Apr 10, 2017 - 156349

Kisah Cinta TERHEBAT, Dua Hati Terikat — Balik Tabir Perkahwinan Dato’ Siti & Dato’ Khalid

Banyak yang boleh dikenang. Hari-hari seperti ini tidak selalu datang. Bahagia kerana dapat membahagiakan, gembira kerana mampu menggembirakan. Sebuah kisah catatan diari, Rozi Abdul Razak.

 

 

 

Oleh: Rozi Abdul Razak 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

CERITA tentang  perkahwinan mereka ini adalah satu kisah yang panjang. Kini mereka telah melalui usia 10 tahun perkahwinan. Juga baru diraikan dengan meriah. Sekalipun 10 tahun telah berlalu tetapi banyak yang harus dicerita, perihal yang pelbagai, daripada sudut yang berbeza, acaranya juga bukan sekali dua malah tiga. 

 

Tarikh 21 Ogos 2017 akan datang, genaplah 11 tahun perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dengan pasangannya, Dato’ Khalid Mohamad Jiwa. Mengimbas 10 tahun lalu, pada tarikh 17 Julai 2006 iaitu hanya beberapa hari sahaja selepas kedua- dua keluarga berbincang dan bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan Siti dan Khalid, majlis pengumuman rasmi diadakan.

 

Kredit foto: White Studio

 

 

Persiapan dalam keadaan yang agak tergesa-gesa kerana semuanya berlaku sekelip mata. Bagi mengelak spekulasi yang semakin hari semakin menebal, telahan orang ramai yang tidak tahu hujung pangkal, pengumuman ini penting bagi memberitahu kedudukan sebenar dan pemilihan tarikh. 

 

Sejak pagi, Hotel The Zon On the Park sesak dengan kehadiran pihak media yang hanya diberitahu tentang sidang media pengumuman rasmi itu sehari sebelumnya. Aku masih ingat bagaimana sibuknya aku menyiapkan undangan kepada pihak media hingga ada yang menerimanya melewati senja 16 Julai 2006. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

Memang benar, tugas ini tidak mudah kerana selepas undangan dihantar menerusi faksimili ke pihak media, telefon akan berdering tanpa henti. Media mahu tahu sedikit sebanyak apa yang akan berlaku untuk memenuhi akhbar keesokannya. Aku tidak boleh bersuara kerana semuanya masih lagi rahsia. Biarlah pagi esok meleraikan segala- galanya.

 

Aku tiba di hotel  awal daripada yang lain. Menunggu kaum keluarga  dan menyambut pihak media. Bapa Siti diminta memberikan sepatah dua kata pada majlis itu nanti. Aku bergegas mencari komputer untuk menaip dan memberi panduan bagaimana beliau harus berucap nanti. (Hakikatnya beliau lebih arif kerana hanya dengan serangkap pantun, memberi makna yang begitu besar dan sentimental). 

 

Selepas semua pihak tiba di hotel termasuk kaum keluarga dan tentunya  Siti dan Khalid, tempat majlis berlangsung menjadi begitu sesak. Aku sama sekali tidak menyangka majlis pengumuman ini disiarkan secara langsung di TV3 tengah hari itu. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

Soalan bertalu-talu, aku hanya berdiri di satu ruang yang agak tersorok. Memberi laluan kepada tetamu yang hadir dan aku juga tidak mahu bersesak-sesak di situ. Hanya sebulan sahaja masa yang ada bagi membuat persediaan perkahwinan yang digelar `Wedding of the Year’ ini. Perancang perkahwinan waktu itu, Dato’ Shah Rezza kerap menghubungiku, kami bekerja begitu akrab.

