Mar 26, 2017 - 14473
Oleh: Nurul Huda Hussain
DAH lama tidak dengar perkembangan Jee. Boleh kongsikan perkembangan terkini?
Sekarang dalam perancangan bersama syarikat rakaman Universal Music Malaysia untuk merakam single terbaru. Lakonan buat masa ini saya tangguhkan seketika biarpun menerima tawaran kerana mahu fokus satu persatu.
Terubat juga rindu melihat penampilan khas Jee dalam Sepahtu Reunion Live. Pengalaman beraksi dalam sitkom yang dipancarkan secara langsung, komen Jee?
Oh! Saya cukup teruja tetapi dalam masa takut juga jika gagal menyampaikan apa yang dirancang. Tiada skrip yang diberi kecuali garis panduan dan sedikit maklumat berkaitan jalan cerita tersebut.
Walaupun watak saya kecil tetapi saya senang sekali bekerjasama dengan mereka.
Meriah rasanya sesekali dapat tampil dengan pelawak dan lebih happening mendengar ketawa dan riuh- rendah penonton. Cukup meriah dan seronok! Tetapi secara keseluruhannya saya terhibur dengan gelagat kumpulan Sepahtu dan berterima kasih kepada mereka kerana sudi mengundang saya.
Masih berpegang utuh dengan privasi dan selektif? Mengapa?
Kebiasaannya itulah prinsip yang saya pegang sejak dahulu. Baik keluarga mahupun rakan-rakan, kami memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing. Saya mahu ada garis pemisah antara keluarga dan kerjaya.
Memandangkan saya yang bekerja dalam bidang ini, maka biarlah saya yang ke depan. Saya lebih suka membiarkan keluarga dalam ruang yang selesa serta dalam masa sama menghormati hak mereka. Mereka juga seperti orang lain. Tetapi apa jua yang berkaitan dengan soal keluarga, ya saya masih terbuka bercerita jika ada yang bertanya. Namun untuk mendedahkan atau menunjukkan mereka di laman sosial saya agak segan melakukannya.
Sumber foto: Instagram
Bagaimana dengan pendirian Jee, adakah boleh berkongsi semuanya di laman sosial?
Masih ada batas-batas yang perlu dijaga. Tidak semua perihal mengenai diri saya muat naik atau kemas kini di laman sosial. Apa yang saya fikirkan perlu, akan saya lakukan. Misalnya berkaitan dengan kerja atau sesekali bertegur sapa dengan peminat di alam maya sudah memadai. Malah saya percaya masing-masing mempunyai tanggapan tersendiri mengenai soal ini.
Namun apa yang menyedihkan adalah apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuka akaun laman sosial palsu serta dalam masa yang sama menimbulkan kekeliruan kepada ramai pihak. Saya sendiri pernah berhadapan dengan situasi apabila ada pihak lain menggunakan nama dan koleksi foto saya untuk membuka akaun Instagram palsu suatu ketika dahulu. Pada saya, ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. Tidak baik menganiaya orang lain atas apa tujuan sekalipun. Seeloknya gunakan medium ini sebaik mungkin dan bukan untuk kepentingan peribadi, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
Sumber foto: Instagram
Pengalaman bersama SK-II jika boleh dikongsikan bersama kami?
Kontrak bersama SK-II telah tamat hampir dua tahun lalu dan apa yang saya boleh katakan, ia adalah satu perjalanan yang cukup menyeronokkan. Saya bersama SK-II sejak 1998 lagi dan banyak pengalaman serta pengetahuan baru dapat saya kutip sepanjang tempoh itu. Terima kasih SK-II untuk perjalanan yang bermakna ini.
Masih tampak muda biarpun berusia 40-an. Ada petua boleh dikongsi bersama?
Terima kasih (ketawa). Pada saya biasa sahaja. Syukur. Alhamdulillah dengan segala pemberian- Nya. Pada saya perubahan usia akan dilalui oleh semua orang. Dan saya sentiasa looking forward dengan peningkatan usia.
Jika dahulu ketika berusia 20-an, saya tidak sabar menunggu untuk melangkah ke usia 30-an. Begitu juga ketika melangkah fasa 30-an, teruja dan tidak sabar menanti untuk masuk ke peringkat 40-an. Dan seterusnya, harapnya terus dipanjangkan usia agar dapat memasuki fasa 50-an pula. Insya-Allah jika diizinkan-Nya doa saya moga Allah panjangkan umur saya agar dapat merasai dan melangkah ke fasa seterusnya. Bagi saya hidup secara bersederhana.
Rutin penjagaan kulit wajah Jee pula bagaimana?
