Nov 06, 2016 - 1144
Oleh:
Sumber: Getty Images
APABILA membicarakan mengenai seks, nama Pakar Sakit Tuan dan Reproduktif Lelaki dan Wanita di Damai Service Hospital, Kuala Lumpur; Dr. Mohd Ismail Mohd Tambi pasti lekat di minda. Ya, siapa yang tidak kenal dengan karisma seorang doktor yang peramah, mudah didekati dan bersahaja apabila berbicara ini?
Mungkin sebahagian daripada bait katanya mengandungi unsur lucah, namun dia bukan membicarakannya hanya untuk suka-suka kerana Dr Ismail mahu mendidik masyarakat agar memahami makna seksualiti yang lebih mendalam demi keharmonian rumahtangga.
Menurut Dr Ismail yang juga Aktivis Kesihatan Seksual Lelaki dan Wanita, adalah fitrah manusia memiliki nafsu syahwat maka dengan itu setiap insan ada keinginan bagi memenuhi tuntutan nafsunya itu. Cuma ia berbalik kepada diri seseorang individu itu sama ada dia bijak mengawal kehendaknya nafsunya dengan menjalin hubungan intim yang harmoni sebagai suami isteri ataupun lebih terdorong untuk melakukan keganasan seksual demi kepuasan diri sendiri.
Sumber: Getty Images
Nafsu Fitrah Manusia
“Jika dilihat anak-anak kecil juga memiliki dorongan untuk mengetahui perbezaan gender antara budak lelaki dan perempuan. Sebaik mencapai usia pra-remaja (lapan hingga 11 tahun), mereka nak mengenali ciri-ciri seksual dengan lebih spesifik, mula nak ambil tahu, nak tinjau dan memahami lebih mendalam.”
“Dalam peringkat nak mencuba ni, bermacam pendekatan yang dilakukan oleh kanak-kanak iaitu dengan melayari laman-laman sosial pornografi, bahan-bahan bacaan dan sebagainya. Jika tidak dikawal perbuatan sebegini daripada mereka kecil, bimbang anak-anak lebih terdedah dengan aksi-aksi yang akan merosakkan anak bangsa.”
“Yang membimbangkan apabila dah dapat tengok ‘aksi terlarang’, anak-anak ni nak mencubalah pula. Dek mudah terikut-ikut dengan kawan-kawan dan suka main-main seperti, ‘Eh, engkau tengok aku punya, aku pun nak tengok engkau punya’. Daripada tengok-tengok, kemudian pegang-pegang, akhirnya kecundang.”
Kenapa Seks Ganas?
“Keganasan seksual berlaku apabila pasangan menggunakan elemen keganasan kala berhubungan intim. Dan yang dikategorikan sebagai jenayah seks seperti rogol, liwat dan banyak lagi. Kita boleh anggarkan bahawa keganasan seksual itu menggunakan tekanan, desakan, kekerasan dan deraan.”
“Namun, ada juga senario keganasan itu dianggarkan sebagai keganasan yang dilakukan atas kehendak dua-dua belah pihak seperti diikat, ditambat, dipukul, dipaksa kononnya untuk menaikkan semangat dan meningkatkan nafsu syahwat. Ini dikenali sebagai BDSM (Bondage, Dominance, Sadism & Masochism). Bondage bererti individu itu suka ditambat; Dominance suka diperintah, Sadism suka memukul dan Masochism suka dipukul. Hubungan intim yang ada unsur-unsur BDSM ini dilakukan apabila kedua-dua pihak mahukan pengalaman yang lebih luas dan keseronakan yang lebih mendalam. Mereka juga mencuba unsur-unsur yang boleh memantapkan dan menceriakan lagi hubungan intim bersama pasangan.”
“Meski mendapat pencapaian bersama, namun aktiviti BDSM juga kadangkala berdepan masalah. Justeru, BDSM mesti dilakukan dalam keadaan terkawal. Dan yang kedua, ada peraturan dan syarat bersama pasangan. Jangan sampai menyakitkan atau mencederakan. Kefahaman itu penting bagi memastikan perlakuan itu tidak mendatangkan mudarat kepada pasangan.”
