Apr 05, 2016 - 393
NABIL AHMAD - SATIRA ‘ONE MAN SHOW’
Teks: Rosie Haslinda Nasir
Instagram:
Ayuh ikuti temu bual eksklusif InTrend bersama Nabil Ahmad.
Apakah perubahan yang ditempa dalam jalur hidup Nabil selepas kemenangan Raja Lawak 2008?
Daya fikir saya menjadi lebih pantas, saya lebih bertanggungjawab, bahkan saya segera mengambil-alih tanggungjawab kewangan keluarga. Sewaktu menjuarai Raja Lawak 2008, abah sudah pencen. Tetapi saya terpanggil untuk menanggung adik saya yang masih belajar di UPM. Bayangkan, dulu-dulu, gaji saya sewaktu bekerja sebagai budak dispatch di syarikat servis kurier GDex, cuma RM600 kak, cukup-cukup makan saja. Lima tahun saya ke hulu ke hilir dengan motor cabuk saya. Kurier harus dihantar tak kira hujan batukah, ribut taufankah, jalan raya sesakkah, jambatan runtuhkah. Kita pun comot masa itu. Orang pandang kita sebelah mata. Kerana itu saya bertekad mengubah nasib diri. Selepas Raja Lawak 2008, saya menerima undangan persembahan. Awal pembabitan, dibayar sekitar RM2,000 untuk satu undangan.
Saya beruntung, kerana sebagai pemain solo, saya tak perlu berbahagi, semuanya bersih untuk saya. Sebulan, ada sekitar lapan undangan, maka RM8,000 masuk poket. Kira lebat juga untuk seorang budak dispatch cabuk. Tahun 2008, saya dapat rezeki terpijak apabila terpilih sebagai Bintang Paling Popular ABPBH, membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta KIA Optima tajaan Naza KIA.
Kereta masih Nabil simpan sebagai kenangan?
Tak. Dah solamat dah den jua, hahaha.
Cabaran terbesar Nabil hari ini?
Cabaran saya, adalah audiens kita. Kalau nak lihat berapa ramai orang Melayu yang sanggup membayar tiket untuk menonton stand-up comedy, ohhh… sedih kak. Bukan tak ada, ada. Tetapi tak ramai. Ada orang pernah berkata kepada saya, "Kalau dulu tahun 2008 kau cipta fenomena 'Lu Pikirlah Sendiri', kenapa sekarang tak boleh ulang?”
Betul, saya setuju. Tetapi persoalannya di sini, bagaimana? Di Barat ada satu lagi format pertandingan yang dipanggil "The Last Man Standing", satu pertandingan stand-up comedy. Penonton hadir dengan matlamat menyokong semua peserta. Mereka tidak pikul sepanduk besar untuk buktikan mereka peminat dan penyokong sekian-sekian. Tetapi di negara kita lain. Format yang telah didoktrinkan ini, menjadikan kita audiens yang agak asabiyah, berpuak-puak.
Memetik isu personaliti gemuk, berkulit hitam, gigi 'mancung' (dan lain-lain), sebagai material persembahan, bagi Nabil, bukan satu perkara yang salah? Bukan perkara sensitif? Komen sedikit?
Bagi saya, jenaka itu tidak sensitif. Yang sensitif adalah orang yang mendengarnya. Bukankah resam budaya orang kita, kadang-kadang menggelar atau mengusik keluarga atau sahabat rapat dengan panggilan-panggilan sebegitu, dengan tujuan merelakskan keadaan yang canggung atau serius? Saya pernah bertanyakan orang lain, sensitifkah jenaka aku? Lima menjawab okey, takda hal bro, di rumah pun aku cakap macam tu. Lima lagi berpendapat ia sensitif. Jadi, bagaimana? Bukankah alat kawalan TV itu sentiasa di tangan anda? Anda punya kuasa mutlak untuk memilih apa yang anda suka tonton. Tiada paksaan di sini. Saya sedar, untuk terus berdiri teguh dalam industri ini, kita harus kuat semangat, tuli telinga tapi bertempat, tahan dikeji, sanggup dicaci. Yang selalu merejam kami para komedian/penghibur ini pun hanyalah semata-mata haters. Haters ni macam cengkerik, kak. Ia berbunyi krik-krik-krik, tetapi kita pun tak tahu dari mana datangnya bunyi itu.