Dec 28, 2016 - 3186

Orang Muda Kita Muflis Sebelum 30! Ini Panduan Pengurusan Kewangan 2017 Anda MESTI Amalkan

Tahun 2017 dikhabarkan penuh ranjau dan duri dek ekonomi yang malap. Jadi, apakah resolusi kewangan yang anda ambil bersempena tahun baru serba mencabar ini?

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

Sumber: Shutterstock.com

 

 

KETIDAKCEKAPAN golongan muda dalam mengurus aliran tunai menjebakkan mereka dengan pelbagai masalah kewangan misalnya hutang berlebihan sehingga ada yang diisytihar muflis walau usia belum pun mencecah 30 tahun. Kenapa jadi begini? 

 

Sejajar dengan kehadiran tahun baru 2017, apa kata InTrenders ambil peluang ini untuk merubah pelan penstrukturan kewangan anda agar dapat mengurus hutang dengan berkesan dan membuat keputusan kewangan yang bijak. Kehidupan yang bebas daripada masalah kewangan menjanjikan kebahagiaan. Justeru, marilah kita jadikan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai budaya hidup menjelang 2017.

 

Menurut Pengurus Jabatan Pendidikan Kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nirmala Supramaniam; individu yang berdepan dengan masalah hutang berlebihan dan tidak tahu jalan terbaik untuk menyelesaikannya bolehlah merujuk kepada AKPK bagi mendapatkan bantuan.

 

“Kami di AKPK sedia membantu mana-mana individu yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan pada bila-bila masa dan di mana jua. Yang paling penting, anda mahu tampil ke depan dan berkongsi masalah yang dihadapi. Perkhidmatan kami adalah percuma, jadi inilah peluang terbaik untuk anda memperbaiki pelan pengurusan aliran tunai demi kebaikan pada masa hadapan.”

 

“AKPK yang ditubuhkan pada 2006 adalah syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia dengan visi ‘Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup.’ Ia berperanan untuk melengkapkan kehidupan warga Malaysia dengan kemahiran pengurusan kewangan yang baik dan hutang yang terkawal. AKPK menawarkan tiga perkhidmatan percuma iaitu: (1) Program Pendidikan Kewangan – berpengetahuan dalam menguruskan kewangan peribadi; (2) Kaunseling Kewangan – mengamalkan tabiat kewangan yang positif berpandukan pengetahuan kewangan yang diperolehi; (3) Program Pengurusan Kredit (PPK) – bebaskan diri daripada belenggu kewangan.”

 

Sumber: Shutterstock.com

 

 

“Saya menyarankan agar mereka (peminjam) terus merujuk kepada AKPK pada peringkat awal masalah timbul misalnya jika bayaran ansuran dengan bank tertunggak sebulan. Jangan bertangguh kerana masalah akan jadi lebih membebankan sekali gus mencalarkan rekod pembayaran balik pinjaman dengan institusi kewangan."

 

"Jalan penyelesaian yang diambil oleh AKPK adalah berunding dengan pihak bank untuk mendapatkan struktur kewangan baru yang dipersetujui oleh pihak bank dan peminjam. Selain itu, mereka juga perlu melalui Program Pengurusan Kredit yang dikendalikan oleh AKPK. Pendekatan yang diambil adalah melihat aliran tunai individu yang bermasalah dan cuba diselesaikan sebaik mungkin tanpa ada pembekuan akaun,” ujar Nirmala apabila ditanya bilakah masa yang sesuai untuk individu itu merujuk dengan AKPK.

 

Selain mereka yang sudah berdepan masalah kewangan, pihak AKPK amat menggalakkan penglibatan semua orang dalam usaha memperbaiki pengurusan wang ringgit anda. Justeru, pihak AKPK menyediakan modul berkaitan pengurusan kewangan terhadap peserta Perkhidmatan Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai langkah awal untuk mendidik masyarakat betapa pentingnya pengurusan kewangan ini.

 

“Pihak AKPK menyasarkan setiap individu yang berusia 18 tahun dan ke atas agar memahami cara terbaik mengurusan aliran tunai. Ini kerana seawal usia itu, mereka yang rata-ratanya adalah pelajar sudah pun berhutang apabila mereka mengambil Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).”

 

“AKPK turut mengadakan ceramah pada setiap Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di lokasi terpilih di seluruh negara dengan tujuan mendedahkan masyarakat betapa pentingnya menguruskan aliran tunai. Tiada bayaran dikenakan. Ceramah ini dikendalikan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina. Hubungi 1-800-88-2575 jika berminat.”

