Mar 14, 2017 - 1348
Kredit foto: Google
10 BIJAK HINDARI GANGGUAN SEKSUAL DI TEMPAT KERJA
1. Biarkan saja pintu bilik terbuka luas semasa rakan sekerja atau majikan masuk ke bilik kamu. Teknik ini menghindari individu berkenaan mengambil kesempatan kerana rakan sekerja lain dapat melihat perbincangan tersebut.
2. Beritahu si pemangsa agar berhenti. Katakan bahawa tingkah lakunya itu membuat kamu marah dan tidak selesa! Beranikan dirimu meluahkan pendapat tentang tindakan kurang sopannya itu.
3. Simpan semua rekod sebagai bukti, termasuk nama orang yang terlibat, perlakuannya, gambar, e-mel serta tempat dan masa terjadinya gangguan. Ajukan semua bukti tersebut kepada pihak atasan atau pihak sumber manusia.
4. Tulis surat atau hantar e-mel yang mengarahkan mereka berhenti melakukan gangguan seksual terhadap kamu. Jika perlu, kamu boleh hantar salinan e-mel tersebut kepada majikannya atau majikan kamu sendiri.
5. Jangan terima sebarang tawaran mencurigakan yang tidak berkaitan dengan kerja. Contohnya, jika kamu diminta melakukan tugasan luar berdua sahaja, malah kamu tidak dibenarkan memberitahu hal tersebut kepada rakan sekerja lain. Itu petanda ada udang di sebalik batu!
Kredit foto: Google
6. Ketahui kamu di pihak yang benar, buat aduan rasmi kepada pihak atasan atau pegawai sumber manusia. Pasti dia akan diadili dan dihukum dengan tindakan sewajarnya jika didapati bersalah.
7. Kenal pasti rakan sekerja lain yang melihat kejadian yang berlaku agar mereka boleh dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi apabila diperlukan.
8. Jika kamu adalah mangsa gangguan seksual dan tidak berani untuk bertindak, minta bantuan rakan sekerjamu yang boleh dipercayai. Mungkin mereka boleh memberi kamu nasihat dan membantu kamu membawa perkara ini kepada pihak atasan.
9. Bersemukalah dengan si pemangsa dengan hati berani. Kamu harus tegas dan bersedia untuk menyelesaikannya. Langkah ini penting agar gangguan seksual tidak menimpa orang lain pula.
10. Jika sembilan langkah yang dinyatakan di atas masih tidak menyelesaikan masalah keji yang ditimbulkan oleh si pemangsa, maka sudah sampai masanya untuk kamu meletakkan jawatan dan mencari pekerjaan lain di tempat baru.