May 06, 2017 - 31263

“Buatlah, Tapi Jangan di Luar Kau Jadi Perempuan!” — LELAKI Ini Tular Kerana PARODI Dayang Nurfaizah

Apabila dia memparodikan watak Dayang Nurfaizah yang ketika itu 'hot' dengan kemenangan AJL menerusi lagu 'Di Pintu Syurga', namanya tular satu Malaysia. Siapa Nizam Rahman sebenarnya?

 

 

 

Oleh: Salina Ibrahim 

 

 

 

 

 

NAMA sebenar Hairul Nizam bin A. Rahman, berasal dari Melaka dan merupakan alumni Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM. Asalnya Nizam tak gunakan aplikasi Dubsmash seperti Nizam yang dikenali sekarang. Nizam ‘jadi’ Dayang Nurfaizah yang ketika itu hot dalam AJL dengan lagu 'Di Pintu Syurga'. Ketika itu dia berbusana putih. Nizam pakai selendang, bergaya depan kamera dengan aksi terbalik-terbalik bagai.

 

Nizam tanya kawan-kawan, mereka kata, Janganlah masuk (ke Internet), merepek tak kelakar! Nizam fikir, tak mengapalah kalau tak kelakar tapi nak masuk juga sekadar ingin tengok reaksi orang. Maka Nizam muat naik di Facebook sebelum tidur. Esoknya video itu tular, sehingga keluar di blog dan portal hiburan terkenal. Banyak komen kata, “Perempuan ni ting tong!” Ya, semua sangka Nizam perempuan, kritik Nizam perempuan gila dengan gaya terbalik begitu. 

 

Selepas video itu, Nizam mendapat banyak respons yang cadangkan Nizam menggunakan aplikasi Dubsmash. Mula-mula muat turun aplikasi itu, memang tak reti juga. Nizam mencuba versi panjang dan menjelang puasa, Nizam buat video Ketuk-ketuk Ramadan, yang kemudian juga tular. Nizam diminta buat lagi, menunjukkan bahawa ada orang suka. Selepas itu, Nizam buka Facebook Fan Page sebab FB biasa terhad kepada 5000 orang sahaja.

 

Di situlah Nizam terus buat dan muatkan video, orang semakin kenal dan editor-editor media juga mula menelefon. Peluang besar yang Nizam dapat adalah temu bual untuk Majalah 3 yang mengupas isu penghibur mimik muka. Kemudian Nizam berpeluang menjadi hos Anugerah Skrin 2013 edisi online. Semakin ramai minta Nizam buat video dan Nizam tak boleh berhenti.

 

Kalau berhenti, orang akan tertanya-tanya. Nizam rasa ini sebagai suatu pekerjaan bagi menghiburkan orang ramai. Kalau tak buat, rasa bersalah. Untuk bertahan, memang susah, sebab itulah kena buat. Daripada situ, Nizam dapat menjana pendapatan apabila ada pengeluar produk minta buat reviu memperkenalkan produk mereka. Sekarang Nizam banyak perkenalkan produk dan sebagai sampingan membikin video parodi. 

 

 

 

 

 

Secara purata, berapa video yang dimuat naik dalam seminggu?

Dalam seminggu, kena pastikan ada dua video parodi. Atau paling kurang satu. Kalau tak dapat, Nizam akan tulis untuk makluman penonton dan mereka sangat memahami. Mereka akan tunggu dan biasanya, video yang dimuat naik akan jadi tular.

 

 

Bagaimana dapat idea, cetusan ilham sendiri, pandangan rakan-rakan atau bagaimana?

Biasanya Nizam minta pandangan fans. Nizam akan tanya, apakah yang sedang tular sekarang dan mereka akan tinggalkan komen dan link. Mereka akan beri link video yang sedang tular dan Nizam akan tengok sama ada mampu buat atau tidak. Walaupun ada video senang tapi sebenarnya susah juga. Nizam buat parodi daripada video asal.

 

Kalau video asal banyak cakap (dialog) dan banyak gunakan orang, Nizam tak dapat buat. Nak minta tolong kawan-kawan, mereka malu dan tak berani. Jadi Nizam cari video yang ada dialog seorang dan bercakap seorang. Kalau ramai, susah nak nampakkan situasi sebenar.

