Jun 10, 2018 - 1

ZIANA ZAIN, “Cukuplah, Sampai Sini Saja Allah Pinjamkan Dia Kepada Saya” — Bagaimana Ziana NEKAD Keluar dari Neraka Cinta

Pada usia 50, Allah menurunkan ujian paling besar buat dirinya. Cinta yang disemai selama 20 tahun, rupanya menyimpan sebegitu banyak duka dan air mata. Ziana Zain bercerita dari hati ke hati, kisah luka yang telah terlalu lama ditanggungnya sendiri.

 

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

 

 

SEISI ruang studio sunyi seketika. Antara saya, Editor Pengurusan, Rosie Haslinda; Editor Fesyen, Vee; Pengarah Seni, Azni; juga pembantu peribadi Ziana Zain, Alin, semua kami membatu. Masing-masing menyeka air mata yang dari tadi berlegar-legar di tebing mata. Tunggu masa untuk pecah.

 

Emosi kami berlagu pilu. Apa lagi, susuk tubuh yang berada di hadapan kami juga sedang menanggung kisah cerita yang maha panjang. Kami sepikan diri, untuk memberi ruang kepada Ziana menarik nafas dalam-dalam dan mencari kekuatan untuk menyambung cerita.

 

Sesi temu bual ini kami langsungkan tanpa banyak asakan soalan. Biarlah Ziana bercerita tanpa paksaan. Tanpa ada rasa sesi ini untuk lanjutan pada penulisan di majalah. Luahkan saja apa yang terbuku, seperti Ziana sedang mengadu pada teman paling akrab, kerana kami jujur mahu segala-galanya dialirkan daripada hati yang sudah lama dipaku karat.

 

Siapa tidak tersentak apabila membaca laporan bahawa suami Ziana Zain, Armin Zaharin ditahan polis? Menambahkan lagi sentakan itu, apabila punca dia ditahan adalah daripada laporan polis yang dibuat oleh Ziana Zain sendiri.

 

Dan, lebih buat kebanyakan kita gempar, butir-butir laporan berisikan tentang penderaan anak! Kejutan ini bukan kerana ia tentang kisah rumahtangga seorang artis, tetapi seperti kebanyakan kita maklum, tiada siapa pernah terhidukan gelora dan pergolakan yang melanda rumahtangga ‘superstar’ ini.

 

 

 

 

 

 

Dalam diam, rupa-rupanya ada badai melanda. Dalam rahsia, ada sakit yang disimpan. Dan, seperti katanya, ia bukan tentang kisah semalam atau setahun lalu. Ia sebuah pelayaran berteman ombak untuk 20 tahun lamanya! Siapa kamu sebenarnya Ziana Zain? Yang punya hati sekuat batu? Yang miliki jiwa seteguh kubu yang tidak ranap dibedik peluru.

 

Diharapkan apa yang diluahkan beliau ini jangan kita jadikan isu salah menyalah. Ia bukan soal membuka aib, atau menuding jari. Ia ekspresi kisah yang sudah lama terbuku menjadi debu. Diceritakan bukan untuk memalukan tetapi menjelaskan bagi yang tak pasti. kerana dia juga wanita biasa yang punya hak untuk bersuara.

 

Dia yang lalui segalanya, hari demi hari, tahun bertahun. Bukan anda yang di luar sana, yang tidak berada di dalam kasutnya. Justeru, jangan mengandai. Usah memandai-mandai. Bacalah dengan tenang hati, berhenti jika ada yang tidak dipersetujui.

 

 

 

 

 

 

 

 

Hai Kak Ziana, nampak berseri hari ini. Mesti sibukkan rutin harian Kak Ziana sebagai ibu?

Seperti ibu yang lain juga, bangun pagi siapkan anak-anak ke sekolah. Jika tidak punya apa-apa urusan di luar, saya banyak luangkan masa di rumah sahaja, menonton televisyen, melihat program-program lama yang sudah banyak ketinggalan.

