May 10, 2017 - 1048
Oleh: Huda Hussain
BERGELAR juara Lawak Solo musim pertama...Dahulu saya tak pernah menyertai pertandingan seumpama ini kerana masih belajar dan belum sampai masa untuk masuk bidang ini. Ketika program Raja Lawak berlangsung dahulu, saya masih bersekolah dan kemudian ke kolej. Ketika Raja Lawak 6, saya baru habis SPM. Sejak dulu minat itu ada, hanya belum sampai ke tahap mahu buat betul-betul. Selepas bekerja, saya fikir hendak ikut minat saya, bukan sekadar jadi pelawak tetapi juga entertainer (penghibur) yang boleh berlakon, menyanyi dan sebagainya. Saya pernah cuba uji bakat AF tapi tak dapat.
Selepas tiada lagi program Raja Lawak, saya ambil keputusan menunggu sahaja. Kemudian terdengar tentang Lawak Solo, lalu saya fikir, “Ini peluang, aku nak cuba!” Ketika itu saya masih bekerja di Utusan Malaysia sebagai juruvideo. Saya ke uji bakat pada hari Ahad di SACC Shah Alam dan terpilih. Ketika uji bakat itu, tiada sesiapa yang tahu, kecuali seorang kawan, yang sekarang menjadi pembantu peribadi saya. Emak saya pun tak tahu. Malah selepas dapat pun, saya masih berahsia, sengaja nak bagi kejutan pada emak.
Tiba- tiba pihak pengurusan ASTRO telefon emak saya kerana mereka tak dapat hubungi saya. Emak terus tanya saya, “Hang ada masuk pertandingan mana-mana ke?” Alhamdulillah emak restu, katanya, “Kalau itu yang Danial nak, cubalah.” Saya masuk dan rezeki saya bergelar juara. Saya tak pernah jangka akan jadi juara Lawak Solo sebab saya adalah antara peserta fresh yang tak pernah masuk mana-mana pertandingan dan belum pernah buat persembahan di mana-mana pentas. Di Lawak Solo, saya belajar dengan tenaga pengajar seperti Nabil, Eby Yus dan Douglas Lim. Saya belajar setiap hari dan alhamdulillah rezeki saya bergelar juara.
Bagaimana menyedari punya bakat berlawak?
Bakat berlawak dari sekolah. Dahulu saya banyak kawan dan suka buat kelakar. Sejak dahulu saya suka impersonate atau meniru gaya. Saya juga suka menyanyi dan pernah menyertai kumpulan nasyid. Ketika itu saya pandai mengajuk suara Mawi. Memang sebijik tapi sekarang, dah tak boleh buat lagi. Saya pakai suara Mawi itu ketika menyertai pertandingan nasyid, pertandingan karaoke dan semuanya saya menang.
Selepas habis sekolah menengah, saya masuk KLMUC (Kuala Lumpur Metropolitan University College) dalam jurusan penyiaran dan perfileman. Umur saya 20 tahun ketika itu dan itulah kali pertama saya ke Kuala Lumpur. Bersama kawan-kawan, kami buat filem pendek dan video lawak. Dari filem-filem pendek inilah, kawan-kawan nampak saya boleh berlawak.
Saya suka mengajuk gaya kawan-kawan yang datang dari Kelantan, Terengganu dan Pahang bercakap. Kata mereka, “Hang lawaklah, cuba hang tiru gaya artis pula.” Saya pun tiru gaya Jamal Abdillah dan Zainal Abidin. Sejak itu dan hingga hari ini, saya kekalkan identiti sebagai impersonator.
Mengapa selesa dengan pelawak pengajuk (impersonator) sahaja? Tidakkah ia sesuatu yang terhad dan tiada versatil?
Saya cuba jadi versatil dengan membuat lawak, menyanyi dan berlakon, malah sekarang saya menjadi penyampai radio. Versatiliti saya di situ. Tetapi kalau hendak cakap mengenai genre lawak; genre yang saya mahu bawa adalah stand-up impersonation kerana belum ada pelawak di Malaysia yang bawa genre itu.
