Apr 17, 2018 - 1803

“Jika Jodoh Sudah Sampai Farah Terima Seadanya” — FARAH NABILAH Dedahkan Ciri-ciri Lelaki Pilihannya

Namanya mula dikenali sejak menerusi drama ‘Titian Cinta’ lakonan bersama Zul Ariffin. Perwatakannya yang cantik dan lemah lembut, dia amat disayangi peminatnya. Mahu tahu lebih lanjut tentang Farah Nabilah, baca ini.

 

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

 

 

 

 

KETIKA penggambaran berlangsung, pelakon kecil molek ini sedang sibuk menyiapkan drama bersiri, ‘Halalkan Hati yang Kucuri’ untuk slot Akasia Ramadan nanti. Drama 27 episod ini menggandingkannya dengan pelakon kacak, Aliff Aziz.

 

Dan, ketika temu bual ini disiapkan, terlihat pula di akaun Instagram miliknya, Farah yang berada di Milan, Itali untuk melunaskan saki-baki penggambaran di sana pula. Wow, pasti menarik ceritanya, kalau sudah sampai jauh ke sana melakukan penggambaran!

 

Bercerita secara ringkas sinopsis drama tayangan Ramadan itu, kata Farah, drama itu berkisarkan pasangan muda anak orang kaya yang tidak pernah hidup susah. Segala-galanya tersedia sehingga menjadikan mereka ‘spoiled’!

 

Atas desakan nenek yang tidak tahan dengan kerenah cucunya itu, akhirnya mereka dikahwinkan dan bermulalah kehidupan pasangan suami isteri yang sama-sama berperangai kebudak-budakan dan tidak pandai berdikari.

 

Namun, segala-galanyua berubah apabila mereka pulang bercuti dari Milan dan mendapati mereka kehilangan keluarga mereka di sini. Mahu tahu lebih lanjut, Farah minta pembaca InTrend jangan lupa menyaksikannya nanti.

 

Jadi, tidaklah kata Farah sunyi selepas drama bersiri ‘Titian Cinta’ yang ‘meletup’ dulu itu. Farah masih ligat dengan pembikinan drama baru yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Tidak berhenti di situ, sekembalinya dari Milan nanti, masih ada tawaran yang menunggu.

 

Pelakon baru yang mempunyai pengikut lebih 600,000 di Instagram ini mengakui semakin jatuh cinta dengan dunia lakonan yang baru diceburi itu, walaupun kehadirannya pada awalnya, hanya suka-suka dan secara tidak sengaja, namun, perjalanannya di sini semakin menggamit hatinya untuk terus melihat apa lagi yang menantinya di depan sana.

 

Tidak kisah jika tidak dihambat kontroversi dikenali dan diminati atas bakat yang dimiliki dan tidak betah lagi diacah dengan cerita-cerita negatif. Benar begitu?

 

 

 

 

 

 

Farah kerap diberikan watak yang sama; agak ringan dan masih belum ada yang benar-benar mencabar kewibawaan Farah sebagai pelakon, tidak mahu cuba sesuatu yang lain?

Tidak juga ringan. Kalau diikutkan watak Farah dalam cerita ‘Halalkan Hati yang Kucuri’ itu sendiri agak berat juga untuk dibawakan terutamanya babak selepas dia pulang dari Milan. Akan ada banyak babak berat berlaku seperti dia menjadi gelandangan selepas keluarganya hilang sehingga ada satu tahap dia hampir menjual anaknya sendiri.

 

Malah, ‘Titian Cinta’ juga tidak terlalu ringan. Banyak adegan air mata yang memerlukan penekanan emosi dalaman. Ia tidak mudah.

 

 

 

 

Adakah ini permulaan untuk Farah sebagai pelakon; menerima watak-watak sebegitu?

Farah tidak katakan ia sebagai permulaan kerana watak- watak cinta yang dibawakan dalam cerita-cerita Farah sebelum ini tidaklah terlalu klise. Setiap cerita dititipkan dengan banyak lagi isu-isu lain yang diketengahkan selain cinta.

 

Ia bukan drama cinta yang ringan untuk hiburan semata-mata tetapi ada mesej di dalamnya. Mungkin, belum ada peluang untuk Farah membawakan watak yang betul-betul ‘berat’ yang benar-benar menguji kemampuan lakonan Farah seperti watak perempuan psiko yang secara mata kasar kita tidak tahu dia psiko.

 

 

 

 

 

Ramai juga yang puji, Farah antara pelakon baru yang tidak ‘kayu’ apabila berlakon, nampak semula jadi. Mungkin Farah pernah mengikuti kelas lakonan sebelum ini?

Ya, Farah pernah mengikuti kelas lakonan Ibu Fauziah Nawi sebelum memulakan penggambaran ‘Titian Cinta’. Tidak dinafikan Farah agak nervous ketika mahu memulakan penggambaran itu.

