Oct 13, 2016 - 11013

Orang Tahun Ayam Bersemangat Tinggi, Rajin Bekerja. Moga Ini Petanda Baik Tahun Ayam 2017

Soal berkasih sayang juga harus ada keserasian. Jom kenali si dia berdasarkan Zodiak Cinanya.

 

Oleh:
 




 

TAHUKAH anda, terdapat 12 zodiak dalam kalendar Cina, maka ada 12 perwatakan berbeza yang dimiliki oleh setiap individu. Pun begitu, usah terlalu percaya kerana ini sekadar suka-suka ya!

 


 


APA ZODIAK CINA ANDA DAN SI DIA?

Tahun Anjing 1970, 1982, 1994, 2006, 2018

Tahun Babi 1971, 1983, 1995, 2007, 2019

Tahun Tikus 1972, 1984, 1996, 2008, 2020

Tahun Lembu 1973, 1985, 1997, 2009, 2021

Tahun Harimau 1974, 1986, 1998, 2010, 2022

Tahun Arnab 1975, 1987, 1999, 2011, 2023

Tahun Naga 1976, 1988, 2000, 2012, 2024

Tahun Ular 1977, 1989, 2001, 2013, 2025

Tahun Kuda 1978, 1990, 2002, 2014, 2026

Tahun Kambing 1979, 1991, 2003, 2015, 2027

Tahun Monyet 1980, 1992, 2004, 2016, 2028

Tahun Ayam Jantan 1981, 1993, 2005, 2017, 2029


 




TAHUN ARNAB

Orang yang lahir pada tahun ini percaya kepada kesucian cinta. Tutur katanya lembut dan boleh menjadi teman sejati. Seperti zahirnya yang nampak baik, begitulah isi hatinya namun kemarahannya sukar dikawal. Apabila mood mereka berubah, penampilannya turut berubah. Jika senang hati, mereka menampakkan kegembiraannya, berselera makan dan bergelak ketawa. Pun begitu, jika hatinya tidak tenang mereka menunjukkan sifat negatif; murung dan menyendiri.

Mereka bijak mencari keuntungan, pandai bergaya, bersolek dan membawa diri. Bersifat penyabar dan marahnya juga tidak berpanjangan. Pasangan yang serasi; mereka yang lahir pada Tahun Anjing, Monyet, Kambing dan Arnab. Jika berkahwin dengan zodiak yang sama kehidupan diselaputi kemewahan.


TAHUN KUDA

Orang kelahiran Tahun Kuda seorang yang menghiburkan. Mereka bijak dan pantas berfikir. Terdapat tiga pasangan yang sesuai iaitu mereka yang lahir pada Tahun Harimau, Kambing dan Anjing. Teman perbincangan yang baik ialah daripada Tahun Naga, Kuda dan Ayam Jaguh. 

Mereka dikatakan mempunyai nafsu yang kuat dan sukar dikawal. Juga gemar menambah cerita untuk mendapatkan perhatian kawan-kawan supaya mereka disukai. Namun begitu mereka tahan derita dan lali dengan hidup susah selain tabah menghadapi dugaan hidup. Mereka boleh mencurahkan masalah kepada orang yang bernaung di bawah Tahun Babi.



TAHUN ANJING

Mereka seorang yang realistik, boleh dipercayai dan suka berterus-terang dalam banyak perkara. Orang yang lahir pada Tahun Kuda akan tertarik pada keikhlasan dan kebijaksanaan mereka. Bukan itu sahaja, mereka sering memberi bantuan. Tahun Harimau boleh menjadi pilihan terbaik. Tahun Arnab pula mampu menjadi penasihat buat mereka. Tahun Anjing mempunyai sifat yang suka mencurigai orang lain.

Orang yang bernaung di bawah zodiak ini sukar mempercayai orang lain dengan mudah namun tidak semestinya mereka berhati-hati. Jika mereka menemui seseorang yang benar- benar dicintai, mereka akan setia. Watak mereka agak degil, bermulut cabul dan bising. Tambah pula jika marah, mereka semakin celupar dan keterlaluan. Adakalanya suka mengungkit. Apabila bersahabat, mereka boleh dibanggakan.


TAHUN KAMBING

Mereka yang bernaung di bawah tahun ini seorang yang lemah-lembut, bicaranya lunak dan berfikiran kreatif, namun mempunyai jiwa yang keras. Mereka mudah menerima kasih sayang daripada orang yang lahir pada Tahun Arnab dan Babi. Mereka boleh belajar daripada Tahun Monyet dan Harimau. Tahun Naga boleh menjadi sahabat seiring jalan.

Sikap buruk mereka di waktu terdesak ialah suka mencuri barang milik orang lain. Tetapi mereka akan mengaku kemudiannya. Kejujuran tetap ada dalam jiwa. Soal kewangan sentiasa tidak mencukupi. Tidak sesuai bertemu dengan zodiak yang sama kerana mereka ‘muflis’. 

Namun begitu, mereka akan bersifat pemurah apabila kewangan dalam keadaan baik. Paling dibenci, orang yang suka bercakap besar dan kuat membebel. Mereka mahu orang lain mempercayai cerita mereka walaupun cerita tersebut karut belaka.



TAHUN NAGA

Selalunya mereka yang lahir pada tahun ini seorang yang bertenaga, sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru dan bersemangat tinggi. Ramai pula teman baik, banyak lagi musuhnya yang iri dengan keterampilannya. Sifatnya memang pembengis namun mereka mudah bersimpati kepada orang lain dan penuh kasih sayang. 

Namun jika tidak kena dengan lenggoknya, mereka cepat naik darah dan menjadi pendendam kiranya ada yang mencampuri urusannya. Apa yang nyata usah mengkhianati mereka terutama orang yang pernah termakan budinya.

