Jan 11, 2017 - 10988

Dari Zaman 4U2C, Gantung CD di Leher Sampai Hari Ini, Dato' AC Mizal Tetap Terbaik!

Pengalamannya bukan sikit-sikit anak kata orang. Hari ini, Dato' AC Mizal sudah boleh dianggap guru dalam bidang komedi dan pengacaraan.

 

Oleh: Nurul Huda Hussain

 

Sumber foto: Terima kasih Astro View 

 

 

Sejak bila berjinak dengan dunia lawak?

Saya rasa sejak zaman menyertai 4U2C lagi tetapi lawak sebenarnya bukanlah cabang seni yang trending ketika itu. Mungkin juga kerana saya dilahirkan tidak menangis tetapi tergelak (sambil memberi reaksi spontan wajah kelakarnya).

 

Bermulanya Maharaja Lawak, baru orang mula nampak yang saya boleh melawak tetapi bukan sebagai seorang pelawak, sebaliknya sebagai pengacarayangbolehmelawak. Sepanjang 23 tahun dalam industri, macam-macam saya sudah lakukan. Menyanyi, berlakon, mengacara, teater, drama... cuma baca berita dan kaji cuaca saja yang belum saya cuba, hahaha. 

 

 

 

 

Telemovie atau filem yang mengetengahkan sisi humor Dato'?

Drama bersiri Gerak Khas dan Gerak Khas The Movie arahan Dato' Yusuf Haslam. Penonton mula lihat saya melawak dalam dialek Negeri Sembilan. Kemudian saya mula terima tawaran watak-watak komedi dalam filem Baik Punya Cilok, Cuci, My Spy dan lain-lain. 

 

 

Siapakah individu bertanggungjawab yang mencungkil bakat Dato' dalam dimensi jenaka dan lawak?

Dalam drama bersiri Gerak Khas, saya sendiri mengambil inisiatif untuk cipta 'karakter kedua' Inspektor Mazlan yang boleh membuat orang gelak. Walaupun saya lahir di Johor Baharu, tapi mak saya berasal dari Negeri Sembilan dan saya boleh bertutur dalam dialek Negeri Sembilan.

 

Apabila shooting saya tambah skrip dengan dialek Negeri Sembilan, kemudian saya minta pengarah tunjukkan kepada Dato' Yusuf Haslam. Beliau berpuas hati lalu terus beri lampu hijau kepada saya untuk teruskan dalam episod-episod seterusnya. Percubaan saya menjadi, mendapat sambutan baik daripada penonton. 

 

 

 

 

Pada pandangan Dato' apakah faktor yang menyebabkan melawak itu sukar dilakukan?

Isu semasa. Apabila kita bercakap soal isu semasa, zaman dahulu lebih mudah kerana masyarakat tidak  mempunyai pilihan hiburan dan maklumat yang lain. Hanya ada televisyen, surat khabar dan radio sahaja.

 

Zaman itu tiada Internet, YouTube, media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Kadang-kadang, sesuatu isu yang dibawa ke pentas itu sudah basi di media sosial kerana ramai orang miliki akses untuk memperoleh sumber maklumat dan hiburan. 

 

 

 

 

 

Persediaan Dato' sebelum mengendalikan apa jua rancangan televisyen?

Seseorang pengacara itu sudah tahu apa yang akan berlaku dalam sebuah rancangan. Misalnya program berunsurkan nyanyian, dia harus tahu dan kenal siapakah penyanyinya? Siapakah komposer dan penulis liriknya?

 

Berbeza dengan saya yang mengendalikan sebuah program lawak yang disiarkan secara langsung, saya tidak boleh menjangka apakah yang bakal terjadi apabila peserta keluar di atas pentas? Selepas mereka membuat persembahan, apa yang keluar dari mulut saya, semuanya spontan. Di belakang pentas, saya disediakan oleh pihak produksi sebuah televisyen. Saya akan lihat apa yang mereka lakukan, macam mana saya nak masuk dan sebagainya. 

 

Ia hanya berlaku dalam beberapa saat sahaja yang memerlukan saya pantas berfikir dan bertindak. Ia tidak dirancang sama sekali. Walaupun sesi raptai dilakukan tetapi tidak semua yang berlaku ketika itu akan dipersembahkan ketika pentas MLM dibuka. Itulah elemen yang menguji kemampuan saya sebagai pengacara. 