Saya amalkan langkah asas seperti membersih, menyegar dan melembap. Itulah rutin yang saya lakukan sejak mula menceburi dunia seni. Pada saya walaupun ada yang berkata anda mempunyai kulit yang cantik, awet muda dan sebagainya; tetapi sebenarnya ia bergantung kepada amalan penjagaan kulit anda.
Hal ini kerana berdasarkan pengalaman bersama SK-II dahulu, mereka memberi tempoh kepada saya untuk mencuba produk itu terlebih dahulu sama ada ia berkesan atau tidak dengan kulit. Bekerja dalam bidang ini menuntut saya keluar masuk atau turun naik pentas, bergerak ke sana sini, mengenakan mekap kadangkala lebih daripada lapan jam maka pembersihan kulit yang betul itu menjadi rutin yang harus saya lakukan saban hari. Rentetan itu kulit wajah memerlukan perlindungan untuk memastikannya kekal sihat.
Sebaiknya dapatkan pemeriksaan kulit wajah untuk mengetahui jika anda mempunyai masalah kulit kerana tidak semua daripada kita mempunyai masalah yang sama. Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan, pada peringkat usia kini lebih baik melakukannya sekurang- kurangnya sekali setahun. Terutamanya kepada kaum wanita kerana zaman ini pelbagai penyakit berbahaya boleh dihidap walaupun pada usia muda.
Sumber foto: Instagram
Pada pendapat Jee usia berapa patut mula menjaga kulit wajah?
Pada saya, apabila anda memahami dan mengetahui keperluan kulit, maka mulakan langkah pertama. Mungkin ia harus dilakukan sejak muda lagi tetapi bergantung kepada setiap individu.
Bagi saya sendiri, sejak mula menceburi bidang ini banyak membuka pintu untuk saya mempelajari pelbagai perkara. Peluang mengenali pakar kecantikan, jurusolek profesional dan ramai lagi memberi banyak input. Penjagaan wajah dan tubuh sebenarnya menuntut jangka masa yang lama maka sewajarnya ia dimulakan lebih awal kerana perbezaan setiap peringkat usia itu berbeza bagi segelintir orang.
Sumber foto: Instagram
Takut atau tidak dengan isu penuaan? Mengapa?
Sejujurnya tidak kerana saya percaya kita semua akan melaluinya. Saya sentiasa look into what’s next. Jika dahulu terfikir juga apa yang akan berlaku, perubahan apa yang akan mula saya rasai ketika melangkah ke usia 30-an dan kini 40-an dan tidak lama lagi 50-an. Saya cuba tanamkan dalam diri agar lebih positif. Dan seperkara yang saya sedari adalah, apabila meningkatnya usia kita misalnya daripada 20-an ke 30-an atau 30-an ke 40-an dimensi pemikiran kita berbeza. Cara kita membuat penilaian terhadap setiap perkara itu berlainan.
Begitu juga dengan perubahan daripada kesedaran tahap kesihatan. Jika pada usia 20-an dahulu mungkin kita tidak peka dengan apa yang dimakan kerana pada peringkat itu kita masih lagi lincah dan bertenaga serta bersemangat. Almaklumlah, darah muda (ketawa). Dan selepas melalui fasa perkahwinan, mempunyai anak misalnya lain pula caranya.
Tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita perlu mencorak keseimbangan antara gaya hidup, pemakanan dan kesihatan. Dan itulah yang saya cuba lakukan kini. Apabila mula melangkah ke fasa 40-an, saya lebih peka soal pemakanan. Walaupun sebenarnya saya gemar menikmati apa jua jenis makanan, namun sebagai manusia biasa kadangkala terbabas juga (ketawa).
Bahagian mana pada wajah yang sering diberi tumpuan?
Alamak... Bahaya soalan ini (ketawa). Pada saya lebih baik secara keseluruhan. Saya sederhana orangnya walaupun pernah cuba tetapi tidak dapat disempurnakan.
Jee seorang yang ‘gym freak’?
I was! Pernah suatu ketika saya gigih ke gimnasium untuk tone up body. Tetapi dek kerana sudah lama tidak buat, maka nak mulakan balik sukar rasanya (ketawa).
Sejauh mana Jee percaya aktiviti kecergasan dan bersukan boleh kekalkan bentuk tubuh? Benar kerana ia juga membantu. Seperti semua sedia maklum, saya gemar melakukan aktiviti luar dan lasak misalnya berenang, menyelam, menunggang motosikal, menunggang kuda dan sekali-sekala masuk hutan bersama kawan-kawan. Dan terbukti sebahagian aktviti ini memberi manfaat pada tubuh.