“Berdasarkan pengalaman, saya turut mendapat e-mel juga panggilan daripada lelaki dan perempuan yang menyatakan mereka mempunyai perasaan suka dipukul dan digigit kala berhubungan intim, katanya lebih seronok. Dia tanya saya apa yang patut dia buat? Memanglah dia rasa macam itu (suka aksi ganas), tetapi ini berkaitan dengan pasangan, adakah pasangan anda mahu?"
Waras atau Tidak?
“Bagi pendapat saya, pesakit tidak semestinya tidak waras/ada masalah mental. Kerana kebanyakan daripada mereka ada pekerjaan, berkeluarga dan bertanggungjawab. Dan keinginan seksual itu pula adalah satu perasaan, satu fantasi, satu pemikiran dalam minda. Kebanyakan pesakit menghubungi pakar kerana ingin tahu bagaimana nak membendung perasaan ini.”
“Penjelasan sama ada dia normal atau tidak, berbalik kepada individu itu sendiri. Justeru, sebagai orang dewasa, kita perlu fikir sebelum membuat sesuatu perkara sama ada benda itu wajar atau tidak mengikut pemahaman komuniti kita dan amalan-amalan yang biasa dilakukan. Ya, masyarakat kita agak konservatif untuk menerima elemen-elemen keganasan dalam meningkatkan keseronokan kala berhubungan intim. Pun begitu, ada juga pasangan yang boleh menerima elemen keganasan seksual dilakukan terhadapnya.”
“Orang yang mengalami perasaan itu perlu mengengahkan masalah yang dihadapi. Kalau setakat fikir keinginan seksual sahaja tidak mengapa. Masalah timbul jika keinginan itu dipraktikan. Kerana ia melanggar undang-undang, melanggar peraturan, melanggar hak asasi; dan mungkin bisa disabitkan kesalahan. Jika perbuatan ini (seks ganas) tidak diterima oleh pasangan (biarpun isteri sendiri), maka ia dianggap jenayah.”
Harus Bijak Kawal Diri
“Bagi menangani masalah ini, setiap individu itu perlu bijak mengawal diri sendiri, ketahui batasan apa yang boleh dan tidak boleh buat kerana segala tindak-tanduk kita perlukan kawalan. Kalau tak boleh kawal maka anda mencari nahas!”
“Tahukah anda, bermacam benda kita temui terutama dalam kehidupan dunia tanpa sempadan pada hari ini? Kita terdedah dengan pelbagai cabaran apatah lagi dengan penggunaan internet yang tiada kawalan. Segalanya bergantung kepada kendiri seseorang itu sama ada dia mahu menjadi insan yang baik atau sebaliknya.”
“Selain itu, dalam sesebuah keluarga mestilah mengamalkan komunikasi yang terbuka (tiada halangan) mengenai apa yang dibicarakan terutama dengan anak-anak, mengikut keselesaan kita. Dalam dunia globalisasi, jika kita sendiri yang terdedah, elakkan diri daripada terjebak. Kalau kita sibuk nak cari informasi songsang di laman-laman web, namun tiada kekuatan diri, tak kuat iman, maka kita akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan orang.”
“Kebanyakan daripada pelaku yang mengamalkan keganasan seksual tidak sedar apa yang mereka buat. Tidak terfikir yang segala tingkah lakunya ada elemen BDSM. Memandangkan sudah jadi amalan dan dia suka, maka dia rasa itu okey. Tidak dinafikan, perlakuan ini berlaku secara semula jadi.”
“Dalam situasi ini, mungkin ada orang yang tidak kisah untuk melakukannya. Jika anda lakukan seorang-seorang tak apalah, malangnya ini melibatkan orang lain. Jika ada syarat sekalipun, keganasan seksual dalam hubungan suami isteri adalah tidak dibenarkan oleh Islam. Dalam agama keganasan seksual tidak boleh diterima!”
“Dalam konteks perkahwinan, ada pasangan yang ditambat, digigit, dipukul dan sebagainya kala berasmara sedangkan pada waktu-waktu yang lain suami tidak memperlakukannya begitu. Jika anda tidak berasa seronok, alami tekanan, menjadi bebanan, maka anda disarankan mengambil tindakan sebab anda bukannya binatang, kenapa perlu diperlakukan sebegitu? Jangan jadikan diri anda sebagai ‘alat memuaskan nafsu’ kerana anda juga ada naluri dan syahwat yang perlu dipenuhi.”