Apr 15, 2017 - 9958

Ini RAHSIA Zodiak Cina — Orang Tahun Anjing Setia Dalam Cinta, Orang Tahun Naga Senang di Hari Tua

Dikatakan orang yang lahir Tahun Anjing teramat setia dalam percintaan. Jangan sekali-kali takut kerana mereka tak akan berlaku curang. Banyak lagi tafsiran menarik dari teropong horoskop Cina.

 

 

 

 

Oleh: Dr. Mohd Faizal Musa

 

SAYA ada satu pengakuan ikhlas dan jujur yang ingin saya kongsikan dengan seluruh pembaca majalah ini. Ya, saya penggemar; pembetulan; penggila horoskop Cina. Saya malah menyimpan almanak poket dan membawanya ke sana sini. Saya juga penekun Feng Shui. Kakak angkat saya, Joanna C. Lee adalah guru Feng Shui terkemuka yang bukan sahaja memiliki PhD dalam musikologi tetapi juga pernah berkhidmat (menujum) untuk Luc Besson, Peter Greenaway, Wong Kar Wai dan Jackie Chan.

 

Saya tidak ingat, entah bila saya menjadi pengekor horoskop Cina. Tahu-tahu saya sudah tenggelam dengan ramal dan sabda seputarnya. Saat masih sekolah menengah saya membaca-membaca tentang Huang Li atau kalendar kuning, ada juga orang memanggilnya sebagai Li Shu, sesetengah kaum Cina merujuknya berdasarkan kodifikasi penerokaan meteorogikal dan kosmologikal era Dinasti Qing iaitu Tong Shu. Hari ini, masyarakat Kantonis merujuknya sebagai Tong Sin.

 

Betul, saya tidak mempercayai semuanya. Kerana latar belakang agama dan adat saya. Tetapi saya masih menggemarinya, sesekali mempercayainya juga. Sekali-sekala, boleh ya?

 

 

 

 

Betulkah Orang Tahun Lembu Kuat Bekerja?

Secara mudahnya ada beberapa ciri umum untuk seseorang individu daripada Tahun Tikus atau Lembu, contohnya kawan kita yang dilahirkan dalam Tahun Lembu adalah seorang yang bekerja kuat. Kalau saya jadi bos, tentu sahaja saya mahukan seberapa ramai staf dalam kalangan Lembu, kerana mereka berusaha kuat, dan berdedikasi. Tentu pula, kalau saya seorang staf bawah yang lahir dalam Tahun Lembu, saya harus mewaspadai bos yang dilahirkan dalam Tahun Anjing. Bukankah anjing digunakan untuk menyalak lembu di kandang dan padang ragut. Oh, tidakkah bingung dan bengang jika punyai bos yang suka menyalak-nyalak di telinga saya ini.

 

Bukan itu sahaja, kalau saya punya isteri Tahun Naga saya mestilah selalu mengalah; kerana mana tidaknya, bukankah naga itu majestik, hebat, dan kalau sesekali naik angin akan keluar api dari mulutnya?

 

 

 

 

Orang Lahir Tahun Ular Selalunya Kacak, Gedik dan Seksi, Betulkah?

Gila zodiak ini nampaknya semakin penting dalam menentukan buruk baik perangai seseorang kawan, pasangan atau adik beradik. Tidak ada sesiapa dapat menafikan, mereka yang lahir dalam Tahun Naga adalah cantik jelita (jika perempuan) dan kacak tampan (jika lelaki), tetapi mereka yang lahir dalam Tahun Ular selalunya, walau tidak mesti, adalah seksi. Dan seksi berbeza berbanding cantik atau kacak. Seseorang boleh sahaja tidak terlalu rupawan, tetapi seksinya Astaghfirullah. Sepatah ia berkata, atau kerlip matanya, atau cukup jeling dan senyumnya sudah membuatkan seluruh jasad melemah dan jiwa di dalam kalbu mencair. 

