May 20, 2017 - 2046

“Bila Niat Nak Sedekah, Allah Beri Saya ‘Offer’ Kerja Sana-sini. Hebatnya KUASA Jariah!” — ABON

Abon, asalnya kerani di Dewan Bahasa dan Pustaka, kini dia antara penghibur komedi barisan hadapan paling mapan. Bertahun-tahun Abon menghambakan diri kepada dunia seni, ternyata banyak pengajaran yang ditimbanya. Kepada kami, Abon menceritakannya.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

 

 

JIKA bertanya siapa Sharizan Ahmad, pasti ada yang terpinga-pinga mencari siapakah gerangannya. Namun apabila sebut sahaja nama Abon, pasti semua terimbau kembali kehandalannya berlawak spontan dan dialek Jawa. Tidak kurang juga pasti ada yang terimbas kembali aksi beraninya memakai gaun pengantin ketika beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) musim pertama bersama gandingan Allahyarham Os. Betapa kuat penangan karakter Abon, hingga kini dia masih dikenali dengan nama watak itu biarpun karakter itu tercetus lewat 1980-an. 

 

 

Bersyukur masih dipinjam kudrat, Abon kini mengorak langkah mengatur perjalanan kariernya sendiri. Semuanya disandarkan pada rahmat, rezeki dan bantuan Allah SWT untuk meneruskan hidup bersama keluarga. Walaupun sudah lama tidak muncul di layar televisyen, dia kini masih aktif dengan persembahan pentas di sana sini juga perniagaan air yang mampu merawat penyakit diusahakannya sendiri. Tidak menafikan dia kecewa kerana biarpun pernah bergelar juara namun dia tetap optimis mendepani hari mendatang. 

 

 

Percaya kepada bakat dimilikinya, dia tetap tunduk merenung ke bawah. Bahawa tugasnya sebagai penghibur turut menggalas tanggungjawab lain yakni melakukan sebahagian amal jariah. Keikhlasan dan pelbagai lagi cara yang mungkin dianggap kuno, namun itulah yang menjadi pegangannya untuk terus bertahan hingga hari ini. Ikuti hasrat hati dan apa yang mahu dilihatnya dalam gagasan lawak seni yang kini semakin mendapat tempat dalam dunia hiburan.

 

 

 

 

Siapa Abon sebenarnya? 

Nama saya Sharizan bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Abon, mula bekerja sebagai kerani di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekitar 1979 bersama rakan selebriti seperti Imuda dan Sabri Yunus.

 

Ketika itu ramai nama-nama besar penggiat teater seperti Tan Sri Johan Jaafar, Osman Zainudin, Zakaria Ariffin turut sama memayungi badan teater di bawah DBP iaitu Badan Budaya. Kemuncaknya apabila saya ditawarkan memegang watak sebagai Abon dalam pementasan teater Kampung Sri Wangi dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

 

Ada satu karakter budak kampung bodoh-bodoh alang. Karakter itu memikat pengarah lantas diberi kepada saya. Di situlah saya mula dikenali dengan nama Abon sehingga cerita itu mendapat perhatian orang ramai. Dan nama karakter itulah yang membuatkan saya dikenali hingga sekarang! 

 

 

 

 

 

 

 

Lama menyepi daripada dunia seni, merajuk atau sememangnya bersara daripada dunia seni lakon? 

Pada mulanya seperti biasa, selepas menang begitulah harapannya; untuk terus bertahan. Tetapi senarionya jauh berbeza dalam adat bertanding di negara kita. Sama ada selepas memenangi apa jua pertandingan; anda akan terus ‘meletup’ atau ‘melingkup’ (ketawa). Dan itulah yang saya rasai. Entah mengapa selepas memenangi pertandingan saya dipinggirkan.

