Aug 23, 2016 - 2556
PENDIDIKAN awal itu penting bagi memastikan anak kita tidak ketinggalan ke belakang.
Video ini yang dimuat naik di akaun instagram menunjukkan bagaimana Lara diajar mengenali abjad dan huruf.
Bijaknya Lara...
Jom, InTrend Kongsikan Tips Mudah Untuk Mengajar Anak Anda Membaca dari Rumah
Sediakan Tempat yang Selesa
Sediakan tempat yang selesa untuk anak-anak membaca. Sediakan sudut membaca di dalam rumah anda. Pencahayaan yang sesuai amat penting. Pastikan tempat yang disediakan mempunyai cahaya yang mencukupi.
Bacakan Buku Kepada Anak Anda
Jika anda ingin memupuk minat membaca dalam diri anak anda, bacakan buku kegemaran mereka. Pada usia 2-3 tahun, jika anda selalu membacakan buku cerita kegemaran mereka, mereka boleh menghafal segala isi cerita dalam buku walaupun dalam keadaan yang pelat.
Jadikan Satu Tabiat
Jadikan membaca itu satu rutin dengan menggunakan masa terluang untuk membacakan buku kepada anak-anak. Jika anda selalu membacakan buku untuk mereka pada waktu lapang, maka dengan sendirinya nanti mereka akan menyuruh anda untuk membacakan buku kepada mereka pula.
Nyanyi Bersama Mereka
Selitkan nyanyian ketika membaca. Contoh seperti lagu "Kereta Merah" yang amat popular dengan kanak-kanak. Pedulikan suara sumbang. Anak anda akan berasa seronok sekiranya anda join sekaki dengan mereka.
Tunjukkan Contoh yang Baik
Kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan mencontohi setiap apa yang anda lakukan tidak kira baik atau buruk. Maka ibu bapa perlu tunjukkan teladan yang baik dengan membaca dan jangan asyik leka dengan bermain telefon bimbit anda.
Sering Bertanyakan Soalan
Sesi pembelajaran akan menjadi lebih seronok jika anda selitkan sesi soal jawab bersama anak-anak anda. Tanyakan kepada mereka tentang apa yang berlaku kepada watak utama atau sebagainya. Anda tentu akan tersenyum dengan jawapan mereka yang pelbagai. Selitkan sekali nasihat kepada anak-anak anda.
Pilih Buku yang Bagus dan Bermutu
Pemilihan buku yang sesuai dan bagus membantu dalam merangsang proses pembelajaran anak-anak. Terdapat banyak kedai buku yang menjual buku kanak-kanak. Jikalau anda terlalu sibuk untuk ke kedai buku, anda boleh beli buku secara online. Kini ada banyak laman sesawang yang menjual buku secara online.
Tampal Poster sebagai Hiasan
Hiasi dinding bilik anak anda dengan poster pembelajaran seperti poster ABC atau 123. Setiap hari sebelum tidur dan selepas bangun tidur, minda mereka secara separa sedar akan menghafal huruf-huruf tersebut.
Gabungkan Membaca Dengan Menulis
Selain membaca, ajarkan juga anak anda menulis. Sediakan kertas A4 banyak-banyak sekiranya anda tidak mahu anak anda menconteng dinding rumah anda. Ajar mereka melukis sambil menulis abjad. Paling penting, ajar mereka untuk mengeja nama sendiri.
Kunjungi Kedai Buku dan Perpustakaan
Daripada anda sekeluarga membuang masa pada hujung minggu tidak berbuat apa-apa, sebaiknya anda bawa anak anda ke kedai buku atau perpustakaan yang berdekatan. Biarkan mereka terjah tempat itu. Biarkan mereka bermain sepuas hati di tempat khas yang disediakan. Ini akan menjadi memori indah untuk mereka.
Ingat! Tugas ibu bapa bukan sahaja memberikan kemewahan kepada anak-anak tetapi juga mengajar dan mendidik mereka. Jangan serahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada tadika atau sekolah. Anda sebagai ibu bapa juga perlu sama pro aktif mendidik anak-anak anda ketika mereka berada di rumah.