 

Tetapi awas ya, cantik dan jelita atau kacak dan tampan bukanlah nilai yang sesuai untuk semua kita. Misalnya Naga dan Anjing kedua-duanya ada perangai hebat masing-masing. Maka tidak jadi kalau yang satu menyalak, yang satu lagi menghembuskan api marak. Kalau itu berlaku di ofis, alamat berterbangan fail dan cangkir kopi di meja kerja. Kalau berlaku di rumah, mungkin berkapak dan berbaling-baling seterika?

 

Sumber foto: Corbis 

 

 

Kenapa Orang Tahun Harimau dan Tahun Monyet Kuat Bercekau?

Saya pernah menemui seorang kawan yang sepanjang pergaulannya penuh dengan pergaduhan. Hal kecil menjadi besar, hal besar menjadi agam kerana si Harimau (kawan saya yang perempuan atau betina?) gemar mengenakan sepatu bertumit; yang lelakinya adalah Monyet, dianggap nakal, suka melayan dan penuh helah, serta tidak menyukai perhatian yang tidak bersebab. Makanya tumit tinggi di kaki panjang Harimau menjadi satu masalah buat sang Monyet yang merasakan tap tup tap tupnya ketika memanjat tangga adalah satu gangguan. Bergaduhlah sudah!

 

Dua pekerja daripada tahun yang sama iaitu Harimau memang bagus untuk sebuah syarikat. Tetapi majikan perlu tahu, dua ekor Harimau akan sentiasa bersaing dan tidak boleh seorang lagi berlebihan. Bak kata isteri saya, dua harimau dalam sebuah rumah. Jika berjauhan rindu, jika berdekat saling bersaing menuntut perhatian.

 

Ibu bapa yang mempunyai anak daripada Tahun Anjing akan mendapati anak-anak mereka tidaklah terlalu pintar tetapi cekap dalam hal kehidupan seharian (perempuan daripada Tahun Anjing paling sesuai dibuat isteri kerana pandai berkemas dan mengurus rumahtangga). Anak daripada Tahun Anjing juga setianya membuta babi. Kalau mereka bercinta sukar sekali memisahkan mereka. Kerana nasib Anjing memang begitu, setia sungguh-sungguh hati.

 

Jadi, kalau mendapat kekasih anjing’ janganlah khuatir kerana mereka memang tidak akan curang. Tetapi kalau sudah pasangannya memang Harimau yang kuat cemburu makanya tidak jadi kerja juga.

 

Mereka daripada Tahun Harimau juga ditakdir bercita-cita tinggi, cepat bosan dan banyak drama dalam hidupnya. Dalam pemerhatian Zodiak Cina, ada binatang yang memang tidak begitu bernasib baik di usia muda.  Orang Tahun Naga dikatakan banyak sekali keperitan dan jerih-payah sehinggalah banyak laba dan kebaikan atau ganjaran mencurah di usia tua. Mereka daripada Tahun Ular, khabarnya tidak pernah mempunyai masalah kewangan. Ini kerana memang mereka ini sedikit berkira.

 

Justeru, ibu bapa daripada Tahun Harimau, yang memang dijangka tidak pandai menyimpan duit dan menabung, molek sekali mendapat anak di Tahun Ular kerana anaknya itu adalah pintu rezeki.

 

 

 

 

Bagaimana Nak Tahu Zodiak Kita ‘Ngam’ Atau Tidak Dengan Si Polan dan Si Polan?

Zodiak ngam atau tidak inilah yang menjelaskan mengapa kadang kala kita berasa tidak serasi atau tidak kena dengan seseorang. Saya ada dua tiga kenalan yang saya rasa memang tiada masalah dengannya. Kalau berjumpa memang bertegur sapa, berpisah akan berjabat tangan dan memberi salam, tetapi ada aura antara kami yang berlaga. Getar gelombang yang dingin berhembus. Itu masih okey, ada pula yang kita memang tidak boleh pandang, asalkan ternampak serasa meluat. Terlihat dari jauh kita ambil selekoh ke lorong lain. Itu tandanya memang lahir di tahun yang berlaga.

 

Tidak boleh misalnya Arnab dan Tikus duduk semeja. Arnab dirasakan mengada dan pura-pura manja, sementara Tikus kadang cemerkap tetapi seorang yang jimat dan pandai menyimpan.

