Jun 29, 2016 - 4294

6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No.1 Adalah Kegemaran Dayang Nurfaizah

Anda Semua Pasti Takjub Dengan Apa yang Mereka Boleh Lakukan Hanya Dengan Sebatang Berus dan Palet Warna. Baca dan Lihat Sendiri.


Teks: Afiza Kamarulzaman 
Instagram:

dsfvwefcwe.jpg

Tidak semua punya sentuhan jari ‘berbisa’ yang boleh diangkat sebagai sebuah‘  karya mega’. Hanya mereka insan terpilih sahaja mampu membayangkan suatu fantasi, lalu di lakar menjadi  zahir pada sebuah kalam polos bernama wajah. Mereka antara individu yang punya sentuhan dan keistimewaan tersendiri yang intrend beri ruang dan peluang tanpa kongkongan atau limitasi untuk menter jermahkan apa jua kreativiti di hujung jari mereka di sini – diisu khas yang meraikan harga sebuah ‘kecantikan’.

 

NO. 1 KHIR KHALID

“Berdirilah atas class anda sendiri. tak perlu mengubah diri, sebaliknya berbanggalah menjadi siapa kamu hari ini tanpa justifikasi orang lain.” 


Bakatnya ‘eksklusif’. Sukar diduplikasi walaupun adakala dirinya dilihat seakan pasif. Bagi saya, dia ‘milik masyakarat’ kerana setiap kali berbual samanya, pasti ada selingan tentang idea solekan baru. Melalui satu fasa berguru dengan pelbagai individu, mengambil yang baik dan mengenepikan yang mana jelik, Khir Khalid punya pengaruh solekannya yang tersendiri, khususnya untuk dedikasi di ruang editorial. 


“Solekan itu bagaikan nyawa buat saya, kerana itu saya tidak pernah mencampuradukkan dengan lapangan lain. Saya mahu benar-benar fokus dengan apa yang saya teruja untuk lakukan. Walaupun adakala hasil kerja saya dilihat tidak begitu ‘bersepah’, namun saya pilih untuk melakukan sesuatu yang amat dekat di hati saya. Dan, kerana itu saya rasa sesiapa saja yang melihat hasil kerja saya akan tahu ‘itulah karya Khir Khalid setiap kali melihat sudah hasilnya.” 


Menjadikan Rizalman Ibrahim antara ikon fesyen yang disenanginya, Khir Khalid dilihat sebagai jurusolek yang berani melontarkan idea-idea baru yang adakala tak terjangkau di bacaan akal biasa. Malah setiap kali bekerja dengannya, dia antara jurusolek yang sentiasa well-prepared. Walaupun, Khir selalu menyakat dengan perkataan, “Aku tak ada idea,” tapi percayalah hasil hingga ke akhirnya pasti buat sekalian kami yang menunggu tersenyum puas! 

Hasil nukilan . Foto Aaron & Felina

“Ramai yang kenal saya sebagai jurusolek yang suka berkarya di majalah sehingga mungkin ada yang beranggapan saya bukan pilihan pertama untuk solekan pengantin atau personaliti. Namun, saya percaya pada penilaian cantik bagi seseorang itu amat berbeza dan subjektif. Bagi yang menghargai solekan saya yang mementingkan keaslian rupa sebenar dengan sentuhan yang tidak mengubah wajah atau nude dengan imbasan raut segar, tetap datang dengan  penawaran yang berbaloi. Saya tidak memilih cuma mereka yang harus tahu selera mereka sendiri. Saya percaya setiap jurusolek punya air tangan dan sentuhan yang berbeza yang pasti ada peminat dan pengikutnya sendiri.” 
 

Ditanya tentang ikon cantik di Malaysia yang menjadi sanjungannya, tanpa berfikir panjang, terpacul nama Camelia. Camelia satu-satunya ikon yang dilihat tidak pernah silap apabila melalui karpet merah, punya class dan stail yang tersendiri. Berikan apa saja persalinan mahupun solekan untuk dibawanya, dia pasti menang gaya! “Saya tidak nampak penggantinya. Mungkin ada beberapa selebriti Malaysia yang dilihat punya stail tersendiri yang boleh diberi pujian, namun yang benar- benar menangkap mata dan hati saya, sehingga melupakan Camelia masih belum ada,” tuturnya jujur. 
 

