.

 

Saya selalu mengkhayalkan kata-kata syurga di bawah telapak kaki ibu itu memang untuk ibu yang ini. Kerana ia penghulu di sana. Ia menjadi pengganti setiap ibu yang agung. Kelebihan ibu mengatasi cahaya dari setiap agama dan kepercayaan. Ibu menawan dan jelita ini tidak akan melupakan kita jika kita tidak melupakannyaa.

 

Sebaik usia gadisnya mengorak kelopak, ibu dinikahkan oleh ayahnya dengan seorang pemuda tampan yang hidupnya serba memadai. Ibu mengharungi setiap jenak dan detik hidup dengan langkah yang waspada memandangkan suaminya sering diintai musuh dan dicemburui dalang pengkhianat. Sedemikian payah hidup ibu, tidak lama kemudian ia dikurniai beberapa putera yang kekar dan bijaksana, juga puteri yang mekar tetapi tidak ada apa yang merubah ibu; ia masih sari yang pati, ia kekal menjadi pilihan tertinggi. Ibu menjadi ibu kepada para wali. Santun pekertinya ibu tidak terpantunkan. Gurindam menjadi lesu dan syair menjadi payah kalau saya berusaha menciptakan tentang kehebatan ibu.

 

Kita Belajar Bakat Kepimpinan Daripada Ibu 

Saat malam yang lembut, bukat menyelimuti semua di luar; ibu akan mengenang ujian getir yang terpaksa dilaluinya dengan ketabahan. Sering ia berdoa untuk yang lain melebihi diri. Ibu akan membelai anak-anak dan mengajarkan supaya berjasa dan memberi kepada semua. Itulah tandanya pengorbanan. Dan daripada ibulah kita belajar bakat kepimpinan.

 

Ibu itu sangat baik, ia sangat berkesan di kalbu saya. Ibu itu tidak lain tidak bukan bernama Zahra; betullah Fatimah Zahra. Ia suci sebagai batul, ia lengkap sebagai Fatimah, ia penuh karamah dan keluarbiasaan. Saya percaya, tiada akal sihat mahu mencabarnya. 

 

Fatimah tidaklah jauh daripada kita, kerana ia peribadi mulia yang harus kita teladani. Ia adalah ibu orang yang mengaku cintakan kebaikan. Tidak semestinya ia menjadi pedoman orang Islam sahaja. Ia adalah rujukan alam. Sungguh ia berkembang menjadi bunga segar, merendangi dan meneduhi kita kerana tanpa Fatimah, perempuan tidak akan ada seminya. Perempuan kehilangan serinya kalau tiada Fatimah.

 

Fatimah adalah biru nilakandi, merah silu, kuning kentang, warna indah-indah. Fatimah ibarat pelangi selepas hujan basah di bumi dan mentari memberi cahaya terang yang abadi.

 

Sumber foto: Corbis 

 

 

Bagaimanakah Rasanya Apabila Seorang Ibu Menerankan Anaknya?

Ibu yang lain yang bersemadi dalam hati saya tentulah ibu sendiri.  Saya terpesona dengan ibu saya kerana ia mampu bertahan oleh segala dugaan dan getir kehidupan. Kalau saya ceritakan di sini tentulah tidak lepas. Saya andaikan ibu yang lain juga memiliki derita dan kesengsaraan sendiri yang tidak mungkin dapat didakwatkan dengan kata-kata. Justeru menyimpan keunggulan ibu menjadi sesuatu yang mesti.

 

Saya pernah bertanyakan kepada ibu, bagaimanakah rasanya melahirkan saya?

 

Mungkin ia satu gambaran yang sangat dramatik dan terlalu beria; kata ibu – aku rasakan seperti kedua-dua hujung tubuhku diregang dan kemudian ada yang datang memotong di tengah dengan gergaji yang panas diapi. Untuk apa aku dilahirkan jika begitu sakitnya ibu! Kerana aku lelaki, aku tidak akan pernah merasai kebenaran kata-katanya. Tetapi aku percaya ibu tidak akan berkata yang tidak benar. Cerita ibu sangat menginsafkan.

 

Ibu pernah keguguran dua kali. Kali pertamanya aku terlepas peluang bermain dengan adik. Masih berputar dalam memori benak tatkala petang yang cerah aku meronta-ronta meminta ibu mengeluarkan basikal baharuku untuk dikayuh di luar. Barangkali aku hanya mahu menayangkan basikal itu kepada kawan-kawan. Tiada siapa pun peduli kerana barangkali BMX mereka lebih mahal daripada milikku. Menjelang Maghrib aku meminta ibu membawa masuk basikalku yang berat itu ke dalam rumah kembali. Basikal itu masih baharu dan kalau dicuri, hah, sayang sekali! Aku masih di darjah dua. Aku belum mengerti. Dua tiga hari sesudah ibu mengengkeh mengangkat basikal jahanam itu ke dalam rumah, aku teringat ibu dimasukkan ke dalam wad.

 

Jikalah detik itu dapat dirubah.

 

Ibu Terima Malapetaka Kerana Dia Mahu Berkorban Untuk Kita 

Sekali dulu aku sangat kepingin rojak Nek Busu. Kami ke Sri Gombak untuk menikmatinya. Dalam perjalanan pulang dari gerai Nek Busu, aku berlarian dalam gelap mendahului. Ibu terkejar di belakang mengejari. Kemudian tampang ibu hilang. Ibu patah pinggang kerana jatuh longkang. Aku masih ingat, entah berapa bulan ibu menderita; dan ia tidak tahu ia tercedera. Ibu tetap mendukung adikku yang masih kecil waktu itu. Hanya sehingga doktor mengatakan, barulah ibu menyedari. Selama ini ia menyangka adikku bertambah berat badannya kerana kian membesar, justeru kerana itu pinggangnya terasa perit.

 

Selalu kita akan tercabul kata, tersalah bahasa, terlanjur langkah, tersilap buat dan terlupa dengan kewujudan ibu. Bukan kerana kita ingin melakukannya. Kita memang tidak ingin. Untuk apa kita mendosai diri sendiri? Tetapi, dalam hidup – kita dipaksa memberi tumpu kepada keadaan-keadaan lain.  Kerana itu ibu akan berkecil hati. Kita akan menyesali.

 

Saat itu terjadi saya akan jadi peribadi dungu, saya sangat terganggu. Ia mencarik-carik perasaan saya. Ia terlalu mengoyak-ngoyak jiwa. Ada sebuah puisi yang saya nukilkan baru-baru ini. Saat menanti pesawat di Kansai untuk pulang ke Kuala Lumpur. Ia berbunyi:

 

Boleh sahaja

orang menyangka

aku ini seorang ilmuan

pemikir atau seniman.

 

Jika ibu merajuk

dan aku tak upaya memujuk

segala gelar di hadapan namaku

dalam sedar menjadi pudar, lesap menghilang.

 

Aku hanya

seorang anak buntu

yang menanggung sebal dalam kalbu.

 

Maafkan aku ibu,

biarlah aku mati

kerna aku tak layak menjadi anakmu!

(Osaka, 6 April 2012)

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Peristiwa Tragis Ibu Kelar Anak Lepas Beranak — Ini 10 Perkara Suami MESTI BANTU Isteri Lepas Bersalin

  • Seterus →

    Bagaimana Wanita Ini Cekal Memulihkan Suaminya yang STROK — Ini Teladan Hebat Buat Para Isteri