 

Dahulu pada zaman belajar, ada kawan-kawan boleh tolong, sekarang sudah habis belajar, mereka semua sibuk, maka Nizam cari yang mudah sahaja. Selalunya video asal serius, tapi Nizam tak mahu menampakkan serius, lalu Nizam jadikan versi Nizam lebih kelakar.  

 

 

 

 

 

 

'Signature' Nizam Rahman?

Berdasarkan komen yang diterima, mungkin sebab Nizam pegang watak perempuan. Apabila pegang watak perempuan, memanglah orang kata macam- macam; pondan dan sebagainya. Tapi ramai orang suka Nizam jadi orang lain.

 

Nizam pernah jadi diri sendiri tetapi orang tak suka. Mereka minta, “Nizam jadilah Coco.” Dalam video, memang Nizam nampak agresif dan melompat-lompat. Orang nak tengok Nizam jadi orang lain, bukan diri sendiri.

 

 

 

Tidakkah itu satu kekurangan pada Nizam, kerana tidak dapat menjadi diri sendiri?

Nizam tak fikir, itu satu kekurangan. Nizam suka menjadi orang lain kerana Nizam dapat belajar sesuatu. Dapat praktikkan jadi orang lain. Contohnya, Nizam jadi Sheila Rusly, belajar miming; disebabkan Sheila Rusly bercakap laju, maka Nizam pun kena bercakap laju juga. Nizam selesa untuk belajar jadi orang lain. 

 

 

 

 

 

 

Sejauh mana ilmu dari pengajian di UiTM membantu?   

Ketika belajar dahulu, Nizam tak nampak. Dalam hati selalu fikir, “Kerja apa yang akan aku lakukan selepas habis belajar?” Selepas buat video, Nizam dapat kaitkan dengan apa yang Nizam belajar. Hati kata, “Oh, inilah pekerjaan aku!

 

Sebenarnya apa yang aku belajar dahulu dengan apa yang aku buat sekarang, ada kaitannya.” Masa belajar dahulu, kami belajar untuk tidak malu berdepan dengan orang ramai; contohnya berlakon cacat atau jadi orang gila, depan orang ramai. Dari belajar, diaplikasikan ke video, maka perasaan malu itu sudah kurang. 

 

 

 

 

Tawaran berlakon yang diterima selepas tular di media sosial, kongsikan?

Alhamdulillah, tawaran berlakon tak banyak tetapi ada. Nizam berlakon dalam drama Ahli Mesyuarat Tingkap di TV3. Dari situ, ada pengarah yang mula nampak.

 

Peluang terbesar lain selepas itu, Nizam berlakon drama Tanah Kubur, sebagai watak khunsa yang ingin berkahwin dengan Tok Adi. Terbaru, Nizam berlakon untuk Kias Ramadan untuk tayangan Ramadan nanti.

 

 

 

 

Transformasi daripada video tular ke skrin televisyen; apakah cabaran dan kesukaran yang perlu ditempuh?

Apabila buat video, penonton mengharapkan yang lebih daripada kita. Orang anggap kita pandai berlakon, jadi apabila berlakon televisyen, mereka anggap kita sudah pandai. Dalam pembikinan video, kita banyak berlatih. Buat banyak kali, banyak kali edit dan delete, tiada sesiapa yang melihat dan kita boleh lakukan secara santai.

 

Dalam penggambaran drama televisyen, keadaannya lain. Selalunya Nizam beritahu pengarah atau penerbit terlebih dahulu, jangan expect more dan mereka memahami keadaan Nizam.  

 

 

 

 

 

Ketika mula menghasilkan video; ibu ayah tidak marahkah berpakaian dan bersolek seperti perempuan?

Ayah garang dan tegas. Risau juga ketika Nizam nak tunjuk video itu sudah tular. Tapi Nizam tak mahu dia dengar dari mulut orang lain dahulu. Nizam tunjukkan pada ayah, dia jeling dan marah juga. Tapi emak diam sahaja. Selepas video Ketuk-ketuk Ramadan, kemudian dapat peluang temu bual Majalah Tiga dan selalu buat reviu, ayah mula nampak.

