Oct 31, 2016 - 518

Azabnya Bila Bau Badan Suami Macam Kambing, Ini SEKSI atau TRAGEDI?

Menurut kajian yang ditemui Raden, terdapat organ tertentu dalam hidung manusia yang dapat mengecam bau-bau badan serta hormon tertentu yang memberahi. Soalnya, kalau kekasih berbau seperti tempat pembuangan sampah, itu berahi atau ngeri namanya?


Oleh: Raden Ayu Kasmaran
 


AL-KISAH, semalam, atap siling rumah Raden bocor pula tiba-tiba. Sekarang ini bukankah sedang tengkujuh? Petir sabung menyabung dan hujan mencurah-curah dari langit berserta dengan angin yang menderu-deru. Akibat bocor pada atap itu, siling ruang tamu turut mengucur air, berlimpah-limpah di permaidani. Langsung, pabila selesai menelefon kontraktor mahu diperbaiki atap genting yang terpokah, datanglah seorang tukang rumah yang paling busuk dalam dunia di rumah Raden.
 
Maka, Raden pun terjerumus di dalam satu dilema, mahu diteruskan perkhidmatan tukang rumah yang berbau busuk melantung seperti kambing terkurung terlalu lama, atau dibiarkan sahaja dia melaksanakan tugasnya, sambil Raden sendiri menjepit hidung dengan jemari. 
 
Lagipun, bukanlah perlu Raden menghadap dan menghidu tukang rumah tersebut sepanjang beliau memperbaiki siling rumah. Selain itu, Raden juga mahu menyiapkan teks artikel ini, buat tatapan dan kupasan kalian pembaca semua.
 
Bersesuaian dengan apa yang sedang berlaku, terasa cocok sekali jika Raden memperihalkan tentang bau badan pula kali ini, atau dalam Bahasa Inggerisnya dipanggil body odour, atau BO.

Tentu kalian sendiri pernah bersiar-siar dan terserempak seorang lelaki atau wanita, dengan bau hapak yang azab kurang menyenangkan berlingkar dari tubuh mereka berjangkit ke atmosfera sekitar, bergantungan di belakang mereka. Mereka itu akan terus juga berkepit dengan pasangan kekasihnya berasmaradana bersama-sama seolah tiada apa-apa.
 
Jika kalian suka mempersoal seperti Raden, tentu kalian tertanya-tanya, tidakkah mereka terasa seolah-olah sedang bercinta di kawasan pembuangan sampah?
 

Sebusuk-busuk Suami, Isteri Tetap Suka

Bagaimanakah kekasihnya itu boleh tahan bau badan persis mamalia tertentu yang sedang berlegar di sekelilingnya? Hidung tersumbatkah, atau memang cacat deria hidu? Namun, jika diperhati terus-terusan, nyata sekali mereka sebenarnya tidak menyadari bau busuk itu. Seolah-olah bau hapak hangit itu hanya fantasi di dalam pemikiran kita sendiri sahaja. Mereka tiada apa-apa, kita pula yang mencium melebih- lebih.
 
Setelah menyelidik lebih lanjut perihal ini, jelas sekali jawapan bagi soalan tersebut adalah: Bau adalah deria yang subjektif. Barangkali, bau busuk itu hanya dihidu oleh kita, tidak dikongsi dengan orang lain, terutama sekali tidak dihidu pasangan kekasih hangit tadi. 
 
Deria hidu ini ajaib sifatnya, apa yang kita bau tidak semestinya sama seperti hiduan orang lain. Kerana itulah perfume di toko-toko kosmetik yang orang lain katakan wangi, kita kadang kala menafikan; dan pewangi yang kita katakan berbau sedap dan manis, ada pula orang lain yang menghidu lalu menjadi ringan kepala seperti mahu pitam.
 
Sesungguhnya, banyak benar yang membuka mata, dan membuka lubang hidung juga, Raden pelajari selepas menyelak kitab-kitab khutub khanah mengkaji perihal bau-bauan badan ini. Rupa-rupanya bau memainkan peranan yang penting dalam pemilihan pasangan, serta kerukunan rumahtangga. Kerana itulah, kadang- kadang, sebusuk-busuk suami pun masih dikasihi oleh sang isteri seolah tiada tolok bandingnya. Sang isteri tersebut, barangkali hanya menghidu harum-haruman kasturi pada tubuh suami.
 
Efek bau, terutamanya bau badan yang busuk dan kurang menyenangkan, dalam menentukan pasangan ini pertamanya ada disebut oleh saintis terkenal Inggeris bernama Charles Darwin yang mempersoalkan, “Kenapa haiwan-haiwan tertentu menghidu pasangannya ketika mahu mengawan? Kenapakah kuda jantan membesarkan lubang hidung mencium kuda betina? Kenapa kucing-kucing menghidu kencing kucing lain? Kenapa pula ada monyet-monyet yang menyapu kencing di telapak kakinya untuk menarik pasangan berlainan jantina?”