 

Berbeza pula jika saya ada urusan kerja, saya akan bergegas masak untuk anak-anak sebelum meninggalkan rumah. I will make sure, ada makan pagi, tengah hari dan malam untuk mereka.

 

Saya jarang tinggalkan anak-anak tanpa makanan di atas meja. Yang sulung dan nombor dua sudah besar, boleh diharapkan. Sebelum saya pergi, saya tinggalkan pesan, “Lauk Mama dah siapkan, nanti masakkan nasi."

 

"Kalau nak makanan lain, bahan-bahan Mama dah siapkan di dalam peti ais, nanti buatkan untuk adik-adik, bla... bla... bla...” Barulah saya boleh melangkah keluar dengan senang hati.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kenapa tidak diambil pembantu rumah saja?

Pernah juga dulu punya maid, tetapi sejak enam ke tujuh tahun yang lalu saya berkhidmat sepenuhnya di rumah. Kalau ambil maid bermakna extra money diperlukan, hahaha. Lagi pula, anak-anak sudah besar, semua sudah boleh diharap.

 

Masing-masing tahu peranan mereka, malah yang kembar (bongsu) pun sudah pandai uruskan baju sendiri. Yang abang sudah boleh diharap untuk vakum rumah, mengemas. Paling penting, saya aturkan jadual di rumah sebaik mungkin.

 

Sekarang pun, teknologi sudah canggih. Banyak peralatan rumah yang mampu menyudahkan kerja dengan pantas. Anak-anak sudah diajar berdikari dari kecil, tidak kira lelaki atau perempuan semua saya ‘kerah’ untuk melakukan kerja rumah.

 

Saya seperti Pak Zain, garang mendidik anak-anak. Bagi saya, anak-anak perlu diajar tentang survival skills, supaya kalau apa- apa terjadi di kemudian hari, mereka boleh bertahan untuk melangsungkan hidup tanpa mengharapkan sesiapa.

 

 

 

 

Okey Kak Ziana, berat untuk InTrend tanyakan persoalan ini sebenarnya, namun Kak Ziana seorang selebriti punya ramai peminat yang sayangkan Kak Ziana. Jadi, ramai di luar sana ingin tahu, begitu juga kami. Kalau boleh Kak Ziana kongsikan sedikit perihal tuntutan cerai Kak Ziana terhadap Armin?

(Menghela nafas panjang). Sesuatu yang tidak pernah saya terbayangkan. Kalau sebelum ini, saya hanya mendengar kisah teman-teman sahaja yang melalui keretakan itu, kita yang menasihati mereka untuk sabar. Tetapi hari ini, terjadi kepada diri sendiri.

 

Apa yang boleh saya katakan, apabila sesuatu yang sudah lama dipendam dan peluang telah diberikan begitu lama, tetapi tidak ada sebarang perubahan, baik daripada pihak dia atau saya sendiri maka, that is enough!

 

Ia telah mencapai satu limitasi yang sudah tak tertanggung lagi. Jadi, inilah keputusan terbaik untuk saya, dan lebih-lebih lagi apabila ia terang-terang melibatkan isu anak-anak.

 

 

 

 

 

 

 

 

Seperti yang kita tahu, perkahwinan Kak Ziana sudah mencecah 20 tahun, dan kenapa hanya selepas itu baru Kak Ziana mahu melakukannya?

Seperti yang saya katakan tadi, apabila ia melibatkan anak-anak, saya tidak mampu mempertahankannya lagi. Saya bukan bertindak untuk perkara yang remeh.

 

Benar, setiap rumahtangga ada pasang surutnya. tetapi, kalau sampai kita pulang daripada kerja, melihat anak yang berusia sembilan tahun tertidur dalam keadaan tangannya berbirat, muka berkesan lebam dan bengkak. Apabila ditanya, katanya, dia sakit, takut, telinganya masih berdesing, dia dipukul dek kerana tidak mampu menghafaz surah, hati ibu mana tidak luluh? 

