May 11, 2018 - 46139
Oleh: Rosie Nasir
Selain membawa semangat Ramadan dan Syawal yang berkobar-kobaran dalam naskhah bulan ini, kami titipkan juga kisah Hari Ibu daripada beberapa selebriti pilihan InTrend Malaysia, termasuklah Diana Danielle sendiri. Boleh Diana ceritakan kepada kami, amalan Diana sebagai seorang ibu sepanjang mengasuh dan mendidik Muhammad dan Aurora?
Untuk pengetahuan anda, I am a Tiger Mom, but my mom was a real Tiger Mom. Kalau saya bercakap dengan Muhammad dan Aurora, saya bercakap dengan lembut. Kerana secara semula jadi, walaupun saya dibesarkan dengan ketegasan, saya tetap memiliki sebungkah hati yang lembut.
Saya tak pandai bercakap kasar. Lagipun sebab watak Mama itu sendiri sudah keras, maka sebab itu saya perlu jadi sebaliknya. Kalau Mama jadi hujan, saya jadi mataharinya. Kalau Mama jadi api, maka saya jadi airnya.
Kalau saya marah Muhammad dan Aurora, mereka pasti akan datang dan memeluk saya. Mereka bukan takut atau gerun kepada saya. Tapi mereka takut kalau mereka berbuat salah.
Mereka peluk saya kerana mereka tahu kemarahan itu datang dari satu tempat yang baik. Kemarahan itu datang daripada orang yang mereka percayai. Mereka faham saya letakkan disiplin pada tempat yang sepatutnya.
Maknanya, kalau saya sudah lukis garis itu, Muhammad dan Aurora tidak akan berani melangkahnya. Tetapi sekali mereka memijaknya, mereka tahu apa akibatnya. Maka sebab itu mereka sangat faham, apa yang saya maksudkan dengan “BOLEH” dan apa pula yang saya maksudkan dengan “TIDAK”.
Semua ini adalah gaya didikan Mama semasa saya kecil. Dan Mama melakukannya secara konsisten. She was a helicopter mom you know, haha. Mmm... but I’m not a helicopter mom. I’m more of a... err, like... “DON’T-YOU-DARE” kind of mom, hahaha.
Hatta di depan orang sekalipun, kalau Muhammad atau Aurora berbuat salah, saya tak bagi muka. Mungkin sesetengah ibu zaman sekarang akan berperasaan, “Ala, depan oranglah. Aku tak boleh nak marah-marah anak. Aku kena jaga air muka anak. Kena cover line.”
Tapi bagi saya, usaha untuk membentuk sahsiah, mencorakkan peribadi dan mengetatkan disiplin dalam ruang lingkup proses pembelajaran dan memanusiakan manusia -- yakni anak-anak kita – sepatutnya tak mengira tempat, masa atau waktu. Ibu bapa perlu konsisten apabila cuba menzahir dan menyampaikan sesuatu mesej kepada anak-anak. Itulah tugas kita.
Maknanya, kalau benda yang anak kita buat itu salah, kita kena segera betulkan. Dengan teguran yang baik, berhemah, tidak mengaibkan. Jangan tutup mata. Jangan tulikan telinga. Jangan tunggu. Jangan juga bertangguh.
Memanglah ada taboo atau malu. Tapi kalau keadaan itu cukup selesa dan orang di sekeliling saya adalah orang yang saya kenal dan tahu, saya tak ragu-ragu menunjukkan warna sebenar saya, dan ibu jenis apakah saya ini.
Farid Kamil pula bagaimana? ‘Keras’ juga macam Diana?
Farid berbeza. Apabila tiba soal parenting, dia menjadi pihak yang lembut. Hatinya juga lembut. Kalau atmosfera tegang, kalau saya marah Muhammad atau Aurora, Farid akan angkat punggung dan berlalu daripada situasi itu.
