Jan 03, 2017 - 110207
Oleh: Hakimi Tajul As’ari
KISAH perjalanan hidupnya tidak seindah yang dijangka. Mungkin kini dia kelihatan mewah dengan empayar bisnes yang dia bina. Gaya penuh megah kereta Ferrari berkilat di sampingnya selalu. Tetapi ramai yang tidak tahu tentang pengorbanannya yang penuh duka. Daripada seorang wartawan jenayah, lelaki ini buktikan bahawa dirinya mampu berdiri sama tinggi dengan jutawan muda lain di Malaysia.
Ya, dia kecapi semua impian yang dia idamkan sejak kecil. Malah episod kehidupannya harus dijadikan inspirasi kepada kita semua. Jom selami perjalanan hebat seorang doktor yang bergelar jutawan...
Arwah Ayah Pinjam Duit Koperasi Untuk Bayar Yuran Universiti
Ayah saya seorang yang sangat percaya pada pendidikan. Dia tidak pernah berhenti suruh saya belajar. Ketika saya SPM, saya antara anak Melayu yang dapat Gred 1 cemerlang dalam keseluruhan mata pelajaran di SK Methodist (ACS) Ipoh. Bangga, kerana ketika itu sukar sebagai orang Melayu untuk menyerlah dalam apa juga hal akademik di sekolah. Rata-rata masyarakat Melayu di sana hidupnya susah. Saya harus bangkit dari kelompok hidup susah dan membuktikan bahawa kesusahan bukan penghalang untuk berjaya.
Saya berazam untuk sambung pelajaran di peringkat universiti. Pada mulanya segala proses berlalu dengan begitu sukar. Kami sekeluarga tidak mampu untuk tampung kos sara pembelajaran ketika itu kerana keluarga saya bukanlah daripada keluarga yang senang.
Jasa Arwah Ayah dan Bantuan MARA yang Amat Bermakna
Saya harus kenang jasa arwah ayah saya yang berusaha gigih mencari yang terbaik untuk anak-anaknya. Ayah saya membuat pinjaman di salah sebuah koperasi di Ipoh untuk pembiayaan universiti saya. Dengan yuran RM200 ketika itu bukanlah satu jumlah yang kecil. Syukur juga dengan biasiswa dari MARA sebanyak RM400 sebulan ketika itu sangat membantu kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa.
Selepas habis Diploma, saya bekerja sebagai seorang wartawan di meja jenayah. Siapa sangka saya kini berdiri di tempat yang mungkin saya sendiri tidak pernah terfikir ia mampu jadi kenyataan. Daripada seorang wartawan cabuk menjadi seorang ahli perniagaan (ketawa).
Seronok juga bergelar wartawan, dari meja jenayah banyak yang saya pelajari. Tetapi setiap kali bangun daripada tidur saya selalu fikir, “Sampai bila aku ingin selesa dengan pendapatan yang sebegini?”
Pengalaman di meja jenayah buat saya dahagakan pendidikan yang lebih mendalam daripada bidang lain. Saya nekad untuk sambung belajar dan menggapai impian saya sebagai seorang doktor. Saya tidak pernah menyesal ketika mengambil keputusan untuk sambung belajar kerana ia banyak mengubah cara hidup dan pemikiran saya.
Saya Korbankan Masa Untuk Berjaya
Terlalu banyak saya korbankan ketika masa muda saya. Untuk capai apa yang saya ada kini, saya perlu lalui fasa kehidupan yang penuh tragis. Jika remaja lain asyik sibuk bersosial dengan sahabat seusia, mencuba banyak perkara ketika muda, saya pula banyak luangkan masa di depan buku dan suka bersendiri.
Ketika saya berjuang untuk mencapai Ijazah Kedoktoran, saya sudah pun bertunang. Oleh kerana terlalu fokus dalam pelajaran dan tiada masa untuk ber'dating' mahupun keluar bersama, tunang saya tinggalkan saya.
Mungkin dia mahukan kebahagiaan yang saya tidak mampu berikan ketika itu. Ya, itulah yang dikatakan tiada jodoh. Saya sendiri reda. Mungkin Tuhan beri yang lebih baik untuk saya suatu hari nanti. Saya juga manusia ingin rasa dicintai dan mencintai, tetapi rasa itu perlu saya korbankan kerana aturan Tuhan itu lebih baik daripada segalanya. Sedih, tetapi inilah yang harus saya telan.
Episod cinta tak kesampaian itu tak pernah patahkan semangat saya. Saya harus pandang ke hadapan. Setiap kegagalan yang saya alami dalam hidup buat saya makin kuat dan bertambah kuat untuk tempuhi hari mendatang. Inilah seorang manusia bernama Dr. Amin Dato' Abdullah, hatinya kental dan penuh keegoan untuk berjaya.
Bila Masanya Saya Tahu Saya Berjaya?
Saya sangat pentingkan keluarga. Dari dulu lagi saya sering luangkan masa saya bersama keluarga. Pada satu hari saya bertanya kepada ibu, apa yang dia mahu untuk lengkapkan hidupnya? Emas? Sebuah Rumah? Kereta mewah? Minta sahaja saja saya mampu berikan.
Ibu buntu kerana apa yang saya senaraikan sudah tersedia di depan mata. Saya sampai tak tahu apa nak buat dengan duit saya untuk buat ibu saya gembira. Saya sebagai seorang anak sering dahagakan doa seorang ibu, inilah keberkatan dunia yang Tuhan beri kepada saya. Nasihat saya, hargailah ibu kita kerana dialah syurga kita malah dia juga ‘kantung berkat’ hidup yang perlu kita pelihara sampai bila-bila.
