Mar 03, 2017 - 23671
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
“PENJAGA pesakit, tugas mereka tidak ada awal dan tidak ada akhirnya. Tugas itu berterusan tanpa henti, 24 jam saban hari,” ujar Puan Raudzah Arippin, jurufoto, pemilik merangkap pengasas UdaArifin Photography.
Jika anda bertanyakan kepada kami, siapa Raudzah Arippin, ini jawapan kami. Kami berbesar hati mengangkat kisah suri teladan luar biasa ini. Jalur hidupnya berputar 180 darjah selepas peristiwa suaminya mengalami stroke setahun yang lalu. Apabila suaminya bertukar status menjadi insan OKU (Orang Kelainan Upaya), perjalanan hidup Puan Raudzah sekeluarga tidak lagi seperti dulu. Namun apa yang boleh kita teladani dan sematkan sebagai inspirasi di sini adalah nilai-nilai positif yang sentiasa dipegangnya. Bagaimana semua tenaga yang baik itu terserlah dengan jelas dan indah dalam setiap status Facebook yang dimuat naiknya.
Bukan sekadar bercerita, yang terpenting adalah perkongsian demi perkongsian tentang proses pemulihan dan rehabilitasi yang dilalui Puan Raudzah Arippin bersama suami. Semua catatan itu menjadi rujukan berguna buat ribuan netizen yang membacanya. Kami kongsikan kepada anda, momen-momen penting Puan Raudzah Arippin mengharungi proses penyembuhan suaminya, Encik Muhammad Idzwan Othman.
Sumber foto: Shutterstock.com
Catatan Seorang Isteri yang Berusaha Memulihkan Suaminya yang 'Stroke'
23 Februari 2017
Terima kasih kepada semua yang follow saya di Facebook ini. Nama saya Raudzah Arippin. Ada yang panggil saya Uda. Odah. Odah Anderson pun saya juga. Haha. Saya orang Melaka. Membesar dan bersekolah di Melaka. Anak bongsu daripada sembilan beradik.
Saya banyak menulis tentang pengalaman menjaga dan menguruskan suami yang diuji dengan stroke pendarahan pada 8 Mac 2015. Semua catatan saya sedang dalam proses untuk dibukukan. Yang pertama sedang dalam proses untuk diterbitkan. Doakan ya.
Sebelum ini saya merupakan seorang jurufoto sepenuh masa. Kini berehat dahulu dari sebarang tugasan atau kelas, sementara menjadi 'jururawat' sepenuh masa untuk suami yang masih dalam tempoh rawatan dan pemulihan. Terima kasih sudi baca catatan saya.
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Mengapa Kita ditimpa Musibah?
12 Januari 2017
Bila ditimpa musibah, kita rasa seolah-olah lenyap dan hilang semua impian hidup kita. Tapi sebenarnya, dalam diam Allah mahu sempurnakan satu persatu impian itu. Sabar dan redalah. Dia lebih tahu.
Sumber foto: Shutterstock.com
Inilah Hakikat Menjadi Insan OKU di Malaysia
30 Januari 2017
Sejak suami sudah jadi orang kurang upaya, baru saya sedar kini, sungguh banyak keperluan kemudahan untuk OKU di Malaysia ini yang perlu ditambah dan diperbaiki lagi. Paling mudah yang saya perhatikan, ialah kemudahan laluan untuk kerusi roda, dan tempat letak kereta untuk OKU. Kalau lihat di kawasan lot kedai, memang ada ramp untuk laluan kerusi roda, tetapi kebanyakannya dihalang oleh kereta lain yang parkir di hadapan ramp tersebut.
Tempoh hari saya mahu bawa suami ke sebuah bank di sekitar Selayang. Sudah puas berpusing, tetapi tiada parkir OKU, dan ramp dihalang oleh kereta lain. Tidak mungkin kerusi roda suami akan dapat melepasi laluan celah-celah kereta yang sempit.
Minggu sebelumnya juga saya bawa suami ke sebuah bank di sekitar Gombak selepas pulang dari hospital. Waktu itu hari sudah mula hujan renyai-renyai. Berpusing-pusing kami mencari parkir OKU kalau-kalau ada. Tapi hampa.
Saya pun parkir kereta berhampiran dengan bank. Saya minta suami tunggu di dalam kereta sahaja. Manalah tahu kot-kot pegawai bank boleh datang ke kereta sahaja untuk urusan tandatangan suami.
