Jun 19, 2017 - 2081

Isteri diperkosa Suami? — Jangan Pelik! Ini REALITI, Wanita Perlu Baca Ini Supaya Tak ditindas Selamanya

Jangan biarkan lelaki yang anda sayangi itu membisukan anda dan terus-terusan menyeksa dengan keganasan. Keluarlah kamu wanita dari kesengsaraan. Keluarlah!

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

 

 

Sumber foto: Corbis

 

 

 

WANITA sering ditindas serta selalu menjadi mangsa keganasan. Mungkin kerana sifat wanita itu sendiri yang lemah lembut maka kita sering dijadikan alat untuk melepaskan kemarahan atau hawa nafsu. Keadaan ini menyebabkan ramai wanita menderita. Disebabkan sikap segelintir daripada golongan yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita membantutkan usaha untuk mencapai tahap kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang lebih baik.

 

APA YANG BOLEH KITA KATEGORIKAN SEBAGAI KEGANASAN?

Berdasarkan Deklarasi Mengenai Penghapusan Keganasan terhadap Wanita oleh PBB pada 1993, keganasan terhadap wanita ditakrifkan sebagai sebarang bentuk keganasan berasaskan gender yang mendatangkan kesan atau boleh memberi kesan kerosakan atau penderitaan secara fizikal, seksual atau mental.

 

Women's Aid Organisation memberikan tafsiran keganasan terhadap wanita dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan lelaki. Keganasan terhadap wanita ini meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya.

 

Ia termasuk ancaman seperti tindakan, paksaan atau perlucutan kebebasan dengan sewenang-wenangnya, sama ada berlaku dalam kalangan khalayak atau dalam kehidupan persendirian. Keganasan yang dimaksudkan itu juga merangkumi seksual dan psikologi, termasuk memukul atau melakukan kekerasan dan penderaan seks yang dilakukan terhadap kanak-kanak.

 

Bukan setakat itu sahaja, ia juga membabitkan keganasan bukan dilakukan oleh pasangan suami isteri, malah meliputi eksploitasi, ancaman-ancaman di tempat kerja juga di institusi-institusi pendidikan.

 

 

Sumber foto: Corbis

 

 

 

5 BENTUK PENDERAAN TERHADAP WANITA

1) Penderaan Psikologi dan Emosi

Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita yang meninggalkan kesan buruk sama seperti kecederaan fizikal kerana membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan mereka untuk mengawal kehidupan sendiri.

 

2) Penderaan Fizikal

Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata adalah antara contoh jelas penderaan seumpama ini. Menghalang untuk mendapat keperluan asas seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan adalah termasuk dalam bentuk penderaan fizikal.

 

3) Penderaan Seksual

Memaksa melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan juga dikategorikan sebagai penderaan seksual. 

 

4) Penderaan Sosial

Penderaan bentuk ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar. 

 

5) Penderaan Kewangan

Seseorang wanita yang dihalang daripada mencari pekerjaan dan tidak dibenarkan membuka akuan bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Malah tidak dibenarkan mengawal wang serta terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan keperluan asas.

 

 

 

Sumber foto: Corbis

 

 

 

3 KEGANASAN TERHADAP WANITA YANG ANDA MESTI PERJUANGKAN

1) Gangguan Seksual

Terbahagi kepada gangguan bentuk lisan – teguran, komen, berjenaka, mengusik, membuat bunyi, dan perkataan yang kurang menyenangkan; bentuk isyarat – menjelir lidah, menjilat bibir, memegang serta memakan makanan secara provokatif, isyarat tangan atau bahasa yang berbentuk lucah; bentuk visual – menunjukkan material pornografi, melukis lakaran atau tulisan berdasarkan seksual, mempamerkan sesuatu berbentuk seksual; betuk ganguan psikologikal – undangan sosial yang tidak disenangi, diingini, kekerapan mengajak untuk mengadakan temu janji dan intimasi fizikal dan bentuk fizikal – sentuhan, tepukan, cubitan, urutan, geselan tubuh badan yang tidak bersesuaian, pelukan, ciuman, meraba dan gangguan seksual.

 

2) Perkosaan dan Keganasan Seksual

Daripada segi perundangan, definisi ‘perkosaan’ atau ‘rogol’ hanya terhad kepada perbuatan memasukkan kemaluan lelaki ke dalam kemaluan wanita secara paksa, tanpa kemahuan wanita tersebut. Jika seseorang wanita itu berumur di bawah 16 tahun, aktiviti seksual dengan atau tanpa kebenaran wanita tersebut adalah diklasifikasikan sebagai perkosaan menurut undang-undang. Keganasan seksual ini juga termasuk pelakuan secara paksa, memasukkan objek ke dalam kemaluan, mulut atau dubur wanita.

 

3) Keganasan Rumahtangga

Penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku apabila seorang pasangan (lazimnya lelaki) cuba mengawal atau mendominasi pasangan. Antara contohnya ialah penderaan fizikal, memaksa wanita memutuskan hubungan dengan keluarga dan saudara-mara serta kawan-kawan, memaksa wanita memberitahu setiap gerak-gerinya dan sebagainya.

 

Kesimpulannya, pihak kerajaan memandang serius isu ini dengan mengambil pelbagai langkah mencegah dan mengatasi masalah ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan program- program kesedaran serta pengukuhan institusi kekeluargaan itu sendiri.

 

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran kaum wanita terhadap hak dan kepentingan diri sendiri, seterusnya menguasai pengetahuan yang membolehkan wanita mengatasi rintangan, melindungi diri serta mengembangkan skop kehidupan mereka. Sekali gus dapat menggerakkan semua ahli masyarakat terutama wanita agar turut menyumbang tenaga serta idea kepada usaha untuk membanterasnya. 

 

Bahagian Bimbingan dan Kaunseling diwujudkan bertujuan untuk membantu wanita yang menghadapi pelbagai masalah termasuk menentang sebarang bentuk keganasan. Segala aduan mangsa keganasan akan disalurkan kepada jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM), Biro Bantuan Guaman dan Polis Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

 

 

APA PATUT ANDA LAKUKAN?

Mempunyai ilmu dan pengetahuan yang luas mengenai keganasan terhadap wanita melalui bacaan atau menyertai kumpulan tertentu yang memperjuangkan nasib wanita. 

● Menyokong kempen kerajaan untuk menggubal undang-undang yang efektif bagi mengatasi keganasan terhadap wanita.

● Memberi khidmat dan bantuan sebagai sukarelawan dengan menyumbang tenaga dan masa anda di pusat krisis.

● Lelaki perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat terhadap wanita. Mulakan dengan wanita di sekeliling anda – ibu anda, adik, kakak, kawan atau rakan sekerja. Jangan membuat jenaka yang menjatuhkan maruah wanita terutamanya terhadap mangsa rogol.

● Menanam nilai kemanusiaan seperti sikap pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin dan ia tidak bergantung pada “gender”.

● Lelaki dan wanita harus dan perlu belajar menghormati antara satu sama lain.

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Jangan Basuh Kereta Sebarangan Kalau Tak Mahu Badan Kereta Calar-balar! Ini TIPS Berguna Anda PERLU TAHU

  • Seterus →

    Balik Raya JANGAN Merempit atau Potong Bas 2 Tingkat — BACA 15 Tips Ini, Insya-Allah Perjalanan Selamat