Ramai yang melihat saya hidup mewah. Tapi hakikatnya gaya hidup saya ringkas sahaja. Saya juga pernah rasa hidup susah. Sejak kecil saya dan adik beradik hanya makan nasi putih dan jeruk ikan masin. Itulah hidangan wajib kami setiap hari. Jemu? Tidak pernah pula saya merungut dengan apa yang tersedia. Paling mewah saya pernah rasai ialah burger yang terjual di warung tepi jalan. Syukurlah, hingga kini saya masih lagi makan nasi lauk jeruk ikan masin. Mungkin memori kisah perit itu perlu saya kenang bersama kerana makanan ikonik inilah saya membesar dan mengenal erti hidup.
‘Bila kita tinggi mengapai awan, jangan lupa rumput di bumi. Bila padi dah berbuah, lalang tidak berguna lagi...”
Alhamdulillah, tahun ini saja saya mampu raih RM15 juta keuntungan syarikat JenamaSendiri.com. Ya, saya lebih terbuka untuk berkongsi. Untuk tahun hadapan kenaikan 30% juga dilihat positif.
Saya yakin ramai juga jutawan yang turut lahir bersama dengan kami dalam penghasilan produk berkualiti yang kami hasilkan. Impian saya untuk tahun 2017 saya target untuk tersenarai di Bursa Saham Negara bersaing dengan syarikat antarabangsa yang lain.
Saya Menjual impian Orang
Berkelana di negara orang ialah hobi saya. Banyak negara yang saya teroka, dari situlah saya belajar banyak benda. Cerita bermula apabila saya pergi bercuti di Eropah, saya terjumpa dengan sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan mencipta produk untuk dipasarkan. Semua jenama besar seperti haruman, produk penjagaan kulit dan solekan dikilangkan di tempat tersebut.
Istimewanya,kedai ini menawarkan sekali perkhidmatan pemasaran. Tiada lagi perniagaan seperti ini di Malaysia ketika itu. Saya berjumpa dengan CEO syarikat tersebut secara tidak sengaja. Dengan hanya satu panggilan kami disatukan di sebuah kafe yang terletak di Venice, Itali. Ketika pertemuan pertama itu, siapa sangka dia sangat terbuka untuk berkongsi tentang bisnes dan mentaliti mereka yang ingin cipta jenama sendiri.
Dia bertanya kepada saya, kenapa tertalu ramai orang bisnes obses untuk cipta produk jenama sendiri? Pada mulanya saya terdiam tanpa sebarang jawapan, dia membalas dan ini jawapannya:
“Kerana mereka ingin hidup senang. Saya yakin ramai yang ingin jadi kaya dalam industri penghasilan produk. Mereka lihat lubuk emas yang bersinar-sinar, jangan pancing mereka untuk terima perkhidmatan mahupun produk berkualiti kamu. Sebaliknya jual impian mereka."
Orang Melayu memiliki semangat berniaga yang tinggi tetapi sayang mereka kurang ilmu tentang pemasaran. Dari situ saya saya lihat satu pembaziran yang mengundang kepada kemunduran. Saya sediakan dari A hingga Z untuk berniaga. Daripada penghasilan produk di kilang hingga ke proses pemasaran dengan satu pakej harga. Saya bantu mereka, saya sediakan platform ini agar peniaga Melayu khususnya tak terus hanyut dibayangi kekayaan yang belum pasti menjadi.
Senario ini juga jadi kepada penjual tudung. Terlalu ramai yang ingin berniaga tudung kerana melihat peniaga lain berjaya jual tudung dengan meraih untung jutaan ringgit. Tetapi ramai yang tak tahu bahawa tak semua antara kita mampu berjaya jual tudung dengan jayanya. Kenapa? Ini yang berlaku. Kita secara ironinya bukan menjual sehelai tudung tetapi kita menjual kecantikan yang akan dialami oleh pelanggan yang membeli tudung tersebut. Juallah kecantikan, cipta sesuatu yang cantik dipakai. Inilah ilmu bisnes yang perlu kita pelajari. Semangat itu penting, malah kita juga perlu mantapkan ilmu pengetahuan.
Seronok bila lihat trend berniaga dan pembeli di Malaysia jauh berubah mengikut masa. Jika dulu mereka gemar menggunakan barangan berjenama tetapi fenomena kini pembeli gemar menyokong jenama tempatan.
Siapa sangka dah ramai orang kita guna haruman murah tetapi inspirasinya aroma antarabangsa. Inilah trend berniaga yang harus kita lihat dan peka untuk kita jadikan sedikit suntikan idea dalam perniagaan. Inilah yang dinamakan himpunan jemaah dalam menyokong produk kita sendiri.
Apa Lagi Cabaran Saya?
Apabila bercakap mengenai cabaran, saya berdepan dengan banyak perkara. Pesaing? Mereka bukanlah cabaran bagi saya malah mereka kekuatan untuk kita lebih maju. Saya enjoy apabila melihat mereka juga turut berniaga, malah kisah pesaing ini normal bagi sesiapa saja yang bergelar peniaga. Jangan takut untuk bersaing malah kita harus beri yang terbaik kepada pelanggan kita sendiri.
Saya temui banyak cabaran yang melibatkan proses sebelum produk dikeluarkan. Saya ditawarkan dengan banyak bahan yang berkualiti serta barangan yang murah tetapi hasilnya biasa sahaja. Sebagai contoh, harga stemcell berkualiti yang dibeli di Perancis bernilai RM100,000 tetapi ramai juga pengeluar barangan tiruan menawarkan kepada saya dengan harga yang jauh lebih murah hingga RM5,000. Saya sebagai orang yang bertanggungjawab untuk menghasilkan produk yang terbaik harus kuat dengan dugaan sebegini. Iman perlu teguh dalam berniaga juga elakkan penipuan moga kita mendapat keberkatan.