Di kaunter, saya tanya kepada staf yang bertugas di situ. "Encik, saya nak uruskan pertukaran kad debit suami. Tapi suami saya OKU, berkerusi roda. Tak ada parking OKU sini"
"Ok takpe. Saya beri nombor dulu ya puan kena tunggu giliran. Ramai juga ni."
Saya pun ambil dulu nombor yang diberi. Kemudian saya berdiri di tepi dinding, menunggu. Hampir 10 minit berlalu. Saya ke kaunter hadapan lagi bertanya.
"Tidak ada ke kaunter ekspres ke untuk OKU? Suami saya tu tak boleh tunggu lama sangat"
"Oh maaf puan. Ada kaunter OKU tu tapi OKU sendiri kena ke sini puan. Maaf ya puan kena beratur juga sebab pegawai yang uruskan hal ni ada seorang je tu. Ramai lagi yang tunggu turn," jelas staf tersebut.
Tak mengapalah. Saya menunggu semula. Tapi dalam hati rasa macam tak kena je. Baru saya perasan ada satu kaunter yang tertulis laluan khas untuk OKU dan warga emas. Wah, ini bagus. Tapi...
Aha, tapi saya perlu beritahu apa yang tidak kena kepada pegawai berkenaan. Lalu saya terus ke kaunter bila saya lihat ada pegawai yang mundar mandir di kaunter tersebut. "Maafkan saya puan. Saya Puan Raudzah. Saya perasan kaunter ini untuk laluan OKU. Saya sebenarnya uruskan pertukaran kad debit suami saya yang OKU. Dia berkerusi roda. Tapi masalahnya, di luar tu tak ada satu pun parking untuk OKU. Laluan ramp untuk kerusi roda pun tak ada. Memang masalah saya nak bawa dia masuk bank," terang saya.
Pegawai bank itu berpandangan dengan rakan sekerjanya di sebelah yang turut mendengar aduan saya.
"Hmm... kalau parking kat depan ni tak boleh ke?"
"Parking semua penuh puan. Puan pun tahu kawasan ni nak dapat parking susah. Lagipun kerusi roda tak muat nak lalu celah-celah kereta."
"Hmm.. suami puan kat mana?" Soalnya. Riak wajahnya kurang senang. Mungkin saya telah ganggu urusan kerjanya yang lain.
"Dia tunggu dalam kereta di depan sana…”
Pegawai itu kemudian memanggil staf yang bertugas di kaunter pertanyaan. Mereka berbincang sebentar. Selepas itu urusan kad debit suami saya diuruskan oleh pegawai terbabit dan urusan tandatangan suami dibuat di kereta sahaja. Alhamdulillah Allah mudahkan.
Cuma saya masih tidak puas hati mengapa hanya disediakan kaunter OKU tetapi kemudahan untuk akses ke bank tidak disediakan. Ini mujur saya meneman suami. Jika OKU bersendirian? Saya pernah juga berurusan di KWSP dan pegawai terbabit minta saya bawa suami masuk juga ke pejabat untuk urusan cop jari. Bagusnya, di tepi bangunan disediakan lot parkir untuk OKU dan juga ramp dari parkir hinggalah ke pejabat. Alhamdulillah.
OKU juga sebahagian daripada masyarakat dan keperluan mereka berbeza dengan kita yang sihat dan normal fungsi anggota tubuh. Sebaiknya semua premis perlu dilengkapi dengan fasiliti yang sesuai untuk OKU. Mereka bukan warga kelas kedua atau ketiga.
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Mengapa Allah Memilih Kita?
7 Februari 2017
Bila suami saya sudah sampai tahap ini, kadang-kadang datang fikiran yang tidak sabar. Bilalah kaki kiri nak boleh 'lock' sendiri. Berapa lamalah nak kena guna backslab ni. Bilalah nak boleh naik turun tangga ni.
Allahu.
Saya duduk bertenang dan berfikir semula.
Dulu masa dia terlantar tidak sedar, saya doa sangat, Ya Allah sedarkan suami aku. Izinkan dia buka mata semula. Bila sudah sedar, kita doa pula biar cepat buka tiub makan, cepat buka tiub kencing, cepat off tiub tracheostomy. Semua Allah makbulkan.
Doa pula biar pinggang dia bertahan waktu duduk, Allah makbul juga. Perlahan-lahan sudah boleh duduk lama. Doa pula kaki dia makin kuat supaya boleh berdiri, juga Allah makbulkan.
Semua Allah makbulkan. Semua.
Apa lagi yang saya perlu khuatirkan sebenarnya?
Mengenangkan perjalanan yang panjang ini, memang jelas bagaimana Allah didik hati saya supaya banyak sabar dan bersangka baik. Tidak mungkin saya dapat bertahan tanpa dua kekuatan ini.
