Dec 30, 2016 - 4018

“Saya Bukan Pelawak. Saya Pelakon Serius yang Selalu diberikan Watak Jahat”— Ebby Yus

Ebby Yus dikenali sebagai pelawak tetapi dia sebenarnya bukalah seorang pelawak. Siapakah Ebby Yus sebelum bergelar pelawak?

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

Perkembangan bisnes restoran? 

Perniagaan itu sudah lima tahun kami usahakan. Bukan saya usahakan seorang, tetapi bersama-sama beberapa rakan kongsi. Sekarang, sudah ada tiga cawangan, di Shah Alam, Prima Seri Gombak dan Wangsa Melawati.

 

Restoran ini menyediakan makanan Cina Muslim, kerana seorang rakan kongsi adalah Cina Muslim. Namanya Adam, bersempena namanya, kami namakan restoran ini Restoran Adam Lai. 

 

 

Boleh kongsi pengalaman Ebby Yus dalam industri hiburan?

Saya bermula pada hujung 1983, iaitu selepas tamat persekolahan. Sebenarnya saya bermula dengan mengambil asas tarian di Kompleks Budaya Negara (sekarang sudah jadi Aswara). Di situlah lahir pelakon seperti Eman Manan dan Zulkifli Zain. Di sana saya mengambil bidang asas tarian, kemudian berjinak- jinak dengan bangsawan. Antaranya, bangsawan Bintang Timur dan Gerbang, bersama-sama Rahman B, Rahim B, Ahmad B dan Rohani B.

 

Selain main bangsawan, saya bergiat dalam Gabungan Teater Nasional di bawah Johari Yusuf. Banyaklah saya berteater, selain dapat main drama TV. Ketika itu TV swasta tiada, jadi kami banyak mengharap kepada Panggung RTM dan Filem Negara. Tidak dinafikan, memang susah ketika itu. 

 

 

 

 

Sejak bila jadi pelawak? 

Saya bukan pelawak. Saya pelakon serius yang selalu diberikan watak jahat, adegan pertarungan, silat dan sebagainya. Antara 10 ke 15 tahun kebelakangan ini, baru saya masuk bidang komedi. 

 

 

Watak komedi pertama? 

Kali pertama saya pegang watak komedi dalam sebuah drama Ala Emak Kahwinkan Aku arahan Aziz M.Osman. Saya sudah lupa nama watak yang saya pegang tapi ia salah satu watak penting, selain Melissa Saila dan beberapa pelakon terkenal lain. Tahun bila, saya lupa. Selepas itu, saya diam sebab saya tak tahu saya boleh berlakon watak komedi. Aziz yang betul-betul mendidik dan guide saya dari A hingga Z.

 

Selepas lama diam, saya terlibat dalam sitkom Gado- Gado arahan Anwardi Jamil. Ketika itu saya masih main drama serius. Yang buat saya lekat dengan watak komedi apabila saya bersama-sama Senario (saya lupa tahun bila). Saya pegang watak sebagai peguam. Bermula itulah, orang tidak lagi panggil saya berlakon watak serius atau bagi watak jahat... asyik bagi watak komedi sahaja hingga sekarang. 

 

 

 

 

Bagaimana Ebby boleh membawakan watak komedi dengan berkesan? 

Di luar, Ebby Yus bagaimana orangnya? Saya bukan komedian. Saya pelakon yang membawakan watak komedi. Tak tahu macam mana saya nak cakap. Saya berlawak secara jujur. Saya lepaskan dialog begitu sahaja.

 

Saya pun tidak tahu bahawa yang saya bawa itu boleh membuatkan orang gelak. Kadangkala saya sendiri tidak dapat kesan hal itu. Apabila orang gelak, tahulah saya, “Oh, boleh gelak...!” 

 

 

Mungkin ada orang kata, tengok muka Ebby Yus pun boleh gelak?

Suatu ketika dahulu, orang tengok muka saya dengan rasa menyampah, ketika saya selalu melakonkan watak-watak jahat dan serius. Orang kata, tengok muka pun sudah nampak jahat. Tetapi sekarang, sudah tukar, tengok muka sudah boleh gelak. Entahlah, saya sendiri pun tak tahu! 

