Oct 20, 2017 - 22859

Rajin CUCI DARAH! — Ini Rupanya Rahsia Kulit Ifa Raziah Gebu, Anjal & Awet Muda, Sila Baca

Ifa Raziah membuktikan dia antara selebriti yang masih mempunyai tubuh menarik dan rupa yang cantik biarpun telah menjadi ibu. Obses tentang kecantikan tidak hairanlah dari dulu hingga kini dia masih cantik dan bertenaga. Ini rahsia kecantikannya.

 

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

Kredit foto:  Instagram

 

 

 

 

RAMAHNYA dia menyambut panggilan saya buat hati berkembang mekar. Mungkin ‘ayat-ayat PR’, desis hati ini. Namun, sebaik bertemu, yang mampu saya terjermahkan tentang dirinya adalah, ‘patutlah Ifa Raziah mampu bertahan hingga kini’. Dia ada sesuatu yang selebriti lain tiada. Ramah, mulut manis, tepati janji, berdisiplin, menghormati orang keliling dan besar hatinya.

 

Tarikh ditunda atas alasan yang amat saya fahami (sebagai penulis kecantikan). “Ala, sayang! Kulit Kak Ifa tengah teruk sangat ni. Baru buat laser, habis mengelupas dan merah- merah. Kalau kita buat juga nanti, takut tak lekat mekap,” luahnya sebaik meminta penggambaran ini ditunda. Mahu ketawa pun ada.

 

Betullah, dia orangnya obses tentang cantik. Belum pun mula mengorek rahsianya, sudah ‘terkeluar’ perihal cantiknya itu. Bersembang cantik dengannya, menolak-nolak diri bagaikan mahu segera ke pusat kecantikan yang disebut. Mahu ubah rutin diri agar tampil lebih cantik selayak seorang perempuan.

 

Antara ramai-ramai personaliti yang saya temu bual dalam ruangan ini, dialah satu-satunya wanita yang tidak putus-putus membicarakan soal ‘cantik’. Setiap jawapan, pasti bersulamkan matlamat yang satu – ‘mahu cantik, cantik dan cantik’!

 

 

 

 

Perlukah selebriti tampil cantik 24 jam? Artis dulu dan sekarang jauh berbeza. Artis sekarang lebih santai dan tidak mementingkan ketrampilan di luar lokasi.

Ya, sebagai selebriti kita perlu sentiasa cantik. Itu permintaan pasaran kita. Kita perlu sentiasa bersiap, tidak boleh selekeh-selekeh walaupun di luar waktu kerja kita. Itu yang akan membezakan kita dengan orang biasa.

 

Memang benar ada artis sekarang yang suka tampil biasa-biasa sehingga kadang-kadang kita tidak sedar kehadiran mereka. Kadang-kadang, Kak Ifa tengok artis lelaki lebih bergaya sekarang ini berbanding artis perempuan. Mungkin kerana begitu banyak lambakan artis baru dan mereka menjadi artis dengan mudah.

 

Zaman Kak Ifa dulu bukan senang. Kita berusaha keras untuk memegang title artis itu dan kerana itu kita hargai gelaran itu sepanjang masa. Artis dulu meletakkan diri mereka sebagai primadona. Rahsia untuk bertahan lama, kita perlu ada imej dan branding tersendiri.

 

 

 

 

Walau sudah berusia 42 tahun, masih bertenaga, ada mengambil apa-apa suplemen?

Selain ke gimnasium, Kak Ifa mengamalkan pengambilan suplemen Vitamin C untuk antibodi, Vitamin E untuk kulit, kalsium, suplemen untuk kesihatan wanita dan pengurusan berat badan.

 

Kak Ifa tak boleh makan jamu, alergi pada muka dan darah Kak Ifa tak boleh serasi dengannya. Masa berpantang pun Kak Ifa tak ambil jamu, jadi Kak Ifa ambil banyak suplemen.

 

 

 

 

Kak Ifa dikatakan obses tentang cantik, apakah rutin rawatan Kak Ifa?

Kak Ifa jenis yang suka mencuba dan cepat terpengaruh dengan produk-produk kecantikan yang dijual. Katakanlah apa sahaja produk popular yang ada, semua Kak Ifa cuba tetapi kebanyakannya baik untuk orang lain, tidak baik pula untuk Kak Ifa.

 

Jadi, sekarang Kak Ifa sudah tidak amalkan penjagaan kecantikan melalui ubat-ubat, Kak Ifa amalkan dengan suntikan. Eh, tapi ini suntikan yang dijamin selamat dan halal ya. Sebulan sekali Kak Ifa melakukan rawatan cuci darah atau dipanggil Ozone Therapy.

 

Ia bagus untuk membuang kolesterol dalam darah, bagi kita awet muda dan insya-Allah bebas daripada penyakit kronik seperti barah. Cara ia dilakukan adalah dengan menyuntik bahagian nadi kita.

 

Darah disedut dan diasingkan antara yang baik dan tidak. Kemudian, darah tersebut dimasukkan antioksidan untuk menyalurkan ‘darah baru’ yang lebih baik. Satu ke dua bulan sekali, Kak Ifa buat suntikan Vitamin C, Glutathione, Sheep Plasenta dan Stem Cell untuk kulit gebu dan muda. Sebulan sekali Kak Ifa buat facial dan rawatan laser untuk dua ke tiga bulan sekali.

