Feb 22, 2017 - 2770

Umur 38, Sudah Beranak Satu — Jaclyn Victor Tetap Langsing Bagai Anak Dara! Ini Rahsia Jac

Jaclyn Victor antara penyanyi yang disegani dengan kelantangan vokalnya yang ‘power’. Selain menjaga suara, Jac juga seorang yang teliti dalam hal kecantikan dan fesyen. Ini rahsia Jac kelihatan cantik selepas melahirkan anak.

 

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad 

 

 

 

 

 

 

PADA usia 38 tahun dan bergelar ibu kepada Jonah Josiah Rivera, Jaclyn Victor berjaya mengekalkan bentuk badan zaman anak dara. Ya, selain itu, penyanyi yang mesra disapa Jac ini cukup beruntung kerana dianugerahkan dengan kulit menawan. Justeru, dia tidak perlu bersusah-payah mengamalkan rutin cantik yang ketat demi memelihara keremajaan kulitnya. Sebaliknya dia amalkan rutin bersederhana. 

 

 

 

Kongsikan perkembangan terkini Jac?

Kini saya sibuk dengan tugas sebagai seorang ibu, isteri dan penghibur. Meski jadual saya setiap hari agak padat, namun saya tetap enjoy dengan kehidupan ini. Selain daripada menjalani rutin harian sebagai insan biasa, saya juga sibuk dengan persembahan amal mahupun korporat.

 

Jadual saya semakin padat ketika ini kerana saya sedang mengumpulkan material baru dan bercadang untuk menghasilkan single terbaru. Masih belum ada tarikh untuk pelancarannya namun sangat berbaloi untuk menunggu. Justeru, sabar dan nantikan sahaja ‘buah tangan’ terbaru daripada saya. 

 

 

 

 

Selepas bergelar ibu, bagaimana Jac mengurusi kehidupan anak? Juga membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga?

Saya ibu yang praktikal. Saya dan suami (Shawn Rivera) membesarkan anak kami, Jonah tanpa bantuan pengasuh mahupun pembantu rumah. Sekiranya jadual seni kami bertembung, tugas menjaga Jonah saya serahkan kepada ibu saya. Itulah untungnya apabila rumah ibu hanya di seberang jalan, hehehe...

Oleh kerana jadual saya agak tidak menentu, ada ketikanya saya tidak berpeluang melihat Jonah sepanjang hari kerana perlu bekerja dari awal pagi hingga lewat malam. Jika bernasib baik, saya dapat berjumpanya sebelum dia melelapkan mata. Saya juga bernasib baik kerana suami bekerja dari rumah sekali gus dia dapat menjaga Jonah ketika saya keluar bekerja, terutamanya apabila saya perlu pergi ke luar negara untuk beberapa hari. 

 

 

 

 

Bagaimana dengan rutin penjagaan kecantikan Jac?

Saya ingin mengatakan bahawa secara umumnya saya dikurniakan dengan kulit yang sihat. Justeru, boleh dikira berapa kali wajah ini ditumbuhi jerawat, hehehe... Perkara penting yang saya amalkan adalah membersihkan muka daripada sisa solekan setiap malam sebelum masuk tidur.

 

Pun begitu,amalan memakai penyegar,pelembap dan sebagainya selepas rutin membersihkan muka bergantung pada tahap keletihan saya pada hari tersebut, hehehe... Selain itu, saya amalkan minum air masak sebagai pilihan utama termasuk ketika makan di luar.

 

 

Berapa lama masa diambil untuk Jac bersiap sebelum keluar rumah?

Jika dikira dari saat saya bangun tidur mungkin sekitar dua jam kut untuk bersiap. Lama? Oh, masa dua jam bukan sekadar bersolek semata-mata ya! Sebaliknya saya sering mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan apa yang saya perlu pakai dan memikirkan sama ada pakaian itu pernah saya gayakan di tempat lain. Jika bab bersolek, saya ambil masa sekitar 10 hingga 15 minit sahaja. 

 

 

Foto: Ihsan

 

 

Adakah Jac obses dengan kecantikan?

I am just conscious of my flaws as I am with my strengths. Saya tidak fikir saya menepati kriteria sebagai individu yang cantik yang telah ditetapkan oleh khalayak tetapi saya tahu bagaimana untuk bekerja dengan apa yang saya ada.

 

Malah, saya tahu sudut terbaik saya terutama ketika sesi fotografi, jenis solekan yang sesuai dengan diri, warna dan ton warna yang membantu menyerikan wajah saya. Jadi, untuk menjawab soalan anda, sejujurnya saya tidak taasub dengan kecantikan, hahaha... 

 

 

 

 

Adakah apa-apa petua cantik yang diturunkan oleh ibu kepada Jac? Jika boleh dikongsikan bersama pembaca InTrend?

Ibu saya tidak gemar bermekap kerana dia lebih selesa dengan kecantikan semula jadi miliknya. Paling tidak pun, ibu sekadar mencalitkan celak sekitar matanya. Apa yang saya pelajari daripada ibu adalah ‘less is definitely more’.

 

 

Bagaimana Jac meraikan peningkatan usia tanpa rasa takut seperti kebanyakan wanita di luar sana?

Memang wajar untuk kita menjadi matang seiring dengan peningkatan usia, malah ada banyak perkara yang boleh dilakukan sekiranya kita mahu melewatkan proses penuaan tanpa melakukan sesuatu yang drastik. Sebagai contoh, saya telah bereksperimen dengan warna semula jadi rambut saya yang agak kekelabuan dan berwarna perak sejak usia masih muda. Ia adalah keturunan.

 

Namun ketika saya berkunjung ke Amerika Syarikat (lebih kurang sebulan), boleh dikatakan saban hari saya mendapat pujian betapa anggunnya saya dengan penampilan warna rambut semula jadi milik saya. Kini saya sedang meraikan kecantikan semula jadi yang dianugerahkan kepada saya seiring dengan peningkatan usia. 

 

 

 

 

Siapa idola cantik Jac? Dan mengapa dia?

Sejujurnya, ramai yang saya kagumi atas sebab yang tertentu. Dan saya perlu mengatakan bahawa Cate Blanchett dan Dame Judi Dench antara idola pilihan saya. Anda mungkin fikir kenapa saya mengagumi mereka, bukan? Jawapannya kerana kedua-duanya excude grace, class, jelita, stail,elegan dan paling penting adalah there is such a presence about them. Untuk pengetahuan anda, Dame Judi Dench dan saya berkongsi gaya rambut yang sama, hahaha...

 

 

Tiga ‘item’ cantik mesti ada dalam tas tangan?

Saya tidak membawa apa-apa yang dikatakan sebagai ‘must have’ dalam tas tangan kala berpergian. Walau bagaimanapun, jika ada sesuatu yang saya perlu ada pada muka saya sebelum meninggalkan rumah adalah sedikit olesan penyamar cela (concealer) di bawah mata, calitan celak dan sapuan maskara.

 

 

Cantik pada pandangan Jaclyn Victor adalah...

Pada pandangan saya, kecantikan itu seharusnya terpancar dari dalam diri individu tersebut, selain less is more dan kecantikan itu juga terletak pada mata yang melihatnya.

 

 

Foto: Ihsan 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Saya TAK DIET, Tapi Ini yang Saya Buat Untuk Langsingkan Badan” — Ramona Zamzam

  • Seterus →

    “Nafsu Makan Dahsyat 2 Minggu Sebelum Datang Bulan! Pandai-pandailah Kawal Diri” — Nelydia Senrose Kongsi Tips Kurus