 

 

 

 

Apakah cabaran apabila membawa watak komedi? Bagaimana hendak jadikannya lebih berkesan?

Ini pendapat saya. Saya anggap pendapat orang lain itu betul, begitu juga pendapat saya. Saya cuba untuk tidak buat lawak. Saya cuba sampaikan perkataan sejujurnya. Contohnya, jika diberikan peranan jahat, saya cuba sebaik-baik mungkin sehingga orang tengok saya dengan rasa menyampah dan benci.

 

Begitu juga watak komedi, saya cuba bawa watak itu dengan cara komedi, tetapi bukan yang saya sengajakan. Memang susah nak buat orang ketawa, susah sangat. Nak buat orang menangis senang, bubuh penampar saja, menangislah dia! Nak buat orang ketawa susah, kita sahaja yang syok sendiri, tapi orang tak gelak pun. Memang inilah cabaran paling besar. 

 

 

 

 

Bagaimana Ebby Yus mencari idea untuk pelbagaikan lawak jenaka itu? 

Komedi ini banyak cabangnya. Untuk sketsa, kita boleh cakap sahaja berdasarkan sketsa itu. Untuk sitkom seperti Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2+1 atau Simpang 3 (yang pernah saya berlakon dulu), kami berpandukan skrip, pegang karakter, pegang cerita, tapi situasi yang menyebabkan orang ketawa. Untuk itu, ideanya kita cari dengan cara lain. Tapi untuk komedi spontan seperti Maharaja Lawak, cara mencari ideanya, lain pula. Apa pun pada saya, kena cari cerita.

 

Ada cerita, baru cari punch line. Punch line datang apabila cerita ada. Itu pendapat saya. Pada orang lain, mungkin lain caranya. Untuk dapat idea, perlu banyak membaca, tengok banyak cerita dan banyak bergaul. Pergaulan amat penting.

 

Melalui pergaulan kadangkala kita dapat cerita. Kadangkala itu cerita benar tetapi kita jadikannya komedi, kita tukar watak, nama, tempat, lalu jadikan cerita. Selain membaca dan menonton TV, kita kena banyak bergaul dengan orang. 

 

 

 

 

Pelawak perlu kreatif dan ada identiti tersendiri. Ebby Yus bagaimana? 

Saya banyak menonton cerita, termasuk sumber-sumber daripada internet. Kena banyak bergaul kerana kadangkala daripada percakapan seharian pun boleh dapat idea. Kelebihan saya kerana dialek Negeri Sembilan saya, yang tiada pada pelawak lain. Menangnya saya di situ. 

 

 

 

 

Dunia komedi sudah melalui banyak transformasi sejak dahulu hingga sekarang. Hari ini, kita masih ketawa apabila menonton filem P. Ramlee atau A.R. Badul yang diulang tayang. Tetapi komedi yang dihasilkan sekarang, kita hanya ketawa ketika melihat waktu itu sahaja. Maksudnya, komedi itu tidak bertahan dan cepat hilang. Komen? 

Ini komen ikhlas saya, sebagai orang yang pernah bermula di pentas bangsawan. Suatu ketika dahulu, komedi itu lebih bersifat slapstick. Kemudian selepas itu, era komedi yang melalui dialog; dialog yang mampu buat orang orang ketawa, tanpa perlu body language yang banyak, seperti sitkom. Dan sekarang ini pula, seolah-olah sudah bermula kembali era komedi slapstick. Komen saya, itu semua komedi.

 

Cuma hari ini, komedi itu sudah mengikut zaman. Kita tak mampu buat apa-apa lagi. Tetapi orang seperti saya, sudah tak mampu untuk berkomedi dengan cara zaman sekarang. Zaman saya sudah berlalu untuk berkomedi dengan cara begini. Tapi inilah permintaan masyarakat hari ini, itu yang mereka suka.

 

Seperti yang awak kata tadi, komedinya tidak bertahan lama dan akan cepat hilang. Begitu juga lagu atau apa-apa sahaja. Lagu dahulu, sampai sekarang kita masih dengar. Tetapi lagu yang terhasil belakangan ini, sekejap saja, kemudian hilang. 