 

Jika mengikut logiknya, juara akan mengikuti siri jelajah seluruh Malaysia (bandar-bandar besar setiap negeri) tetapi hanya yang menyandang gelaran naib juara, tempat ketiga dan peserta yang lain. Di setiap negeri orang ramai bertanyakan, “Mana juaranya?” Dan perihal ini saya sendiri yang mendapat maklum balas daripada peminat kerana mereka bertanyakan mengapa saya tidak turut serta dalam setiap siri jelajah bersama peminat. Namun dek kerana tidak menerima undangan dan makluman daripada pihak produksi, maka saya tidak hadir. Maka saya fikir, tidak mengapalah. Mungkin ada rezeki dalam cabang lain. 

 

Lantas saya menerima tawaran sebagai duta EZ Qurban yang di dalam organisasi tersebut terdapat ramai golongan alim ulama, ustaz yang arif dalam soal agama. Dalam sela-sela masa mereka turut berkongsi pandangan daripada sudut agama mengenai dunia lakonan, itu dan ini.

 

Memandangkan saya dilantik sebagai duta EZ Qurban, maka saya korbankan diri dan lupakanlah niat untuk berlakon. Malah dalam masa sama, saya fikir elok juga kerana dapat memperkasa serba sedikit ilmu agama yang mungkin selama ini tidak sempat saya kutip. 

 

Berdamping dan bergaul dengan golongan alim ulama ini ternyata membuka dimensi baru dalam pemikiran dan tindakan saya. Selain mendekatkan diri dengan Dia yang Maha berkuasa mengatur setiap perjalanan hidup kita.

 

Tetapi program sitkom, persembahan pentas seperti dinner show, pengacaraan untuk acara hari keluarga umpamanya di sana-sini saya perlu ambil dan terima jika ada tawaran kerana ia adalah periuk nasi utama. Biarpun ada menerima tawaran berlakon daripada beberapa pengarah tetapi saya menolaknya dengan alasan sudah cuci tangan. 

 

 

 

 

Lantas apa yang Abon lakukan kini sebagai sumber mata pencarian untuk menampung perbelanjaan keluarga? 

Alhamdulillah biarpun saya kini tidak lagi muncul di skrin televisyen, undangan mengadakan persembahan pentas malah sehingga bergelar jurucakap untuk meminang sekalipun saya pernah ditawarkan. Selain itu, saya percaya dan berpegang kepada keberkatan sedekah jariah.

 

Apabila niat saya mahu membantu orang, mahu bersedekah; pendapatan dan reward itu Allah berikan menerusi tawaran mengadakan persembahan pentas di sana-sini. Itulah 'kuasa' beramal jariah dan bersedekah, baru kini saya merasai nikmatnya.

 

Syukur juga kerana saban minggu (malah hingga beberapa bulan sepanjang tahun) ada sahaja panggilan diterima yang mahu mengundang saya membuat persembahan. Hasil pendapatan inilah saya gunakan dan peruntukkan untuk menyara perbelanjaan anak-anak yang masih belajar semuanya. Seorang menuntut pengajian di peringkat Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma. Anak- anak tidak meminjam dengan PTPTN maka persediaan kewangan perlu saya siapkan untuk mereka. Dan memikirkan itu, saya tidak boleh duduk senang, goyang kaki atau mengharapkan bantuan isteri.

 

Jika diikutkan, semua bergantung kepada konsep ‘kalau ada job, kalau ada tawaran, kalau ada orang panggil, kalau ada...’ dan inilah yang saya lalui sepanjang tempoh lima tahun selepas MLM 2011. Syukur alhamdulillah, dengan percaturan Allah, masih mampu bertahan hingga kini.

 

 

 

 

 

 

 

Mewarisi bakat melawak daripada siapa? 

Saya tidak pasti tetapi kata orang arwah bapa saya dahulu ketika zaman penjajahan British sering kali dia diundang untuk membuat persembahan. Dialah antara badutnya, dialah yang akan keluar menghiburkan orang ramai kala majlis makan malam atau apa jua keramaian. Mungkin dari situlah bakat lawak saya. Daripada perspektif lain, saya sifatkan bahawa saya cukup beruntung dan bertuah memulakan langkah di tempat yang betul iaitu di DBP.

