Mar 21, 2017 - 158143

‘Signal’ Suami di Malam Pertama, “Yang, Kapal Terbang Nak Mendarat Ni…”

Hampir 20 tahun dulu, ibunya pernah berkias ibarat, “Apabila suami kau cakap kapal terbang nak mendarat, kau jawab lapangan terbang dah sedia.” Tapi yang sebaliknya terjadi!

 

 

Sumber foto: Corbis

 

 

KALA menyiapkan nukilan ini, teringat Raden akan teman-teman rapat dan saudara-mara yang berkongsi kisah malam pertama mereka. Benar. Tidak molek dan haram membuka kisah dalam kelambu. Namun inti pati yang mereka kongsikan itu sekadar jenaka dan bukan mengaibkan sesiapa. Ia lebih kepada pengalaman lucu yang terpahat segar dalam memori lantas dijadikan kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

 

Susahnya Nak ‘Memerut' Bila Bilik Air di Luar Rumah

Beristerikan orang kampung banyak kelebihan dan kekurangannya. Kelebihannya, dapat mengenali dan memahami budaya serta rutin baru. Bagi Zairil, selepas 15 tahun mendirikan rumahtangga bersama pilihan hati iaitu anak jati Kampung Mata Ayer, tiada satu pun kekurangan yang ingin disenaraikannya. Baginya, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. 

 

Begitulah perumpamaan sesuai menggambarkan kesungguhan Zairil menyesuaikan diri dengan cara hidup orang kampung. Zairil atau lebih mesra disapa Ajil dan Maisarah adalah kenalan rapat Raden ketika zaman universiti. Detik perkenalan mereka bermula daripada aksi sakat-menyakat rakan sekuliah. Usik-usik nakal kemudiannya bertukar sehingga menjalin persahabatan. 

 

Apabila hati sudah berkenan, Zairil menghantar rombongan masuk meminang. Sudah dikhabarkan Mai adalah gadis kampung nun jauh di Perlis. Manakala Zairil berasal daripada golongan berada yang tinggal di Bukit Tunku, Petaling Jaya. Umpama langit dengan bumi perbezaan demografik mereka. Namun syukur kerana kedua-dua keluarga tiada kekangan malah merestui hubungan mereka berdua. Usai segala perancangan diatur, maka lafaz ijab dan kabul menghalalkan ikatan cinta mereka. Dan seperti pengantin baru yang lain, debaran tetap ada untuk menempuh malam pertama.

 

“Teringat aku masa mula-mula kahwin dulu. Si Bob tanya aku tandas di mana? Aku pelik kenapa dia sibuk tanya fasal tandas. Aku blur, tak dapat tangkap apa yang dia cuba sampaikan. Kemudian aku beritahu dia tandas di luar rumah. Dan dia kata kepada aku masaklah kau Ajil kalau tandas di luar rumah,” terangnya sambil mengingati peristiwa 15 tahun lalu. 

 

Sambungnya lagi, “Hinggalah malam pertama, barulah aku faham maksud Bob. Memang parah dibuatnya tandas di luar rumah. Kena bawa lampu suluh. Nak ‘memerut’ kena fikir tiga empat kali. Apatah lagi nak buat official launching malam pertama, memang tak dapatlah jawabnya. Zaman tu belum ada lagi wet tissue,” terang Zairil bersungguh diselangi dengan ketawa kami. 

 

Rentetan itu, selepas tiga tahun berkahwin dan ekonomi keluarga kecilnya semakin kukuh, Zairil memperuntuk sejumlah wang lalu diberikan kepada mentuanya agar membina tandas di dalam rumah untuk keselesaan mereka sekeluarga.

 

 

 

Kias Ibarat Kapal Terbang dan Lapangan Terbang Tak Habis-habis

Tersebutlah kisah sepasang merpati dua sejoli yang baru berkahwin, Melati dan Meor. Mereka adalah sahabat baik kakak Raden, Dewi. Melati juga punya hubungan yang akrab dengan Raden kerana sejak sekolah dia sering meluangkan masa menelaah di rumah orang tua kami. Mior pula sahabat baik kepada suami Dewi, Kamal. Perkahwinan Melati dan Mior dirai sahabat-handai dan semua kenalan. 

