Oct 01, 2016 - 2404

30 Sebab Asmara Bertukar Bencana

Sebahagian bencana ini mungkin pernah terjadi kepada anda. Baca dulu, anda pasti setuju.




 

1. SAAT romantik tentu jadi tragis jika telefon bimbit suami tiba-tiba berteriak pada pagi Sabtu yang sejuk lagi dingin lagi memberahikan. Tentu lebih berganda-ganda tragis, kerana apabila suami melihat pada skrin papar telefon bimbitnya yang bernyanyi-nyanyi di sebelah bantal kamu itu, dia tiba-tiba terasa seperti mati pucuk! Hai, macam manalah tak mati pucuk, kalau yang menelefon itu cik adik manis intan payungnya yang selama ini dikata suami, ‘adik angkat’ kepada ‘kawan baiknya’ punya ‘abang ipar’ punya ‘saudara’... Haru!   
 

2. Bunyi mesej SMS telefon bimbit yang bertret-tret-tret daripada bos kamu memang boleh membuat encik suami ‘potong stim’. Sebabnya? Dia baru buka ‘bunga silat’ Ombak Asmara yang pertama. Grrr...
 

3. Sedang asyik-masyhuk main kejar-kejar keliling katil dan main sembunyi-sembunyi di dalam selimut, suami terpijak lampin terpakai anak yang kamu sudah gulung bulat-bulat dan tendang ke bawah katil. Aiks! Pecah lubang. Sudahlah jatuh terkucil, Menara Condong Pisa pun merudum tanpa disangka-sangka. Nasiblah labu. Melepaslah kamu.  

 

4. Kalian mahu memadu kasih di dalam kamar gelap, konon tambah berahi, tambah misteri dan berganda romantik apabila direnjis cahaya bulan. Maaflah dik. Periksa dulu suamimu, mana tahu dia rabun malam. Bukankah haru kalau kepala katil pun disangka kepala lutut kamu?




 

5. Asmara bertukar bencana kalau suami yang kuat merokok lupa menggosok gigi (atau sengaja buat-buat lupa sebab sudah gelojoh sangat). Nescaya tiada isteri yang tidak semput diserang asma kalau suami buka mulut dan erkk, baunya macam lori sampah.
 

6. Kalau kalian termasuk dalam kategori pasangan suami isteri yang riuh-rendah seperti murai berkicau, jangankan kata dinding kalis bunyi dan kalis peluru, mungkin kalian berdua patut duduk di dalam bilik vakum kedap udara. Pastikan tiada jiran terjaga kerana bunyi-bunyian aneh yang tidak wajar didengari.


 

7. Isteri selalu digalakkan memberitahu suami apa yang baik dan apa yang tidak untuk dirinya. Tetapi kalau isteri asyik memberitahu dan memberi tips dan memberi arahan dan memberi panduan; “…to the left, to the left…” tetapi suami pula ala bodoh-bodoh alam, haii… memang tak jadi kerjalah sepanjang malam. Ada baiknya kalian pergi bermain dam dengan anak-anak. Sempat naik haji lagi. 

 

8. Bersihkan dan rapikan diri kamu seeloknya. Kalau boleh, sampai kulitmu halus licin bagai helaian sutera (terutamanya wanita). Cukurlah rerambut halus yang tidak berkepentingan. Itulah ‘aksesori’ terakhir dalam dunia ini yang seorang lelaki mahu lihat pada isterinya.
 

9. Jangan bawa isu pejabat ke kamar tidur. Dan jangan juga buat ulasan sukan. Itu sungguh tidak mengghairahkan.
 

10. Jangan bawa hal-hal kewangan dan perbelanjaan rumahtangga (lebih-lebih lagi kes hutang kad kredit, sensitif wo!) ke atas katil. Jangan juga tiba-tiba malam itu kamu mahu jadi gabenor kewangan rumahtangga dengan membentangkan semua bil-bil utiliti, penyata bank serta surat tuntut hutang PTPTN suami kamu; semua bil itu kamu hampar indah di atas katil. Atau kelak, suami kamu menopaus sepanjang malam.
 

11. Jangan ceritakan kehebatan kerjaya bekas teman lelaki kamu di dalam kamar tidur. Sudah tentu suami cemburu, menyampah dan sakit hati. Itu juga satu bala Ombak Asmara. Jangan lupa tu.
 

12. Panggilan manja ala Sayang atau Hunny Bunny memang bikin hati cair bertambah cinta. Tetapi tolong jangan panggil encik suami dengan nama gelarannya di kampung (kalau ada) seperti Mat Bongek, Man Petai atau Mat Tompel. Itu sungguh tidak memberahikan. Dan sungguh tidak cool.
 