Kata Farid, dia tak tahan dengar atau lihat anak-anak kena marah. Jiwanya sensitif. Hatinya mudah terusik.
Sikap dan kualiti Mama yang Diana warisi?
Kalau ditanya tentang kesamaan sikap, yang saya tahu, Mama sangat workaholic. Mama gigih mencari duit. Mama kuat bekerja demi mencari sesuap nasi. Sifat itu selamanya ada dalam diri saya semenjak saya kecil sampai hari ini.
Kami juga mengamalkan polisi keterbukaan dalam mengekspresi perasaan. Sudah beberapa kali kami duduk bertentang mata, saling menghangatkan perasaan, curhat berjam-jam lamanya.
Mama pernah berpesan dulu, “Mama tahu, Mama telah lakukan banyak kesalahan sepanjang hidup Mama menzuriatkan kamu. Dan kamu sendiri, suatu hari nanti, akan lakukan banyak kesalahan apabila kamu juga menjadi seorang ibu.”
Saya jadi pegun apabila Mama berkata lagi, lebih kurang begini bunyinya, “Kalau kamu mahu tahu, satu- satunya perkara yang amat Mama sesali adalah tidak mencurahkan lebih banyak masa bersama kamu, semasa kamu masih kecil.
Mama terlalu sibuk bekerja mencari rezeki untuk survival kita berdua. Mama terpaksa pikul dua amanah Allah pada satu masa. Menjadi ibu dan Daddy kamu serentak. Pada saat itu, hanya itu yang terbaik yang Mama mampu lakukan. Mama kesal, kita pernah tidak akrab, bergaduh dan berjauh perasaan.”
Kata-kata Mama itu amat menyentuh hati saya. Dan kata-kata itu jugalah yang telah menyentuh seluruh kehidupan saya hingga hari ini.
Mama juga selalu pesan, kalau kita balik dari kerja, kalau kita stress kita tengok anak-anak kita buat onar, buat perangai, jangan terus marah. Kita jangan sekali-kali biarkan anak mengingati kita sebagai ibu yang suka marah-marah. Kerana pada kemudian hari, memori pahit itu akan kekal menjadi kudis, lalu mencalarkan perhubungan kamu dengan anak-anak.
Mama juga pesan, sebelum kita menidurkan atau tidur bersama anak, kalau anak kita mula bersembang, janganlah kita matikan perbualan itu. Jangan cakap, “Diamlah! Tidurlah!” Kerana sebenarnya, itulah saat paling intim anak mahu mencurahkan seluruh rasa hatinya yang telah berkocah-kocah dan ditampungnya dengan sabar semenjak pagi lagi.
Berbuallah, kerana itulah saat-saat yang paling bermakna. Anak akan terlelap nyenyak dalam pelukan ibunya selepas berbahagi isi hati. Dan rohnya tidur dalam keadaan gembira.
Saya menangis setiap kali Mama pesan saya begitu. Saya bersyukur Mama masih dan sentiasa berada di atas saya seumpama helikopter yang bergelintar dari sakral udara. Memerhatikan tindak-tanduk saya menjadi ibu kepada Muhammad dan Aurora.
Mama selalu membetulkan yang salah, memperkemas yang longgar. “Jangan jadi macam Mama dalam bab ini, bab ini, bab ini.” Itu pesanan ikhlas Mama. “You can be better than that,” begitu dia mengingatkan saya selalu.
Ya, apabila ibu berlaku jujur dan berkemilau jernih seperti air di hadapan kita -- anak-anaknya -- kita juga belajar menjadi jernih seperti ibu.
Diana mendewasa di tangan seorang ibu tunggal yang sangat ‘super’, tanpa campur tangan seorang bapa. Apakah Mama punya ekspektasi luar biasa, mahu Diana juga menjadi anak yang ‘super’?
Intuisi emosi saya semasa kecil sangat goncang selepas ditinggalkan Daddy semasa saya berumur empat tahun. Segalanya saling terkait. Apabila Daddy lenyap, Mama perlu bekerja untuk menegakkan kembali institusi keluarga kami yang hampir roboh.