 

Jika saya bekerja di kilang kotak, kilang nanas umpamanya mungkin saya tidak berada di sini. Syukur kerana saya dikelilingi dengan nama-nama besar sasterawan seperti Usman Awang aka Tongkat Warrant, Baha Zain (sekadar memberi beberapa nama), panglima-panglima bahasa yang ingin mengalirkan kefahaman mereka melalui seni, teater, puisi dan sajak. Mereka memang hebat dan saya cuma menumpang. 

 

 

 

 

 

 

Lebih 20 tahun menggelumangi industri seni lakon, apa kepuasan yang Abon rasakan? 

Ke mana jua saya pergi orang mengenali dan bertuahnya saya apabila segala urusan dengan agensi atau pihak kerajaan dipermudahkan. Bukan bermaksud saya menggunakan khidmat bantuan orang lain tetapi mereka yang memberi kelonggaran kepada saya. Misalnya apabila saya perlu mengambil nombor untuk memperbaharui pasport, ada pegawai yang menggamit tangan memanggil saya. Kata mereka ada kuota VIP yang boleh digunakan.

 

Bukan bermaksud saya mengambil kesempatan tetapi mereka mempunyai kuota tertentu yang boleh diberi. Ada juga kelebihan sebagai selebriti kerana layanan yang diberi. Kepuasan lain, saya dapat mencipta nama tanpa menggunakan nama program atau rancangan.

 

Selain itu, kepuasannya apabila muncul juara MLM musim pertama juga dilantik Ikon Kebajikan Masyarakat Negeri Johor serta dapat melakukan amal jariah, membantu serba sedikit kerja-kerja kebajikan. 

 

 

 

 

Signature Abon dikenali kerana kehandalan berpantun spontan. Dari mana datangnya idea untuk berpantun spontan?

 Syarat kemasukan bekerja di DBP adalah penguasaan bahasa Melayu perlu baik. Markahnya perlu terbaik dan selain itu dilihat pula sama ada mempunyai kemahiran lain seperti melibatkan diri dalam Persatuan Penulis, Persatuan Cerpen dan sebagainya. Dan di bawah DBP terdapat beberapa kelab seperti Kelab Pantun, Kelab Puisi, Kelab Sajak dan lain-lain. Maka bakat yang saya ada cuma diasuh dari situ. Dan antara kelab-kelab ini diadakan pertandingan.

 

Apabila adanya pertandingan maka persiapan perlu dilakukan. Pertandingan seperti pantun, puisi dan sajak ini diadakan beberapa kali setahun dan untuk memenanginya maka saya perlu belajar sedikit demi sedikit. Lazimnya saya dan Sabri Yunus akan mara ke peringkat akhir. Memandangkan saya bekerja dengan buku, maka sudah terbiasa dengan membaca buku-buku. Ia umpama makanan pada saya.

 

Buku seloka, gurindam, puisi, pantun dan sebagainya saya akan lengahkan tempoh pinjamannya kerana saya juga bekerja melakukan numbering, menyediakan doket pada buku dan lain-lain. Dan sekarang tugas baru saya, dilantik sebagai jurucakap untuk meminang dan merisik.

 

Baru-baru ini seorang pengarah dari agensi kerajaan di Putrajaya mengundang saya untuk berpantun ketika ada rombongan mahu meminang anaknya. Dalam sesi pengenalan saya berpantun itu dan ini.

 

Apabila pantun dijual saya menjawab. Pada saya orang yang boleh berpantun di DBP ramai tetapi mungkin yang punya nama hanya beberapa sahaja. Dan apabila memasuki MLM, Zainal Abidin Hassan (juri MLM 2011) ketika itu yang terlebih dahulu memulakan pantun.

 

Pantun yang dijual Zainal sebenarnya sudah disediakan lebih awal. Saya pula mengambil mikrofon daripada Dato' AC Mizal membalas pantun secara spontan. Dan berbicara mengenai berpantun ini mengingatkan saya kepada seorang peminat yang datang kepada saya suatu hari.

 

Katanya, "Abang, saya ingat lagi satu pantun yang Abang kenakan pada juri." Dan jika tidak silap saya juri itu ialah Dato' Awie. Selepas 10 minggu berada di MLM musim kedua, kami tersingkir (ketika itu saya bergandingan dengan Sathiya). 