 

Sumber: Corbis 

 

Tips Mengawal Aliran Tunai

Berkongsi mengenai tabiat pengurusan kewangan yang baik, Nirmala menjelaskan, “Setiap individu perlu tahu menguruskan aliran tunai masing-masing dengan sebaik-baiknya. Ia adalah proses memantau, menganalisa serta menyelaras aliran tunai peribadi anda. Aliran tunai terdiri daripada pendapatan (aliran masuk) dan perbelanjaan (aliran keluar). Pendapatan atau aliran masuk tunai merangkumi pendapatan aktif dan pendapatan pasif.”

 

“Pendapatan aktif adalah hasil daripada pekerjaan atau usaha niaga anda contohnya gaji dan hasil keuntungan perniagaan. Pendapatan pasif pula diperoleh daripada simpanan atau pelaburan contohnya faedah atau keuntungan, sewa, dividen dan royalti.”

 

Aliran keluar tunai terdiri daripada: (1) Perbelanjaan tetap – Perbelanjaan ini berkaitan dengan keperluan hidup dan selalunya jumlah yang sama dibelanjakan setiap bulan. Contohnya bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan dan sewa beli, sewa rumah dan premium insurans; (2) Perbelanjaan yang berubah-ubah – Lazimnya berkaitan dengan keperluan hidup. Contohnya makanan, pakaian, bil utiliti dan barangan rumah yang penting; (3) Perbelanjaan budi bicara – Perbelanjaan pilihan. Sebahagian besar perbelanjaan budi bicara bukanlah untuk keperluan hidup tetapi sesuatu yang boleh memberi keseronokan. Contohnya makan di luar, membeli pakaian berjenama, hiburan dan barangan rumah yang tidak penting.

 

KETAHUI KEDUDUKAN WANG TUNAI ANDA

JIKA PENDAPATAN ANDA LEBIH DARIPADA PERBELANJAAN, KEDUDUKAN WANG TUNAI ANDA BERADA PADA TAHAP LEBIHAN (POSITIF). SEBALIKNYA JIKA PERBELANJAAN ANDA LEBIH DARIPADA PENDAPATAN, KEADAAN INI DISEBUT DEFISIT (NEGATIF).

 

LEBIHAN TUNAI

JUMLAH WANG MASUK LEBIH BESAR BERBANDING JUMLAH WANG KELUAR.

 

DEFISIT

JUMLAH WANG MASUK LEBIH KECIL DARIPADA JUMLAH WANG KELUAR.

 

Sumber: Shutterstock.com 

 

 

Anda Mesti Buat Bajet!

Nirmala berkata, bajet amat penting bagi memastikan perbelanjaan anda tidak melebihi pendapatan. Bajet adalah satu pelan mengurus aliran tunai dan digunakan untuk membuat anggaran pendapatan dan perbelanjaan anda pada masa hadapan. 

 

Secara ringkas, bajet menyenaraikan semua aliran masuk tunai dan aliran keluar tunai yang dijangkakan untuk membantu anda membuat keputusan kewangan secara berhemah.

 

“Kebaikan mempunyai bajet adalah kita hidup mengikut kemampuan, memupuk tabiat menabung, menabung untuk digunakan ketika kecemasan kewangan dan menambah nilai harta bersih. Perlu diingat, hidup mengikut kemampuan adalah berdasarkan kepada keperluan dan kehendak individu. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan berbeza mengikut seseorang individu, maka bajet anda seharusnya berasaskan kepada keperluan dan kehendak anda.”

 

“Kita selalu buat-buat lupa untuk membezakan keperluan dan kehendak sehingga natijahnya memberi kesan kepada bajet bulanan anda. Ingat! Keperluan adalah sesuatu yang anda perlu ada dan tidak boleh hidup tanpanya, manakala kehendak pula adalah sesuatu yang anda inginkan tetapi tidak semestinya perlu.”

 

4 Soalan Mesti Tanya Kepada Diri Sendiri

Kunci kepada bajet yang berjaya adalah berbelanja kurang daripada apa yang anda perolehi. Apabila anda teringin membeli sesuatu, cuba tanyakan empat soalan ini kepada diri sendiri:

(✓) Adakah saya mampu membelinya?

(✓) Adakah saya betul-betul memerlukannya?

(✓) Adakah terdapat barang yang lebih murah?

(✓) Bolehkah saya menangguhkan pembeliannya?

 

Berikut adalah beberapa contoh barangan KEPERLUAN dan KEHENDAK: 

KEPERLUAN 

1. MAKANAN

2. TEMPAT TINGGAL

3. PAKAIAN

4. KERETA

5. TELEFON BIMBIT

 

KEHENDAK

1. MAKAN DI RESTORAN

2. BANGLO

3. PAKAIAN BERJENAMA

4. KERETA MEWAH

5. TELEFON BIMBIT CANGGIH

 

7 Panduan Mengurus Hutang Secara Bijak

PANDUAN 1

Pengurusan aliran tunai yang lebih baik. Jika anda berjaya mengurus hutang dengan baik,

anda akan mempunyai lebihan wang untuk tabungan dan seterusnya mempunyai kedudukan aliran tunai yang positif. Dengan aliran tunai yang positif, anda mempunyai dana berlebihan untuk membantu membina tabung kecemasan, mengurangkan hutang dan mengambil peluang untuk pelaburan yang baik.