Kata Mior kepada Kamal dan diceritakan semula kepada Dewi lantas Dewi memanjangkan kisah ini untuk Raden nukilkan. Bapa Mior ada berpesan kepadanya beberapa hari sebelum acara akad nikah berlangsung. Bapanya berkata, “Mior, kalau kamu nak menggauli dan saat kamu nak menghampiri isteri kamu pada malam pertama nanti, katakan kepadanya kapal terbang nak mendarat.” 

 

Mendengar endah tak endah, Mior sekadar mengangguk kerana dia lebih gemuruh menghafal skrip untuk lafaz ijab dan kabul. Pesanan itu bagaikan di angin lalu.

 

Begitu juga dengan emak Melati. Amat mementingkan tatasusila dan budaya Melayu yang beradat. Seperti dikatakan Melati kepada Dewi, “Hampir 20 tahun lalu, emak nasihatkan aku, ‘Melati, apabila suami kau cakap kapal terbang nak mendarat, kau jawab lapangan terbang dah sedia. Apabila aku tanya kenapa, mak aku cakap nanti kau akan faham,” terang Melati kepada Dewi.

 

Dan tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Hanya dengan sekali lafaz, maka sahlah hubungan Mior dan Melati. 

 

Selesai acara membasuh periuk-belanga, diikuti acara membuka hadiah, hati Mior berdebar-debar saat malam semakin larut. Lebih hebat degupan jantungnya persis saat menanti dikhatankan. Usai solat berjemaah buat julung kalinya bersama isteri tercinta tiba-tiba dia teringat akan pesan bapanya mengenai istilah kapal terbang itu.

 

 

 

 

Suami Tunggu Masa Malam Pertama 

Lantas apabila Melati merapikan diri dan bersiap-siap mahu tidur, Mior mendekati isterinya sambil berkata, “Ada kapal terbang nak mendarat.” 

 

Disambut dengan wajah terpinga-pinga, jelas Melati tidak faham dengan kiasan suaminya, Melati menjawab, “Ati penatlah bang. Apa kata kita tidur. Abang pun mesti penat dah tolong macam-macam tadi,” jelasnya sambil menepuk-nepuk bantal isyarat mahu tidur. 

 

Terbukti hati Mior hampa bersulam kecewa. “Tak dapatlah aku malam ni,” desis hatinya. 

 

Namun dia yakin dan cuba berlagak positif sambil bermonolog, “Tak apa Mior, esok masih ada. Mungkin juga isteri aku malu. Itu sebabnya dia tak beri respond,” pujuk hatinya sebelum melelapkan mata.

 

Masuk hari kedua... apabila tirai malam menjelma, Mior nekad meneruskan misi dengan kapal terbangnya. Seperti malam sebelumnya, dia menunaikan solat Isyak dan solat sunat berjemaah bersama Melati. Mahu mengikut sunnah dan tatacara katanya. Dia melihat sahaja kelibat Melati melipat kain telekung dan menyikat rambut di hadapan cermin. Lantas apabila dirasakan masa yang sesuai, dia bersuara kepada Melati, “Kapal terbang nak mendarat ni,” sambil membelek kotak-kotak berisi hadiah perkahwinan mereka. 

 

"Abang, Kita Dapat Hadiah Kapal Terbang Ke?"

Malangnya Melati masih tidak faham dengan kata-kata suaminya. Lantas dia menyambung, “Kita ada dapat hadiah kapal terbang ke bang di dalam kotak tu?” Soalnya kepada Mior. Dan belum sempat Mior membuka mulut, Melati menyambung, “Kalau ada pun, tak apa bang. Nanti balik KL kita susun kemas dalam almari yang Ati dah tempah di kedai perabot Ah Seng,” ngomelnya sambil beria membayangkan mana mahu diletak hadiah yang kononnya kapal terbang itu. 