Waktu Mama amat terhad untuk saya. Seolah-olah masa itu telah dirompak daripada kami. Lalu sekali lagi, saya ‘ditinggalkan’. Perasaan itu membuat saya menjadi remaja yang sarat dengan perasaan sebal. Hati saya tiba-tiba menjadi batu.
Jujurnya, saya bukanlah anak dan remaja terbaik atau terhebat untuk Mama. Tidak. Saya berlakon depan Mama. Saya berpura-pura bila perlu. Saya buat Mama pening kepala. Tak salah kalau saya katakan yang saya suka menimbulkan masalah kepada Mama waktu itu.
Semua itu adalah formasi-formasi pemberontakan, yang telah saya pendam dari kecil hingga saya remaja. Dan ia terzahir apabila saya hilang kesabaran untuk menjinakkan pemberontakan itu.
Saya benar-benar terlupa, pada waktu itu, cakerawala Mama, bukanlah segalanya tentang saya. Mama sedang berhadapan dengan kejatuhan hidup yang amat dahsyat. Bukan saya sahaja kehilangan Daddy. Mama juga sedang perlahan-lahan musnah kerana ditinggalkan lelaki yang amat dia cintai.
Tetapi Mama luar biasa. Bagaimana dia bangkit daripada kemusnahan itu, adalah satu episod penting yang akan saya ceritakan ke telinga Muhammad dan Aurora. Saya mahu Muhammad tahu, apabila kamu menjadi seorang lelaki, jadilah kamu seorang lelaki yang faham apakah arti sebuah tanggungjawab, cinta dan setia janji, dan kamu tidak akan lari dari medan perang seperti kesatria yang bacul dan pengecut.
Saya mahu Aurora ingat, apabila kamu menjadi seorang wanita, jadilah kamu seorang wanita yang teguh seperti karang. Walau dibadai ombak sejuta tahun, kamu tetap berdiri menongkah laut seribu gelombang.
Ya, Mama seorang ibu tunggal yang realis. Walau Mama sentiasa melindungi saya, Mama tetap beri ruang untuk saya menangani isu-isu sosial dengan timbang- tara sendiri.
Masa kecil dulu, saya selalu ditimpa rasa kecewa. Balik dari sekolah, saya mengadu kepada Mama – Ma, saya sedih, kawan ini khianati saya, kawan ini dustakan saya, kawan ini rupanya bercakap buruk di belakang saya.
Tapi Mama tetap mengajar saya supaya sentiasa suburkan nawaitu yang bersih. Mesti selalu bersangka baik. Mesti punya keberanian untuk letakkan kepercayaan kita kepada orang lain. Rupanya, hanya dengan cara itu, saya dapat belajar menjadi manusia yang punya rasa empati, tidak mementingkan diri sendiri.
Saya terjun ke dunia seni ini pada usia yang amat, amat muda. Waktu itu, banyak orang beritahu saya, saya begitu, saya begini. Saya tak cukup elok jadi artis. Saya tak cukup cantik untuk masuk industri. Waktu itu, apabila kita dimomok- momokkan, kemudian leher kita dijerut dengan label-label sebegitu, kita jadi lemas, kemudian kita lekas percaya.
Bila kita percaya, kita jadi lemah. Bila kita lemah, kita terus hilang semangat.
Tapi Mama tangkis semua itu. Mama ajar saya semuanya – segalanya – tentang sepak terajang dan tipu muslihat manusia yang suka memanipulasi keadaan dan mengambil kesempatan.
Kerana itu sekarang, semakin saya dewasa, semakin banyak yang saya pelajari dan kuasai. Saya bukan lagi budak naif yang boleh diperintah dan ditunjal kepalanya sesuka hati.
Pengajaran hidup terhebat daripada Mama?