 

Perkataan sabar apa lagi yang mampu dipegang? Sebenarnya, Muhammad Ariel anak istimewa, dia anak Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Dyslexia. Jadi, apabila ini berlaku terhadapnya yang masih dalam treatment, I am speechless.

 

Sedangkan kita sebagai parent sudah dimaklumkan perkembangan anak ini bagaimana? Anak istimewa ini sifatnya sukar fokus, aktif dan agak lambat walaupun pintar di sekolah. Jadi, haruslah ada pertimbangan yang waras dalam menanganinya.

 

 

 

Adakah kerana anak ini ‘istimewa’ menyebabkan ayahnya seperti tidak mampu menerimanya?

Entahlah. Bagi saya, apabila kita dikurniakan anak sebegini, anggaplah ia ujian untuk ibu bapanya, bersyukur, mungkin ada hikmah yang tuhan sembunyikan yang kita tidak tahu.

 

Kalau kita terus bersabar menghadapi anak-anak seperti ini, mungkin besar rahmat yang tuhan mahu hadiahkan. Paling penting, jangan diikut baran yang ada. Saya juga pemarah orangnya, tetapi tidaklah sampai melepaskan pada tubuh anak sehingga ‘begitu’.

 

 

 

Jika diimbas kembali saat-saat Kak Ziana berkahwin dulu, ia juga menggemparkan ramai kerana secara tiba-tiba Kak Ziana memperkenalkan lelaki biasa bernama Armin Zaharin sebagai bakal jodoh. Sedangkan waktu itu nama Ziana Zain berada di tahap tertinggi di persada dunia hiburan tempatan. Tup-tup berkahwin dengan lelaki biasa, mengapa?

Kerana, dalam soal memilih jodoh, saya tidak meletakkan diri saya sebagai artis. Saya bukanlah sempurna. Saya adalah Siti Roziana, wanita biasa yang mencari suami untuk hidup dan masa depannya.

 

Kami tiada kesempatan bercinta, hanya berkawan ketika sama-sama bekerja dulu. Apabila, sampai satu masa dia kata dia mahu masuk meminang saya, saya menolak. Tetapi, dia tetap sabar menunggu dan mencuba.

 

Kesungguhannya itulah yang membuatkan saya menerimanya. Manalah kita nak tahu perangai seseorang itu bagaimana? Sehinggalah kita duduk sebumbung dengannya. Di rumah, saya ialah isteri, di luar ya, saya Ziana Zain.

 

 

 

 

 

 

 

Tidak adakah ikhtiar lain yang boleh menyelamatkan keadaan?

Kalau selepas 20 tahun masa diberi dan tiada perubahan positif yang berlaku, malah ia bertambah rumit, rasanya tiada lagi cara lain yang lebih baik. Itu pun sudah diambil kira dengan perbincangan daripada bapa saudaranya.

 

Kalau diikutkan, daripada anak pertama dan kedua lagi, saya patut keluar dari ‘kotak’ itu, tetapi saya masih cuba pertahankan. Namun, kini anak-anak semakin membesar dan mereka sudah mampu berfikir sendiri, mereka sentiasa nampak baik buruk di depan mata mereka sendiri, sudah pandai menilai.

 

Apabila ia melibatkan emosi dan perasaan anak-anak yang sentiasa kemurungan serta tertekan, hatta di rumah sendiri saya tidak mampu terus bertahan. Yang betulnya, saya percaya pada qada dan qadar bahawa Allah sudah katakan cukuplah setakat ini engkau bersabar dan setakat ini sahajalah jodoh kalian, time’s up.

 

 

 

 

Dua puluh tahun bukan tempoh yang singkat, bagaimana mampu Kak Ziana bertahan dalam ‘bencana rumahtangga’ ini?