 

Jadi, untuk elak Farah nampak ‘bodoh’ di set nanti, Farah usaha sendiri ke kelas tersebut. Farah juga suka menonton filem-filem luar sebagai panduan untuk Farah memahami karekter itu secara semula jadi.

 

 

 

 

 

Bagaimana mula-mula terjebak dalam dunia lakonan dan kenapa agak lewat memulakannya?

Kisahnya, ada produksi datang menyewa rumah Farah untuk shooting drama. Kemudian, terus Farah disuruh menjadi pelakon ekstra. Ada jugalah beberapa kali diberi peluang berlakon untuk watak-watak tempelan.

 

Kemudian, Farah sambung belajar selama empat tahun. Dan, kerana itu Farah tidak muncul lagi dalam dunia lakonan. Cuma, selepas tamat belajar, TV3 direct message, minta Fara datang untuk open casting.

 

Alhamdulillah, terus diterima untuk berlakon dalam ‘Titian Cinta’. Jujurnya, Farah tidak berapa minat dunia seni tetapi Mak yang mendesak untuk Farah cuba, mungkin dia nampak bakat yang ada pada Farah.

 

 

 

 

 

 

Kenapa tidak minat?

Farah tidak suka lime light! Sampaikan Farah pernah cakap, boleh tak kalau Farah cuma mahu berlakon tapi tak perlu popular?

 

 

Jadi, kenapa terus berlakon, sedangkan Farah lepasan Ijazah Sarjana Muda Psikologi? Kenapa tidak diteruskan pembelajaran?

Bagi Farah, pengajian itu boleh diteruskan bila-bila masa tetapi pengalaman hidup bukan boleh dirancang-rancang untuk dicari.

 

Selagi ada rezeki yang sedang di depan mata sekarang ini, baiklah diambil. Tambah nanti, ditakdirkan kalau berkahwin, lagi susah untuk fokus dengan lakonan.

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Farah melihat masa depan Farah dalam bidang ini?

Farah tidaklah rasa Farah selama-lamanya akan berlakon. Tambahan pula, kita perempuan. Apabila sudah bekeluarga nanti pasti ada hadnya.

 

Bagi, Farah ia bukan suatu tekanan kerana Farah berlakon atas dasar minat, bukan sebagai mata pencarian utama. Jadi, Farah bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja situasi pada masa akan datang.

 

 

 

 

 

Apa sebenarnya minat dan impian Farah selain berlakon?

Sebenarnya, Farah dari dulu minat mahu menjadi chef selebriti. Farah mengimpikan untuk mempunyai rancangan memasak sendiri satu hari nanti. Mulanya, Mak bising, kata kenapa pula nak duduk busuk- busuk di dapur? Tetapi, memang itulah minat Farah dari sekolah menengah lagi.

 

Minat memasak itu bermula daripada melihat Mak di dapur. Mak jenis yang masak main campak- campak dan itulah yang turun kepada Farah juga. Kalau di rumah pun, Farah memang akan memasak jika ada kelapangan.

 

Ia umpama terapi minda yang menenangkan. Hahaha... Antara favourite dishes kami sekeluarga ialah butter chicken dan asam pedas!

 

 

 

 

 

 

Kemunculan Farah sebagai pengapit Izara Aishah sedikit masa dulu mengejutkan ramai peminat. Ramai tidak menyangka rupanya kalian ‘BFF’, kongsikan keintiman Farah dan Izara?

Itulah, Farah sendiri sudah sangka pasti ramai yang terperanjat melihat Farah sebagai pengapit Izara kerana kami bukan jenis yang akan update di Instagram jika hang out atau sebagainya.

 

Walaupun kami sudah bersahabat sejak di bangku sekolah lagi, tetapi kami jenis yang sempoi. Tidak semua perkara yang kami lakukan bersama kami ceritakan kepada media sosial.

 

Malah, ketika Izara memberitahu dia mahu berkahwin pun, dia hanya menelefon saya dan minta saya menjadi pengapitnya. Kami tidaklah sampai mengadakan dinner ke bachelor party ke, tidak.

 

Kami berkawan secara natural. Namun, tidak dinafikan rasa sebak itu ada sebagai seorang sahabat. Bukan apa tau, ketika sekolah dulu, Izaralah yang selalu kata dia akan kahwin last, tapi tengok, akhirnya dia juga yang naik pelamin dulu, hahaha...

 

 

 

 

 

 

 

Tidak pula Izara pernah membawa Farah ke dunia lakonan?

Pernah dulu Izara mengajak Farah menyertai Dewi Remaja tetapi Farah memang tidak minat dengan pertandingan-pertandingan ini. Kemudian, ada beberapa kali juga dia minta Farah menjadi pelakon tambahan.

