Jun 19, 2017 - 1016

Pasangan OKU Ini Lukis Potret Kucing Untuk Sara Hidup, Dapatlah RM500 Sebulan — Mari Sokong & Bantu!

Pesan lelaki OKU ini, walau susah macam mana sekalipun, carilah kemahiran yang kita ada kerana setiap orang Allah anugerahkan bakat dan kemahiran. Rezeki itu bergantung kepada usaha dan tawakal.

 

 

Oleh: Nurul Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAGAIMANA kisah bermulanya Azwari diserang strok?

Saya diserang strok ketika umur 31 tahun (2013) dan tahun ini sudah memasuki tahun keempat saya menghidap strok. Saya bekerja dalam bidang IT, bahagian hardware di sebuah syarikat swasta. Ketika itu saya baru pulang dari tempat kerja sekitar 2.30 pagi. 

 

Ketika mahu ke tandas untuk menggosok gigi, entah mengapa tiba-tiba saya rasa pening umpamanya terasa seperti gempa bumi. Kepala berpusing-pusing, berpinar rasanya. Sedangkan ketika siang hari saya aktif bekerja seperti biasa. Kemudian, serentak itu saya tidak boleh bergerak dan lantas memanggil isteri saya. Dia meminta saya duduk perlahan-lahan di lantai tandas kemudian saya tidak boleh bangun. Dan anggota badan bahagian kanan sudah tidak boleh bergerak.

 

Saya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu dan tidak sedarkan diri (koma) dua hari. Saya ditahan di wad selama empat hari dan hari keempat saya dibenarkan pulang. Ketika itu, bahagian kanan anggota tubuh (dari kepala hingga ke kaki) sudah tidak boleh digerakkan lagi. 

 

Selama enam bulan saya terlantar separuh badan lumpuh. Saya mendapatkan rawatan susulan di Unit Fisioterapi juga mencuba rawatan alternatif (sesi urut). Selepas setahun saya mencuba rawatan alternatif seperti bekam, akupunktur dan menanam kaki di pasir pantai. Tetapi dalam masa sama, saya masih memakan ubat dari hospital dan menyambung rawatan fisioterapi. 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana dengan pergerakan hari ini? Masih tidak mampu berjalan atau bagaimana?      

Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh berjalan. Tetapi jika mahu menaiki tangga, saya memerlukan bantuan isteri untuk memegang. Misalnya jika tangga itu terlalu tinggi. Kesan lain akibat strok adalah percakapan saya tidak jelas, anggota tubuh lain mudah berasa kebas dan dalam masa sama saya tidak boleh memandu kenderaan. 

 

Selepas enam bulan terlantar sakit, bagaimana Azwari meneruskan rutin harian?

Saya berhenti kerja memandangkan tidak boleh memandu dan tinggal di rumah. Ketika itu isteri saya sudah mula melukis untuk menampung perbelanjaan harian kami suami isteri.

 

 

 

 

 

Bakat melukis, diwarisi daripada siapa? 

Hikmahnya, selepas enam bulan kembali pulih dan boleh berjalan entah dari mana datangnya ilham saya boleh melukis. Sedangkan sebelum ini saya tidak pernah dan tiada bakat melukis. Isteri pula mengambil upah melukis potret kucing.

 

 

 

 

 

Isteri (Puan Baiti) juga dikhabarkan mempunyai masalah penglihatan. Boleh kongsikan cerita di sebaliknya?

Pada 2009 saya mula mengalami masalah penglihatan (bahagian mata kanan) kerana menghidap diabetes. Saluran darah pada mata mula pecah (pendarahan dalaman) dan hasil pemeriksaan doktor mendapati jika pembedahan dilakukan sekalipun, saya tetap akan hilang penglihatan. 

 

Dan kini mata kanan saya hanya boleh melihat dalam dimensi lubang jarum sahaja. Tidak seperti pesakit kronik diabetes lain, kebanyakannya akan mengalami berhadapan dengan kaki dipotong dan seumpama dengannya tetapi dalam kes saya, pada bahagian mata. 