Semua manusia ada kelemahannya. Saya cuba untuk memberi peluang kerana saya sentiasa mencari di mana kesilapan saya sendiri? Peluang demi peluang itulah membuatkan saya terus bersamanya.

 

Untuk dua kepala bersatu dalam satu bumbung bukannya mudah. Jadi, saya bagi masa yang panjang untuknya membuktikan dia mampu berubah dan pada masa yang sama saya juga ingin menjadi yang terbaik untuknya sebagai isteri.

 

Rumahtangga mana yang tidak dilanda badai? Hanya besar dan kecil sahaja masalahnya. Bak kata orang tua-tua, rumahtangga ini umpama mendayung sampan, kena dikayuh perlahan-lahan.

 

Kita tidak boleh mendayung sendiri, kalau yang seorang lagi tidak membantu. Jadi, untuk sampai ke darat, saya terpaksa melepaskan dayung yang satu lagi untuk membolehkan pelayaran ini diteruskan tanpa dia.

 

 

 

 

 

 

 

Begitu hebat Kak Ziana mengunci rapat-rapat rahsia pergolakan rumahtangga ini sehingga tidak pernah dihidu media, bagaimana Kak Ziana melaluinya sendirian?

Sampai satu tahap apabila kita pulang daripada kerja, kita lihat pagar rumah, kita menangis, kita tidak mampu untuk membuka dan masuk ke dalamnya. Ya Allah, dugaan apakah yang harus aku tempuhi lagi?

 

Itulah yang akan saya lalui dulu, selepas pulang daripada mencari nafkah untuk keluarga. Saya sampai perlu menangis sepuas-puas hati di dalam kereta sebelum melangkah masuk ke rumah sendiri.

 

Ya Allah! Bagaimana untuk aku laluinya? Anak-anak di dalam, menunggu aku. Ada sampai satu tahap, sewaktu memandu kereta sendirian, saya seperti mahu saja melanggar kereta di depan, betapa ingin sekali mengakhiri semua ini.

 

Namun, apabila teringatkan anak-anak, cepat-cepat saya beristighafar. terdetik dalam hati, “Apa yang ingin aku buat ni? Mati dalam keadaan apa aku nanti? Kalau aku mati, di mana tempat anak-anak aku untuk bergantung?” Tenangkan semula hati, cari balik kekuatan diri. Memang terseksa mental dan emosi waktu itu, hanya Allah yang tahu.

 

 

 

 

Adakah semua ini berlarutan disebabkan sikap Kak Ziana sendiri yang terlalu berlembut, beralah dan tidak pernah mahu ‘melawan’?

Ya, dari kecil lagi kami adik-beradik diajar untuk tidak derhaka. Tanyalah kepada adik saya ini (Alin, yang kebetulan duduk bersama kami), Mak dan Abah tidak pernah ajar kami menjawab. Kalau dimarah, kami hanya akan duduk membisu.

 

Maka, ia teraplikasi sehingga ke dalam rumahtangga saya sendiri. Sehinggakan, dia sendiri pernah bertanya saya, “Awak ni tak reti menjawab ke?”

 

Betapa selama ini saya mengambil langkah untuk hanya diam dan diam setiap kali berlaku pertelingkahan antara kami. Hanya selepas tujuh tahun, apabila dia sendiri mencabar saya untuk menjawab, dan saya tanyakan kembali kepadanya, “Betul awak benarkan saya menjawab? Betul awak nak dengar saya bercakap?”

 

Dan, jawabnya, “Ya, jawab!” Barulah saya berani membuka mulut.

 

Namun, kesudahannya tetap sama, tetaplah semuanya dia yang benar. Akhirnya, saya ambil keputusan, that’s it. Saya tidak mahu cakap lagi. Doktor pun sudah beritahu saya ada tekanan darah tinggi dan depression.