Aktiviti yang lebih dekat dengan alam semula jadi, itu yang saya gemari. Misalnya ketika aktiviti menyelam di dasar laut kemudian berenang pula di permukaan ia memerlukan penggunaan pelbagai otot. Menunggang kuda pula membantu daripada segi imbangan selain mendapatkan postur badan yang baik.
Sumber foto: Instagram
Kepuasan yang dirasai apabila melakukan aktiviti ini?
Kepuasan itu ya tetapi lebih kepada melakukannya untuk meningkatkan tahap kesihatan. Bukan apa, kadangkala peluh yang keluar kerana panas matahari itu lain sifatnya berbanding peluh kerana bersenam atau melakukan apa jua aktiviti kecergasan yang lebih sihat dan bagus untuk kesihatan tubuh.
Punya rutin dan diet yang Jee amalkan saban hari?
Demi kesihatan, ya saya perlu melakukannya. Apatah lagi apabila memasuki fasa 40-an, aspek kesihatan adalah sesuatu yang penting untuk saya utamakan. Misalnya kurangkan dan paksa diri untuk kurangkan makanan berminyak. I used to enjoy food tetapi sekarang perlu ‘racunkan’ pemikiran untuk sekat dan kawal makanan atau minuman yang manis, berkalori tinggi. Tetapi apabila makan di luar saya tidaklah pula menyekat atau menghalang daripada mengambil makanan sedemikian.
Kadangkala teringin juga mahu makan kepak ayam, ketam telur masin atau butter prawn, it is so yum yum (ketawa). Namun semuanya dimakan sekali-sekala sahaja. Selebihnya apabila di rumah, saya makan dan kawal pengambilannya dalam kuantiti yang sederhana. Contohnya gula, saya gantikannya dengan pengambilan Stevia. Saya penggemar kopi tetapi kadangkala terlajak juga bancuh kopi segera (ketawa).
Daripada segi rutin makan pula, I used to munch and I love to munch tetapi sekarang saya kawal dan kurangkan. Makan nasi pula sekali sehari dan dalam seminggu lebih kurang tiga ke empat kali saya makan nasi. Kurangkan pengambilan daging dan ayam sebaliknya lebihkan makan ikan.
Kaedah memasak saya lebihkan kepada teknik mengukus untuk kurangkan penggunaan minyak. Jika minyak pula saya gunakan minyak zaitun dan banyakkan makan sayur-sayuran. Ada yang berpendapat makanan untuk diet ini tidak menyelerakan tetapi sebenarnya jika kita sudah mulakan dan memahami keperluan tubuh, pasti ia jauh lebih mudah sekali gus kita boleh mempelbagaikan kaedah dan menu dalam diet seharian.
Sumber foto: Instagram
Adakah pengambilan suplemen menjadi kemestian bagi Jee?
Ya, pada peringkat usia ini saya perlu mengambilnya. Kena paksa diri (ketawa). Misalnya Vitamin E, Vitamin C atau pengambilan suplemen untuk menguatkan tulang,
Punya sebarang petua tradisional atau amalan yang masih diamalkan?
Saya banyak makan ulam-ulaman, masakan kampung dan sayur-sayuran.
Kerap ke spa dan rawatan yang sering dilakukan jika ke sana?
Oh, saya suka ke spa dan mendapatkan rawatan urut badan di spa! Tetapi hanya berkesempatan melakukannya jika masa mengizinkan. Kalau badan terasa lenguh atau sakit-sakit saya akan ke pusat refleksologi untuk mendapatkan rawatan urut. Daripada segi rawatan pula, saya memilih sport massage dan kadangkala saya akan memilih relaxing massage.
Sumber foto: Instagram
Petua Jee menjaga rambut?
Saya bukanlah orang yang benar-benar fokus dan spesifik untuk memelihara dan punya masa membelek satu persatu. Semuanya dilakukan secara asas misalnya menggunakan virgin coconut oil untuk melebatkan dan menguatkan tekstur rambut. Benar, di pasaran terdapat pelbagai jenis produk untuk melebatkan rambut, menguatkan rambut dan sebagainya. Pada saya jika menggunakan produk atau bahan berasaskan semula jadi, kita tidak boleh mendapatkan hasil dalam masa singkat.
Sebaliknya jika konsisten melakukannya, maka anda akan dapat melihat hasilnya untuk tempoh yang lama. Begitu juga dengan badan, kulit wajah dan apa yang kita makan untuk memastikan anggota dalaman kekal sihat.