 

Pagi petang siang malam jika tidak berjumpa, kami akan menghubungi antara satu sama lain. Pasukan masing-masing ditubuhkan. Mesyuarat demi mesyuarat diadakan. Dalam penuh kesibukan dengan pelbagai persediaan, aku sempat menemani Siti mengikuti kursus perkahwinan. Kemudian kami terbang ke Jakarta kerana kebetulan Siti ada acara di sana dan Siti sempat memilih dan menempah kad undangan perkahwinan. Selang dua minggu sebelum majlis, aku terbang lagi ke Jakarta bersama seorang teman bagi menempah cenderamata buat tetamu dan juga membeli kain untuk persalinan gadis-gadis pengiring. 

 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

Di samping menjalankan kerja-kerjaku, aku sentiasa berhubung dengan Siti bertanyakan persiapan-persiapan lainnya. Semua orang membuat kerja mereka, dua persalinan dengan Radzuan Radziwill, manakala Khoon Hooi, Michael Ong, Anne Avantie dan Embun masing-masing sepasang. Kedatangan Anne juga diuruskan ke Kuala Lumpur untuk membuat fitting bagi kebaya yang akan dipakai Siti di Kuala Lipis pada 3 September. 

 

Aku juga menemani Siti sewaktu dia mencuba perhiasan yang ditaja Rafflesia dan Elegance Club, kemudian bersamanya untuk fitting baju di butik pula. Kemudian kami singgah di Mid Valley bagi mencuba kasut Lewre yang bakal dipakainya bersama gaun Khoon Hooi pada majlis di KLCC. Kerja- kerja seninya juga aku uruskan sebelum hari perkahwinan berlangsung kerana ada beberapa komitmen yang sudah dipersetujui.

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

Ramai yang teruja untuk melihatnya beraksi sebelum dia bergelar isteri. Aku dan suami juga sempat menerima undangan pihak TV3 untuk muncul dalam satu rancangan khas sempena perkahwinan Siti dan Khalid berjudul Tiada Rahsia. Aku juga kerap menghubungi Nurul Shukor sebagai jurusolek di majlis perkahwinan Siti dan memintanya berhubung dengan pereka fesyen bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang akan dipakai Siti nanti. 

 

Meskipun telah 10 tahun Nurul berkhidmat untuk Siti tetapi tatarias perkahwinan dengan solekan menjayakan persembahan adalah sesuatu yang berbeza. Siti memilih jurusolek dari Indonesia bernama Mia untuk majlis di KLCC dan dia dibantu jurudandan rambut, Tommy. 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

Pelawaan Siti disambut gembira oleh Mia dan Tommy dan aku menguruskan kedatangan mereka ke Kuala Lumpur untuk majlis 28 Ogos. Sebulan yang ada dipenuhi dengan kerja, pernah sekali aku tiba di rumah pada jam empat pagi. Itu belum termasuk menyiapkan edaran kad jemputan perkahwinan, menguruskan acara sidang media khas Siti dan Khalid di TV3 beberapa hari sebelum majlis juga daripada sekecil- kecil hal hingga kepada perkara besar. Bagi aku, majlis untuk Siti ingin aku persembahkan dengan sempurna, walau ada sedikit cacat- cela tetapi aku mahu ia berlangsung dengan penuh makna. 

 

 

 

19 0gos 2006 

Majlis berinai diadakan di rumah Siti, serba sederhana hanya dihadiri saudara- mara dan kenalan sahaja. Hampir empat jam tangan dan kaki Siti diinai. Seperti menonton sebuah persembahan, di hadapan Siti penuh dengan tetamu yang menyaksikannya. Siti hanya tersenyum. Riak-riak kegembiraan jelas kelihatan. Sambil berinai, pihak lain pula bertungkus-lumus menghias rumah dan kamar pengantin Siti. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

21 Ogos 2006 

Siti disolek seawal jam 7.30 pagi. Bertolak dari Cheras (rumah Siti) ke Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta secara konvoi. Lebih 10 buah kereta semuanya tetapi apabila tiba separuh jalan, semuanya berpecah kerana kesesakan lalu lintas. Sampai sahaja di masjid, aku terus ke bilik menunggu di mana Siti berada di situ untuk mendapat sentuhan terakhir jurusolek Nurul. Radzuan Radziwill turut membantu kerana Siti mengenakan pakaiannya.