13. Cadar katil yang sudah berbulan tidak dibasuh, berbau peluh dan aduh aduh, miang pula.
 

14. Sarung bantal yang sudah ada peta Benua Afrika dan tompok-tompok awan Nano.
 

15. Selimut yang berbau susu masam kerana siang malam anak tersayang asyik menumpahkan susunya.
 

16. Kalau agak-agak kamu dan encik suami jenis gusti ‘heavyweight’, maka jangan undang bencana dengan melabur takat seratus dua pada rangka katil murah dan tilam keras berdentum. Jangan menganiaya diri sendiri. 


17. Foto bapa mentua kamu sedang tersengih kepada kamu di dalam bingkai kayu cantik. Amboi amboi, sajak terletak di tepi kepala katil kamu.
 

18. Sistem ventilasi kamar tidur seharusnya menyalurkan udara segar lagi bersih (bonus kalau berbau harum seperti ros atau lavender). Tapi memang bencana besar kalau kamar tidur berbau hapak kerana kamu terlupa mengeluarkan stok baju kotor yang sudah seminggu bertambun di situ. Belum lagi tuala mandi basah yang disepuk di hujung katil. Sungguh tidak memberangsangkan.
 

19. Lebih besar bencananya kalau sedang asyik bermanja, suami sakit perut mahu menunaikan hajat besar. Terlebih makan sambal belacan katanya. Aiyoh!
 

20. Si Tompok, kucing kesayangan tiba-tiba mengiau dan meleseh-leseh di kaki kamu sewaktu rancak membuka bunga silat. Lebih sadis kalau si Tompok merenung kamu dengan mata berkilau-kilau, seolah-olah bertanya, “Apakah yang sedang tuan dan puan cuba lakukan?”
 



 

21. Kalau pun puan isteri besar agam macam almari dua pintu, jangan sekali-kali menegur kekurangan potongan badannya itu sewaktu hendak mula berkasih-sayang. Nescaya ada orang kena debik ala jurus Mahaguru Silambam!
 

22. Kalau isteri kurus langsing macam tiang lampu, pun tidak perlulah suami memberi komen sarkastik tidak cukup makan, tidak cukup vitamin dan sebagainya. Nescaya ada orang kena pikul selimut bantal dan tidur mengerekot di luar bilik malam nanti. Kalau tak percaya cubalah.
 

23. Menyatulah dengan remang cahaya beberapa batang lilin yang ilam-ilam berkerlipan dalam samar malam. Tetapi kalau hujung langsir sudah terbakar tercelup api, ada baiknya kalian gunakan lampu mentol saja.
 

24. Kalau isteri kurang mekar dan bugar, dadanya rata leper seperti landasan kapal terbang Bayan Lepas Pulau Pinang, suami tidak wajar membuat jenaka-jenaka bodoh atas kekurangan fizikal itu.
 

25. Andai kata kedua-dua suami isteri dikurniakan suara gegak gempita seperti halilintar membelah bumi, jangan jadikan saat berkasihan kalian seperti bunyi peluru meriam berdentam-dentum dari Perang Teluk. Sungguh tak manis.
 

26. Pintu kamar tidur yang tidak dikunci adalah no-no-no! Bayangkan kalau anak kecil tiba-tiba menerpa masuk minta botol susu. Hah, berpeluh nak menjawab. 
 




 

27. Bersiap-siap dan berwangi-wangi bukan saja kerja isteri. Suami juga harus peka menata kebersihan dan kerapian diri supaya persembahan menyelerakan. Bau badan suami yang kuat menyengat kerana sudah tiga hari makan sambal petai memang malapetaka buat mana-mana isteri sekalipun. Sembur dengan pewangi Ambi Pur pun belum tentu jalan. Yikes!
 

28. Janganlah bersama pada saat perut terlalu kenyang. Jangan juga melakukannya pada saat perut sedang berkeriut kelaparan.
 

29. Main tutup-tutup mata ala ‘ba-ba-cak’ belum tentu lagi membangkitkan misteri dalam memadu asmara. Belum tentu lagi merangsang deria sentuh kalian. Dan kalau kedua-duanya rabun jauh merangkap rabun dekat, ada baiknya pakai saja cermin mata kalian supaya matlamat tidak tersasar. Kalau tidak, memang haru-biru! 
 

30. Hubungan asmara yang tidak berombak tidak bermakna perkahwinan kalian aman sempurna dan bebas daripada ‘bencana-bencana’ rumahtangga. Kerana sebelum kalian benar-benar diuji dengan dugaan Ombak Asmara, rumahtangga kalian mungkin boleh hancur berkecai, bila-bila masa. Bencana-bencana rumahtangga itu sebenarnya bakal membawa nikmat terhebat dalam percintaan suami isteri. Dengan syarat, kalian berdua saling mensyukuri kelebihan, dan saling menerima kekurangan. Seadanya.





 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Kisah-kisah Sihir di Dalam Kelambu

  • Seterus →

    Kisah Benar Kehidupan! Biarlah Muka Pasangan Kita Tak Jambu, Pecah Pintu...