[VIDEO] MOMEN EKSKLUSIF #InTrendMalaysia BERSAMA FAUZIAH LATIFF
Jika Jee bukan bergelar selebriti, adakah masih memelihara susuk tubuh, menjaga kecantikan dan sebagainya?
Sudah tentu saya menjaganya biarpun bukan bergelar artis kerana saya cintakan kecantikan. Beauty reflects in everything. Contohnya melihat orang yang cantik membuatkan saya tumpang gembira. Melihat pasangan suami isteri yang tua masih lagi berpegangan tangan atau wanita tua yang masih menjaga penampilan cukup cantik pada pandangan mata saya. Ataupun apa yang berlaku di sekeliling kita, melihat panorama alam semula jadi ia membangkitkan aura positif dan memberi inspirasi kepada saya.
Sumber foto: Instagram
Potongan yang diberi oleh LHDN kepada golongan artis, sejauh mana ia membantu pada pendapat Jee?
Ia sangat membantu terutamanya bagi golongan artis yang mengeluarkan wang sendiri untuk bekerja dalam industri. Lebih-lebih lagi dalam senario dunia seni yang tidak menentu dan mencabar seperti hari ini; atau kekangan memperoleh job ia menyulitkan lagi keadaan. Dengan adanya potongan cukai ini secara tidak langsung mengurangkan sedikit bebanan kewangan golongan artis.
Siapa selebriti atau personaliti yang punya pakej lengkap seperti cantik luaran dan dalaman?
Pada saya semua orang punya potensi dan kecenderungan ke arah itu cuma cara dan pembawaan sahaja yang membezakan kita. Ramai orang misalnya dalam industri seni memberi inspirasi kepada saya dan dalam masa sama saya mengagumi mereka.
Pada saya seni itu halus dan luas. Ia umpama sebuah globe, boleh dihala ke kiri atau ke kanan, atas dan bawah dan sebagainya. Maka pembawaan diri terhadap seni itu yang penting. Kadangkala sebagai manusia biasa, insan seni juga tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Bertitik tolak daripada kesilapan itulah yang mengajar erti kematangan.
Sumber foto: Instagram
Penampilan Jee di luar bagaimana?
Kadangkala tidak bersolek langsung kerana sekali- sekala saya suka membiarkan kulit wajah bernafas tanpa mengenakan sebarang alat solek! Tetapi secara asasnya adalah loose powder, maskara, pemerah pipi dan lip balm.
Antara produk penjagaan kulit dan mekap, yang mana lebih diutamakan?
Sudah semestinya produk penjagaan kulit. Jika anda mempunyai kulit wajah yang bersih, bebas cela dan sebagainya pasti apa jua jenis solekan bisa dirias pada wajah. Jika bercakap mengenai alat solek, saya praktikkan yang sederhana sahaja. Saya cuma beli warna-warna selamat seperti earth tone dan natural. Celak pula menjadi item must have dalam perkakas alat solek saya.
Daripada segi sesi fotografi untuk paparan majalah misalnya, jika ada sesi penggambaran berkonsepkan sesuatu yang berbeza sama sekali dengan penampilan serta mengubah keseluruhan look saya, I would love to do it. Cuma biarlah ia bertepatan dengan konsep yang ingin diterjemahkan.
[VIDEO] "MESTI SENTIASA POSITIF!" — FAUZIAH LATIFF
Berpengalaman luas bergelar duta pelbagai produk, apa yang sebenarnya harus seseorang selebriti ambil tahu sebelum menandatangani hitam putih?
Pada saya fahami setiap klausa yang terdapat dalam kontrak baik daripada segi undang- undangnya juga patuhi setiap syaratnya. Selain daripada itu fahami juga produk itu terlebih dahulu, kenali pengurusan pemasaran dan ambil tahu juga soal strategi pemasaran.
Jika dilihat daripada sudut duta produk kecantikan pula, anda perlu mengambil kira faktor produk ini akan diaplikasikan pada wajah. Justeru ambil masa untuk mencubanya. Jika tidak serasi dengan kulit anda, berbincanglah dengan baik kerana sebagai selebriti anda juga perlu menjaga nama baik anda. Komunikasi dan perbincangan antara kedua-dua pihak amat penting untuk mengelakkan sebarang salah faham.
Jika masih ingat, apakah produk pertama Jee tampil sebagai duta?
Wow, lama sangat tu (ketawa). Jika tidak silap saya produk kecantikan jenama Mawar, mungkin losen atau bedak; saya tidak ingat. Yang saya ingat, ada gambar wajah saya dengan bunga mawar pada botol tersebut (ketawa).
Sumber foto: Instagram
Jee antara barisan selebriti senior dalam industri. Siapa selebriti pelapis yang punya potensi untuk melangkah lebih jauh?
