Nov 23, 2016 - 61134

Prinsip Yasmin Hani Didik Anak: “Kenapa Kongkong Dia? Nyawanya dan Kehidupannya, Bukan Hak Kita. Dia HAK ALLAH”

Sungguh menarik prinsip Yasmin Hani membesarkan Noah. Sebuah artikel yang anda harus hadamkan sebagai panduan menjadi ibu bapa yang baik.

 

Oleh: Salina Ibrahim 

 

 

KONGSIKAN pengalaman kali pertama Yasmin hamil?

Sangat seronok, alhamdulillah tiada masalah morning sickness dan mengidam yang pelik-pelik. Hanya pada trimester ketiga, saya alami sakit pada tulang rusuk, di bawah dada, yang sakitnya sampai ke belakang. 

 

Benar kata orang, kalau dahulu kita sakit tetapi kita tak sedar, kesakitan itu hanya muncul apabila hamil. Sebab ketika itu badan berkembang, hormon berubah dan berat badan bertambah. Jika sebelum ini lutut senget sedikit dan masih berjalan okey, tetapi apabila hamil, kita akan terasa sakitnya.

 

 

Umur ketika hamil? Kaedah bersalin?

Umur 33 tahun, hampir 34. Saya cuba untuk bersalin normal tetapi selepas setengah jam pertama, saya gagal. Mungkin sebab tali pusat anak tersangkut di leher. Jadi terpaksa buat pembedahan.

 

Serik untuk hamil lagi?

Langsung tidak. Alhamdulillah dengan teknologi sekarang, saya yakin. Apa-apa berlaku, ada doktor membantu. Kalau meninggal waktu bersalin, itu jihad besar.

 

 

 

Pertama kali tengok Noah? 

Ya Allah, seronoknya! Tak terkata... saya tak mahu menangis di sini. Apa yang seronok jadi ibu? Hati, jantung, jiwa dan perasaan saya membuak-buak, melampau-lampau, bertambah-tambah. Cinta dan kasih sayang yang tak pernah kita rasa sebelum ini, wujud ketika itu. Semuanya bertempat di hati, sebab itu, hati ini terasa lebih besar. Rasa tanggungjawab, kerisauan, inilah yang saya rasa. Sebab itu, sejak dia kecil, saya buat macam-macam untuk dia sebab saya tak tahu bila saya akan pergi.

 

 

 

Aktiviti yang selalu dibuat bersama Noah?

Main atas katil, golek-golek, gelak-gelak. Saya suka dia mencuba sesuatu yang baru. Tadi saya biarkan dia main gauz (pembalut luka). Kalau orang lain mungkin akan marah, tapi saya biarkan, kemudian saya suruh dia kemaskan. Dia tak mahu kemaskan, dia menangis dan mahu main lagi, jadi saya biarkan. Dia mahu belajar. Kalau saya marah, akan tergores perasaan dan emosinya. 

 

Saya tidak mahu bantutkan pembelajarannya. Dia sangat suka one two tree dan alif ba ta. Kalau di lot parkir, semua huruf yang tertera, saya harus sebut kepadanya. Umurnya sekarang sudah dua tahun empat bulan.

 

 

 

 

Falsafah Hani mendisiplinkan Noah?

Yang penting, dia gembira. Selalu melayannya apabila dia mahu belajar. Selalu mencipta benda baru untuknya. Selalu bercakap dengan dia. Orang selalu lupa – saya juga kadangkala lupa – apabila bercakap dengan anak, kita mesti hormat dia seperti dia orang dewasa. Anak itu ada perasaan, walaupun dia muda tapi itu latihan untuknya. Dia ada pilihan. Tidak boleh kata padanya, “Makan sekarang!” kerana itu adalah paksaan. 

 

Kenapa kita nak kongkong dia? Nyawanya dan kehidupannya, bukan hak kita. Kalau kita paksa dia makan sayur, dia akan benci sayur itu. Kadangkala kita buka bajunya tanpa beritahunya tujuan kita. Kita yang besar, kalau orang buka baju kita, tentu kita marah, bukan? Sebab itu, kita ajar dia supaya apabila dia besar nanti, dia tidak buat perkara yang orang tak suka kepada orang lain. 