Memang ada yang cuba tiru karakter Chef Wan dan lain- lain, tetapi itu hanya sketsa. Kita harus bezakan antara stand- up impersonation dan sketsa. Kalau bukan 100 peratus, itu bukan impersonation, itu hanya tiru gaya. Impersonation maksudnya meniru 100 peratus, sama ada daripada segi suara dan bukan sekadar lenggok. Di luar negara, mereka faham mengenai impersonation tetapi di negara kita, orang kita masih susah nak terima.
Tidakkah gaya Danial itu boleh menyebabkan Danial mudah dijangka sebab hanya satu gaya dan mungkin akan menimbulkan kebosanan penonton?
Saya masih baru, baru empat bulan dalam industri. Saya akan cuba pelbagaikan karakter dan jenis lawak. Bagi saya, komedi impersonation tak ada masalah, selagi saya boleh pelbagaikan genre ini. Saya mahu bawa suatu perencah baru untuk komedi Malaysia.
Kita sudah biasa dengan lawak sketsa, bahankan orang, lawak slapstik dan stand-up lain. Jadi saya mahu bawa stand-up yang lain lagi, iaitu impersonation. Saya masih baru, masih banyak yang perlu saya pelajari. Kalau ada peluang lagi untuk Maharaja Lawak tahun depan, insya-Allah saya akan cuba lagi dengan content (pengisian) yang lebih pelbagai.
Selain Syamsul Yusuf, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Ustaz Kazim Elias, Chef Wan; siapa lagi yang mahu Danial angkat sebagai tokoh atau idola dan berkebolehan meniru gaya percakapannya?
Dalam senarai saya, ada lebih kurang 34 orang untuk dibuat impersonation. Tetapi daripada segi suara yang betul- betul dapat ditiru 100 peratus, hanya seperti Syamsul Yusof, Datuk Yusof Haslam, Zainal Abidin dan Chef Wan. Untuk impersonation dalam senarai 34 ini, ada juga artis baru seperti Syamil dan Aiman Tino.
Di luar negara, mengajuk gaya itu dianggap joke dan kalau ada komedian yang boleh buat begitu dianggap, “Wow, terbaiklah!” Sebabnya tak banyak orang yang mampu buat begitu. Saya tak tahu mengapa di Malaysia, hal ini dianggap cepat membosankan. Mungkin kerana pendedahan kepada genre ini tidak banyak lagi.
Apa yang sukar mengenai cabang lawak pengajuk (impersonator) yang mungkin tidak ramai mengetahuinya?
Salah satunya, saya orang baru dan saya mesti beri kelainan. Saya bukan sekadar boleh tiru gaya artis tetapi orang biasa lain juga. Selain itu, saya perlu tahu accent orang bercakap; orang Melayu, orang India dan orang Cina dengan cara masing- masing. Daripada segi content, juga begitu. Disebabkan saya bergerak solo, saya faham apabila di Maharaja Lawak ada yang akan bosan dengan lawak begini.
Pada masa depan, saya akan cuba pelbagaikan tetapi masih dalam genre impersonation. Tak semestinya mengajuk gaya artis sahaja tetapi juga orang biasa sekeliling kita dan sebagainya.
Danial bergelar Juara Raja Lawak Solo tetapi menjadi antara peserta yang tersingkir awal dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017. Komen?
Hah, penat kan? (ketawa) Kalau tengok pattern yang tersingkir sejak minggu pertama hingga kelima, semuanya adalah bekas peserta Lawak Solo, betul tak? Di sini menunjukkan bahawa bekas peserta Lawak Solo, belum mampu untuk pergi ke MLM. Begitulah saya fikir. Yang bertanding dalam MLM kali ini, kebanyakannya dari Maharaja Lawak 6, lima tahun lepas.
Mereka sudah ada dalam industri lebih kurang enam atau tujuh tahun. Kami dari Lawak Solo yang baru tiga empat bulan harus bersaing dengan mereka, dalam keadaan kami tak ada ramai fans. Bertanding di pentas besar memang sukar.