Hari ini, Mama menanamkan dalam diri saya, untuk menjadi seorang ibu, apatah lagi dengan status selebriti, dalaman kita perlu kuat. Mama selalu analisa dirinya sendiri. Mama suka menghisab diri. Bermuhasabah. Lihat kembali apa yang salah dan apa pula yang boleh diselamatkan atau dibetulkan.
Emak adalah ibu dari syurga yang Allah turunkan untuk saya. Saya tidak mahu minta perkara lain, melainkan memohon Allah supaya panjangkan usia Mama dan dia terus menjadi helikopter di atas kepala kami. Hebatnya juga Mama, dia umpama permata Swarovski yang bersinar. Tiada apa yang dapat memadamkan sinar cahayanya daripada hidup kami.
Diana dan Mama telah diuji dengan krisis kewangan yang amat getir suatu waktu dahulu. Kongsikan kesukaran itu?
Selepas Daddy meninggalkan kami, saya dan Mama terpaksa menumpang di rumah orang, kerana tidak mampu bayar duit rumah sewa, tidak mampu bayar bil elektrik. Mama pula sakit waktu itu selepas didiagnosis kanser sehingga terpaksa menempuhi beberapa rawatan.
Semasa kami miskin merempat, kami pernah makan nasi lemak bungkus harga seringgit, berbulan-bulan lamanya. Kami tiada duit. Mama pula masih sakit dan belum cukup kuat untuk bekerja. We lost everything. Our home, our friends, our life.
Kami pernah isi perut sepanjang hari dengan sebuku roti yang dibahagi dua dan semangkuk mi segera dingin. Saya terpaksa berhenti daripada bersekolah selama dua tahun (tingkatan satu dan dua) kerana Mama tidak mampu menanggung perbelanjaan ke sekolah.
Saya mula berlakon pada usia 15 tahun, dengan harapan, Daddy akan kembali mencari saya apabila saya sudah terkenal. Ya, saya jadi terkenal selepas itu. Tetapi Daddy tetap tidak kembali. Momen fantasi itu tidak pernah terjadi. Lalu saya menjadi manusia yang semakin kuat bekerja. Bekerja, bekerja, bekerja dan terus ketagih bekerja.
Diana pilih untuk menggurui Muhammad dan Aurora dengan mencuplik perwatakan Mama yang bengis dan cengih kata orang. Mengapa tidak pilih untuk jadi sebaliknya?
Kalau saya garang, Mama 10 kali lebih garang daripada saya. Mama sangat tegas. Dia ada banyak pendapat dan dalam banyak tindak- tanduk serta keputusan, Mama agak maskulin. Kalau Mama mengamuk, carilah lubang cacing mana-mana untuk menyorok (ketawa). Tapi Mama bukan jenis ibu yang pukul atau belasah anak. Garangnya pada mulut.
Kami datang dari zaman yang berbeza. Tapi Mama telah tunjukkan kepada saya, walau kita garang macam mana sekalipun, kita -- ibu -- tetap ada satu sisi lain yang sangat nurturing, sangat loving. Allah kurniakan kita nurani yang pengasih dan penyayang.
Mama juga mengajar saya, bahawa watak ibu itu perlu dinamik. Perlu bertukar- tukar. Seorang ibu tidak boleh memainkan satu watak sahaja. Tak boleh guna satu dimensi semata-mata. Ibu yang bijak dan peka akan bermain multiwatak, karakter yang berbilang-bilang. And you have to switch hats all the time.
Apatah lagi kalau kita ada ramai anak, kita memang tak boleh amalkan hanya satu parenting style. Anak pertama lain, anak kedua lain. Kalau kita marah anak pertama, tak tentu lagi anak kedua boleh terima kaedah serupa.
Memori bersama Daddy pernah Diana tintakan dalam satu muat naik status Diana di laman Instagram, beberapa tahun yang lalu. Masih berperang dengan kesumat rindu dendam?
