Jan 07, 2017 - 91276
Oleh: Nurul Huda Hussain
Sumber foto: Arkib InTrend Malaysia
NAMA: Jessie Lee, Pengasas Soleil Trinity Resource; sebuah badan konsultan profesional dalam 'Chinese Metaphysics'.
KEPAKARAN: Analisa Tarot Card reading, Bazi consultation, Palm and Face reading, Konsultasi Feng Shui dan Auspicious Date selection.
LATAR BELAKANG: Berpengalaman lebih 20 tahun, Jessie berkongsi kepakarannya menerusi sesi konsultasi, bengkel dan kelas baik di dalam atau luar negara, malah pernah mengendalikan sesi di Hong Kong, London, Australia dan Amerika Syarikat.
APA KATA JESSIE LEE TENTANG ANALISA WAJAH?
"Fokus utama adalah elemen '5 Officers' yang terdiri daripada mata, hidung, mulut, telinga dan kening. Apabila saya melakukan analisis bacaan muka, perkara pertama yang diberi tumpuan adalah aspek keseimbangan. Selain itu, saya juga dapat mengenal pasti adakah wajah seseorang itu mempunyai elemen kekayaan atau sebaliknya. Raut wajah mereka yang berjaya atau kaya lazimnya lebih menyerlah walaupun tanpa solekan. Selain itu, wajah mereka juga lebih flashy," ujar Jessie Lee dalam satu temu bual eksklusif, merungkai rahsia karakter manusia berdasarkan bentuk muka dan elemen-elemen pada wajah. Ayuh kita kemashsyran
ikuti kupasan menarik ini.
No. 1 Mata
Sumber foto: shutterstock.com
Dalam '5 Officers', elemen yang menjadi fokus utama adalah mata. Ia mewakili elemen api yang menterjemahkan keazaman, kesungguhan, keghairahan, keinginan, impian dan agresif. Malah individu yang berjaya kebanyakannya mempunyai mata yang terang dan jelas antara mata putih dan mata hitam. Malah jika ia seakan bersinar ia menunjukkan seseorang itu tahu apa yang diingini.
Berbeza dengan mereka yang memiliki mata agak kelam, kabur dan suram. Ia menggambarkan sifat kurang kesungguhan, tiada keinginan terhadap sesuatu dan mungkin mencerminkan mereka tidak bahagia. Kebanyakan daripada kita beranggapan kegembiraan itu terletak pada senyuman tetapi sebenarnya ia dapat dilihat menerusi mata.
Jika anda memiliki mata yang besar dan bulat, lazimnya anda lebih bersifat emosional. Dalam erti kata lain, mereka yang bermata bulat dan besar ini lebih senang meluahkan perasaan. Lebih menarik, lazimnya mereka yang bermata besar dan bulat memiliki ‘peach- blossom eyes’ yakni kecenderungan untuk disukai oleh orang lain lebih tinggi berbanding mereka yang bermata kecil.
Bidang jualan, perkhidmatan atau hiburan adalah antara kerjaya yang sesuai. Lihat wajah artis-artis terkenal. Mereka lazimnya bermata besar dan bulat. Berbeza pula dengan mereka yang bermata kecil dan panjang (small-long-eyes). Mereka teliti, cermat dan berhati-hati malah kelompok individu ini sukar meluahkan perasaan.
Keseimbangan juga dapat diukur jika jarak antara sepasang mata anda adalah sama dengan panjang sebelah mata. Jika terlalu rapat atau terlalu jauh, ia disifatkan sebagai hilang keseimbangan. Jika jarak terlalu rapat, mereka lazimnya tidak bersifat terbuka, berfikiran sempit dan degil.
Dan, jika mata atau kening terlalu rapat, mereka lazimnya bersifat ekstrem dan berkecenderungan melakukan jenayah atau terjebak dalam aktiviti keganasan. Jika jarak antara sepasang mata terlalu jauh pula mereka lazimnya mudah dipengaruhi oleh orang lain, 'easy going' dan kreatif.
No. 2 Hidung
Sumber foto: shutterstock.com
Elemen kedua dalam ‘5 Officers' adalah hidung yang melambangkan nilai yang ada pada diri anda seperti keyakinan diri. Semakin tinggi, besar dan flashy hidung anda bermaksud semakin tinggilah keyakinan diri seseorang. Dalam skop ini, terdapat 'baseline' yang menjadi ukuran yakni anda tidak boleh mengukur atau melihatnya dalam kalangan kaum yang berbeza.
Misalnya masyarakat Cina tidak boleh membandingkan hidung mereka dengan warga Amerika Syarikat, sebaliknya membuat perbandingan dalam kaum sendiri. Secara umumnya, mereka yang mempunyai hidung yang 'flat' dan kecil menggambarkan sifat yang 'easy going', tidak menyerlah dan kurang keyakinan diri. Selain itu, hidung juga melambangkan tafsiran tahap kesihatan seseorang.
