Oct 15, 2016 - 25413

Lelaki Muda Ini Telah Menerbangkan Beribu Orang di Angkasa, Ini Baru #SuriHatiMrPilot Sejati

Anak muda yang diamanahkan mengemudi pesawat. Bukan dalam TV, tetapi di angkasaraya!


Oleh:


Sumber: Ihsan ASTRO 


SEWAKTU banyak wanita sedang angau terigau-igaukan aktor kacak Fattah Amin aka Ejaz, #SuriHatiMrPilot buat Noor Neelofa aka Warda, kami ingin bawa anda kembali kepada dunia realiti. Inilah dia wajah juruterbang sebenar di alam realiti, yang telah bertanggungjawab menerbangkan beribu-ribu nyawa, termasuk anda, merentasi angkasaraya.

Jom kita baca cerita menarik di sebalik kerjaya 'Mr. Pilot' yang sedang jadi bualan ini. 


 

SIAPA JURUTERBANG INI?

Juruterbang muda yang kami temui ini bernama Johan Ariff Ahmad. Jejaka muda ini kelihatan pemalu saat kali pertama bersua di dalam perut pesawat MAS Airbus A380-800. Sekadar mengangguk perlahan dan melemparkan senyuman usai berkenalan, keterujaan saya melonjak kala mengetahui pertalian Johan Ariff dan Kapten Dato’ Ahmad Zuraidi. Berkongsi rasa bangga kerana dua beranak ini menabur bakti sebagai juruterbang MAS, terbukti didikan ayahnya berhasil kini.

Berkulit cerah dan berlesung pipit, lagaknya sedikit kaku kala beraksi di hadapan lensa. Namun selepas memberikan beberapa pose menarik dan aksi santai bersama ayahnya yang pada saya cukup sporting melancarkan proses penggambaran ini. 


PERJALANAN HIDUPNYA SEBELUM BERGELAR 'MR. PILOT' 

Johan Ariff Ahmad anak kedua daripada lima adik-beradik ini berkongsi minat yang sama dengan ayahnya. “Mungkin kerana dari kecil lagi saya lihat ayah memandu kapal terbang, jadi timbul minat untuk jadi juruterbang. Pada mulanya ayah kurang setuju sebab fitrah kerjaya ini menuntut kita selalu berjauhan daripada keluarga. Tapi lepas dia lihat kesungguhan saya, akhirnya dia menyokong dan bantu saya,” ulasnya memulakan bicara.

Mula menyertai bidang ini sebagai kadet pada 2005 di Malaysian Flying Academy di Batu Berendam, Melaka; Johan menjalani kursus dan latihan selama setahun dua bulan. Selepas menamatkan latihan, dia melaporkan diri di MAS Subang sebagai Second Officer dan seterusnya menjalani latihan selama enam bulan di sana. 


 

BERMULA DENGAN 1,700 JAM DI ANGKASARAYA 

“Pada peringkat ini saya belajar tentang aspek teknikal dan hands on (latihan dan ujian pada simulator) selain perlu menduduki peperiksaan dan melakukan 1,700 jam penerbangan untuk melayakkan diri sebagai First Officer,” jelasnya dengan lebih terperinci.

Menjadikan ayahnya sebagai ikon, bagi anak muda berusia 29 tahun ini ada cabaran lain yang perlu digalasnya. Sambil sesekali melihat ayahnya, ujar Johan, “Saya perlu jaga tingkah laku, percakapan dan apa-apa pun tak boleh sebarangan sebab anything will reflect on him. Tapi syukur sebab sampai hari ini semuanya berjalan dengan baik,” jawabnya lega.


 

JEJAK MASA DEPAN

Punya karier yang sama dengan ayahnya nyata memberi kelebihan bagi Johan kerana ia banyak memberi inspirasi selain tunjuk ajar dan menekuni kepakaran yang berpaksikan kepada pengalaman. 

“Saya banyak berbincang dengan ayah dan apa-apa yang saya tak tahu atau keliru dialah tempat untuk saya rujuk,” ulasnya lagi yang banyak membaca juga melakukan bunk flying (mengemudi pesawat dalam imaginasi mengenai apa yang harus dikawal) sebagai persiapan untuk mengasah minda dan memperkasa kemahirannya. 


 

'MR. PILOT' PERLU TENANG

Di sebalik kesederhanaan dalam perwatakannya, tersimpan sebuah semangat yang tinggi untuk terus ‘terbang’ dan menjejaki masa depannya dalam industri ini. Tenang dan teliti, itu rumusan singkat saya mengenai karakternya yang turut mempengaruhi kejituan jiwanya sebagai figura penting yang membantu juruterbang mengemudi pesawat. 

 

Bagi Johan, pengalaman manis terbang bersama MAS bukan sekadar berpeluang menyelusuri ceruk rantau atlas dunia malah dilihat dalam dimensi yang berbeza dan pada skala yang lebih luas. 

 

“Saya bertuah kerana kerjaya ini banyak mengajar saya untuk belajar tentang aspek-aspek teknikal yang major. Saya bersyukur dan gembira dengan kerjaya pilihan saya serta berpeluang bekerja dengan individu-individu yang berbeza latar belakang,” hurainya lagi.


 

'MR. PILOT' AKUR DENGAN NASIB MH370 DAN MH17

Biarpun karier yang diceburi kini menjadi tumpuan susulan insiden MH370 dan MH17, Johan tetap teguh berhadapan dengan apa jua ujian mendatang. “Keluarga mencari saya setelah mendapat berita tersebut. Seorang demi seorang menelefon saya untuk pastikan kedudukan saya sama ada di rumah atau di tempat kerja. Mereka sangat risau tambahan pula ada dua juruterbang dalam keluarga kami,” imbasnya kala berhadapan dengan insiden tersebut. 

Reda dengan apa yang berlaku ujarnya lagi, "Ini adalah cubaan, qada' dan qadar atau ujian daripada Allah dan kehidupan perlu diteruskan. Ingatan dan doa saya sentiasa bersama keluarga mangsa," tambahnya lagi. 
 



Biarpun terpaksa mengharungi cabaran merangkumi faktor alam sekitar misalnya perubahan cuaca yang kini sukar diduga peralihannya, bagi Johan ia ditangani secara rasional dan profesional. “Lebih mencabar apabila saya perlu berhadapan dengan perubahan cuaca dan aspek teknikal yang memerlukan juruterbang supaya sentiasa bersedia,” jelas Johan.

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Orang Tahun Ayam Bersemangat Tinggi, Rajin Bekerja. Moga Ini Petanda Baik Tahun Ayam 2017

  • Seterus →

    Mungkinkah Satu Masa Nanti Laman Instagram Kita Akan Jadi Portfolio dan 'Resume' Diri?