Mama berpisah dengan Daddy apabila saya berusia dua tahun. Namun walau tidak lagi bersama, Daddy selalu datang melawat saya di apartmen dengan deruman motosikal Harley Davidson. Setiap kali dia datang, bunyi Harley Davidson Daddy akan bergema- gema, “Vroooom, vrooooooom!”
Saya pasti meloncat dan menggelinjang suka tiap kali bergema bunyi “Vroooom, vrooooooom!”
Itu tandanya Daddy datang. Dan Daddy datang kerana dia mahu melihat saya. Daddy datang kerana dia sayang dan rindukan saya!
Saya masih ingat bagaimana Daddy ajar saya cara mengikat tali kasut. Bagaimana saya selalu duduk di pangkuan Daddy lantas menggomolnya sekuat hati. Saya cium pipi Daddy. Saya cium hidung mancung Daddy. Saya peluk kaki Daddy sekuat-kuatnya setiap kali kunci Harley Davidson bergemerincing di jarinya tanda dia bersiap sedia mahu pergi.
Rupa-rupanya hari itu, semasa Daddy mengucup saya di pipi dan dahi, meminta saya menjaga diri; adalah terakhir kali Daddy menemui saya.
Sampai hari ini, sudah lebih 20 tahun Daddy menghilangkan diri. Saya membesar dengan hati yang luka. Pada sambutan Hari Bapa di sekolah, kawan- kawan saya berdansa dengan ayah masing-masing, bergelak ketawa. Dan saya terkebil-kebil melihat dengan hati yang sangat pedih.
Ya, apabila bunyi Harley Davidson Daddy tidak lagi bergemuruh di apartmen yang kami diami, saya rasa hilang. Saya rasa sesat. Yang datang di fikiran saya waktu itu adalah kepercayaan baru ini.
Bahawa Daddy sudah tiada. Daddy sudah mati. Sebab itu Daddy tak kembali lagi. Ya, saya menangis setiap malam, lebih-lebih lagi pada usia sembilan hingga 13 tahun. Bertahun-tahun lamanya saya menunggu Daddy di muka pintu.
Tetapi perkara yang paling merobek perasaan saya dan membuat hati saya hancur berkecai-kecai adalah hakikat bahawa Daddy masih hidup. Tetapi dia tiada di samping saya.
Bagaimana Diana rawat kekecewaan itu? Bila pula rindu dendam itu sembuh?
Bertahun-tahun lamanya saya gagal move forward. Ya, sekurang-kurangnya 10 tahun lamanya saya masih menyimpan doa dan harap. Saya terperangkap di dalam satu fasa vakum.
Saya selalu pujuk hati, ahh, mungkin Daddy tak dapat cari kami sebab kami pindah rumah. Mungkin Daddy tak jumpa kami sebab Daddy sudah cari kami di rumah lama, bertanyakan jiran-jiran, tapi mereka juga tidak tahu hala tuju dan alamat baru kami. Lagipun pada zaman itu, akses internet bukan macam zaman sekarang.
Inilah juga salah satu sebab mengapa saya ambil keputusan terjun dalam industri lakonan. Jauh di lubuk hati, saya menyimpan tekad. Saya mahu menjadi terkenal suatu hari nanti.
Apabila saya berjaya meraih kemasyhuran, pada waktu itu, fikir saya, keadaan pasti akan berubah. Semuanya pasti menjadi lebih mudah. Daddy pasti akan menemui saya kembali.
Diana dan Farid diuji hebat baru-baru ini. Farid menghadapi pertuduhan kes jenayah dan kemudiannya didakwa sekali lagi. Siapa sebenarnya Farid – sebagai anak, suami dan Babah? Apa pula yang bungkam dan diam terpendam dalam hati Diana?
Apa yang berlaku antara kami beberapa bulan yang lalu, telah benar-benar membuka mata kami. Kami saling berpaut pada satu fasa yang amat rapuh. Kami bagaikan telur yang terimbang di hujung tanduk.