Jika pada pertengahan batang hidung (nose bridge) seseorang lebih gelap warnanya, ia menunjukkan ada masalah kesihatan dalaman yang perlu diberi perhatian. Hidung juga melambangkan tahap kekayaan dan kukuhnya kedudukan kewangan. Lihat usahawan atau tokoh ternama bidang kewangan, kebanyakannya memiliki hidung yang tinggi, besar dan flashy.
Contohnya, Pengasas dan Pengerusi Public Bank Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Dr Teh Hong Piow, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes. Mereka mempunyai peluang kejayaan yang tinggi dalam bidang yang diceburi.
No. 3 Mulut
Sumber foto: shutterstock.com
Mulut mewakili definisi komunikasi dan sejauh mana anda bisa mempengaruhi orang lain. Semakin besar bentuk mulut anda bermakna semakin kuat daya pengaruh kepada orang sekeliling. Contoh popular adalah personaliti televisyen Oprah Winfrey. Walaupun memiliki bentuk mulut yang besar, namun jika ia tidak dapat ditutup dengan sempurna (masalah gigi tidak sekata) ia tidak dikira tergolong dalam kategori mempunyai daya pengaruh.
Sebaliknya jika bibir bahagian atas dan bawah ditutup dan dibuka dengan sempurna, maka anda sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk mempengaruhi orang lain. Mereka yang memiliki mulut yang besar sesuai menceburi bidang utama komunikasi seperti perantara dan jualan. Jika pada bahagian tengah (bibir atas dengan dua sisi bentuk yang jelas) mempunyai lekuk kecil itu tandanya anda bijak dan handal dalam soal perundingan.
Jika bentuk bibir bulat dan tidak terlalu jelas mereka lazimnya tidak boleh berkomunikasi dengan baik. Kemahiran artilukasi kurang baik. Jika anda memiliki bibir atas tebal daripada bibir bawah, ia memberi gambaran anda seorang yang sentimental dan emosional. Jika bibir bawah tebal daripada bibir atas, anda seorang yang realistik, tidak sentimental dan logik.
Jika bibir bawah tebal dan terjuih keluar ia disifatkan sebagi seorang yang suka memutar belit keadaan. Bagi wanita, semakin banyak garis atas bibir ia memberi gambaran anda mempunyai peluang yang baik dalam memperoleh kekayaan dan peluang yang baik dalam hidup. Garis-garis di luar bibir, ia memberi gambaran yang kurang baik, misalnya peluang untuk anda hidup sendirian dan sunyi agak tinggi.
No. 4 Telinga
Sumber foto: shutterstock.com
Telinga pula mewakili elemen maklumat. Jika anda mempunyai sepasang telinga yang besar, tinggi dan sticking-to-the-head; anda adalah seorang yang berdisiplin dan bijak berdiplomasi. Masyarakat dahulu, mempercayai sesiapa yang mempunyai telinga capang lebih memberontak dan tidak membawa perlambangan yang baik. Namun berbeza dengan tafsiran masyarakat hari ini. Mereka yang tergolong dalam kategori ini mempunyai kelebihan tersendiri.
Hal ini kerana mereka lebih terbuka, mempunyai pandangan dan pilihan tersendiri dan suka melakukan apa jua kerja dengan cara mereka sendiri. Mereka juga gemar mencipta sesuatu (pencetus) dan tidak sekadar mengikut-ikut sahaja.
Mereka yang mempunyai bentuk telinga dan cuping yang besar dan flashy pula dikatakan kelompok yang benar-benar menikmati setiap apa yang berlaku dalam hidup.
Misalnya menikmati makanan yang sedap, memanjakan diri dan sebagainya. Dan bagi individu yang cuping telinganya tidak mempunyai bentuk dan rapat ke sisi; mereka disifatkan sebagai seorang yang sering bekerja keras tetapi sayang sekali, ada masanya dia terlupa untuk merai dan menikmati apa yang ada di sekelilingnya.
No. 5 Kening
Sumber foto: shutterstock.com
Kening mewakili aspek keterkaitan, perhubungan dan pertalian. Jika bentuk kening anda terletak cantik dan sempurna maka semakin baik dan bagus perhubungannya. Mereka yang bijak dalam aspek ini (well connected) lazimnya memiliki bentuk kening yang sempurna (kening tidak terlalu lebat dan lemah). Bentuk kening yang lemah ialah jika ia terlalu tebal dan lebat memberi definisi tahap kesihatan dan pertalian dalam keluarga terjejas.