 

 

 

 

Tidak takut dengan suntik-menyuntik ni?

Sebenarnya, Kak Ifa ni sangatlah penakut dengan jarum suntikan. Tetapi ia dijamin selamat dan dilakukan oleh doktor bertauliah. Lagi pun, cara ini lebih berkesan dan cepat berbanding kita makan ubat semata-mata. Cuma agak mahallah.

 

 

 

Berapa bajet cantik sebulan? Tidakkah rasa terbeban?

Adalah dalam RM2000 sebulan. Terbeban? Ia tuntutan kerja. Kalau rasa sanggup nak buruk- buruk, duduk rumah jaga anak saja. Kak Ifa anggap ini sebagai pelaburan. Sama seperti kita berniaga, perlukan modal. Dan modal Kak Ifa adalah menjaga kecantikan diri.

 

Kak Ifa selalu ada target. Contohnya, kalau Kak Ifa mahu ketepikan RM2000 sebulan untuk belanja kecantikan, Kak Ifa pastikan Kak Ifa mampu raih pendapatan sekitar RM20,000 sebulan. Begitulah pusingannya.

 

 

 

 

Maknanya, kecantikan itu bolehlah dimiliki sesiapa sahaja? Bukan sekadar anugerah?

Kak Ifa sendiri tidak dilahirkan cantik. Jadi, kenalah berusaha keras untuk memiliki apa yang diingini. Kita tidak mengubah, cuma memelihara apa yang telah tuhan anugerahkan. Jangan kedekut untuk berbelanja untuk diri sendiri, tambah-tambah untuk mereka yang berada dalam bidang ini.

 

Kadang-kadang Kak Ifa sendiri terpegun tengok cara Rozita Che Wan menjaga dirinya. Bagaimana dia mampu bercantik-cantik saban waktu? Tapi, itulah caranya kita meletakkan harga kita. Kalau tidak, masakan orang mahu bayar dia mahal-mahal. Itulah nilai yang orang letakkan untuk dia.

 

 

 

 

Orang biasa mungkin kata, Ifa Raziah artis, ada duit, bolehlah berbelanja untuk cantik?

Okey, Kak Ifa nak tanya pula kepada mereka, kalau joging, jaga makan kena duit juga ke? Itu yang selalu Kak Ifa persoalkan apabila Kak Ifa adakan bengkel kecantikan dengan wanita-wanita di luar sana.

 

Kalau tidak mampu ke gimnasium, pergilah joging atau bersenam sendiri. Kalau tidak mampu beli jamu, rebus daun sirih minum airnya dan cuci bahagian sulit dengan air rebusan itu juga. Kalau tidak mahu beli masker, pakai saja bedak sejuk. Tetapi, janganlah pakai ketika suami ada di rumah.

 

Ingat, kalau tak mahu suami bosan, ubah, jaga dan peliharalah diri sendiri. Kalau Kak Ifa buat bengkel, Kak Ifa akan turut ajar mereka cara-cara betul pakai baju dalam dan korset. Memang ada yang sampai terbahak-bahak ketawa, tapi itulah hakikatnya. Ini semua hal-hal remeh yang mesti kita ambil berat.

 

 

 

 

Kak Ifa seorang yang suka berterus-terang. Tidak bimbangkah berkongsi rahsia seperti ini?

Kak Ifa bukan hipokrit, bukan juga plastik. Dulu-dulu, apabila Kak Ifa beritahu Kak Ifa buat suntikan, kecoh satu dunia. Lama-kelamaan orang semakin boleh terima. Ada juga orang yang hentam Kak Ifa dulu tu pun dah ikut buat sama.

 

Penerimaan orang masa itu masih tertutup dan pengetahuan mereka tentang suntikan masih cetek. Sedangkan, ia sama seperti kita telan ubat vitamin, bezanya yang ini disalurkan secara suntikan.

 

Niat Kak Ifa ikhlas untuk berkongsi ilmu yang Kak Ifa tahu dan kadang-kadang Kak Ifa sudah seperti pakar motivasi. Ada kes yang datang kepada Kak Ifa, Kak Ifa bantu sehingga mampu menyelamatkan rumahtangga mereka.

 

 

 

 

Pesanan Kak Ifa buat wanita di luar sana?

Jaga kecantikan diri itu demi untuk kepuasan sendiri, suami, kerja dan keyakinan diri. Paling penting, mulakan dengan kecantikan dalaman. Cantik itu datang dari dalam diri, barulah ia menyerlah pada luarannya pula. Ada orang dalamannya ‘buruk’, bagaimana cantik pun mekapnya, tetap nampak ‘keburukannya’ itu. Hati mesti cantik.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Berat Zaman ‘AF’ Sampai Sekarang Naik 7kg” — Ini CARA Paling Berkesan NANA MAHAZAN Kurus Walau Beranak 2

  • Seterus →

    “Jangan Asyik Bising Berat Badan Naik, Tapi Tak Bersenam” — Ini PESAN Dato’ Sheila Majid Kalau Nak Langsing