Jan 19, 2018 - 1384

Rupanya Ini Sebab Suami Dingin — Terkena Sihir Lepas ‘Reunion’! Para Isteri Kena Ambil Iktibar

Cinta lama Joe berputik kembali seraya membuatkan Yana makan hati. Kisah ini Raden titipkan buat teladan bersama.

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Nurul Huda Hussain 

 

TERASA cepat dan pantas pecutan masa berlalu. Dan kini pejam-celik-pejam-celik sudah berada di awal tahun baru 2018. Dan menyorot kembali beberapa peristiwa juga tragedi yang berlaku secara amnya dalam negara membuatkan Raden terpaku. 

 

Si ibu tergamak melacurkan anak, si ayah yang bernafsukan entah makhluk apa sehingga sanggup merogol dan meliwat anak gadis. tidak cukup dengan itu, anak remaja yang sekecil 12 tahun pun sudah pandai bersekongkol dalam perancangan durjana membakar madrasah yang mengorbankan anak-anak tahfiz dan oh banyak lagi perkara menakutkan yang tidak perlu Raden senaraikan. 

 

Betapa ‘tenat’ institusi kekeluargaan kebelakangan ini yang sebenarnya menguji kita semua untuk duduk dan berfikir sejenak. Benar sedikit sebanyak Raden risau memikirkan segala. Apakah Raden benar-benar bersedia untuk memiliki cahaya mata dan dibesarkan dalam keadaan di luar sana yang oh... cukup menguji dan menakutkan. 

 

Dan kala Raden duduk seorang diri sambil termenung ke luar jendela, tiba-tiba telefon berdering. Tertera nama Nisha. “Cik kak buat apa tu?” Soalnya keriangan di hujung talian. 

 

“Tak buat apa pun. Jom keluar?” Ajak Raden tanpa berfikir panjang. Lantas Nisha mengeyakan sahaja dan kami pun bertemu di kafe yang dijanjikan. 

 

“Sekejap, baru teringat nak mesej laki. terlupa pula dah jadi bini orang,” ujar Raden sambil sibuk menaip di skrin telefon. 

 

“Kau tak pergi bercuti ke hujung tahun ni?” soal Nisha sekadar memancing perhatian Raden. 

 

“Entahlah. kata Naz ada nak bawa aku pergi mana entah. kalau ada, adalah. Kalau tiada pun tak apa,” balas Raden. 

 

“Aik, bunyi macam merajuk aje? Takkan baru kahwin dah mula nak sentap dengan suami?” kata Nisha seraya memintal spaghetti carbonara kegemarannya. 

 

“Bukan macam itu maksud aku. Kalau ada rezeki berangkatlah aku ke mana aje yang dia nak bawa. Kalau tiada pun aku okey aje,” jawab Raden dan Nisha sekadar mengangkat kening seraya menganggukkan kepala. Sakan berborak itu dan ini, entah mengapa terbit cerita mengenai salah seorang kenalan rapat kami, Yana yang khabarnya semakin hari semakin membimbangkan. 

 

“Kau baca tak status Yana kat Instagram dan Facebook dia? Dia ada masalah dengan Joe ke?” Soal Nisha bertubi-tubi. 

 

 

Bila Status Facebook Naik dan Buka Pekung Rumahtangga

Dan sejak awal perbualan kami tadi, Raden dapat merasakan Nisha mahu mencungkil cerita mengenai Yana sementelahan Raden antara yang akrab dengannya. Namun Raden mendiamkan diri sahaja dan sesekali termenung jauh mengingat kembali pertemuan kami di rumah Raden tempoh hari. Mengadu cerita mengenai rumahtangganya yang umpama retak menanti belah. Bersuamikan seorang lelaki yang ego dan umpamanya ego Joe setinggi langit, tidak pandai mengambil hati jauh lagi memuji membuatkan Yana ‘makan hati’. 

 

Apa sahaja yang dilakukannya semua tidak kena pada padangan Joe. selepas melahirkan anak keempat, tubuhnya semakin berisi. Lantas demi mengambil hati suami, dia berusaha keras menurunkan berat badan dan menjalani pelbagai rawatan untuk mengembalikan semula susuk tubuh langsing persis zaman anak dara dahulu. Tidak cukup dengan itu, Yana usahakan diri untuk tampil lebih ‘stailo’ dan mengikuti cara pemakaian terkini. Namun semuanya dipandang sepi. 

 

Entah apa yang tidak kena sehingga Joe tetap dingin. Cerita Yana kepada Raden tempoh hari, “Dia seakan-akan tak bernafsu dengan aku Raden. Puas sudah aku cuba macam-macam cara, goda dia tetapi akhirnya aku yang malu dengan suami sendiri. Dia tak pandang aku langsung Raden!” ujarnya sambil menangis teresak-esak. 