Waktu mula-mula suami saya sakit, ada seseorang menulis kepada saya.
"Uda, ini adalah tarbiyah Allah pada awak secara terus. Ini madrasah untuk awak.Hanya insan yang Allah pilih. Awaklah orangnya…”
Allahuakbar. Kini saya faham maksud madrasah itu. Ia madrasah yang mendidik jiwa. Kita hanya dapat madrasah ini dari ujian demi ujian yang Allah beri.
Jadi bersyukurlah kita yang diuji. Wallahu'alam.
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Cinta Seorang Isteri atau Kasih Ibu dan Ayah? Yang Mana Lebih Baik?
8 Februari 2017
Sedang saya membantu suami latih berjalan tempoh hari, terdengar suara lelaki di belakang, berkata dalam pertuturan yang kurang jelas, "Seronok ada isteri tolong kan mak?”
Saya tahankan hati dari menoleh. Kemudian terdengar emaknya bersuara perlahan,
"Zam, jangan banding-banding rezeki kita dengan orang. Apa yang Allah beri pada kita, pada Zam ni yang terbaik untuk Zam. Kita ni manusia, akal kita terhad. Kita tak tahu apa hikmah Allah takdirkan pada kita semua ni. Yang dah pergi tu biar pergi. Syukur Zam masih ada mak dengan ayah jaga Zam tau…”
Entah kenapa, air mata saya bergenang.
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Kami Berusaha, Tapi Kami Juga Mengharapkan Keajaiban
10 Februari 2017
Hari ini hari terakhir kami di Wad 2B. Rasanya mungkin memang tak akan masuk wad lagi lepas ni. Terkejut jugalah tiba-tiba doktor discajkan hari ini. Kata mereka, progres suami saya baik dan boleh sambung rawatan sebagai pesakit luar sahaja.
15 Februari nanti team dari 'Occupational Theraphy' akan datang buat lawatan di rumah. Biasa mereka datang sebelum pesakit discaj.
Nanti mereka akan beri konsultasi bagaimana kami boleh maksimumkan suasana dan kemudahan di rumah supaya suami saya boleh berdikari seboleh mungkin. Mereka juga akan lihat apa peralatan atau barang yang sedia ada di rumah yang suami boleh guna untuk latihan latihan seterusnya.
Insya-Allah. Doakan suami saya.
Terima kasih Hospital Rehabilitasi Cheras. Kami pasti akan rindu Wad ABI, 2B HRC.
Ini Panduan Kecil Saya Untuk Hindari Serangan 'Stroke' Kali Kedua dan Seterusnya
12 Februari 2017
"Boleh kena stroke banyak kali? Betul ke?"
Ya betul.
Malah serangan stroke yang seterusnya akan memberi kesan yang lebih teruk daripada stroke pertama. Mengikut pemerhatian saya, ramai di kalangan pesakit yang diserang 'mild stroke' atau ada yang sebut 'minor stroke', cepat lalai dengan rawatan, kerana stroke begini cepat sembuhnya. Apabila sembuh, pesakit selalu lupa dengan beberapa hal yang mustahak berkaitan rawatan dan penjagaan selepas strok.
FAKTOR 1
Makan ubat tidak mengikut aturan yang ditetapkan oleh doktor. Sekejap makan, sekejap tinggal. Sekejap ingat, sekejap lupa.
FAKTOR 2
Tidak menepati temu janji dengan doktor untuk pemeriksaan darah dan sebagainya. Sudah rasa sihat, maka rasa tidak penting lagi untuk periksa darah.
FAKTOR 3
Mengabaikan pengambilan makanan yang baik dan diet yang tidak seimbang. Pergi kenduri belasah kambing golek 3 round.
FAKTOR 4
Membiarkan diri dalam stress, terutama yang kerja tak menentu masa dan tiada rehat atau tidur yang cukup.
FAKTOR 5
Malas bersenam.
FAKTOR 6
Masih merokok! Ini yang paling ramai pesakit stroke buat bila sudah sihat. Bawa-bawalah berhenti. Ada banyak kaedah untuk berhenti merokok sekarang. Mahu atau tidak sahaja.
Ada juga kes diserang stroke lagi akibat serangan sawan. Ia memang menyedihkan. Sawan ini agak misteri dan tiada petanda awal jika ia mahu bertandang. Jika kita penjaga atau waris seorang pesakit stroke, tanggungjawab kita untuk mengingatkan mereka tentang semua perkara di atas.
