Dec 27, 2016 - 2822

2017 Tahun Mencabar, Ini Panduan Menjaga Kerjaya Kalau Anda Mahu Terus Makan Gaji

Kerja, yang kita lakukan sehari-hari, dari jam sembilan pagi hingga ke senja, walaupun kerana makan gaji namanya – tetap menjadikan kita seperti hamba. Tapi jadilah hamba yang bijak. Ini panduan 'survival' kerjaya 2017.

 

Oleh: Ikhwan Assafa Jr.

 

Sumber Foto: Shutterstock.com 

 

MEMANG bekerja makan gaji tidak ubah seperti hamba sahaja sebenarnya. Kita mengerah tenaga, dan titik peluh kita dibayar dengan wang. Tetapi, ada cara dan ikhtiar yang boleh kita guna untuk mendapat habuan yang lebih besar dan lumayan walaupun dengan menjadi hamba. Kadang-kadang ia memerlukan kerja lebih, kadang-kadang ia sudah terpampang di hadapan mata, kita yang tidak menyedari.

 

Pasang Lebih Tangan

Kamu adalah seorang pekerja sepenuh masa, tangan kamu cuma dua, cukup-cukup untuk melakukan tugasan yang diperlukan dalam kerja, kemudian pulang ke rumah menjaga keluarga atau diri sendiri. Gaji kamu cukup lumayan untuk hidup selesa setiap bulan, membolehkan kamu berhibur, membeli alat elektronik, mengisi peti sejuk, dan pergi melancong sekali-sekala. Tetapi untuk menjadi jutawan berkerjaya, kamu kena pasang lebih tangan. Dua sahaja tidak cukup. Sekarang ini, cuba cari tangan-tangan tambahan.

 

Bukan saya mencadangkan kamu menelefon Dr Frankenstein memesan tangan baru (maaf, kelakar bodoh), tetapi, kamu kena mencari sumber pendapatan ekstra di waktu senggang dan waktu tidak bekerja. 

 

>>>[KLIK DI SINI] 6 Personaliti Kerjaya Ini Melambangkan Peribadi Anda, Ganjil Tapi Benar<<<

 

Sumber Foto: Corbis

 

 

Otak Mesti Ligat Untuk Tambah Pendapatan

Kamu kena meluangkan masa di luar waktu pejabat untuk mencari wang tambahan. Seboleh-bolehnya ia mestilah sesuatu yang tidak terlalu rumit, tidak memerlukan terlalu banyak pelaburan masa dan wang dan tenaga. Cukuplah sekadar beberapa jam selepas pulang kerja, banyak boleh kamu buat untuk mendapat wang dalam tempoh itu.

 

Kamu boleh menulis seperti saya ini, kamu boleh merekabentuk kraf atau invention, kamu boleh melukis, membuat sesuatu yang boleh dijual. Kalau kamu tidak pandai mencipta sesuatu produk untuk dijual, kamu boleh menyertai syarikat MLM (multi level marketing), terdapat berpuluh, agaknya beratus, syarikat MLM di negara ini. Selain menjual kamu boleh mendapat sahabat baru.

 

Kamu boleh menjadi konsultan atau orang tengah atau vendor kepada syarikat lain. Kamu boleh mengajar. Macam-macam ruang boleh kamu cuba untuk menokok wang lebih. Usah bergantung pada satu sumber saja. 

 

Dengan pendapatan tambahan, empangan kekayaan kamu akan cepat penuh, lebih banyak kapital boleh kamu gunakan untuk dibiakkan dalam pelaburan.

 

Kecapi Keuntungan Berkarier

Banyak juga keuntungan yang boleh kamu kecapi jika berkerja, tetapi, sudah tentu, ia bergantung juga dengan polisi syarikat tempat kamu berkerja itu. Antaranya, kamu mungkin diberi insurans hayat percuma, segala yuran perubatan kamu sekeluarga mungkin boleh ditanggung oleh syarikat. Syarikat mungkin menyediakan nurseri untuk anak-anak atau perkhidmatan bas sekolah. Mungkin ada elaun atau diskaun yang boleh kamu nikmati – contohnya diskaun ketika membeli barangan keluaran syarikat kamu sendiri. Mungkin ada sistem point, atau loyalty. Mungkin ada koperasi syarikat yang boleh kamu sertai.

