Dec 17, 2016 - 19481

“Syamsul Juga Menitikberatkan Penjagaan Kulit, Mana Mungkin Saya Mahu Kalah Dengan Dia” — Puteri Sarah Liyana

Asalnya dulu figura ini memegang ‘title’ pelakon dan model. Namun sejak mendirikan rumahtangga bersama pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof, dia tekad meninggalkan kerjaya seni dan kini sibuk menguruskan perniagaan sendiri.

 

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

 

 

BIARPUN mengemudi ‘kapal’ yang berbeza, namun Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang mesra disapa sebagai Sarah berazam untuk membuktikan bahawa anak seni juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan. 

 

Tidak rindu untuk kembali berlakon? 

Insya-Allah perasaan rindu itu tidak datang menjengah. Kerana apabila mengambil keputusan untuk berkahwin, saya nekad mahu bersara daripada dunia seni. Sebaliknya masa diisi dengan urusan rumahtangga dan perniagaan. Ya, saya mahu fokus terhadap bidang perniagaan sementelah dulu pernah menuntut dalam jurusan Pemasaran dan Pentadbiran di Taylor’s University. Seboleh-bolehnya saya mahu memanfaatkan ilmu yang dipelajari dahulu. 

 

 

 

 

Bagaimana Sarah mengendalikan perubahan gaya hidup daripada anak seni kepada suri niaga? 

Adakah ini perjalanan yang mudah? Perubahan ini tidak sedikit pun mengganggu kehidupan saya kerana saya melakukan ini dengan rela. Sebagaimana dulu menjadi artis, begitu juga dengan orang berniaga kerana saya perlu bermula dari bawah. Perjalanannya bukanlah mudah, kalau tidak bersungguh- sungguh pasti kita mudah tunduk mengalah. Apa jua bidang yang kita ceburi pasti ada onak dan duri.

 

Bercakap mengenai bidang perniagaan, semuanya saya lakukan sendiri terutamanya yang berkaitan dengan pemasaran. Kerana Shara Islamic Fashion World merupakan butik vendor. Kami tidak menjual barangan sendiri sebaliknya kami memegang amanah lebih kurang 60 jenama untuk dipasarkan. Ibaratnya kami menyewakan platform kepada para peniaga online. Dan hampir 80 peratus daripadanya kami pasarkan agar jenamanya lebih dikenali.

 

Mungkin ramai yang berkata, mudah untuk saya menguruskan perniagaan ini disebabkan saya sudah ada nama dalam industri. Saya akui, itu satu bonus. Namun hakikatnya saya juga perlu bekerja keras untuk memajukan bisnes ini sama seperti orang lain. Tidak ada kejayaan yang datang bergolek. Tanpa usaha dan kerja keras, Shara Islamic Fashion World tidak akan ke mana. 

 

 

 

 

Memandangkan Shara Islamic Fashion World menyediakan busana Muslimah, adakah sasarannya hanya untuk wanita berhijab? Komen?

Oh, tidak kak! Seperti yang saya nyatakan tadi, produk kami bukan jubah semata-mata. Walaupun nama agak ‘Islamic’, tetapi kami juga menawarkan pelbagai pilihan kepada wanita di luar sana. Cuma kami tidak ada baju berlengan pendek.

 

Kesemua pakaian yang dijual menepati syariat iaitu menutup aurat. Pelanggan kami masih boleh berfesyen dengan helaian- helain yang kami tawarkan. Kalau kakak tak percaya, jom singgah di butik saya. 

 

 

 

 

Walaupun wajah Sarah tidak lagi dirakam lensa kamera, namun penampilan masih dijaga dan kelihatan cantik sepanjang masa. Boleh kongsi tips cantik yang diamalkan?

Saya bersyukur kerana tidak ada masalah dengan kulit. Kalau ada pun setakat jerawat yang timbul sekali sekala. Dan saya atasi masalah ini dengan memperbanyakkan minum air masak. Yang lain- lain itu adalah rutin biasa seperti membersih, menyegar dan melembap. Bagi saya, walaupun tidak lagi bergelar artis, namun penampilan diri masih perlu dijaga. Kerana sebagai isteri, kita juga perlu tampil cantik untuk suami.

 

Memandangkan Syamsul juga menitikberatkan penjagaan kulit, mana mungkin saya mahu kalah dengan dia, hahaha... Emak Sarah pernah berpesan, jika wanita mahu kelihatan cantik, ia perlu seiring daripada segi dalaman dan luaran. Kalau dalaman dah cantik, luaran pun akan cantik juga. Sebab itu emak menyarankan saya mengamalkan pengambilan jamu ketika usia masih remaja iaitu 13 tahun. 

 

 

 

 

Bagaimana dengan penjagaan rambut memandangkan Sarah berhijab?

Saya tetap menjaga rambut meskipun bertudung sejak 2013. Penjagaan rambut untuk wanita berhijab perlu diberi perhatian kerana helaian rambut kita bertutup hampir sepanjang hari. Saya amalkan mencuci rambut dua atau tiga hari sekali. Saya tidak mencucinya setiap hari kerana minyak dari rambut itu juga bagus untuk ia tampil bermaya.

 

Saya juga tidak amalkan pemakaian hair dryer kerana ia akan merosakkan helaian rambut kita buat masa panjang. Saya lebih suka mengeringkan rambut secara natural, lap dengan tuala bersih dan biarkan rambut kering dengan sendirinya. Dan seminggu sekali saya gunakan hair mask untuk memastikan rambut kekal lembap. 

 

 

 

 

Cara solekan Sarah selepas berhijab? 

Sudah tentunya cara solekan yang lebih sederhana jadi pilihan. Misalnya apabila ke butik saya perlu juga bermekap, kalau pusat lesi nanti orang ingat lain pula, kan? Walau sudah berhijab, saya tidak mahu tampil selekeh.

 

Maklumlah dulu saya juga public figure, maka setiap apa yang saya tampilkan pasti jadi buah mulut orang. Saya juga perlu jaga nama baik suami dan keluarga. Saya lebih suka mengenakan solekan dengan rona nude supaya kelihatan lebih natural. 

 

 

 

 

Tiga ‘item’ solekan mesti ada dalam tas tangan Sarah?

Lip balm, maskara dan bedak padat. 

 

Sarah rasa cantik waktu bila?

Hahaha... perlu ke jawab soalan ini kak? Okey, saya rasa saya cantik bila lepas mandi. Kerana lepas mandi saya rasa fresh

 

 

 

 

Pesanan Sarah buat wanita hijabi di luar sana?

Usah sembunyikan kecantikan semula jadi milik kita dengan bermekap mampan. Dalam soal bercantik-cantik, wanita hijabi perlu bersederhana. Jangan terlalu ‘over’. Cukup dengan mekap yang minimal kerana yang penting adalah tahap keyakinan kita kala tampil di depan khalayak. 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Minum Air Sejam Lepas Makan, Baru Tak Buncit” — Tips ROZITA CHE WAN Cantik Walau Usia Lebih 40

  • Seterus →

    Wanita Ini Amalkan Jus Tomato, Epal dan Lobak — Petua Kakaknya yang Kulit Gebu Macam Bayi