 

 

 

 

 

 

Dah Gebu Cantik Namun Suami Tetap Tidak Terliur, Apa Sebabnya?

Hampir lapan bulan Yana berusaha menurunkan berat badan dan susuk tubuhnya kini lebih langsing dan dicemburui dalam kalangan kami. Namun dari raut wajahnya raden tahu ada sesuatu yang disembunyikan dan terbukti telahan Raden benar belaka. 

 

“Bila kawan-kawan puji aku makin langsing macam anak dara dahulu tak banyak sikit seronok juga. tapi bagi aku tiada maknanya semua pujian itu kalau suami sendiri tak hargai jauh lagi memuji. Aku makan hati Raden. Pada pandangan orang, aku tampak bahagia tapi dalaman aku ni membuatkan diri aku menderita,” luah Yana berjela. 

 

Usul Raden, “Aku minta maaf Yana tapi… Mungkinkah Joe berubah laku kerana sesuatu? Maksud aku... hmm... “ 

 

Berat rasanya mahu melanjutkan bicara kerana Raden bimbang Yana fikir yang bukan-bukan. 

 

 

“Maksud kau? Terkena buatan orang?” Soalnya dengan riak wajah seakan-akan tidak percaya apa yang Raden cuba sampaikan. Dan Raden hanya mampu mengangguk diam. 

 

“Itu sebab aku minta maaf. Mungkin itu hanya teori dangkal aku sahaja. Harapnya tidaklah sampai tahap itu,” hurai Raden cuba menjernihkan keadaan.

 

 

Betulkah Kawan Raden dibuat Orang Lepas 'Reunion', Supaya Rumahtangganya Porak-poranda?

Yana bungkam. Lama dia membisu. “Ya Allah, kenapalah aku tidak pernah terfikir macam apa yang kau katakan tadi? Sungguh Joe sudah berubah. Drastik pula! Sebelum ni dia tidak macam ini. mungkin ada betulnya teori kau. Aku mula perasan dia semakin menjarakkan diri lepas dia join reunion sekolah. Agaknya...” tidak mampu meneruskan kata-kata, pandangan kami bersatu. 

 

“Mungkinkah Joe terjumpa bekas kekasih dia dahulu dan mereka kembali berhubung? Lantas cinta lama kembali menggamit rasa dan bertaut dalam hati mereka?” Bertubi-tubi Yana mengemukakan andaiannya. Namun Raden sekadar mendiamkan diri. 

 

“Teman aku Raden. tolong aku bawa berjumpa dengan ustaz atau sesiapa yang lebih arif dalam soal ini. Demi rumahtangga aku Raden, tolong aku,” ujarnya merayu. Dan Raden turutkan jua permintaannya. 

 

 

Rupanya Ada Hamba Allah yang Menghantar Sihir 

Sehingga pada hari yang dijanjikan, kami bertiga ditemani kakak Raden, Dewi dan suaminya ke Bangi. Usai soal selidik bersama Ustaz Yusuf, maka benarlah telahan teori Raden sebelum ini. Namun ustaz tersebut tidak menyebut siapa yang ‘menghantar’ sihir itu. 

 

Dan menurut Ustaz Yusuf lagi, ia ‘dihantar’ menggunakan perantaraan ‘angin’. Masya-Allah, masih ada lagi manusia bersikap begini dalam era serba canggih kini. Itulah sifat manusia. tamak haloba, dengki khianat mahu menghancurkan rumahtangga insan lain.

 

Benar kata orang sewajarnya kita mensyukuri apa yang ada pada pasangan kita. Jangan melihat keburukan dan kekurangannya. Namun seandainya kekurangan juga kelemahan pasangan membuatkan kita makan hati, menjeruk rasa saban masa, bagaimana pula? Itulah dilema yang menghantui Yana.

 

Usai beberapa sesi rawatan hampir dua bulan juga one-to-one session Yana bersama Joe, syukur keadaan kembali pulih. Alhamdulillah rumahtangga mereka semakin hari menampakkan perubahan. Lega Raden mendengarnya. 

 

Benar juga bagai dikata, sekuat mana pun kita memelihara rumahtangga andai badai melanda; kuatkan hati juga nurani sesama pasangan. Jangan ada yang mudah berputus asa dan membiarkan sahaja tanpa ikhtiar dan usaha. Jadikan yang elok sebagai teladan untuk mendepani sepanjang perjalanan yang panjang ini. 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    30 Tips Temu Janji Pertama yang Mesti Anda Lakukan — AWAS! Tips No 5. Perkara ini Selalu Terjadi