 

Dan kebetulan ketika itu, saya lihat Dato' Awie merenung saya. Selepas Sathiya memberi ucapannya, saya beri ucapan dalam serangkap pantun. 

 

Bukan senang nak buat lawak,
Kalau dia ori bukan diciplak,
Kepada juri jangan dengar berapa ramai orang sorak,

Tengok apa mesej yang 'diaorang' bawak. 

 

Dalam keadaan spontan saya boleh berpantun dan pantun itu saya tujukan kepada juri. Malah pada hemat saya, jika saya berucap seperti biasa ia tidak akan memberi kesan apa-apa pun kerana pantun itu punya pembayang dan maksud yang mendalam jika diperhalusi dan diteliti. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Apabila jenaka itu ditiru atau diulang-ulang penyampaiannya, komen Abon? 

Tiada keaslian, tiada mutu dalam persembahan dan pelawak itu sendiri tiada identiti yang mampu untuk dibanggakan. Saya maklum mengenai generasi pelapis pelawak yang meniru lawak dari YouTube dan sebagainya. Tidak perlu mencedok apa yang sudah tersedia ada sebaliknya cari dan galilah idea.

 

Kumpulan Shiro misalnya ada menelefon saya dan meminta izin untuk menggunakan lawak daripada buku saya ‘Abon Punya Lawak’ kerana saya bukukan lawak-lawak saya. Mereka olah dengan kreativiti dan jalan cerita mereka sendiri.

 

Bagi saya itu tidak menimbulkan masalah kerana sekurang-kurangnya ada sesuatu yang saya sumbangkan untuk mereka cakna dan buat olahan idea tersendiri. Sumbernya ada di mana-mana, cuma anda hanya perlu peka dan bijak menggunakan apa yang ada. 

 

 

 

 

 

 

Sejauh mana Abon mengikuti perkembangan dunia pelawak generasi kini? 

Biarpun sudah lama meninggalkan pentas lawak siaran televisyen tetapi saya tetap menonton program-program lawak yang disajikan. Saya pernah memuat naik status di Facebook dahulu menyatakan saya mengundur diri untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk mengambil alih dan meneruskan legasi lawak ini.

 

Kalau mereka boleh bawa sesuatu yang baru, segar, moden dan teknik lawak terkini; teringin juga saya untuk mempelajarinya. Kerana apa yang saya miliki adalah cara lama yang mempunyai penceritaan. 

 

Contohnya di Muar dahulu sukar mendapat bekalan air dan perlu menunggu berbulan lamanya untuk mendapatkan bekalan air sepenuhya daripada syarikat bekalan air. Dan saya memulakan penceritaan dalam lawak saya seperti ini, “Pakcik senang ya sekarang sudah ada air. Buka paip air mengalir keluar.

 

Boleh mandi empat lima kali sehari. Saja-saja mandi tak mengapa Pakcik, jangan sahaja aku mandi.” – Daripada lawak itu mungkin ada yang menyifatkannya sebagai lawak double meaning atau lawak lucah tetapi ia disampaikan dengan pendekatan yang sopan dan beralas. Tetapi jika lawak yang berkejar-kejar sana sini, menggunakan misai kontot dan seumpama dengannya ia umpama telah mengheret dunia persembahan lawak ke belakang. 

 

Saya akui ada beberapa nama besar yang benar-benar berkualiti tetapi yang lain kebanyakannya gagal menempatkan lawak pada tahapnya. Masih banyak yang perlu dilalui untuk penambahbaikan bagi memastikan lawak yang berkualiti dipersembahkan. 

 

 

 

 

 

 

Apabila jenaka itu perlu difikirkan, adakah ia sebuah jenaka? 

Sebenarnya jenaka ini lahir daripada hati yang jujur dan ikhlas. Maka dengan itu, banyakkan membaca dan ingatlah kita sebagai pelawak anggap diri sebagai perantara dengan masyarakat. Paling tidak pun sematkan dalam minda, "Aku keluar buat persembahan malam ini dengan niat untuk berikan sesuatu pengajaran kepada masyarakat."