 

Hanya kepada Dia tempat mengadu dan saya banyakkan berzikir untuk mencari ketenangan diri. Setelah tahap kesabaran saya memuncak, saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya buat, kepada siapa untuk bertanya, saya cuba cari petunjuk dengan solat istikharah, dan alhamdulillah ada beberapa petanda yang mengunjurkan inilah cara terbaik untuk menyudahkan semua ini.

 

 

 

 

 

 

 

Bagi saya, Kak Ziana sudah sempurna dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri, malah membantu suami daripada segi ekonomi. Apa lagi agaknya yang dia mahukan daripada isterinya ini?

I don’t know. Apabila ditanya, “Kenapa awak macam ni?” Dia hanya akan jawab, “Saya suami, awak jangan derhaka!”

 

Jadi, saya malas mengeruhkan lagi keadaan, kerana dia suami. Pernah juga saya kata kepada dia, “kadang-kadang saya faham awak, kadang-kadang saya tak tahu awak ni siapa sebenarnya?” Dan, dia hanya akan kata, “Dah memang perangai saya begini, dah memang saya panas baran.”

 

Saya cuba sedaya-upaya untuk memahami dirinya, mengikut rentaknya, memahami keadaannya, kalau dia marah bagaimana? Tertekannya bagaimana? Tetapi, nampaknya ia tidak berkesan. Apa yang saya lakukan seolah-olah tidak memberi apa-apa makna kepadanya.

 

 

 

 

Kak Ziana tidak pernah bertindak sejauh ini, tidakkah ini memberi tamparan hebat kepadanya?

Saya sudah pernah ungkapkan dulu kepadanya, “Sesabar-sabar perempuan, ada batasannya. Jangan terus diuji. Dan, dia sendiri pernah mengakuinya, “Ya, awak seorang yang penyabar.”

 

Dan, apabila sekali saya buat keputusan ini, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi. Saya tahu dia terkejut dengan apa yang berlaku kerana saya tidak pernah sekali bertindak seberani itu sebelum ini.

 

Segala kepahitan saya telan. Saya beri dia masa dan peluang walau tidak pernah sekali dia cuba untuk membaiki keadaan, apa lagi untuk menundukkan egonya mengakui kesilapan sendiri.

 

Memohon maaf? Jangan mimpi. Sudah banyak kali saya beralah dan telan sahaja kata-katanya demi kerana dia ‘suami’.

 

Dia mungkin boleh lupakan apa yang dia kata pada keesokannya, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku semalam, kerana alasannya dia memang jenisnya begitu, dia seorang yang akan cakap ‘direct’ kalau ada yang tak berkenan di hati. Baiklah...

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana penerimaan anak-anak dengan keputusan ini? Adakah Kak Ziana berbincang dulu sebelum bertindak?

Mereka baik-baik saja. Apa yang saya lakukan ini pun demi masa depan mereka. Saya sudah tidak sanggup mendengar rintihan anak-anak yang tertekan dengan kehidupan seharian mereka di dalam rumah sendiri.

 

Bagaimana perasaan seorang ibu apabila anak sendiri mengatakan, “Kita sebenarnya bukan keluarga yang bahagia, bukan yang macam orang lain fikir, Ma...”

 

Anak-anak sampai merayu tidak sanggup kehilangan saya, mereka boleh hidup tanpa bapanya. Saya cuba pujuk, “Tak baik nak, dia tetap bapa kamu. Let’s try to make our family happy, okay?”

 

“Tak boleh Ma, tak boleh, kami takut apa-apa jadi kepada Mama nanti...” Apa yang hendak seorang ibu itu jawab, jika anak-anak mula mempertikaikan hak mereka sebagai anak untuk hidup bahagia? Pernah sekali, saya bawa anak yang sulung, Aiman keluar makan, saya tanya kepadanya yang kelihatan murung waktu itu. Jawabnya, “You knowlah your husband.”