 

Katanya, “Kalau kau suka benda ni, ini mata pencariannya, kau buatlah. Asalkan tak melampau, jangan di luar pun jadi perempuan dan pandailah jaga diri.” Jadi Nizam dapat teruskan dengan selesa. Ayah masih akan beri nasihat.

 

Dia akan tengok dahulu sebelum Nizam upload. Kalau isu sensitif terutamanya berkaitan politik, dia tak benarkan. Keluarga akan semak dan teliti dahulu sebelum video dimuat naik.  

 

 

 

 

Antara parodi dengan realiti, karakter sebenar Nizam Rahman bagaimana?

Orang mungkin fikir, kalau lepak dengan Nizam, tentu dia ini orang yang kelakar. Sebenarnya di luar, Nizam tak banyak cakap. Nizam tak kelakar pun. Dengan kawan yang kenal betul, sekali-sekala Nizam berlawak. Di luar, kalau orang tanya, barulah Nizam menjawab. Nizam tak agresif seperti yang orang tengok dalam video. 

 

 

 

Mengapa masih tinggal di Melaka dan tidak berpindah ke Kuala Lumpur memandangkan banyak tawaran dan urusan kerja di sini?

Nizam sudah empat ke lima tahun di Shah Alam, sejak belajar peringkat diploma hingga tamat pengajian. Sekarang, biarlah Nizam di Melaka dahulu. Lagipun kos lebih rendah di Melaka dan dapat tinggal dengan keluarga. Selepas lima tahun berjauhan dengan keluarga, sekarang masa untuk mereka.

 

Lagipun Nizam tidak bekerja sepenuh masa, kadangkala ada job, kadangkala tiada. Jika tiada job, bagaimana nak bayar rumah segala? Nizam sanggup berulang alik, tak rasa lagi jauhnya KL dan Melaka.

 

Setiap minggu Nizam ke Shah Alam, kadangkala tiga kali ulang alik Shah Alam dalam tempoh seminggu. Sekarang Nizam dikenali, jadi harus sanggup ambil peluang. 

 

 

 

 

 

 

Nizam antara yang terawal dalam video vines ini. Komen Nizam mengenai trend anak muda hari ini yang galak tampil dengan pelbagai video tular. Adakah mereka punya pengisian atau sekadar mahu mengejar populariti?   

Sekarang banyak orang buat video untuk reviu, bagi dapatkan duit dan populariti. Orang baru agak susah naik kerana yang lama masih diminati. Orang baru dalam Dubsmash contohnya, tak berapa menjadi kerana ada yang tak pandai. Harus banyak research. Nizam sendiri sebelum buat video akan duduk berjam-jam mengkaji video, gerak mulut dan miming.

 

Nizam fokus pada gerak mulut, kalau batuk sedikit pun, ikut sekali. Orang baru yang muncul sekarang ini, masih kurang dalam hal ini, maka videonya jadi hambar. Ramai yang inginkan populariti sehingga sanggup buat yang bukan- bukan dan merepek. 

 

 

 

Apakah persediaan penting yang perlu ada untuk bergelar bintang media sosial?

Mula-mula dahulu Nizam tak boleh dengar komen yang bukan-bukan, rasa geram sangat. Semua komen Nizam balas. Ada kawan cakap, “Jangan reply Nizam. Kau buat video, kau kena berani terima cacian. Kau yang buat video, kau kenalah hadap semua tu.”

 

Fikir balik, betul juga. Sekarang, apabila baca komen negatif, Nizam tahan saja. Nizam pegang, “Aku buat video, mesti ada komen positif dan negatif, maka terima saja.” Memang kena banyak sabar dan mental kena kuat. Kalau orang kuat sentap dan kuat merajuk, pasti tak boleh bertahan. 

 

 

 

 

 

Strategi Nizam kekalkan populariti?

Kalau nak kekal, harus rajin buat video, kena maintain dan tak boleh diam. Apabila diam, followers akan mengurang. Di IG contohnya, kalau tak ada video baru, pengikut akan menurun. Nizam harus ambil banyak peluang. Kalau tak ada video tular, Nizam akan cari apa sahaja yang sesuai.  

 

 

 

Mengenai Maharaja Lawak Mix and Match, boleh ceritakan selanjutnya?