 

 

 

Adakah keadaan seperti itu akan menyebabkan pelawak atau pelakon komedi zaman Ebby akan berasa terpinggir dan dilupakan? 

Itu sudah pasti. Zaman berubah. Minat orang berubah. Dan kita kena bersedia menghadapi keadaan itu. Bersedia menghadapi situasi seperti yang dialami pelawak-pelawak sebelum ini. Begitu juga pelawak yang ada hari ini, mereka akan dilupakan suatu hari nanti. Di Malaysia, inilah trendnya. Makin berusia, makin dilupakan dan orang tak berapa mahu tengok lagi. Itulah masyarakat kita. 

 

Kalau saya cuba untuk bertahan, memang tak boleh. Sebab saya dengan cara saya, kalau saya tidak boleh lakukan mengikut apa-apa yang ada hari ini, saya akan tarik diri. Saya tak akan kata, “Hei, kau mesti ikut cara aku!” Saya takkan buat begitu. Sebab zaman kita sudah berlalu. Namun begitu, cuba kita fikir sekali lagi, mengapa elemen komedi yang dibawa dalam cerita P. Ramlee masih diminati hingga hari ini?

 

Itulah yang kita katakan tadi, mesej. Mesej dalam komedi masih digunakan hingga hari ini. Kalau cerita kita tidak bermesej, lama-lama akanhilang begitu saja. Contohnya, lirik lagu dahulu dengan lirik lagu sekarang. Saya pernah dengar satu lirik lagu, “Ma ma ma minta makan ma ma ma”, sampai sudah, itu sahaja!

 

Berbeza dengan lirik lagu dahulu yang sampai hari ini terus kita dengar. Lirik itu seperti bercerita. Seperti lagi Datuk Ahmad Jais, lagu Kuala Kangsar, liriknya bercerita tentang jatuh hati dengan seorang puteri. Lagu seperti itu dapat menjadi nostalgia pendengar. Berbanding lirik lagu hari ini, tak dapat menjadi nostalgia orang akan datang kerana tidak menyentuh hati. Hal sama berlaku pada komedi, tetapi pada zaman dia, komedi itu memanglah meletup. 

 

 

 

 

Pelawak zaman Ebby Yus mungkin pernah dikritik masih terperangkap atau terbawa-bawa dengan lawak zamannya. Bagaimana menerima keadaan itu? Terima sahaja, perbaiki atau bagaimana? 

Berdasarkan kehendak penggemar di Malaysia, kalau kita hendak teruskan karier kita, maka kita kena perbaiki dan mengikut rentak hari ini. Saya juga begitu, mengikut dan mencuba. Sebab itu saya masih boleh duduk dengan pelawak generasi hari ini seperti Jep atau Shuib. Lebih daripada itu, saya tidak mampu.

 

Kalau hati rasa macam tak kena saja dengan apa yang dibuat ini, maka kita tahulah tahap kita sampai di situ. Sebenarnya, memang begitulah keadaan kita sebagai orang Timur. Apabila sampai satu tahap, takkanlah orang macam saya masih nak terlompat-lompat, terkangkang- kangkang lagi? Orang akan kata, “Tak sedar diri agaknya orang tua ni!” Jadi kita sebagai orang Timur, harus sedar keadaan ini.

 

Penonton sendiri pun akan menyampah, bukan seronok lagi. Saya sendiri, kalau hendak pakai baju perempuan lagi sekarang, kalau dahulu orang mungkin kata cute, tapi hari ini mungkin orang kata, “Menyampah, tak sedar diri!” Dalam umur 51 tahun seperti ini, bukan sahaja orang lain yang tidak boleh menerima, malah diri saya sendiri pun tidak dapat menerima. 

 

 

 

Tentunya ini jadi cabaran kepada generasi sekarang untuk mengekalkan populariti. Ebby Yus sendiri sudah 10 ke 15 tahun sebagai pelawak, komen?