 

“Aiman, tak baik cakap macam tu. He is your father too,” balas saya. Sambungnya, “He is no longer in my heart.”

 

Saya pujuk, saya kata berdosa cakap begitu.“Yes,I know. But what he had done to me, I cannot accept, Ma.” Saya kata balik, “Nanti you pun akan ada keluarga sendiri, baru you faham. Dan, jawapan Aiman, “I am not going to treat my family like what Ayah did to us, Ma.

 

I have already planned how to take care of my wife, my kids. How to protect them...” Dia tanya lagi, sampai bila saya harus terus bersabar? Setiap pujukan saya, dia ada hujahnya sendiri yang saya tidak mampu patahkan lagi. Saya kata, sabarlah... Aiman balas, “Tuhan beri kita otak untuk berfikir. Tuhan beri kita akal untuk mengubah kehidupan kita.”

 

Bagaimana lagi untuk saya tahan perasaan yang dipendamnya itu? Itulah yang saya selalu ingatkan. Jaga-jaga dengan perkataan yang kita keluarkan terutamanya kepada anak-anak kerana ia mampu menembusi sehingga ke tulang hitam.

 

Ia mampu memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan jiwa anak- anak. Anak kedua, Ammar, dulu selalu mengadu sakit-sakit di kepala di bahagian belakang. Doktor kata itu antara simptom stress.

 

Dan, selepas dia tidak lagi bersama Ayahnya, saya tanyakan semula sakitnya itu, dia boleh jawab, “Dah hilanglah, Ma. kalau di rumah kita dulu, selalu berdenyut-denyut kepala.”

 

Saya tidak ajar anak-anak membenci Ayah mereka. Bagaimana sekalipun sikap Ayah mereka, darahnya tetap mengalir dalam tubuh. Dialah wali anak-anaknya nanti. Saya tidak suka provokasi anak-anak dengan memburukkan Ayah mereka.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan Abah dan Mak Kak Ziana? Tidak pernahkah cuba campur tangan?

Mereka tidak mahu dikatakan mencampuri urusan anak-anak. Berdosa. Antara Mak, Abah dan suami; suami perlu diutamakan. cuma, selalulah saya lihat setiap kali saya bawa anak-anak bertandang ke rumah mereka, pasti Mak dan Abah menangis.

 

Mak akan kata kepada Abah, “La, Abahnya, kesian tengok anak kita, macam tak ada suami gayanya. ke mana-mana sendiri.” Dan, Abah akan jawab, “Yelah Maknya, nak buat macam mana, dah nasib dia.” Mereka serahkan keputusan di tangan saya. Selagi saya sanggup tempuh, teruskanlah... katanya.

 

 

 

 

Adakah kerana tekanan emosi yang dihadapi selepas dia berhenti daripada pekerjaan tiga tahun lalu mengeruhkan lagi keadaan?

Mungkin, tetapi ia bukanlah faktor terbesar. Seperti yang saya katakan tadi, perkara ini bukan baru. Saya juga berinya masa yang lama untuk dia mencari sumber rezeki yang lain. Malah, dia pun pernah cuba menguruskan perniagaan saya. tapi... (menarik nafas dalam).

 

Perihal rezeki ini, Tuhan yang beri. Siapa yang membawa lebih atau kurang tidak penting kerana apa yang ada kita kongsi bersama, tidak perlu terlalu berkira. Seorang isteri itu tidak mahu banyak.

 

Kalau hatinya dijaga, treat her nicely, dirinya dihormati selayak seorang wanita, itu pun sudah memadai. Jangan ditidak-tidakkan pendapat isteri. Kadang-kadang, terfikir sendiri kenapalah aku ini tidak dihargai sedangkan di luar sana, aku ni ramai yang sayang, ramai yang layan aku dengan baik. tetapi, di rumah sendiri?

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidakkah dia seharusnya bangga punya isteri bernama Ziana Zain, yang dikenali ramai di luar sana?