Peredaran trend muzik, evolusi yang berlaku dalam dunia hiburan hari ini membuatkan lebih ramai yang tampil dan berani menonjolkan bakat yang ada. Baik daripada rancangan realiti pencarian bakat penyanyi, YouTuber dan pelbagai platform.
Ramai mempunyai bakat dan peluang yang rata-ratanya berbeza sama sekali ketika zaman saya mula menceburi bidang ini dahulu. Seperti kami yang lebih senior, menyertai dunia hiburan kerana minat yang mendalam dan nawaitu untuk mencari rezeki. Soal glamor, populariti, meraih anugerah misalnya itu tiada dalam senarai apa sasaran yang ingin dicapai. Pilihan dan ruang kini lebih luas untuk barisan pelapis cuba terokai selain mengeksplorasi muzik yang sesuai dengan perkembangan semasa.
Pada saya Yuna dan Shila Amzah (cuma melontarkan beberapa nama) antara barisan pelapis yang mempunyai good team di belakang mereka serta sokongan padu selain bijak dalam menjenamakan nama mereka. Mereka berani, bijak dan berkeyakinan serta berjaya menempatkan nama mereka dalam kelas tersendiri. Walaupun dunia seni luar negara lebih luas, punya cabaran yang tersendiri tetapi mereka kekar mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Saya tumpang bangga dengan kejayaan mereka.
Sumber foto: Instagram
Bukan mudah untuk membina nama sehingga berada dalam kelas tersendiri seperti hari ini bukan?
Sudah semestinya. Bukan senang nak jadi senang. Tiada yang datang bergolek sebaliknya usaha, belajar memperbaiki kekurangan diri, sematkan disiplin dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
Sejujurnya ia mengambil masa bagi benar-benar mengenal diri sekali gus mencipta identiti sendiri. Pada saya X-factor itulah yang membezakan siapakah anda untuk terus berada dalam dunia seni. Banyak proses yang perlu kita lalui. Tidak salah andainya terjatuh, tersalah langkah tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang membuatkan anda mengambil iktibar daripadanya. Belajar daripada kesilapan kerana itu lumrah hidup.
Tuah dan hala tuju dalam perjalanan karier seni anda yang menentukannya. Sentiasa sabar, hormati diri sendiri dan orang sekeliling, mendengar nasihat dan bersederhana. Jangan sesekali lupa insan-insan yang mencorakkan percaturan seni anda, keluarga juga sesiapa jua yang seringkali mendoakan kejayaan anda.
Sumber foto: Instagram
Falsafah kecantikan Jee?
Mulakannya sebelum terlambat atau paling tidak pun mulakan di mana anda berhenti untuk apa jua yang anda lakukan. Dan jika dilihat daripada sudut kecantikan dalaman pula, bersihkan hati dengan bersikap ikhlas dan seboleh mungkin sematkan aura positif kerana sesungguhnya kecantikan dalaman itu akan terpancar jua pada wajah anda. Jika cantik bersolek tetapi hati di dalam yang merana, menderita pun susah juga. Justeru berlapang dada dan bersederhanalah dalam setiap segi.
Ramai selebriti hari ini tampil dengan imej hijab. Punya hasrat mahu melangkah ke fasa itu mungkin?
I leave it open, if I want to do it, I will do it right. Insya-Allah doakan yang terbaik buat saya. Bukan tidak punya keinginan atau niat ke arah itu tetapi pada saya biarlah ia berpandukan kepada nawaitu yang seikhlasnya. Bukan kerana menurut kehendak seseorang, mengikut fesyen dan sebagainya. Ia antara saya dengan Allah, itu sahaja.
Sumber foto: Instagram
Harapan untuk 2017?
Saban tahun bersilih ganti, harapan dan doa saya tetap sama. Memohon kepada-Nya agar dilanjutkan usia dari satu angka ke angka yang lain pula. Tetapi saya sering mengingatkan diri agar jangan lupa melihat apa yang sudah dilalui pada tahun-tahun sebelumnya. Kerana ia banyak mengajar untuk memperbaiki kualiti hidup, mendewasakan pemikiran, rasional dalam membuat keputusan agar kita lebih bijak serta bersedia menempuhi dugaan mendatang.
Saya bersyukur kerana setiap kali bangun, saya masih lagi mampu bernafas, diberikan tenaga untuk menyempurnakan segala tugasan dan masih punya insan tersayang di sisi yang sentiasa menemani. Doa dan harapan sama juga saya titipkan buat anda agar kita sentiasa dalam perlindungan-Nya.