Oct 17, 2017 - 832

SUAMI Kita BUKAN Hak Cipta Terpelihara — Isteri Jangan Buang Masa, Lagi Baik Sediakan Payung Sebelum Hujan!

Selepas peristiwa Aliff Aziz-Bella-Afiffah dan babak karaoke, ramai pula yang naikkan kapsyen, “Ini suami saya, jangan bawa pergi karaoke.” Kelakar ke ‘statement’ itu?

 

 

Oleh: Miss Cherry 

 

 

 

Sumber foto: Shutterstock.com 

 

 

 

 

AGAK jelak Miss Cherry melihatkan beberapa posting rakan-rakan media sosial yang sibuk muat naik gambar bersama suami dengan kapsyen; ‘Ini suami saya, jangan bawa pergi karaoke’. Tidak kelakar! 

 

Bukan kerana Miss Cherry sejenis manusia yang tidak ‘mudah terhibur’ tetapi isu Aliff Aziz-Bella-Afiffah bukanlah isu anak-anak yang boleh dipersendakan. Sukakah kalau hal rumahtangga dan keaiban peribadi kamu dipermainkan secara tular? Hentikanlah. Kalian langsung tiada kaitan dengan mereka. Jangan buat dosa kering. Jangan cakap apa-apa, jangan komen bukan-bukan. Kita orang yang terlalu jauh daripada mereka, tidak tahu pucuk pangkal cerita sebenar. Jadi, diam! Atau doakan sahaja yang baik-baik untuk mereka bertiga, okey?

 

Kita Kena Ingat, Suami Itu Bukan Milik Mutlak Kita Sampai Hujung Nyawa 

Miss Cherry lebih suka nasihatkan kepada para isteri yang takut sangat suaminya dirampas orang; belajar untuk berlapang dada dan terima hakikat bahawasanya suami itu bukan hak milik mutlak yang dijamin sampai ke hujung nyawa. Ia juga bukan hak cipta terpelihara yang kita boleh saman sesiapa yang mencurinya. 

 

Kalau dalam Islam sendiri menghalalkan suami untuk beristeri lebih daripada satu, apa lagi daya kita untuk menolaknya? Begini, bukan Miss Cherry menangkan kaum lelaki tetapi fakta tetap fakta. Jangan beremosi sangat dengan drama rumahtangga orang lain, sedangkan nasib sendiri belum tahu.

 

Daripada buang masa cipta kapsyen amaran ‘jangan rampas suami’ yang kamu sayang sangat itu, lebih baik kamu sediakan sahaja payung sebelum hujan. 

 

Hal-hal begini, Miss Cherry selalunya tidak hanya mahu para isteri siapkan diri dengan menjaga kecantikan diri atau melawa melaram semata-mata. Kita sudah pernah lihat berapa ramai perempuan yang masih cantik, masih muda, masih bergetah tetap diceraikan suami apabila mendapat pengganti yang lain. 

 

Apa Lagi yang Suami Mahu Sebenarnya? Para Isteri Perlu Cari Jawapannya

Pernah Miss Cherry tanyakan kepada Mr. Black kenapa ceraikan isterinya yang cantik bak Nora Danish itu untuk pergi kepada janda yang usianya lebih tua dan tidak secantik isterinya yang dulu? 

 

Katanya, dia tidak hanya mahu sekadar punya isteri yang mampu sediakan makan pakainya. Yang menyambutnya dengan wajah cantik, rambut bersisir rapi. Dia mahukan isteri yang lebih daripada itu. Yang mampu memayungi kelompongan ekonominya di tengah bulan, yang mampu membantu memberinya nasihat tentang apa sahaja isu yang dia perlu berdepan dan yang mampu dia pandang tinggi untuk dihormati dan bukan setakat untuk bermanja-manja. 

 

Nah, begitu sekali kemahuan seorang suami zaman ini! 

 

Ada Baiknya Para Isteri Beringat-ingat, Sediakan Payung Sebelum Hujan 

Tanya Miss Cherry lagi kepada Mr. Black tidakkah nanti dia berasa tercabar punya isteri yang hebat seperti itu? Jawabnya, tidak! Malah dia berasa lebih berjaga-jaga kerana dia tahu jika dia kehilangan isterinya itu, isterinya itu tidak akan terkesan dengan ketiadaannya malah mampu berdiri seteguh dirinya. “Kita suami kalau mahu isteri yang hanya menjaga rumahtangga, kita boleh cari pembantu rumah. Kalau mahu yang hanya tahu bercantik-cantik, sampai bila pun? Bukan mengambil kesempatan terhadap isteri yang independent, tetapi kami juga manusia biasa ada kelemahan di sana sini yang perlukan kekuatan isteri untuk menstabilkannya kembali.” 

 

Bagi Miss Cherry pula, jadilah isteri yang ‘independent’ bukan kerana kita mahu buktikan kita mampu buat semuanya tetapi sebagai persiapan andai kata dibuang suami satu hari nanti, kita tidak perlu merangkak untuk hidup. Kita masih boleh berdiri teguh tanpa menumpang di lengan suami. 

 

Jadi, kakak-kakak, jangan buang energi dan emosi menyumpah seranah perempuan yang merampas suamimu. Biarlah, kalau itu jodoh mereka. Yang penting, kita teruskan hidup dengan kekuatan dan bermaruah tinggi. Usah berperang-perang, memalukan diri sendiri. 

 

Wanita Perlu Tambah Ilmu dan Amal, Itu yang Paling Baik 

Ada cara lain untuk membuktikan kita lebih bagus daripada si perampas itu. Dan, ada cara juga untuk buat si lelaki itu sedar diri yang dia juga tidak layak untuk sehidup semati dengan kita. Jadilah perempuan berilmu dan beramal yang tidak duduk di bawah ketiak suami, sambil menangis menyalahkan takdir dan si perampas itu.

 

“A woman is like a tea bag — you can’t tell how strong she is until you put her in hot water.”   — Eleanor Roosevelt

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Tradisi ‘Ragging’ di Sekolah Asrama MESTI dihapuskan! JANGAN Sampai Nyawa Melayang Lagi — Dia Mungkin Anak Kita

  • Seterus →

    Tips ‘Selfie’ DATO SITI NURHALIZA yang Paling MELETOP — Anda Mesti Cuba Kalau Mahu Banyak 'Like'