Saya paling pantang dengar orang cakap, "Masa sihat inilah kena makan semua benda. Sok dah sakit makan bubur je.”
Ewah. Kau salah bang. Kau kalau dah sakit, bubur pun belum tentu boleh makan bang. Susu pun masuk ikut tiub, tak boleh ikut mulut.
Cuba kau dengar cakap Kak Odah ni.
Untuk semua rakan-rakan ISL, kita jaga-jaga dengan semua yang di atas. Disamping doa, dijauhkan semua pesakit strok dari serangan seterusnya. Na’uzubillah. Sekian.
Kalau Hati Tidak Tenteram, Kepada Siapa Kita Mengadu?
19 Februari 2017
Mak pesan, "Baca Al-Quran selalu. Bukan masa sakit baru sibuk cari AL-Quran. Al-Quran ni penawar, bukan untuk penyakit saja, tapi untuk hati kita…”
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Ini yang Saya Buat Semenjak Menjaga Orang yang Sakit
19 Februari 2017
Suami saya punya temu janji sudah berderet-deret hingga bulan 7 nanti. Kepada caregivers, penjaga pesakit yang selalu terrr'miss' tarikh temu janji, sila buat jadual begini, tampal di dinding bilik. Begitu juga dengan senarai ubat-ubat yang perlu diambil setiap hari berserta jadualnya.
Ia juga memudahkan untuk rujukan orang lain dan pesakit sendiri jika berlaku apa-apa kepada penjaga.
PS: Siapa (caregivers) nak softcopy jadual, pm atau e-mel ya. Nanti saya e-melkan. Sekali dengan jadual ubat. Tapi kena print sendiri la ya. Hehe…
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Apa Wajar Kita Sediakan Untuk Bawa Pesakit 'Stroke' Pulang ke Rumah?
20 Februari 2017
Minggu lalu rasanya paling banyak saya terima pertanyaan, apa persediaan yang perlu dibuat untuk bawa pesakit terlantar (kebanyakannya kes stroke) pulang ke rumah. Saya telah catatkan semuanya (apa persediaan yang perlu dibuat) pada tahun lalu dan saya kongsikan kembali.
Bagi pesakit stroke, saya lebih berat menyarankan agar sebelum discaj dari wad, cuba minta doktor neuro rujukkan terus ke hospital rehabilitasi atau mana-mana unit rehab di hospital. Adalah sangat penting bagi pesakit stroke mendapat rawatan rehabilitasi secepat yang mungkin selepas serangan strok. Jika perlu bawa pulang ke rumah, panggil mana mana jurupulih fisio (physiotherapist) swasta/persendirian datang ke rumah.
Moga perkongsian ini bermanfaat. Saya izinkan SHARE.
Sumber video: Facebook Raudzah Arippin
Allah Uji Saya dan Anda Semua, Semoga Kita Terus Ikhlas dan Reda Menghadapinya
28 Februari 2016
Ketika saya bawa suami menjalani pemeriksaan di hospital tempoh hari, ada kisah yang ingin saya kongsi. Cerita yang ringkas sahaja, tapi akan menjadi antara kenangan sepanjang menguruskan hal kesihatan suami.
Bapa mertua saya sampai di hospital untuk membantu saya meneman suami kira-kira jam 10 pagi. Suami masih tidur di atas katil pengusung hospital. Saya pun bergegas mencuri masa ke kafe hospital kerana belum sempat bersarapan pagi.
Saya berseorangan makan di meja kafe itu apabila sepasang suami isteri minta izin menyertai saya kerana meja lain sudah penuh. Pasangan itu ialah pakcik dan makcik yang saya kira umurnya mungkin sudah 70-an.
Ya, sudah sangat berumur kelihatannya. Tapi keduanya nampak sihat, berjalan dengan perlahan-lahan berdua-duaan.
Pakcik itu menegur saya.
"Kamu seorang saja makan? Mana suami?"
"Ya seorang saja pakcik. Suami saya tak sihat. Dia tunggu dekat klinik sana. Pak mertua saya temankan" jawab saya.
Saya fikir pakcik itu ada masalah pendengaran. Dia terus makan dan tak hirau langsung apa saya cakap.
Isteri dia berhenti makan dan memandang saya.
"Suami tak lapar ke? Dia tak makan? Sakit apa dia?" Soalnya.
Saya berfikir sebentar mengatur ayat. "Suami saya tak boleh bangun makcik. Dia sakit stroke. Tadi saya sudah beri dia roti…”
"Ya Allah..." sahutnya.
Saya lihat wajahnya berubah.