 

Terpancar wajah kecewa di muka Mior. “Tak jadi lagi malam ni. Kenapalah isteri aku ni, takkan tak faham atau pura-pura tak faham,” dia berperang dalam hati. Namun dipujuknya hati itu sambil berkata, “Tak apa Mior, beri dia masa. Insya-Allah esok mendaratlah kau.”

 

Hari bersilih ganti, sudah tiga hari Mior berkampung di rumah keluarga Melati. Dan malam ketiga diharungi dengan penuh harapan selain menitipkan doa agar perjalannnya dipermudahkan. Rutin malamnya dilalui dengan ritma biasa. 

 

Sekali lagi dia menghampiri Melati dan berkata, “Ada kapal terbang nak mendaratlah Ati,” tuturnya singkat. Sambil berjalan menuju tingkap dan menyelak langsir, Ati berkata, “Tak ada pun. Rumah Ati jauhlah dari lapangan terbang bang!” Melihat isterinya menggelengkan kepala, harapan Mior hancur berkecai. Hatinya berbicara, “Melati, sampai hati kau biarkan abang menunggu selama tiga malam dan enggan memberikannya pada abang.” Lantas dia tidur dan berlalulah malam ketiga tanpa ada apa-apa yang berlaku.

 

Saat Melati sibuk membantu ibunya menyiapkan sarapan pada keesokan harinya, dia bertanya kepada ibunya, “Ati peliklah dengan sikap Abang Mior tu mak. Malam-malam asyik cakap ada kapal terbang nak mendarat.” Ibunya pun bertanya, “Habis tu kau cakap apa?” Sambil menuang kopi ke dalam cawan, Melati menjawab, “Ati tak cakap apa-apa pun,” terangnya jujur. 

 

Dengan mata melihat sekeliling seakan mahu memastikan hanya mereka dua beranak di dapur, ibunya bersuara separa berbisik, “Kau dah lupa apa yang mak pesan tentang malam pertama? Sepatutnya kau jawab lapangan terbang dah sedia sebagai tanda bersetuju,” kata ibunya sambil menepuk-nepuk bahu anak sulungnya itu. Kembali mencuci tangan di sinki seraya menepuk dahi, “Alamak, Ati terlupalah mak. Tak apa malam ini Ati pasti akan jawab dengan betul,” tuturnya penuh yakin sambil tersenyum melihat Mior dan bapanya yang tercegat di pintu dapur.

 

Tiba malam keempat, Mior tidak menunjukkan sebarang reaksi yang dia akan bertanya soalan yang sama. Masih meneruskan rutin biasa, solat berjemaah, tingkah Melati seakan tidak kena. Dia ternanti-nanti bilakah agaknya Mior akan bertanya. Dalam hatinya menyusun kata, “Kenapa pula aku perlu tunggu lagi? Sudah tiga malam dia berkias, apa salahnya aku sendiri tawarkan diri,” Melati berteka-teki dalam hatinya. Lantas dia menghampiri Mior dan berkata, “Abang, lapangan terbang sudah sedia,” sambil tersipu menahan malu. 

 

Dek kerana geram sudah menanti beberapa hari tanpa mendapat layanan, dengan wajah yang serius Mior menjawab, “Kapal terbang rosak.” Dan mereka pun melelapkan mata lalu lena hingga keesokan paginya.

 

Nostalgia 20 tahun perkahwinan itu disifatkan antara peristiwa lucu yang meninggalkan kesan. Raden sendiri lucu mendengar cerita tersebut. Betapa orang dulu-dulu mementingkan adab dan adat. Hingga mahukan ‘yang itu’ pun diberikan dengan pelbagai kiasan dan maksud tersembunyi. Generasi hari ini bagaimana pula? Adakah kiasannya ataupun main redah saja? Tepuk dada tanya selera.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:  general

  • ← Sebelum

    10 Ayat 'Reject' Lelaki dan Makna Tersirat di Sebaliknya. Ia agak ‘Menjengkelkan’

  • Seterus →

    Seks Dingin, Suami ‘Mahu’ Tapi Isteri Lari — Ketahui Puncanya Sebelum Pasangan Beralih Arah