 Sebenarnya apabila ada pertandingan, ada cabaran seperti ini, orang akan cuba sedaya-upaya menandingi satu sama lain. Kalau kita sekarang berada di atas tetapi kita tidak mencari sesuatu yang bagus atau baru, mungkin lima atau enam tahun nanti, kita akan ke bawah. Kerana itu kita kena bekerja keras, memperbaharui persembahan, tambah idea komedi, tambah nyanyian dan sebagainya. 

 

 

Mengapa Ebby Yus sendiri tak pilih untuk mencabar diri, masuk bertanding? 

Seperti yang saya katakan, saya bukan seorang komedian. Saya seorang pelakon yang membawa watak komedi. Jadi sudah tentu saya tak boleh bertanding. Kedua, saya fikir, apa yang saya mahu pertandingkan lagi?

 

Inilah Ebby Yus, inilah saya. Saya tak mahu jadi ‘Ebby Yus The Power... Ebby Yus The Great’. Ebby Yus, Ebby Yuslah, tanpa masuk bertanding, saya sudah bersyukur. Saya mahu kekalkan status begitu, di atas tidak, di bawah juga tidak. 

 

 

Banyak berguru daripada Abon? 

Ya, banyak. Kadangkala ideanya pun saya ambil. Itulah pendapat saya, sejujur dan seikhlasnya. Saya tak nampak lagi pelawak yang sehebat dia. 

 

 

Abon antara idola Ebby Yus? 

Ya, dalam dunia lakonan mungkin kami bermula bersama-sama, tetapi dalam berlawak, dia mula dahulu, sama seperti Mat Over dan Allahyarham Ali Mamak. Saya lebih terkemudian. Abonlah yang bawa saya ke pentas.

 

Saya masih ingat pengalaman pertama saya di Kuala Selangor dalam majlis anjuran pusat kesihatan kerajaan. Saya menggigil tetapi dia banyak membantu. Mat Over, Ali Mamak dan Abon, inilah tiga orang yang banyak berjasa pada saya. 

 

 

 

 

Pengalaman dalam Karoot Komedia? 

Kita ada karakter dan ada cerita. Apabila kita pegang pada karakter, akan menjadi. Yakin dan steady sahaja tetapi kalau tidak yakin atau rasa 50-50, memang akan goyang. Saya berfikir dan saya sampaikan.

 

Saya tidak banyak bercakap, hanya sepatah-sepatah sahaja. Kami tidak ada skrip, hanya ada cerita, jadi saya berpegang pada itu. 

 

 

Lawak lebih hidup kalau bawa spontan atau perlu skrip?

Lebih hidup kalau ada cerita. Sebabnya, semua yang kita hendak cakap adalah cerita. Kalaulah spontan itu bagus, dalam Maharaja Lawak umpamanya, mereka tak perlulah cari cerita atau content check. Content check itu merujuk kepada cerita. 

 

Maksudnya, perlukan cerita. Kenapa tidak tunggu saja malam persembahan, kemudian berikan tajuk spontan, katakan “buah pisang”, bantailah buah pisang? Sebab itu, cerita perlu disusun supaya cantik dan tidak merapu. Pada saya, yang dirancang itu lebih baik dalam apa-apa sahaja 

 

 

 

Andainya tiada lagi, bagaimana Ebby Yus mahu dikenang?

Semua orang ingin tinggalkan sesuatu yang baik kepada keluarganya dan kerjanya. Begitu juga saya, ingin tinggalkan sesuatu yang baik dalam ingatan orang daripada segi pergaulan dan hasil kerja saya.

 

Apa-apa pun bergantung kepada cara kita bekerja dan bergaul pada hari ini. Kalau hari ini kita bekerja sambil lewa, tidak menghormati kawan-kawan, bermakna kita bakal tinggalkan sesuatu yang tak baik. Tapi jika kita jaga semua itu, insya-Allah tentu baik. 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Mak, Tolong Doa Chek Nak Pakai Kereta, Nak Beli Rumah. Mak, Tolong Doa Chek Nak Kahwin!”— Lan Pet Pet

  • Seterus →

    Aktres Harapan Festival Filem Malaysia 1994, Datin Zizie Izette Kini Bahagia Sebagai Ibu dan Isteri