 

Apabila melancong, mungkin syarikat menyediakan hotel atau rumah peranginan dengan kadar berganda lebih rendah daripada pasaran. Kalau kamu beruntung, kamu mungkin diberi rumah untuk menetap, atau kereta syarikat untuk meronda-ronda. Mungkin ada elaun overtime atau elaun perjalanan atau elaun-elaun lain yang boleh kamu claim. Mungkin ada pinjaman kereta atau perumahan dengan kadar bunga yang lebih rendah, atau rebet bunga jika kamu meminjam pada bank-bank.

 

Sekarang ini kamu kena selidik setiap keuntungan yang ditawarkan oleh syarikat kepada kakitangannya tetapi belum kamu eksploit. Rujuk segala perjanjian kesatuan pekerja bersama syarikat, teliti setiap memorandum yang berkenaan. Kamu kena kecapi keuntungan karier, ia selalu boleh menjimatkan wang kamu sendiri, kadang-kadang ia boleh difaktorkan pula di dalam cukai pendapatan dan pembayaran lain bagi mengurangkan bayaran bulanan kamu. 

 

Kalau elaun-elaun yang boleh kamu claim itu besar nilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan tambahan. Ada kalanya, claim boleh jadi lebih besar pula daripada gaji dasar kamu.

 

>>>[KLIK DI SINI] Gadis Ini Sanggup Tangguhkan Pengajian Perubatan Kerana Mahu Bisnes. Percaturannya Tidak Silap!<<<

 

Sumber Foto: Shutterstock.com 

 

 

Menunggu Bonus

Semua orang yang bekerja, bila tiba hujung tahun atau waktu-waktu perayaan, akan mengharapkan yang sama. Semua orang akan menanti pengumuman bonus yang akan diberikan sebagai hadiah oleh syarikat kepada kakitangannya. Ini adalah salah satu habuan besar untuk orang yang bekerja menjadi hamba syarikat. Tetapi sedarilah, (memang kamu sedar pun) tidak semua syarikat adalah sama. Nilai bonus akan diberi mengikut prestasi syarikat, dan bergantung pula pada situasi ekonomi. Jika syarikat rugi, kadang- kadang habuk bonus pun tidak diberi.

 

Oleh itu, kamu harus rajin menyelidik tentang syarikat sebelum menyertainya. Cari kerja dengan syarikat yang menawarkan bonus yang lumayan, selalunya syarikat itu mempunyai potensi dan pasaran yang juga besar. Dikatakan Microsoft pernah memberi bonus setahun (12 bulan!) kepada stafnya.

 

Kalau Bonus Anda Seciput Setengah...

Jika kompeni kamu cuma memberi bonus seciput setengah, cubalah mencari kerja di tempat lain. Kalau kamu mematuhi tips saya ini, kamu adalah seorang pekerja profesional yang kritikal dan menjadi rebutan syarikat-syarikat lain. Buat apa kamu setia dengan syarikat yang tidak memberi ganjaran yang memuaskan?

 

Acapkali, pembayaran bonus akan ditentukan oleh prestasi kamu sendiri sepanjang tahun kewangan syarikat. Cara ini selalu melibatkan satu sistem performance appraisal, di mana bos kamu memberi markah kepada pencapaian kamu bila hujung tahun kewangan.

 

Jika ini sistem yang diaplikasi oleh syarikat kamu, kalau mahu bonus yang paling maksimum, pastikan markah maksimum juga yang dikurniakan kepada kamu. Oleh itu kamu kenalah bekerja dengan maksimum juga. 

 

Jangan berangan jika kamu berat tulang dan kuat pula mencuri tulang, boleh mendapat imbalan lumayan. Walaupun kamu hamba, habuan untuk hamba seperti kamu boleh dijadikan lumayan mengikut kerah tenaga kamu sendiri.

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Siapa Sangka! Lelaki Kacak Bertubuh Sasa Ini Rupanya Seorang Wanita? Lihat Wajah Mereka Dahulu…

  • Seterus →

    Orang Muda Kita Muflis Sebelum 30! Ini Panduan Pengurusan Kewangan 2017 Anda MESTI Amalkan