"Kasihannya kamu nak.. sedihnya makcik dengar.”
Saya senyum saja.
"Tak apa makcik. Alhamdulillah saya kuat lagi nak jaga dia.”
“Allah... Ya Allah... " keluhnya lagi perlahan. Suaminya masih makan berselera. Langsung tidak dengar apa yang kami bualkan. Kemudian dia meletakkan sudu dan garfu, dan memandang saya. "Pakcik hari ni ada check-up. Lama lagi giliran, makanlah dulu. Tahulah hospital ni kalau tak menunggu 2-3 jam, tak sah! Hai...dah tua macam ni lah. Sakit sana sakit sini. Nak jalan pun tak larat." Dia bercerita.
Saya senyum saja dan mengangguk-angguk.
"Kenapa tak ajak suami makan sekali? Ini makan sorang-sorang je…” katanya lagi dan tergelak kecil.
Makcik itu berhenti menyuap dan memandang suaminya.
"Laki dia tak boleh bangun! Stroke!" Kata makcik itu agak kuat.
"Ya Allah!"
Sahut suaminya terkejut. Terus diletakkan sudu yang baru hendak disuap ke mulut. "Ya Allah. Apalah nasib kamu. Muda-muda suami sudah sakit teruk. Suami kamu tak tak boleh jalan? Duduk boleh?" Soalnya.
"Belum boleh berjalan lagi pakcik. Duduk boleh tapi kena bantu bila nak bangun. InsyaAllah, baiknya beransur-ansur" kata saya.
"Ya Allah… Ya Allah… "
"Sekurangnya sakit pakcik ni, boleh juga bangun. Boleh jalan. Boleh lah jalan nak pergi makan macam ni ha. Allahuakbar…"
Dia menggeleng kepala. Mungkin baru sedar nikmat yang Allah beri. Nikmat boleh berjalan yang sangat berharga. "Kesiannya kamu…" katanya lagi.
"Dulu pakcik masa muda baya baya kamu ni, kerja enjoy saja. Asik pergi tengok wayang saja! Hahah..." sambung dia lagi dan ketawa sendiri.
"Tapi kamu ni..Ya Allah. Pakcik tak tahu nak kata apa. Muda muda kamu dah kena dugaan macam ni…" Nadanya berubah sedih semula.
"Iyalah, dugaan masing-masing ya nak. Kamu sabar banyak-banyak ya…" Kata makcik yang duduk di sebelah saya.
Saya senyum saja.
Ya, kita semua ada ujian hidup masing-masing. Allah uji kami sedikit saja. Tapi Dia telah mudahkan dengan begitu banyak sekali.
Pesan orang 'alim: Kalau kita rasa kita susah, kita tengoklah orang yang lebih susah. Nescaya kita akan lebih bersyukur. Tapi dalam hal ibadah, lihatlah orang yang lebih hebat amalannya, supaya kita lebih terdorong untuk menjadi hamba yang lebih baik.
Membandingkan hidup sukar kita dengan hidup orang lain yang serba mudah dan mewah, hanya akan menambah tekanan hidup dan bimbang kalau-kalau kita jadi tidak reda dengan qada' dan qadar-Nya.
Sekadar berkongsi. Terima kasih membaca catatan ini.
Wallahu’alam.
Sumber foto: Facebook Raudzah Arippin
Terima Kasih Anakku, Ini Ujian Dunia yang Fana, Semoga Kamu Lebih Dewasa Kerananya
27 Februari 2017
Terima kasih anakanda Widaad yang banyak bantu ibu sehari dua ini. Semalam dan hari ini, perlu bantuan Widaad untuk uruskan keperluan abahnya di rumah kerana saya ada urusan. Kata abahnya, bila selesai buang air (gunakan bekas), Widaad akan buangkan di bilik air. Abah mahu air atau makan juga dibantu ambilkan.
Tadi juga saya perlu keluar beberapa jam kerana ada urusan penting. Apabila mahu dibawa Ammar sekali, katanya, "Tak apa ibu. Widaad boleh jaga. Biar Ammar duduk rumah.”
Alhamdulillah sudah boleh diharap seperti kakak-kakaknya yang sudah di asrama sekarang. Nampak berdikari juga dia. Baju sekolah, kain dan tudung semua sudah diangkat di ampaian dan digosok sendiri. Saya jenguk tadi, semua siap digantung. Malah baju taekwondo hari Khamis juga sudah disiapkan rapi dalam beg khusus.
Terima kasih banyak-banyak Widaad. Moga limpahan rahmat dan kasih sayang Allah buat anak-anak ibu semuanya.