Maharaja Lawak Mix and Match, program untuk tayangan online dan laman seswang. Program ini menggandingkan tiga artis daripada Lawak Solo, Maharaja Lawak dan Raja Lawak. Selain itu, ada tiga orang lagi dari media sosial, salah seorangnya Nizam. Nizam dimaklumkan, program ini untuk mengasah bakat supaya lebih dikenali.

 

Di sini, kami lalui proses pembelajaran dengan orang yang lebih pakar dan berganding dengan orang hebat. Maharaja Lawak Mega (MLM) ditayangkan hari Jumaat, program kami pula ditayangkan pada Khamis dalam versi online. Kami juga menggunakan tajuk sama yang diberi kepada peserta MLM. Program ini sudah bermula hujung Februari lalu dan hari ini (temu bual pada 20 Mac) adalah hari akhir, dan sudah sembilan episod.

 

Tiada yang tersingkir dalam program ini. Markahnya diberi berdasarkan kritikan dan yang menang akan dapat dirham. Boleh ditonton di Facebook Maharaja Lawak Mega dan laman sesawang www.maharajalawakmega.com. my. Sambutannya belumlah sampai tahap MLM dan kebanyakan orang masih tertanya-tanya apakah program ini. 

 

 

 

 

 

Apa lagi yang mahu dilakukan selepas ini?

Akan teruskan pembikinan video seperti biasa. Nizam sasarkan untuk berlakon filem. Wah, berangan nak berlakon filem (ketawa). Nizam nak berlakon filem dan mahu dikenali, juga memasang angan-angan mahu miliki program sendiri.

 

 

 

Nizam sudah terkenal di media sosial, dan kini berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Kalau orang kata Nizam tamak dan tak fokus, apa komen Nizam?

Nizam fikir, apa sahaja peluang yang datang, Nizam harus ambil. Sebagai bekas pelajar filem, mengapa tidak Nizam aplikasikan ilmu filem dan teater yang Nizam belajar? Ya, Nizam praktikkan semua itu sekarang. Nizam anggap ini pekerjaan dan rezeki.

 

Ada bintang media sosial lain yang mungkin tak mahu berlakon dan hanya mahu kekal di media sosial, terpulanglah, itu pendapat mereka. Jika dapat peluang ke televisyen dan filem, semakin ramailah orang kenal. Wah, berangan lagi ... asyik nak popular je, macam mana tu? (ketawa) 

 

 

 

 

 

 

Media sosial menyediakan platform untuk Nizam bina nama melalui kolaborasi dengan artis sedia ada. Bagaimana kalau Nizam dikatakan menumpang glamor artis untuk masuk ke aliran mainstream ini?

Ini win-win situation. Kalau nak tumpang, tapi tak ada bakat, tak guna juga. Dengan orang besar dan senior ini, kita pasang niat hendak belajar. Mulut orang tak boleh tutup, biarlah apa mereka nak cakap. 

 

 

 

 

 

 

Kata akhir daripada Nizam?

Teruskan menonton video Nizam. Terima kasih kerana komen dan share serta sanggup menunggu. Kalau Nizam kata, esok upload video, mereka sanggup menunggu dan akan bertanya jika lambat sedikit. Daripada merekalah, Nizam jadi Nizam yang ada sekarang. Nizam terima komen positif dan negatif. Yang positif, Nizam ambil. Yang negatif juga Nizam ambil dan akan perbaiki.

 

Nizam terima apa jua kritikan dan kutukan. Terima kasih fans yang banyak menyokong. Sebenarnya Nizam tak pernah fikir diri ini artis. Rasa gelilah, apabila ada yang panggil Nizam artis! Ada yang tanya, kenapa tak ambil pengurus? Oh, rasanya terlalu tinggi untuk merasai semua itu! Nizam belum sampai ke tahap itu sebenarnya. 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Saya Lihat Sendiri, Rakyat GAZA Bersemangat Mahu Syahid. Tapi Kita Ni di Malaysia, Kusut Kejar Dunia dan Populariti!”

  • Seterus →

    “Kalau Makan Nasi, Cukup CUMA Sesenduk, Ini PETUA Saya” — Syafinaz Selamat Dedahkan Rahsia Kurus Sejak Dulu