Katanya lagi, untuk menjadi jurusolek yang diingati, seseorang itu perlu ada identiti diri, usah peduli apa orang kata dan perlu tahu di mana kemampuan diri. Pegang dan percaya pada setiap karya yang dihasilkan tetapi pada masa yang sama jangan sombong untuk belajar membaiki diri. “Tangga yang dinaiki itu tidak semestinya harus terus ke tingkat atas dan atas, ia adakala perlu diambil setapak ke belakang untuk menaiki anak tangga seterusnya dengan lebih lancar,” tutupnya dengan penuh makna.

 


 

 

NO. 2 KF BONG

“Setiap orang harus diberi peluang. Hanya peluang itulah keadilan untuk semua pengkarya. Do or do not. There is no try.” 

Dia antara jurusolek bukan Melayu yang dikagumi dalam kalangan penggemar solekan Melayu lantaran hasil kerjanya yang bertepatan cita rasa. Bagi saya, hasil kerjanya punya ‘roh’ untuk apa jua konsep solekan. Ada manis, ada class, ada cantik dan ada fesyennya. Memupuk minat dengan melukis sejak sekolah, mulanya dia mahu bergelar pereka fesyen. Namun, memikirkan bahawa bidang fesyen terlalu rumit untuk diterjah, dia mula mengikut- ikut teman-teman yang melakukan solekan. Daripada sebuah pertunjukan fesyen, dia berkesempatan menjenguk belakang pantas, di mana melihat jurusolek berkarya menjentik hatinya untuk berkata, “Mengapa tidak saya mencuba?” 

 

Bong sedar bahawa ilmu formal juga penting selain bakat anugerah yang diberi. Lantas, dia membuat keputusan untuk belajar di sebuah akademi. Kemudian, memberanikan diri menyertai Makeup Competition anjuran Shu Uemura pada 2007. Tuah menyebelahinya apabila dia memenangi pertandingan tersebut. “Saya bermula dari zero. Daripada mengikut teman-teman, membantu mereka membuat rambut, saya belajar sikit-sikit bagaimana bersolek. Setelah yakin, barulah saya tekad untuk menjadikan solekan ini kerjaya yang serius. Saya nampak kerjaya ini lebih mudah berbanding yang lainnya.” 

  

Nukilan Hasil nukilan . Foto Aaron & Felina

Bong juga menggemari solekan yang punya elemen mengejutkan. Katanya, untuk menghasilkan sesuatu karya itu, kita perlu meneliti dulu konsep yang ingin disampaikan, dapatkan idea. Kemudian, apabila tiba di lokasi, perlu lihat model dan elemen persekitaran. Dapatkan feel terlebih dahulu. “Saya percaya karya solekan itu tidak hanya tentang apa yang dicalitkan pada wajah tetapi bagaimana kita menyelaminya. Hasil solekan perlu bermula daripada feel,” kongsinya tentang rahsia merealisasikan sebuah karya yang berjaya. 

 

Berbeza dengan kebanyakan jurusolek lain, teknik Bong dalam mengaplikasi solekan amat berbeza. Dia akan menyapukan bedak asas sebagai teknik terakhir selepas siap dengan sapuan pembayang mata, gincu dan lain-lainnya. “Langkah bedak asas adalah langkah paling penting dan penentu kepada hasil yang tercipta keseluruhannya. Setiap orang mempunyai tekstur wajah berbeza, jadi tumpuan perlu diberi lebih ketika teknik itu. Dalam kehidupan seharian juga, kita selalu akan menyelesaikan perkara-perkara yang kecil dahulu, baru diikuti yang paling besar. Itu antara teknik mekap yang saya amalkan.”


Sebaik ditanya apa yang mahu dicapai lagi dalam kerjayanya? Katanya antara serius dan tawa, dia mahu belajar bercakap. “Betul, saya seorang yang tidak pandai bercakap. Maksud saya bijak bercakap. Saya hanya mampu merealisasikan karya saya menerusi gerak jari dan bukanlah daripada mulut ini. Saya kagum orang yang mampu berkarya dan pada masa yang sama mampu berkata-kata di depan khalayak dengan baik.” Jujurnya, bagi saya, Bong seorang jurusolek yang berkarya jujur. Malah ditanya tentang signaturnya, jawabnya pendek, “Saya tidak tahu. Cuma orang selalu kata saya versatil. Terima kasihlah.” 


 


*Nantikan sorotan kami yang berikutnya. Kami akan bawakan dua lagi jurusolek terbaik Malaysia menerusi artikel Bahagian 2. 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Kemunculan Pengilat Bibir Lut Sinar... Anda Pasti Hairan Bagaimana Ada Bunga di Dalamnya?

  • Seterus →

    6 Jurusolek Malaysia Paling Berpengaruh... No. 3 Adalah Kegemaran Luna Maya