Tidak juga, kalau dia nak melampiaskan amarahnya, tak kira di rumah atau di luar rumah. Muka kadang-kadang naik tebal, menahan malu. Sehinggakan apabila di luar, ada peminat yang datang minta bergambar pun, kita terpaksa tolak cara baik sedangkan dia...?

 

Bagaimana cara berdiplomasi? Susahkah bercakap elok-elok untuk menolak permintaan orang? Apabila peminat sendiri kata, “tak apa kak Ziana, kami faham...”

 

Rasa nak menitik air mata. Kalau dia bangga dengan kita, dia tidak akan layan kita sebegitu.

 

 

 

Adakah Kak Ziana tidak percaya untuk menceritakan masalah Kak Ziana kepada orang lain?

Abah saya ajar jangan sesekali bercerita hal rumahtangga kita kepada orang luar. Nanti kita diketawakan saja. Orang tidak berada di dalam rumah kita, mereka tidak tahu.

 

Selagi boleh telan, kita telanlah sorang-sorang. Dan, apabila tiba masanya sudah tak mampu ditelan lagi, inilah jadinya.

 

Ini bukan soal membuka aib, tetapi telah terdedah dengan sendirinya melalui keadaan yang tak mampu kita kawal. Sebab kalau sudah terlalu lama ditelan, kalau ia sampai merosakkan diri sendiri, maka jalan keluarnya, kenalah diluah dan dimuntahkan jua.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Di luar sana, pasti ada ramai juga wanita yang menghadapi apa yang Kak Ziana lalui ini. Apa nasihat Kak Ziana kepada mereka?

Apa yang boleh saya katakan, beginilah... cuba timbang-tara antara keburukan dan kebaikan pasangan, yang mana lebih banyak?

 

Jika kebaikan itu lebih lagi daripada keburukannya, teruskanlah tetapi jika sebaliknya, jika hari-hari terpaksa berdepan dengan mental torture, hati tak gembira, anak-anak menderita, untuk alasan apa lagi kamu perlu menunggu?

 

Jangan takut dengan stigma buruknya gelaran ‘janda’, kalau itu dapat membawa kamu dan anak-anak keluar dari zon sengsara, keluarlah. Selain itu, rujuklah dengan orang yang berpengalaman. Jangan lupa solat istikharah, minta kepada Allah. Dia pasti beri petunjuk-Nya.

 

 

 

 

Setelah tidak sebumbung sekarang, apa yang Kak Ziana rasa?

Tiada dendam. Hanya rasa lega yang sangat lega. Umpamanya sebelum ini ada batu atas kepala, nak bernafas pun tersemput-semput, tetapi kini semua itu sudah terlerai. Hahh... macam tulah rasanya.

 

Anak-anak pun nampak lebih tenang dan ceria. Rasa lapang dada, walaupun terpaksa bayar segala bil sendiri pun tak apalah, janji kita tak pandang lagi muka orang yang menyakiti hati kita saban hari.

 

 

 

 

Pada usia 50 tahun ini, apa yang Kak Ziana harapkan dalam kehidupan mendatang?

Happiness. Pada usia begini, tiada apa lagi yang nak saya kejar. Saya mahu bangun setiap pagi tanpa stress. Tenang.

 

Apabila berada di meja makan, kami dapat makan dengan aman. Soal rezeki, apa yang tuhan beri, itulah yang akan kami sekeluarga nikmati bersama. Insya-Allah, saya akan bina kembali keluarga baru kami yang lebih baik.

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Saya Pernah dilayan Buruk Sebab Saiz Fizikal” — Sherry Alhadad Kecewa Orang Malaysia Masih Diskriminasi

  • Seterus →

    Episod Pertama InTrend Malaysia X ALTERNATIF Mula Bersiaran Setiap Jumaat di Astro Ria & Astro Ria HD!