 

 

 

 

Bagaimana Puan Baiti menerima dugaan ini dalam usia masih muda?

Ketika 2009 (dalam lingkungan 26 ke 27 tahun) saya sudah kehilangan sebelah pandangan mata. Dan bagi kes saya tergolong sebagai juvenile diabetic (penghidap kencing manis muda). Ia rentetan masalah keturunan kerana arwah ibu saya dahulu juga menghidap diabetes. 

 

Saya tidak pernah merasa kecewa atau sedih kerana ketika dimaklumkan doktor, saya ditemani arwah ayah. Kata arwah ayah, “Kita banyakkan berdoa. Minta dengan Allah,” dan mendengarkan kata-kata arwah ayah membuatkan saya reda dan menerima dugaan ini dengan berlapang dada. Kekangan lain yang perlu saya lalui adalah kesukaran memandu pada waktu malam dan apabila melangkah anak tangga saya perlu lebih berhati-hati. 

 

 

 

 

 

 

Selesa bekerja sendiri?

Selepas suami tidak boleh berjalan dan berhenti kerja, saya mula melukis. Daripada segi bakat pula, sewaktu sekolah menengah dahulu adalah sedikit ilmu dalam bidang lukisan. Dan pada mulanya saya hanya melukis potret kucing.

 

 

 



 

 

 

Bagaimana tercetusnya idea untuk melukis dan menjual potret kucing?

Saya mempunyai akaun Instagram berkisarkan kucing peliharaan kami (Kiki yang kami jaga selepas suami diserang strok). Unik mengenai kucing peliharaan kami, ia mempunyai tompok yang bermisai (seakan-akan misai Adolf Hitler). Kebetulan rakan-rakan di Instagram itu rata-ratanya adalah warganegara asing. Lantas saya terfikir mengumpul dana dengan melukis potret Kiki dan memohon sumbangan lima dollar untuk sekeping potret Kiki. 

 

Dana yang terkumpul digunakan untuk menampung kos rawatan, ubat-ubatan dan perbelanjaan kami seharian. Apabila mereka membuat pembayaran melalui Paypal, saya akan menghantar foto Kiki. Dan kelebihan mengenai warganegara asing, mereka lazimnya menyokong usaha dan inisiatif seperti yang kami lakukan ini. 

 

Sebelum memulakannya, saya banyak mengkaji terlebih dahulu trend warganegara asing. Misalnya dalam kalangan mereka sendiri, apabila ada sesiapa dalam keluarga menghidap penyakit kronik mereka akan menubuhkan tabung bagi mengumpul dana. Dan dari situlah saya terfikir, mengapa tidak saya gunakan medium ini untuk membantu mengumpul dana bagi suami saya memandangkan dia sudah tidak boleh bekerja. Saya memulakan projek ini pada awal 2014.    

 

 

 

 

 

 

 

Ada projek terbaru?

Saya masih terus melukis potret kucing dan kini saya mula melukis imej flora di atas instant shawl menggunakan ‘permanent paint’. Dan dalam masa sama, kami sudah mendaftarkan perniagaan kami jenama Baitee Waree. 

 

 

Siapa yang banyak memberi sokongan dan galakan kepada kalian untuk meneruskan kehidupan?

Antara kami suami isteri saling memberi galakan. Namun tidak saya nafikan pada awalnya suami sedih dan kecewa. Namun saya cuba positif dan bangkitkan semangatnya. Apatah lagi dia sudah boleh berjalan. Selain itu, keluarga banyak membantu. Saya berasal dari Terengganu dan apabila berkelapangan keluarga akan menelefon, bertanya khabar. Bagi Azwari pula, kakaknya tinggal tidak jauh dari rumah kami (di Kota Tinggi, Johor) dan jika kami mempunyai masalah, dia akan datang membantu. 