Apabila orang menjangkakan lebih tapi kita tak dapat beri, memanglah akan tersingkir. Yang mampu saya buat, adalah berikan yang terbaik untuk masa ini sebagai peserta solo yang baru empat bulan masuk dalam industri. Saya fikir, kami (bekas peserta Lawak Solo ini) perlukan masa untuk belajar dalam industri. Semuanya soal masa.
Tekanan yang dirasai sepanjang bergelar peserta MLM 2017?
Tekanan memang gila dan lain macam. Antara Lawak Solo dengan Maharaja Lawak Mega sangat berbeza. Di Lawak Solo, kami bertanding selaku orang baru. Penonton faham, mereka bersikap neutral dan mereka bersedia dengar apa-apa saja jenaka.
Dalam Maharaja Lawak Mega, kita bersaing dengan peserta yang sudah lama dalam industri, mereka sudah ada pengikut tersendiri, dan ada pengalaman bertanding di pentas sama. Kami yang tiada pengalaman bertanding di pentas MLM, tiada fans yang ramai, dan kemudian diberi peluang bertanding, maka bagi saya, jika dapat bertahan sampai minggu kelima pun sudah cukup besar.
Mengapa masuk Maharaja Lawak Mega?
Awalnya saya tak mahu masuk tetapi selepas berbincang dengan beberapa pihak termasuk pihak pengurusan saya, kami fikir ini suatu peluang untuk saya tonjolkan diri dan memberitahu khalayak akan keberadaan saya di sini.
Mungkin ada yang tak tengok Lawak Solo tetapi lepas menonton MLM, mereka dapat kenal saya. Memang saya tak harap untuk jadi juara pun, tetapi tahun depan kalau ada lagi, saya akan cuba lagi (ketawa).
Dengan siapa Danial banyak berguru?
Jujur saya kata, saya tak berguru dengan sesiapa pun (ketawa). Dalam Lawak Solo, kami diminta buat content sendiri dan diberi tiga orang penasihat (Nabil Ahmad, Eby Yus dan Douglas Lim) untuk guide kami. Di Maharaja Lawak Mega juga sama, kebanyakannya saya buat sendiri.
Saya ada rujuk pada otai-otai seperti Abang Nabil, Abang Johan, Abang Ebby dan Abang Zizan juga, tetapi daripada segi pengisian, tetap usaha sendiri. Saya juga ada kawan-kawan bukan dalam kalangan orang industri, saya bentang depan mereka dan mereka akan kritik.
Sumber rujukan yang digunakan untuk menghasilkan jenaka dalam setiap persembahan?
Rujukan dari pentas komedi luar negara adalah seperti Jimmy Fallon dan Trevor Noah. Di Malaysia, rujukan dari Jambu, Jozan dan Mat Sentul.
Daripada pentas lawak ke konti radio, ceritakan selanjutnya?
Saya bersyukur, kerana antara pelawak yang lalui perkembangan yang cepat. Selepas habis Lawak Solo, saya terus dapat ERA. Saya bersyukur sangat dengan peluang itu. Tiga atau empat hari lepas habis Lawak Solo, saya terus dibawa pihak pengurusan berjumpa pihak pengurusan ERA dan ditanya jika berminat untuk sertai ERA.
Saya menjalani latihan lebih kurang sebulan, dan kemudian mula masuk konti menggantikan slot Adi Fashla. Tekanannya, saya kendalikan slot solo dan saya orang baru, maka banyaklah yang saya perlu belajar. Tetapi saya fikir, ini peluang kerana melalui radio inilah orang ramai akan nampak saya sebagai pengacara dan pelakon. Alhamdulillah, dalam sebulan lebih, semuanya berjalan lancar.
Alhamdulillah, saya suka kerja saya. Saya gembira bekerja di radio, malah memang saya pernah bercita- cita mahu jadi penyampai radio. Ketika di Lawak Solo, abang- abang yang menjaga saya pernah tanya, “Kau nak buat apa selepas ini?” Saya kata, “Teringin nak jadi penyampai radio.” Selepas keluar, tiba-tiba dapat peluang ini, oh, tercapailah impian saya! Kontrak saya bersama ERA selama dua tahun, sementara dengan ASTRO Talent selama tiga tahun.
