Jun 18, 2017 - 1259
Oleh: Rosie Haslinda Nasir
MALAM itu saya tidur di kakinya.
Ya, malam itu saya tidur di kakinya hingga pagi. Tidak seperti kelaziman mana-mana malam sekalipun dalam seumur hidup saya. Saya mencium tangannya. Saya mencium jari-jarinya. Air mata saya menitik kerana merasai kesakitannya. Dari ambang pintu wad dengan udara pekat dilarut bau ubat, saya melihat dia terbaring di katil hospital, mukanya bengkak dan sembap, hidungnya basah dialiri darah.
Nyawa saya seakan terlucut ke kaki.
Anak-anak memanggilnya abah. Tetapi saya dan kakak selalu mengusiknya Daddy Cool. Mengapa Daddy Cool? Kerana abah adalah satu-satunya manusia paling cool yang pernah saya temui. Sepanjang tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki membesar di tangannya, tidak pernah sekalipun kami ditarik telinga, dicubit, dirotan, jauh sekali dijentik waima dengan hujung jari. Pancinglah dia dengan apa jua perkara yang boleh meledakkan bom jangka amarahnya. Perkara paling dahsyat yang abah boleh lakukan kepada anak-anaknya hanyalah menghayunkan tangannya tinggi-tinggi ke udara. Itu sahaja.
Dan tamparan abah itu hanya tinggal dalam angan-angan kami.
Abah bekas kakitangan Hospital Besar Melaka, dari Jabatan Pengimejan & Diagnostik (dulu-dulu dipanggil Jabatan X-Ray saja). Maka satu perkara yang paling saya suka jika pergi ke Hospital Besar Melaka apabila membuat pemeriksaan kesihatan adalah adanya ‘karpet merah’ dan ‘laluan ekspres’. Tidak perlu menunggu. Tidak perlu beratur. Tidak sempat termenung pun, kerana semua kawan-kawannya akan lekas menjeritkan, “Cepat, cepat, ini anak Nasir. Anak Nasir.”
Saya mencari Nasir bin Haji Samah malam itu, 13 November 2011, di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. Bersama kakak, adik, abang dan adik ipar; kami menderu membelah malam pekat dari Kuala Lumpur, singgah ke Melaka, lalu ke Muar. Dan apabila terlihatkan dia terbaring di situ, kaku dan tidak bergerak, nyawa saya menggelongsor ke kaki.
Sebelum pencen, abah jaguhan sukan. Marathon, bola sepak, sepak takraw, tenis, badminton, hoki, renang, ping pong; oh semua itu makanan rujinya. Mungkin kerana itu Tuhan mengurniakannya tubuh yang sihat dan kuat, susuk elok sesedap mata memandang. Kuat dan gilanya dia bekerja, mungkin tertumpah sedikit-sedikit kepada kami adik-beradik. Seperti yang selalu disebut kakak, Hari Merdeka dia bekerja. Hari Pekerja pun dia bekerja. Hari Raya pun abah berkejar menanggalkan kain samping songketnya kerana bergegas mahu ke hospital pada malam raya pertama.
Abah ditimpa kemalangan hari itu, 13 November 2011, enam hari sebelum hari ulang tahun anak sulungnya. Keretanya terbalik dan berpusing semula selepas dia menghentam penghadang konkrit jalan raya. Mujur abah tidak tercampak keluar. Mujur abah tidak terjerumus menembus cermin hadapan. Mujur abah tidak terperangkap. Mujur kereta abah tidak terbakar. Dan menyaksikan keadaan kereta abah yang remuk dan riuk, semua yang melihatnya berulang kali melafazkan, “Abah kamu dilindungi Tuhan. Abah kamu disambut malaikat. Kerana abah kamu memiliki hati yang sangat baik. Sesiapa di dalamnya pastinya sudah mati.”
Subhanallah! Tuhan yang Maha Mengasihani.
Sejarah tidak mungkin menyeleweng kebenaran. Maka buruk atau baik bapa yang kita kasihi, serba ada atau serba kurangnya dia semasa muda kerana mungkin tidak memberi secukupnya; serba membimbing atau serba pincang kepimpinannya kerana dia mungkin tidak berupaya menjadi teraju luar biasa buat keluarga kecilnya; itu bukan alasan untuk kita, anaknya, menitikkan dendam hitam, atau mengungkit-ungkit perkara lalu yang sudah pun dia terlupakan kerana fikirannya barangkali mulai nyanyuk dan daya ingatannya tidak setangkas 40 tahun dahulu.
Saya sudah melalui kesusahan dalam hidup. Dan saya sentiasa diajar untuk mensyukuri setiap pemberian-Nya, baik dalam bentuk material mahupun bukan. Tetapi saya sentiasa berpegang, bahawasanya selepas emak tiada lagi, maka abah adalah sebaik-baik rumah untuk menyemarakkan kasih sayang. Dan apabila bertekun di meja komputer, kelazimannya tiga minggu suntuk demi melangsaikan seisi majalah untuk dibaca sepantas kilat sekelip mata; membuat hati selalu digoncang rindu.
Alangkah indah, jika abah ada di sisi selalu seperti dulu.
Malam itu saya tidur di kakinya.
Sepuluh minit selepas itu, sewaktu saya mengusap kepalanya, dia tersedar, terperanjat, lalu bertanyakan, tidak penatkah memandu jauh-jauh dari Kuala Lumpur untuk ke Muar?
Dan katanya yang masih saya pegang hingga hari ini, terima kasih kerana pulang melihatnya. Kami berbicara, tetapi dia sudah terlalu penat, lalu saya biarkan dia menyambung rehatnya kembali. Saya tidur di sisinya sambil duduk di atas kerusi plastik yang keras. Udara hospital masih pekat disejati bau ubat. Saya terlena bermimpikan abah mendukung dan mengucup pipi saya semasa kecil.