 

PANDUAN 2

Pengurusan kekayaan yang lebih baik. Sebahagian besar proses membina kekayaan ialah anda perlu membuat keputusan bijak dalam hal-hal mengenai hutang. Ia membolehkan anda mengurangkan liabiliti sambil meningkatkan kedudukan nilai harta bersih.

 

PANDUAN 3

Mengelak bayaran lewat dan caj penalti. Jadilah seorang pembayar hutang yang baik. Lebih cekap anda mengurus hutang, maka lebih banyak penjimatan yang diperolehi dengan mengelakkan pelbagai caj. Ambillah langkah pertama dengan membayar hutang mengikut jadual.

 

PANDUAN 4

Mengurangkan kos pinjaman. Anda boleh melangsaikan hutang dengan cepat jika mengurus hutang secara bijak dan sentiasa memantaunya. Lebih cepat anda melangsaikan hutang lebih banyak penjimatan kos faedah anda perolehi.

 

PANDUAN 5

Meningkatkan kedudukan kredit. Pengurusan hutang yang bijak akan membantu anda membina rekod kredit yang lebih baik bagi memudahkan anda memohon pinjaman pada masa hadapan. Ini adalah kerana rekod pembayaran anda dijejak melalui Biro Kredit Bank Negara Malaysia. Setiap kali anda meminjam, hutang dan rekod pembayaran anda akan dicatatkan. Oleh itu, sekiranya anda pernah terlewat atau gagal menjelaskan pinjaman ini boleh menjejaskan keupayaan anda untuk memperoleh pinjaman pada masa hadapan.

 

PANDUAN 6

Mengelakkan gangguan atau tindakan undang-undang. Untuk mengelakkan gangguan si pemiutang atau tindakan undang-undang, pastikan anda membayar ansuran bulanan tepat pada masanya. Anda perlu sedar bahawa jika anda tertinggal atau tidak membayar ansuran mengikut jadual, kedudukan kredit anda akan terjejas.

 

PANDUAN 7

Hubungan keluarga yang lebih baik. Semakin cekap anda menguruskan hutang, semakin baik hubungan anda dengan ahli keluarga. Sering kali pertelingkahan atau salah faham antara ahli keluarga berpunca daripada masalah kewangan. Pengurusan hutang yang baik juga akan mengeratkan hubungan anda dengan kawan dan teman sekerja.

 

“Justeru, saya menyarankan kepada InTrenders agar menjaga rekod pembayaran balik pinjaman dengan pihak bank. Jaga kreadibiliti bagi memudahkan anda memohon pinjaman pada masa depan. Sebagai peminjam, anda perlu tahu jenis hutang yang diambil, kadar yang dikenakan dan cari yang termurah dan terbaik. Buat pemantauan. Juga tahu terma dan syarat yang dikenakan oleh institusi kewangan,” pesan Nirmala sambal mengakhiri perbualan.

 

 

TIPS BERBELANJA DENGAN BAIK

MASA

TIPS 1 Rancang pembelian untuk mengelakkan keluar berkali-kali hanya untuk membeli beberapa barangan.

TIPS 2 Guna sumber yang ada dengan sebaik mungkin, termasuk menjimatkan petrol dan masa.

TIPS 3 Elak daripada membeli-belah pada saat akhir kerana lazimnya anda  tidak berpeluang membuat perbandingan harga yang akhirnya memaksa kita membeli barangan yang mahal.

TIPS 4 Beli dan simpan barang keperluan terlebih dahulu bagi mengelakkan kenaikan harga ketika musim perayaan.

 

SENARAI

TIPS 1 Sentiasa senaraikan barangan yang hendak dibeli.

TIPS 2 Elakkan daripada membeli barangan yang tidak diperlukan.

TIPS 3 Membeli ikut bajet anda.

 

PERBANDINGAN

TIPS 1 Buat perbandingan harga di beberapa kedai/pusat membeli-belah sebelum membeli sesuatu barangan.

TIPS 2 Simpan buku senarai harga untuk menjejak harga barangan yang kerap dibeli.

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    2017 Tahun Mencabar, Ini Panduan Menjaga Kerjaya Kalau Anda Mahu Terus Makan Gaji

  • Seterus →

    Petua Mudah Untuk Orang Liat Bangun Pagi, Cubalah