 

 

 

 

 

Sewajarnya usaha kalian mendapat pujian kerana biarpun memegang status OKU, tetapi tetap positif meneruskan kehidupan. Boleh komen sikit?

Kerana kami merasakan kami masih kuat maksudnya biarpun OKU tetapi Allah masih mengurniakan kudrat. Tidak seperti golongan OKU lain, yang mungkin lebih kritikal misalnya kudung, buta dan sebagainya tetapi masih lagi bekerja. 

 

Saya merasakan Allah cuma menarik nikmat kami sekelumit sahaja. Maka dengan itu, ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berusaha meneruskan kehidupan. Selagi termampu dan terdaya, berbekalkan bakat yang Allah beri kami lakukan sahaja. Tidak pernah terlintas mahu meminta-minta daripada sesiapa. 

 

Kami suami isteri yatim piatu. Dan jika mahu meminta-minta dengan adik-beradik; masing-masing mempunyai komitmen malah kami bukannya daripada keluarga yang senang-senang. Semuanya bergantung kepada usaha sendiri. Kakak Azwari misalnya ada membantu meminjam dalam RM100 ke RM200. Pembiayaan perubatan, bil-bil dan tanggungan kucing peliharaan serta perbelanjaan lain perlu kami usahakan sendiri. Daripada situlah yang membangkitkan semangat kami untuk bekerja sendiri. 

 

 

 

 

 

Jika tidak keberatan, secara purata berapakah jumlah pendapatan bulanan yang diraih hasil penjualan potret kucing dan lukisan pada 'instant shawl'?

Menghampiri RM1000 sebulan jika mendapat permintaan banyak. Dan jika tidak, anggaran kasar dalam lingkungan RM500 hingga RM600 boleh diperoleh dalam sebulan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar kini, pasti dengan jumlah pendapatan sekitar RM1000 tidak mencukupi bukan? Lantas apa yang menjadi sumber inspirasi Puan Baiti yang optimis meneruskan usaha ini?

Benar, apatah lagi serba-serbi mahal harga barangnya, itu dan ini. Tetapi saya percaya kepada rezeki Allah. Dan mungkin kerana berkat memberi makan kepada kucing peliharaan juga kucing jalanan, ada sahaja ruang dan peluang rezeki kami peroleh. 

 

Malah saya percaya setiap kali kita bersedekah, pasti Allah cukupkan. Misalnya apabila duit yang tinggal tidak seberapa, tiba-tiba ada orang yang berikan job meminta kami melukis. Dan alhamdulillah, cukup walaupun sedikit untuk menampung perbelanjaan kami. Makan kami cukup, makanan kucing pun cukup. 

 

Kami hidup secara sederhana dan syukur kerana kami tinggal di rumah arwah ibu Azwari, maka tiada perbelanjaan sewa perlu diperuntukkan cuma perlu membayar bil utiliti sahaja. Daripada segi rawatan pula, suami mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. 

 

 

 

 

Rawatan susulan Azwari pula bagaimana?

Suami hanya memakan ubat dari hospital kerajaan dan ubat yang perlu dimakan pula tidak banyak,  cuma ubat kolestrol dan ubat darah tinggi. Cuma kadang-kadang suplemen akan dibeli di farmasi.     

 

 

 

 

 

 

Sedikit pesanan dan kata akhir daripada Puan Baiti?

Gunakan medium yang ada misalnya Instagram, Facebook dan sebagainya dengan baik. Semuanya memberikan kelebihan jika kita bijak memanfaatkannya. Selagi termampu, berusahalah dan usah cuma mengharapkan bantuan orang lain. Kerana Allah menjanjikan pertolongan jika kita berusaha.      

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Kemalangan Ini Dahsyat. Abah Kamu disambut Malaikat!” — Ini Kisah Kasih LUAR BIASA Seorang BAPA, Bacalah

  • Seterus →

    Lutut MIZZ NINA Menggigil Temu Bual Ayahandanya Sendiri, Tan Sri Dato’ Azman Hashim— Ini Komen Netizen