 

Di samping itu, panjat doa, mohon agar dipermudahkan segala perancangan, amalkan membaca Al-Fatihah dengan niat bersedekah kepada arwah ibu bapa. Dan dalam doa itu dititipkan agar diluaskan fikiran agar dilimpahkan ilmu yang bermanfaat untuk beramal jariah. Insya-Allah kita akan dapat. Misalnya ini adalah talian akhir saya sebelum naik ke pentas. 

 

 

 

 

Apakah jenaka yang bagus isi kandungannya pada pandangan Abon? 

Ada unsur nasihat yang mampu mempengaruhi anak-anak muda agar mereka tidak hanyut daripada melakukan perkara yang salah kepada perkara yang baik. Platform ini gunakan sebaiknya untuk menarik perhatian orang agar mendengar lawak anda.

 

Anda punya kelompok pengikut, peminat, pendengar dan penonton maka manfaatkan sebaiknya. Di samping berlawak, anda mampu selitkan nasihat, mesej dan peringatan. Anda punya pengaruh itu maka jangan sesekali mengabaikannya atau menyalahgunakannya. 

 

 

 

 

 

 

Apa yang membuatkan nilai komedi itu mahal, murah atau seperti sampah?

Berdasarkan pemerhatian saya, tidak semua mencapai taraf yang boleh dibanggakan kerana pelawak tidak menggunakan platform ini untuk menjadi duta kepada masyarakat agar mengambil iktibar.

 

Misalnya lawak yang menceritakan seorang emak boleh menjaga lapan orang anak tetapi lapan orang anak tidak boleh menjaga seorang emak – saya sifatkan ia sebagai lawak yang ada unsur nasihat di sebaliknya sekali gus meletakkan nilai lawak itu bukan sekadar untuk dijadikan bahan gelak ketawa sahaja. 

 

Sebaliknya nilai lawak itu berharga kepada penonton yang mengambil iktibar daripadanya. Bukan sekadar bertepuk-tampar, mengetuk kepala, menjelir lidah atau lari sana sini. Di situlah timbulnya unsur 'lagha' apabila lawak itu melalaikan dan tidak meninggalkan nasihat. Pastikan adanya pengisian dan nasihat di sebalik lawak yang disampaikan.

 

Kekuatan sesuatu jenaka itu bukan dinilai pada apa props yang dibawa, tetapi bergantung kepada isinya, bahan yang disampaikan. Tidak kiralah sama ada anda duduk atau berdiri tetapi penonton masih tergelak kerana bergantung kepada pengisian lawak yang dibawa. 

 

 

 

 

Apa yang menjadi sumber rujukan sebelum Abon melakukan persembahan pentas? 

Banyakkan membaca, peka dengan apa yang berlaku di sekeliling, ambil tahu tentang isu semasa dan bergaul dengan masyarakat. Paling tidak pun saya akan tiba awal di lokasi persembahan untuk merisik dan mengumpulkan maklumat. Saya berbual dengan staf untuk mendapatkan latar belakang maklumat sekali gus saya lebih dekat dengan penonton. 

 

 

 

 

 

 

Harapan dan nasihat kepada pelawak generasi baru? 

Walaupun kalian cuma menghiburkan penonton, janganlah meninggi diri. Ikut resmi padi; makin berisi makin menunduk. Anggap tugas kalian sebagai memikul tanggungjawab untuk mendidik dan memberikan nasihat kepada masyarakat dalam apa jua lawak yang disampaikan.

 

Tidak selamanya kita berada di atas, maka berpijak di bumi nyata. Berbalik dan beringatlah kepada Allah yang menciptakan sesuatu. Ikhlas dalam berlawak, insya-Allah kerja-kerja kalian akan dipermudahkan. 

 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Hang Ada Masuk Pertandingan Ka?” — DANIAL Berahsia ke ‘Audition’, Tapi Rupanya RESTU MAK Itu Perlu

  • Seterus →

    Dulu dipanggil ‘Kayu’, Hari Ini FATTAH AMIN Pelakon Nombor Satu! — Ini Rahsia Sukses Fattah