Tetapi pada waktu yang paling menguji ini; sokongan, kasih sayang, peluk cium ikhlas, kata-kata positif yang saling membangunkan – ternyata amat menusuk hati. Dan ia menjadi makanan rohani kami yang sangat-sangat valid.
Banyak mesej saya terima. Mesej simpati masuk ke telefon saya bertalu- talu. Mengingatkan saya supaya terus bersabar dan tabah dan kuat. “Be strong Diana, be strong...”
Tapi bagi saya, saya tidak perlu menjadi kuat pun. Kerana yang perlu pada waktu itu adalah keberanian untuk menempuhi proses dan fasa itu, kerana kami saling memiliki. I had him, he had me, and we had our children.
Kami hanya perlu fokus pada momen kami sebagai satu famili, sebagai satu unit kasih sayang.
Sukarkah untuk Diana mencintai dan mempercayai lelaki, selepas apa yang telah Daddy lakukan kepada Diana dan Mama?
Ya, kesannya tetap ada. Saya traumatik apabila cuba menjalin cinta dengan lelaki. Semasa saya kecil, saya sangat insecured dalam perhubungan. Kasihan Farid, dia telah lalui banyak dugaan sepanjang kami bercinta, apatah lagi when my monster came out.
Saya selalu berprasangka, Farid akan meninggalkan saya, sebagaimana Daddy meninggalkan saya dulu. Ya, saya akui, saya menggenggam Farid dengan agak kuat waktu itu.
Namun lama-kelamaan, cinta obsesif itu akhirnya bertukar kepada cinta infiniti. Cinta infiniti kepada Farid. Cinta infiniti kepada cakerawala saya – Muhammad dan Aurora. Kami telah pun membina satu ikatan yang hebat ini. Mahligai perasaan ini sangat infiniti. Ia tak mungkin boleh dimusnahkan oleh apa-apa, atau oleh siapa-siapa.
Saya cintakan Farid. Apabila Farid di dalam watak anak, saya dapat lihat dia mengutamakan ibunya, dengan ikhlas dan hormat. Ibunya, adalah segalanya. Ada bias di situ (ketawa). Tapi saya suka sikap itu, kerana di situ, kami punya persamaan.
Sebagai suami, Farid sangat sensitif dan peka kepada keperluan pasangan. Dan dia lelaki yang sangat setia. Dia setia kepada semua orang, setia pada semua benda.
Dia takkan pergi kepada manicurist lain, kerana dia setia kepada manicurist yang sama. Dia takkan pergi kepada tukang urut atau tukang picit yang lain, kerana dia setia kepada tukang urut yang sama. Pokok pangkalnya, dia memang manusia yang setia (ketawa).
Kesimpulan Diana tentang metamorfosis kehidupan Diana sendiri daripada seorang anak tunggal menjadi seorang ibu; tentang Mama, cahaya permata indah Swarovski, Farid Kamil, Muhammad dan Aurora?
Taufan yang telah menerbalikkan kehidupan saya sewaktu Farid terseret dalam pertuduhan undang-undang, bukanlah satu perkara yang boleh memusnahkan kehidupan kami. Kerana seperti yang saya sebutkan tadi, saya telah melalui tsunami kehidupan yang lebih dahsyat daripada ini.
Saya telah merentasi trauma emosi yang lebih menggoncang semasa saya kecil. Tetapi saya tidak musnah. Bahkan saya menjadi Diana Danielle Danny Beeson yang lebih kuat, yang tidak lagi rapuh seperti dulu, yang tidak akan menumpahkan air mata sewenang-wenangnya, melainkan untuk satu-satu perkara yang amat berbaloi untuk ditangisi.
My life is still not bad. Saya hanya mahu bersyukur, kerana apa sahaja yang telah Allah kurniakan ke pangkuan saya pada hari ini, ia adalah perkara terbaik pernah terjadi dalam kehidupan saya.