 

Dalam Islam, anutan saya, jodoh pertemuan memang sudah menjadi aturan Tuhan sejak di alam arwah lagi. Justeru sudah tetap jodoh kita dengan siapa. Kalau sudah memang nasib berjodoh antara monyet dan harimau hendak diapakan. Memang akan berkelahi selalu. Tetapi kalau kita dapat poket almanak sebagai panduan, boleh juga berkira-kira supaya menghindar perangai yang akan membuat pasangan kita meruok dan naik angin.

 

Tetapi memang ada juga kawan kita yang sudah nasib akan disalahertikan, Harimau dikatakan selalu tidak dimengerti, dan Naga akan menganggapnya cuai dan tidak sensitif. Kita juga akan tahu bagaimana menjaga perasaan ibu bapa kita kalau begitu.

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com

 

 

Orang Tahun Kambing dikatakan Kolot, Janganlah diprovokasi 

Sudahnya, zodiak ini bukan sangat untuk menentukan bilakah masa terbaik untuk menukang rumah atau mengetip kuku. Ia sebenarnya supaya kita dapat menjadikan manusia 12 watak dalam kalangan kita ini akan damai selalu hubungannya dengan kita. 

 

Jika kita sudah memang tahu yang sang Kambing itu konservatif dan sang Naga itu sedikit pengingat (kalau tengok kamus ia akan dimaksudkan sebagai pendendam) maka elaklah menyakitkan hatinya. Janganlah punya suami yang Kambing (konservatif) dan sang isteri pula sang Ular yang suka berseksi.

 

Sudah tahu kolotnya Kambing maka janganlah diprovokasi. Kalau pula sang Tikus dan Ular itu pendiam dan selalu menjeruk rasa maka janganlah kita mengambil kesempatan dan membulinya. Memandangkan kita sudah tahu, jika kita mengambil peluang atas kelemahannya, tentulah berdosa!

 

Orang Cina memang memperincikan hal-hal sebegini. Ia menjelaskan mengapakah dalam Tahun Naga, orang yang lahir dalam Tahun Harimau akan selalu bernasib malang. Sekejap kemalangan kereta, sekejap bumbung rumah bocor, sekejap pengutip hutang datang menjelma, sekejap begitu dan begini. Adakah saya percaya sepenuhnya? Tidak juga. Tetapi sukar sekali untuk saya tidak percaya. Beriman tidak, beramal kadang pada zodiak ini.

 

Tak Rugi Kita Pelajari Ilmu Tafsiran Zodiak Cina Ini

Saya lahir dalam Tahun Harimau. Memang obses dengan karier dan bersemangat serba serbi. Orang Harimau ditakdir meletakkan sasaran hidup mengatasi keluarga. Kalau mahu anak yang akan selalu balik kampung, pilihlah anak yang lahir dalam Tahun Monyet. Ia hampir pasti tidak akan meninggalkan kita. Anak daripada Tahun Ular, akan jauh merantau dan menyayangi ibu bapanya. Ia pandai berdikari dan selalu murah rezeki.

 

Dan kalau tuan bertanya saya, eh bapa saya seekor Harimau dan ibu saya seekor Monyet tetapi elok sahaja berkasih sayang? Saya akan berkata, Zodiak Cina ada perincian untuk didalami, menentukan tahun sahaja tidak memadai. Tiap musim, malah jam kelahiran juga disandarkan pada haiwan-haiwan tersebut. Boleh jadi tahunnya Harimau tetapi musimnya Ular, maka kurang bermasalah antara ia dengan Monyet. Atau mungkin, siapa tahu, salah seorangnya salah tahun kelahiran!

 

Anda daripada tahun apa?

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Perkara-perkara PENTING yang Anda PERLU TAHU Kalau Ambil Polisi Insurans Kenderaan

  • Seterus →

    Orang LEO Pantang Menyerah, TAURUS Bijak dan Serasi SCORPIO — Anda Kena Baca, Baru Capai Titik Bahagia