Oct 17, 2017 - 3025

Bila Orang Bertudung Buka, Tutup, Buka! — Ini Teladan Untuk Semua, BACA DULU, Jangan Nak Hentam Saja

Kisah wanita berhijrah memakai hijab, kemudian tutup dan buka semula bukan perkara baru pun. Kenapa mereka berbuat begitu? Anda pula, kenapa kuat sungguh memaki-hamun di media sosial? Sudah cukupkah pahala anda?

 

 

Oleh: Miss Cherry 
 

 

 

 

 

 

 

DALAM  hidup kita ini, banyak perkara yang sulit untuk kita ramalkan. Malah, ada banyak ramalan yang tersasar walaupun hampir tepat. Kadang-kadang, kita berasakan kita sudah sampai ke destinasi yang dituju tetapi siapa yang tahu, tiba-tiba kita berpatah balik tidak mahu ke destinasi itu. 

 

Amboi, panjang betul kiasan Miss Cherry kali ini, ya! Tidak senang untuk menulis isu ini kerana ia tentang hati dan hijrah peribadi seseorang. Apabila seorang demi seorang selebriti kita bertudung, ramai yang memuji melihatnya sebagai perkembangan yang amat baik. Sayangnya, apabila hijrah itu tidak menjadi, terkulai di tengah jalan, ada yang kembali membuka tudung dengan alasan biasa; ‘belum bersedia’ dan ‘mahu menjadi diri sendiri’.

 

Ada teman minta dibahaskan isu ini. Namun, Miss Cherry takut kerana kita tidaklah searif mana tentang ilmu agama. Tapi kata teman itu, “Miss Cherry, untuk lihat memakai tudung itu baik atau tidak tak perlulah sampai kena penuh ilmu di dada. Ia perkara basic. Kalau dia buka tudung, maknanya tidak baiklah!” Lontaran pendapat Miss Lash yang tiada budi bicara itu kepada Miss Cherry apabila Miss Cherry menegaskan bahawa kita bukanlah orang bijak pandai dalam agama.

 

Ada yang Lahir Dalam Keluarga Baik-baik, Datuknya Iman, Bapaknya Mufti, Tapi...

Mungkin betulnya di situ adalah ya, menutup aurat itu sudah termaktub sebagai wajib. Jadi, kalau tidak dibuat, hukumnya salahlah. Tetapi, seperti kata Miss Cherry tadi, banyak perkara dalam kehidupan kita ini yang susah untuk kita ramalkan. Bagaimana permulaan, apakah kesudahan? 

 

Ada yang lahir dalam sebuah keluarga yang baik-baik, datuknya imam, bapaknya mufti, dianya tahfiz. Tetapi, setelah dewasa, keluar bekerja bercampur pelbagai golongan. Iman menipis sikit demi sikit, akhirnya menjadi penagih najis dadah. 

 

Ada pula yang dilahirkan tanpa ikatan sah mak abah, dibiar membesar dalam kelompok tak berpelajaran. Dia kemudian mencari dirinya ke sana-sini, akhirnya bertemu lelaki budiman, membawanya terus ke jalan lurus yang akhirnya mati dalam dakapan Al-Quran.

 

Jadi, siapa kita untuk menilai destinasi akhir seseorang itu ke syurga atau neraka? 

 

 

Kalau Anda Pakai Hijab, Apakah Itu Maknanya Anda Dah Sempurna?

Ya, Miss Cherry tidak menyokong orang yang tidak bertudung, akhirnya bertudung, tiba-tiba membuka semula tudung. Sama sekali tidak. Benar, ia bukan sesuatu yang diajar Islam. Tetapi, kita pula sebagai orang yang berasakan sudah ‘sempurna berhijab’ ini jangan begitu lantang menjatuhkan hukum. Jangan dihina terang-terangan. Jangan dikeluarkan fatwa yang bukan-bukan. 

 

Lebih manis kalau kita memberi kata-kata dorongan yang baik-baik untuk mereka yang berpatah balik itu. Jangan pernah berputus harapan dalam mengajak seseorang ke jalan kebaikan. Dalam keterujaan kita berdakwah dan menegakkan kebenaran, jangan sampai kain sendiri terlondeh. 

 

 

Adakala Miss Cherry rasa malu dengan cara sesetengah orang yang menegur. Adakala yang menegur itu terlihat lebih ‘buruk’ daripada yang ditegur tadi. Mungkin buruknya orang itu kerana membuka tudung itu kerana lemah imannya, tetapi hodoh lagi yang menegur itu yang tidak langsung ada imannya! Menghambur kata-kata keji, menghina, mencarut, menuduh sehingga hampir kepada memfitnah! 

 

Janganlah sampai begitu. Kamu melihat dia sudah berdosa, kenapa kamu juga mahu dipalit dosa?

 

Semua Orang Akan Kena Uji

Bijaklah dalam berkata, lembutlah dalam menegur, berbudilah dalam bicara. Sekurang-kurangnya, dia pernah mahu menjadi baik, cuma hatinya sedikit goyah. Miss Cherry mendoakan setiap daripada mereka yang melalui fasa ‘buka tutup dan buka’ itu akan diberikan semula hidayah yang terbang seketika itu. Isu tidak mahu hipokrit atau menjadi diri orang lain tidaklah seberat mana untuk ditangani. Insya-Allah, pasti ada jalan kembali buat mereka yang pernah merasai manisnya berhijab.

 

 

Kepada yang sudah lama berhijab, syukurlah kerana Tuhan tidak menguji kamu sehebat mereka itu. Dan, ya mungkin juga kerana hati kamu sangat kuat untuk menolaknya. Benar, lagi hampir kita kepada kebaikan, lagi besar dugaan yang menggoda. Tetapkan niat, istiqomah dan lakukan dengan hati yang tekad. Doa, doa dan doa yang baik-baik, tagihlah petunjuk dan hidayah-Nya dalam setiap langkah yang disusun agar sampai ke destinasi yang dituju dengan aman dan jayanya. Jom, tengok tudung apa yang sedang ‘intrend’ sekarang! 

 

 

“Sesungguhnya yang paling aku takutkan atas umatku adalah setiap munafik yang pandai berbicara.”

- Sabda Nabi     

        

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Biarlah Hati Ni Terus Berbunga” — 3 Bulan Berkawan, HANIS ARIF Pengasas Tudung Ruffle Kena Risik Langsung Kahwin

  • Seterus →

    Untunglah Jadi Isteri Engku Emran! — Laudya Cynthia Bella Lancarkan Koleksi Skarf, Hadiah Jadi Teman Hidup