Feb 22, 2018 - 1130
Oleh: Huda Hussain
JOHARA PAGI ERA
ISNIN - JUMAAT, 6.00 - 10.00 PAGI
Kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang JoHaRa Pagi ERA bersiaran, kongsikan?
Ketika Ray melakukan siaran luar ERA, saya dan Haniff di konti. Waktu itu kami mencari bayi yang lahir pada 12.12.2012. Seawal pagi lagi Ray sudah ke KPJ Kajang dan setiap 10 minit kami akan menelefonnya untuk mengetahui perkembangan terkini.
Kali pertama kami tanya, tiada lagi bayi yang lahir pada tarikh keramat itu. Hinggalah kali ketiga kami bertanya, kata Ray ada seorang bayi yang lahir. Dan apabila ditanya berapakah berat bayi tersebut, dengan nada penuh yakin Ray menjawab 35 kilogram! (ketawa) Itulah antara kenangan yang melucukan.
Jika bukan Haniff dan Ray, siapa rakan penyampai yang Johan rasakan serasi untuk ke udara bersama dan mengapa?
Saya tidak mahir mengawal ‘panel’ dan untuk itu saya memerlukan bantuan rakan sekerja yang mahir mengendalikannya. Selebihnya saya tidak kisah dengan siapa digandingkan untuk bekerja bersama
Rutin Johan sebelum masuk ke konti, apa yang sering dilakukan?
Minum air suam dan saya akan melakukan senaman ringan di dalam konti.
Perancangan Johan untuk terus meledakkan JoHaRa Pagi ERA sepanjang tahun ini?
Memperkenalkan segmen-segmen baru serta memantapkan lagi pengisian dan kandungan dalam segmen sedia ada.
Empat perkara unik dan menarik yang pendengar tidak tahu mengenai Ray dan Haniff dari kaca mata Johan?
Ray, jika dia terlelap dia akan memegang telefon bimbit. Dan apabila terdengar telefonnya terjatuh maka kami tahulah dia tertidur. Lama-kelamaan dia akan ‘sondol’ telefon itu, hahaha... Seperkara lagi mengenai Ray dia berjalan lambat.
Mengenai Haniff pula, dia seorang yang real (ceritanya nak nampak up saja, hahaha), dia suka menyampuk seolah-olah dia tahu sahaja apa yang kami bualkan. Selain itu dia suka mengulang-ulang ayat. Dan Haniff datang kerja naik Uber.
Di mana Johan 10 tahun akan datang?
Tidak pasti lagi kerana saya bukanlah peramal masa hadapan. Insya-Allah selagi masih diperlukan saya akan sentiasa bersama ERA dan terus menyajikan hanya yang terbaik untuk memenuhi selera pendengar setia kami.
Boleh bayangkan jika JoHaRa tiada lagi suatu hari nanti, apakah mungkin ia akan divisualisasikan dalam bentuk rancangan televisyen atau bagaimana?
Mungkin ya dan mungkin tidak kerana JoHaRa ke udara di stesen radio yang rata-ratanya pendengarnya terdiri daripada golongan yang lebih muda. Dan saya bayangkan, pasti suatu hari nanti ia akan dikendalikan serta diterajui oleh orang muda.
ERA tidak meningkat usianya dan berbeza dengan JoHaRa. Mungkin JoHaRa akan muncul dalam siaran online atau televisyen, itu tidak pasti lagi.