Jika bentuk kening tebal dan menonjol, ia adalah baik. Baik dan cantik dalam erti kata setiap rerambut kening menghala ke arah yang sama. Ini bermaksud seseorang itu jelas dalam setiap apa yang dilakukannya. Rangkaian sosial dan hubungannya dengan orang lain juga amat baik. Jika rerambut kening serabut ia secara asasnya menggambarkan anda seorang yang keliru.
Semakin panjang bentuk kening seorang wanita bermaksud, lebih sentimental jiwa anda juga lebih penyabar terutamanya bagi mereka yang mempunyai kening melengkung dihujungnya. Selain itu, anda juga seorang yang mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, fleksibel dan baik.
Kening yang lurus dan ada segelintir yang keningnya lurus ke atas pula bermaksud, anda memiliki karakter yang kuat. Dan bagi wanita yang keningnya lebih pendek daripada mata (hujung kening lebih pendek daripada hujung mata) anda seorang yang kurang sabar, karakter yang kuat dan agresif.
8 Panduan Bentuk Wajah yang Anda Mesti Ambil Tahu
Barisan selebriti antarabangsa kebanyakannya mempunyai bentuk wajah berbeza yang bisa menterjemahkan pelbagai karakter dan personaliti.
BENTUK WAJAH SEGI TIGA TERBALIK
Bentuk ini juga dikenali sebagai 'wood shape' yakni tajam pada bahagian dagu dan luas pada dahi. Antara pemimpin dunia yang memiliki bentuk wajah ini adalah Barrack Obama. Elemen ini memperlihatkan seseorang itu mahukan pertumbuhan dan perkembangan baik dalam aspek intelektual dan emosional.
Biarpun dilanda kemurungan, mereka masih lagi mahukan sesuatu yang boleh membawa kepada pertumbuhan juga perubahan. Contohnya dalam perspektif karier, jika seseorang itu melihat kerjayanya mendatar, mereka mempunyai kecenderungan untuk berubah-ubah dan tidak kekal pada satu-satu tempat sahaja.
Contohnya, supermodel dan artis. Mereka akan berhijrah, mengembara ke negara lain untuk mencari peluang dan pilihan yang lebih baik. Mereka yang memiliki bentuk dagu tajam adalah seorang yang ceria dan suka berlibur.
BENTUK WAJAH SEGI TIGA
Bentuk wajah ini lebih tajam pada dahi dan luas pada dagu mewakili elemen api yakni mereka yang memiliki bentuk wajah ini lebih ekspresif, tidak sabar, mempunyai banyak idea dan bersifat 'hands on'.
Lihat juga pada tona kulit anda sama ada ia kemerah- merahan atau sedikit gelap. Jika anda memiliki bentuk wajah ini (fire face), lazimnya anda mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu yang dilakukan.
BENTUK WAJAH BULAT
Ia tergolong dalam kategori elemen air atau 'water face'. Daripada segi tona kulit, adalah lebih baik karakter anda memiliki kulit yang cerah atau keperangan (tan skin).
Selain itu mereka yang memiliki bentuk wajah ini seorang yang periang, fleksibel, mesra, bekerja keras, mudah menyesuaikan diri dan tahu menikmati hidup.
BENTUK WAJAH BUJUR
Bentuk wajah ini tergolong dalam kumpulan elemen metal (logam) yang lebih bercirikan aspek kepemimpinan dan perlambangannya dalam Astrologi Cina adalah umpama kesatria sementelahan individu ini boleh memimpin dan mengetuai. Mereka yang memiliki bentuk wajah ini berkebolehan dalam soal mengurus, menangani dan menyelesaikan masalah.
Mereka ini lazimnya punya banyak idea dan pantang dicabar. Contohnya, jika diberi sesuatu tugasan, mereka tidak merungut, sebaliknya mereka akan buktikan ia mampu disempurnakan dengan sehabis baik.
BENTUK WAJAH SEGI EMPAT
Bentuk wajah ini mewakili elemen bumi dan kerjaya sukses yang selalu dikaitkan dengan bentuk wajah ini adalah ahli perniagaan atau usahawan. Kajian menunjukkan kebanyakan usahawan yang berjaya lazimnya mempunyai wajah petak berbentuk segi empat.
Apabila berbicara mengenai skop keusahawanan, ia adalah antara soal keazaman, kesungguhan dan tindakan. Ini kerana bentuk segi empat pada tulang rahang adalah simbolik kepada sejauh mana mereka mampu mengharungi dan bertahan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran (aspek fizikal).
Manakala bentuk mirip segi empat pada hujung dahi pula mewakili tafsiran sejauh mana mereka mampu mendepani cabaran daripada aspek pemikiran (mental).
Dan menurut kepercayaan Astrologi Cina, mereka yang mempunyai bentuk wajah ini mampu mencapai apa yang diingini. Contoh yang baik adalah usahawan terkemuka, Jack Ma.