Rating?
Masih dalam survey. Slot jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang yang saya kendalikan sangat berbeza dengan slot yang dikendalikan Abang Adi Fashla dahulu. Segmen saya dinamakan Era Solo, ada elemen lawak dan santai. Kita ada Pantun Solo, saya beri pantun dan pendengar akan telefon untuk menjawab pantun.
Ada juga Parodi Solo, setiap hari saya akan parodi lagu atau ucapan mana-mana artis. Juga Solo Pilihan, saya mainkan lagu yang diundi penonton. Johara Pagi sudah kelakar, jadi kelakar itu akan bersambung lagi selepas itu bersama-sama saya.
Pengisiannya daripada idea Danial sendiri atau bagaimana?
Biasanya saya akan buat sendiri, kemudian kemukakan kepada bos. Jika bos kata okey, okeylah. Kalau bos kata tak sesuai, saya kena tukarlah.
Idola atau penggiat komedi yang disanjungi?
Penggiat tempatan adalah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Din Beramboi, sementara dari luar negara, Dick Satori dan Jimmy Fallon.
Apa rancangan untuk gunakan wang hasil kemenangan Lawak Solo tempoh hari?
Saya pernah beritahu wartawan sebelum ini, saya hendak gunakan duit itu untuk bawa emak pergi haji. Kemudian, saya nak beli kereta kerana saya belum ada kenderaan sekarang. Senanglah saya nak pergi kerja, balik kampung dan urusan lain. Ya, bagi emak, beli kereta, dan selebihnya simpan untuk masa depan.
Sejauh mana Danial mahu terus mengembangkan bakat dalam bidang ini?
Saya tak mahu sekadar bergelar pelawak tetapi mahu jadi seorang anak seni di Malaysia. Saya mahu jadi seperti Tan Sri P.Ramlee, Afdlin Shauki atau Dato' Siti yang tidak bermusim. Saya tak mahu jadi artis bermusim, saya mahu jadi seseorang yang diingati sampai bila-bila. Sebab itu, saya jadi pelawak, pada masa sama jadi penyampai radio dan saya mahu berlakon drama.
Saya juga sangat berminat dengan filem dan belajar dalam bidang perfileman. Hasrat saya suatu hari nanti, saya mahu jadi pengarah filem, penerbit dan pelakon. Pelawak di Malaysia tak banyak yang buat filem dan kebanyakan mereka menjurus kepada penyiaran. Oleh itu, saya mahu ke bidang perfileman.
Sekarang ini banyak bintang media sosial yang muncul dengan jenaka tersendiri, mereka ada puluhan ribu pengikut dan tontonan video. Adakah Danial yang sekarang berada di mainstream berasa tergugat dan perlu bersaing dengan mereka, dan perlu gunakan media sosial juga?
Saya juga ada kawan dalam kalangan bintang media sosial ini. Hari ini zaman sudah berubah dan sekarang kebanyakan orang beralih ke dunia digital dengan media sosial, internet dan sebagainya. Jadi kita juga perlu menyediakan hiburan untuk golongan peminat media sosial.
Saya pernah bertanya rakan-rakan saya ini, mengapa mereka tidak pergi ke mainstream? Kebanyakan mereka lebih selesa di media sosial. Bagi kami dari mainstream, jika kami nak ke sana, kami perlu mencipta sesuatu yang berlainan untuk tarik viewers.
Harapan dan ucapan kepada peminat?
Harapan saya untuk terus berada dalam industri, dapat bertahan hingga 30 tahun atau 40 tahun. Saya berharap khalayak dapat menerima saya sebagai pelawak, penyampai radio dan selepas ini mungkin sebagai pelakon dan pengacara. Saya masih baru, banyak yang mesti saya belajar dan saya berharap peminat industri memberi ruang pada saya untuk bertapak.
Doa-doakanlah ya. Terima kasih kepada semua yang mengundi saya di Lawak Solo dari awal sampai habis, dan sehinggalah saya menyertai Maharaja Lawak Mega. Insya-Allah sebagai balasan kepada undian anda itu, Danial akan hiburkan anda dengan komedi yang berkualiti.