 

Pernah jugalah menemaninya ke set penggambaran. Tetapi, waktu itu masih belum ada minat.

 

Dan, sekarang apabila sudah aktif berlakon, Izara ada juga menasihati Farah agar berhati-hati dengan industri ini dan jaga diri baik-baik. Kalau dikecam, relaks saja kerana ia akan berlalu.

 

 

 

 

 

 

 

Walaupun mungkin cerita ini sudah basi tetapi kalau boleh Farah ulas sikit kes Farah dan Zul Ariffin itu?

Kes apa sebenarnya? Farah sendiri tidak berapa faham kenapa orang mahu kaitkan Farah dalam hal ini sedangkan kami di lokasi selama tiga bulan hanya beberapa kali saja bertegur sapa.

 

Selebihnya, apabila pengarah kata ‘action’, waktu itulah baru kami berdialog. Kalau di lokasi pun begitu, mana mungkin kami pernah berjumpa di luar set atau bermesej-mesej.

 

Zul sendiri meletakkan gap apabila berlakon dan itu sesuatu yang harus Farah hormati. Mungkin kerana keberkesanan watak dalam cerita yang kami lakonkan itu membawa peminat terus mengaitkan kami walau di luar cerita.

 

 

 

 

 

 

Kenapa Farah dilihat lebih banyak berdiam diri untuk isu ini?

Ya, Farah memilih untuk berdiam diri bukan kerana Farah salah tetapi isu ini melibatkan hal hati dan perasaan orang. Jika orang bercakap perihal kerja Farah, ya Farah perlu speak up dan menjelaskan tetapi apabila ia berkaitan dengan hati yang mungkin terluka, Farah tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

 

Farah juga perempuan dan Farah faham bagaimana sakitnya apabila hati perempuan terluka. Jadi, biarkan saja.

 

 

 

Jika diberi peluang untuk berlakon sama Zul lagi?

Farah okey saja. Mengapa tidak? Bekerja dengannya best. Dia seorang pelakon yang bagus dan tiada masalah untuk bekerjasama dengannya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sebagai pelakon tidak selamanya kita dihujani peluang dan ruang, apa persiapan Farah?

Kalau memikirkan tentang saingan, memang tidak dinafikan ada juga perasaan takut itu. Hakikatnya, memang kita tidak akan selamanya di atas dan untuk bertahan lama itu tidak mudah.

 

Selagi ada peluang yang datang, kita rebut dan realisasikannya sebaik mungkin. Insya-Allah, tidak lama lagi Farah akan keluar dengan produk kosmetik sendiri dan koleksi baju raya. Semuanya masih dalam perancangan.

 

 

 

Boleh kongsikan pengalaman menunaikan umrah baru-baru ini?

Oh, ini umrah kedua Farah tetapi yang pertama itu sewaktu Farah kecil lagi. Jadi, umrah kali ini lebih bermakna kerana dilakukan saat kita sudah dewasa, setelah banyak melakukan dosa, inilah masanya menginfasi diri Alhamdulillah, everything went smoothly.

 

Farah diberi peluang mencium Hajarul Aswad. Paling mengharukan apabila Farah diberi kemudahan untuk bersolat di karpet hijau di Raudah dengan tenang dan lama.

 

Walaupun orang berasak-asak, Farah sampai boleh berdoa panjang di situ, menangis-nangis sampai basah telekung dibuatnya.

 

 

 

 

 

Apa doa Farah di sana?

Semoga diberi kejayaan dan jodoh yang baik.

 

 

Bila dan bagaimana jodoh yang dicari?

Itulah asyik sibuk di set macam mana mahu mencari jodoh. Yang ada di set pun semua sudah berpunya, hahaha... Insya-Allah, kalau ditemukan jodoh, Farah mahu selewat-lewatnya pada usia 27 tahun.

 

Dan kalau boleh, Farah mengharapkan lelaki yang dapat membimbing Farah, seorang yang sabar dengan kegarangan Farah. Maklumlah Farah anak sulung, jadi kena cari lelaki yang kental hatinya baru boleh handle Farah nanti. Amin...

 

 

 

 

 

 

 

 

Impian perkahwinan Farah, sama seperti Izara?

Farah mahukan yang simple saja, kalau boleh di tepi pantai bersaksikan keluarga dan teman-teman rapat sahaja. Penatlah kahwin besar-besar ni, tengok Izara tu... penat tau tengok dia, hahaha!

 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


Topik:  general

  • ← Sebelum

    “Dia Janda Anak Dua Tapi Tak Harap Ihsan LELAKI” — Ini Sebab ELISYA Kental Macam FASHA SANDHA, Baca Ini!

  • Seterus →

    “Mama Buat Banyak Salah Sepanjang Hidup Mama Zuriatkan Kamu” — Pengakuan DIANA DANIELLE Ini Buat Anda Menangis