 

 

 

 

Apabila kita mengangkat dia dan memaksanya mencuci tangan tanpa menjelaskan kepadanya, saya rasa itu biadap. Kita sendiri, kalau orang tarik kita pergi supermarket tanpa beritahu ke mana hendak pergi, apa kita rasa? Tentu kita marah. 

 

Hanya sebab kita besar dan berakal, kita pandai marah, kita tak buat begitu pada orang sebab tak mahu orang marah kita. Hanya sebab budak itu masih kecil, sedang belajar, tak pandai cakap, tak tahu betul atau salah, mengapa kita ajar dia benda yang orang tak suka? Itulah yang saya latih diri sekarang.

 

 

 

 

Noah sendiri, kadangkala selepas makan, terus berlari ke sofa tanpa basuh tangan. Terpaksa tangkap dia untuk cuci tangannya. Saya jelaskan kepada pembantu, jelaskan kepada Noah, jangan tarik begitu sahaja. Tak mengapa dia menangis, tetapi kita jelaskan kepadanya dengan nada perlahan, maka dia akan faham. 

 

Memang senang hendak marah, sebab dia budak kecil, dia anak kita, maka kita boleh sebat dia sesuka hati. Begitulah orang kata... sebenarnya tidak, bagaimana kita layan dia waktu kecil, begitulah dia akan layan kita masa kita tua. Insya-Allah, saya cuba ingat perkara ini.

 

 

 

 

Kenapa buat Instagram untuk Noah?

Sebab saya suka ambil gambar. Saya suka sentimental value. Saya masih simpan kad laporan sekolah rendah. Masih ada kad perpustakaan sekolah. Saya sayang semua itu. Saya mahu perkara yang sama pada anak saya. Saya tak mahu lupakan muka Noah masa dia kecil. Kalau saya tanya emak, bagaimana muka saya waktu kecil, tentu emak sudah lupa sebab tiada gambar. Sayang…

 

 

 

 

Antara mulut dengan tangan, yang mana Hani lebih pantas?

Saya besarkan mata dan tinggikan suara dahulu sebagai amaran. Kadangkala kakinya tersepak muka saya, suara saya ternaik tanpa sengaja sebab terkejut. Kadangkala tangan terangkat sedikit, paling kuat itu sahajalah. 

 

Saya tak mahu pakai rotan. Kalau dapat didik dengan bercakap elok-elok, tak perlu rotan. Kalau semua tak jalan, saya naik tangan dulu. Saya akan cuba ingatkan diri, jangan pinggang ke atas, jangan sepak atau seumpamanya.

 

 

 

 

Antara Hani dan suami, siapa lebih tegas dalam mendidik?

Susah nak cakap, rasanya suami lebih senang cair. Kadangkala daddy cakap, “No susu sebelum makan.” Tetapi sekarang apabila tengok Noah teresak sedikit, dia mengalah, sedangkan itu peraturan dia. Kadangkala saya pun terlanggar peraturan sendiri.

 

Perkataan pertama?

Car. Kereta.

 

 

 

Persediaan untuk bakal-bakal ibu dengan cabaran zaman sekarang? 

Baca, baca, baca. Kalau kita tanya kakak, kawan dan lain-lain, pengalaman mereka berbeza-beza. Anak orang lain- lain, kesukaannya, tabiatnya berbeza. Kita boleh dengar nasihat orang sebagai rujukan tapi jangan ikut sebiji-sebiji. Banyakkan membaca supaya dapat banyak maklumat. 

 

Apabila kita faham badan kita, anak kita, kita akan tahu cara uruskan keadaan. Pengalaman saya sendiri, berpantang tidak ikut semua cara Melayu. Saya habiskan 44 hari. Tetapi saya tak berpilis. Bertungku sekali dua sahaja. Syukur semua okey.

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:  general

  • ← Sebelum

    Lihat! Hidup Mewah Anak Kembar Comel Eina Azman dijaga Rapi ‘Maid’ Peribadi

  • Seterus →

    Mengapa Anda Perlu Mencuba Makanan Tradisi Baba Nyonya di Restoran Ini? Kami Ada Sebabnya