Aduh, Busuk! Tapi Tetap Suka...

Kita manusia ini sebetulnya tiada terlalu berbeda berbanding haiwan jika membincangkan tentang hidu menghidu ini. Manusia secara tradisinya memang suka menghidu sesama sendiri, tetapi dilakukan dengan cara yang lebih bertamadun. Kita melagakan pipi dan hidung seperti puak-
puak di Eskimo dan Arab. Pasangan berkasih berkucupan dan menghidu ubun-ubun. 
 
Di Nusantara ini, kita juga mencium tangan apabila bersalaman, tanda menghormati atau senioritas. Menurut saintis, termasuk Barbara Sommerville dan David Gee daripada Universitas Leeds di United Kingdom, perbuatan saling menghidu ini, secara luar sedar merupakan cara tubuh badan kita berhubung menggunakan bau.

Idea yang mengatakan bahawa terdapatnya kimiawi-kimiawi menghasilkan bau yang memainkan peranan penting di dalam seksologi dan perhubungan manusia bukanlah sesuatu yang baru. Saintis mendapati, hormon-hormon tertentu bernama feromon di dalam tubuh mempunyai daya tarikan terhadap pasangan berlainan jantina. Perkataan feromon tersebut berasal daripada istilah Yunani pherein bermaksud ‘perhubungan’ dan hormon bermaksud ‘stimulasi’ dan mula-mula dikaji oleh Adolf Butenandt pada tahun 1959.

Menurut kajian, terdapat organ tertentu di dalam hidung manusia bernama organ vomeronasal yang dapat mengecam bau-bau badan serta hormon tertentu yang memberahikan, terbit dari ketiak, pelipat, serta bahagian-bahagian tubuh tertentu. Organ vomeronasal menjadi organ penting dalam menentukan pasangan.

Namun, semua orang mempunyai daya tarikan yang berbeza kepada orang lain, masing-masing bergantung kepada genetik dan bancuhan feromonon sesama jantina. Bau tubuh tertentu hanya mempunyai tarikan kepada pasangan berlainan jantina yang mempunyai genetik yang bersesuaian dengannya. Kerana itulah, di pasaran tatkala ini ada pihak menjual perfume yang digaulkan dengan feromon, dikatakan menjadi afrodisiak yang dapat membantu seseorang itu mencari pasangan. Walau bagaimanapun, kemujarabannya masih boleh dipertikaikan.

Selain itu, aromaterapi juga sering digunakan sebagai perubatan alternatif, bagi mengubat penyakit atau sekadar mahukan kesihatan harian. Yang ini, Raden tiadalah kisah kerana aromaterapi selalunya melibatkan bau-bauan yang harum, daripada buah-buahan atau bunga-bungaan. Tidak pernah pula Raden dengar aromaterapi yang menggunakan bau hancing kencing atau sampah sarap, atau bau susu masam atau ikan disiang contohnya. 
 
Dikatakan, bau lavender dan eucalyptus dapat menyiagakan tubuh, bau phenethyl (seolah-olah mawar) dapat memberi ketenangan serta menurunkan tekanan darah. Bau limau dapat memberikan sensasi sihat, terutamanya kepada mereka yang sedang selesema atau demam.
 

Limau VS Kontraktor Berbau Kambing

Lewat petang barulah kontraktor menyiapkan atap genting rumah Raden yang terpokah berlubang mengalirkan hujan. Raden menyediakan air limau sejuk baginya, buat menghilangkan dahaga. Sambil dia meneguk, Raden menahan nafas. Dikatakan dalam bidang aromaterapi, bau limau memberi rasa segar dan membantu kesihatan, tetapi Raden seperti mahu mati terhidu bau limau berkacuh bau badan kekambing-kambingan kontraktor itu.

Sambil menyerahkan wang upah memperbaiki atap rumah, Raden terfikir, tentu selepas itu, kontraktor tersebut akan pulang ke rumahnya, gembira dengan kerja hari ini, kembali kepada isterinya yang dicintai, yang menghargai bau tubuhnya. Tentu mereka gembira. Dan tidak menjadi kudis segala sarkasma dan perli yang Raden tuliskan di sini tentang bau badannya. Kerana hidup ini harus diisi dengan orang yang selesa dengan kita, selesa dengan bau dan perilaku kita.

Apa orang lain mahu katakan, biarkanlah. Kerana mereka tidak penting.
 
 
 
 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Nafkah Batin Untuk Ceriakan Isteri, Tapi Ramai Suami Ingat Sebab Nak Buktikan Dia Kuat" — Ustaz Kazim Elias

  • Seterus →

    “Usah Berfantasi Sampai diikat, ditambat dan dipukul. Nanti Makan Tuan” — Dr. Ismail Thambi