Orang ini sesuai dengan zodiak Ayam Jaguh. Mungkin sikap ayam yang setia. Sentiasa mengharapkan sokongan daripada Tahun Tikus. Mereka mempunyai idea yang sama dengan Tahun Harimau cuma orang yang berada pada Tahun Harimau lebih menonjol penampilannya. Mereka lebih tertarik pada perwatakan Tahun Monyet yang bersifat pendendam sekali gus menjadi pelindung kepada dirinya.

TAHUN AYAM JAGUH

Mereka bijak, bersemangat tinggi dan tidak pernah mengenal erti penat. Mereka juga rajin bekerja, tidak perlu disuruh namun adakalanya jika enggan membuat sesuatu perkara walau dipaksa sekalipun, tidak akan menjadi. Takut nanti kita pula yang disuruhnya. Tahun Naga sesuai menjadi pendampingnya. Begitu juga Tahun Ular dan Ayam menjadi pilihan terbaik. Mereka boleh mempelajari sesuatu daripada Tahun Monyet kerana mereka berpengalaman dalam soal kehidupan.

Mereka berkira dalam soal kewangan. Namun setiap yang memerlukan pertolongan, tidak dipandang sepi olehnya. Mereka juga kreatif dan teliti dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka tidak mudah lupa diri terutama kepada orang yang pernah menolongnya.


TAHUN BABI

Orang di bawah zodiak ini lazimnya seorang yang pemurah, jujur, mudah percaya dan agak degil sedikit. Pasangan paling sesuai ialah mereka yang lahir pada Tahun Arnab dan boleh menjadi teman seiring sejalan. Mereka boleh berkongsi minat mengenai benda-benda mahal dengan orang kelahiran Tahun Kambing. 

Mereka juga boleh bahagia dengan orang yang lahir pada Tahun Tikus, Anjing, Kuda, Ayam Jaguh dan Harimau. Banyak belajar daripada Tahun Monyet. Mereka ramai peminat. Kadangkala mendapat kesusahan kerana seseorang namun orang tersebut akan mendapat balasan yang setimpal di atas kejahatannya sendiri. Wataknya periang tetapi dalam masa yang sama mudah merajuk dan menangis. Watak bengisnya ada dalam jiwanya.



TAHUN MONYET

Mereka suka kepada keseronokan dan bijak pemikirannya. Orang yang lahir pada Tahun Naga akan membuatkan mereka gembira begitu juga dengan Tahun Tikus, Arnab, Harimau dan Babi. Orang kelahiran Tahun Ayam dan Anjing boleh menjadikan mereka berfikiran kreatif dan mengamalkan cara hidup yang sederhana. Mereka juga terpaksa bekerja keras untuk berjaya. Nasib menyebelahi jika mereka berniaga. 

Adakalanya sedikit kedekut dan mementingkan diri sendiri. Sikap mereka yang mudah naik angin, gemar pula memaksa orang lain untuk melakukan perkara yang tidak digemari oleh orang tersebut. Namun mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri iaitu pemikiran yang tinggi dan fizikal yang sihat.




TAHUN ULAR

Orang yang lahir pada Tahun Ular sentiasa berfikiran waras, lemah-lembut dan cukup sensitif pada sesuatu keadaan. Orang yang berzodiak Lembu sentiasa mencurah kasih sayang. Mereka sesuai berkahwin dengan mereka yang berzodiak Ayam. Jika mempuyai zodiak yang sama, mereka perlu belajar untuk tidak terlalu cemburu atau kuat bergosip. 

Mereka tidak begitu disukai oleh orang lain kerana menganggap mereka suka berbohong. Namun bukanlah sifatnya begitu.




TAHUN HARIMAU

Orang yang lahir di bawah zodiak ini seorang yang berani, bersemangat tinggi dan penuh kasih sayang. Tahun Babi boleh mengawal mereka daripada bertindak secara melulu. 

Mereka seorang penasihat yang baik dan tidak mementingkan diri sendiri serta ringan tulang, mudah meminta pertolongan daripadanya. Tahun Ayam daripada bukan kaum sejenis patut dijauhi. Orang Tahun Monyet boleh menjadi pengawal yang baik.



TAHUN TIKUS

Orang yang lahir pada Tahun Tikus seorang yang menarik, mudah bergaul dan bersifat pemurah namun kepada orang tertentu sahaja. Mungkin kerana mahu ringkas dan cepat, mereka dikatakan agak pengotor dan tidak suka berkemas.

 Mereka juga tidak tahan sejuk walaupun untuk mandi pagi dan sukar menerima ubat-ubatan yang pahit. Pasangan yang sesuai; Tahun Lembu kerana orang dari tahun ini bersikap penyabar dan tenang dalam tindakan. Lain-lain tahun ialah Anjing, Monyet, Babi dan Naga.




TAHUN LEMBU

Orang yang bernaung di bawah zodiak ini rajin bekerja, merendah diri, praktikal dan boleh dipercayai sebagai pemimpin. Mereka sesuai dijadikan sahabat bahkan seorang kekasih kerana adanya sifat jujur dan ikhlas. 

Walaupun mereka mempunyai ramai peminat namun sifat setia dan keluhuran hati mereka mengatasi segalanya. Untuk mencari kebahagiaan dan sokongan yang padu, carilah orang Tahun Tikus, Arnab, Ayam, Naga, Harimau dan Monyet. Luahkan masalah yang dihadapi kepada orang yang bernaung di bawah Tahun Harimau.

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    20 Tahun Astro yang Gemilang!

  • Seterus →

    Lelaki Muda Ini Telah Menerbangkan Beribu Orang di Angkasa, Ini Baru #SuriHatiMrPilot Sejati