 

Aku kemudian ke bilik tempat majlis pertunangan akan berlangsung, menunggu kedatangan Siti di situ. Apabila majlis pertunangan selesai, aku mengiringinya ke ruang dalam masjid di mana majlis akad nikah akan diadakan. Selesai majlis, aku tidak menang tangan melayan tetamu dan pihak media. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

28 Ogos 2006 

Sejak semalam, aku sudah berkampung di sini. Ada raptai untuk majlis persandingan. Pengantin juga turut terlibat dengan raptai ini, di samping semua pihak yang menjayakan persembahan iaitu penari, penyanyi dan pemuzik. Aku tiba tengah hari 28 Ogos, meninjau apa yang patut di KLCC sebelum menjenguk Siti di biliknya yang sedang disolek Mia. Jam 5.30 petang, Siti turun ke balkoni di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk melambai peminatnya yang menunggu di bawah. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

Aku dapat lihat wajah kecewa Siti kerana jarak antara peminat dan balkoni agak jauh. Barangkali terkilan, Siti menitiskan air mata. Pihak pengawal keselamatan di situ tidak dapat membenarkan Siti turun kerana keadaan akan jadi sesak dan bimbangkan keselamatannya. Selepas selesai, Siti dibawa ke dewan yang dihias dengan pelamin bagi membolehkan jurugambar mengabadikan gambarnya. Hampir 30 minit di situ, aku seperti biasa melayani media sebelum kembali ke bilik Siti.

 

 

 

 

 

 

Acara persandingan Siti dan Khalid disiarkan tepat jam sembilan malam di TV3 dan aku hanya mundar- mandir di dalam dewan, tempat duduk sudah dipenuhi dan aku kemudiannya menemani Siti menyalin pakaian untuk acara potong kek. Aku dan suami diminta mengiringi ibu dan bapa Siti yang turut menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka ke pentas. Selesai acara memotong kek, Siti masih di pentas menyanyikan lagu khas ciptaannya, Cahaya Cinta.

 

Aku ingat lagi bagaimana aku mendesak Siti mencipta satu lagu khas perkahwinannya. Dalam penuh kesibukan, dia memikirkan melodi dan lagu digubah oleh Aubrey Suwito. Sehari selepas majlis akad nikah, Siti merakamkan lagu tersebut, aku dan Khalid menemani Siti di studio. Apabila keseluruhan acara selesai, pengantin berdiri di pintu utama untuk bersalam dengan orang ramai hampir empat jam lamanya. Aku menunggu sehingga selesai iaitu jam tiga pagi. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

3 September 2006 

Hari ini majlis di kampung halaman Siti di Kuala Lipis. Seperti sebuah pesta rakyat, acara persandingan diadakan di padang Majlis Daerah Lipis. Raptai diadakan tengah hari dan petang. 

 

Jam sembilan malam pengantin diarak masuk ke tengah padang. Keadaan jadi tidak terkawal, orang ramai bersesak dan laluan pengantin terhalang. Mereka terus dibawa ke pentas khas di mana jamuan makan diadakan.

 

Acara dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian. Pengantin kemudiannya naik ke pentas untuk memotong kek dan kemudiannya Siti menghadiahkan dua buah lagu. Tiga acara tamat. Kuala Lipis menjadi saksi azimat. Kisah hangat dua sejoli yang melalui dugaan cinta terhebat. 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

 

Kredit foto: White Studio

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    10 Tahun Amalkan AEROBIK! Datin Maria Arshad Kekal Langsing Macam Anak Dara — Bacalah, Ini Rahsianya

  • Seterus →

    Wanita Jelita Ini Suri Niaga Sukses, TAPI “Jadi Ibu di Dunia dan Mengejar AKHIRAT Tetap Kerjaya No. 1 Saya”