 

Jika peserta hanya membuat persembahan mereka dalam masa empat minit, tetapi saya selaku pengacara memerlukan konsentrasi sepanjang dua jam program berlangsung. Saya perlu jaga momentum sepanjang program, momentum penonton, juri, peserta — bagaimana saya perlu meneutralkan keadaan supaya mereka tidak terlalu down dan sampaikan maklumat-maklumat berkaitan penaja, promosi rancangan-rancangan lain dan sebagainya. Dan semua aksi, lawak di atas pentas yang saya tonjolkan sewaktu mengacara adalah spontan. 

 

Dua jam itu bagi saya, adalah madness, satu 'kegilaan', tiada siapa boleh ganggu tumpuan saya. Kadang-kadang, peserta- peserta ini, waktu raptai, mereka buat lain. Kalau tidak kelakar mereka akan tukar! Untuk itu saya perlu sentiasa peka. Bagaimana saya boleh 'masuk' dan kekalkan momentum tinggi selepas satu-satu persembahan, bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika persembahan mereka tidak kelakar, sehinggakan rasa seperti mahu menangis pun ada! Dan adakah selepas saya masuk akan mencantikkan persembahan atau sebenarnya mengeruhkan keadaan — itulah kesukaran yang terpaksa saya hadapi sepanjang mengacarakan MLM.   

 

 

 

 

Pernah atau tidak Dato' menerima maklum balas penonton atau platform laman sosial yang mungkin menyatakan apabila Dato' masuk, seolah-olah mengganggu tumpuan penonton terhadap persembahan?

Sehingga hari ini saya belum menerima dan mendengar kenyataan sedemikian. Tetapi ia akan membuatkan saya lebih peka dan sensitif agar tidak leka dibuai pujian dan penghormatan yang diberikan. Daripada perspektif pengacaraan, saya berpendapat ada segelintir pengacara mungkin merasakan sebuah rancangan itu adalah untuk diri sendiri.

 

Dan bagi saya yang mengacarakan MLM, ia adalah rancangan untuk peserta, bukan untuk saya. Tugas saya adalah menaikkan semangat peserta. Jika graf persembahan mereka sudah cantik atau menunjukkan peningkatan, saya tidak perlu melakukan apa-apa.

 

Dan apabila saya masuk selepas persembahan mereka, ia juga kerana faktor menjaga durasi waktu yang diperuntukkan oleh pengarah. Saya tidak boleh membiarkan mereka termangu- mangu, menunggu, bilakah saya akan masuk? Jujurnya, setiap Jumaat bermula dari pagi hinggalah sebelum siaran bermula, saya tidak akan bercakap. Saya akan diam dan relaks sahaja. Hanya mahu siapkan mental.

 

Saya tidak mahu diganggu. Oleh kerana itu, saya tidak akan menerima apa-apa undangan untuk menghadiri majlis, sesi fotografi, perbincangan dan pertemuan bersama klien dan lain-lain. Malah, kalau ada berita kematian sekalipun, isteri saya memaklumkan kepada saya selepas tamat MLM. 

 

 

 

 

Mengendalikan MLM selama empat tahun berturut-turut, bagaimana Dato' memastikan momentum rancangan ini sentiasa segar walau barisan pesertanya hampir sama saban tahun?

Ramai yang salah anggap, MLM setiap tahun mempunyai perbezaan dan keistimewaannya tersendiri. Memang peserta-peserta terdiri daripada wajah-wajah yang sama, tetapi yang membezakannya adalah jalan cerita dalam persembahan mereka. Ia tidak boleh sama seperti apa yang pernah mereka lakukan sebelum ini. Penonton akan membuat perbandingan, untuk itu mereka hendaklah tampil dengan idea baru dan jalan cerita kreatif.

 

Saya juga melakukan homework dan kajian untuk kenal pasti karakter setiap peserta. Saya juga membaca banyak buku-buku sosiologi dan motivasi.Saya mengenali dan mengetahui sifat serta keperibadian yang ada pada Zizan, Johan, Nabil, Yus, Tauke, Jep dan ramai lagi. Saya tahu corak permainan mereka, punch line mereka dan sebagainya.

 

Dan secara tidak langsung rancangan ini begitu dekat dengan saya sehingga saya rasakan, saya adalah antara individu paling lama bertahan dalam MLM. Tak pernah tersingkir pun (ketawa). Mungkin juga kerana faktor 23 tahun pengalaman industri seni membuatkan saya lebih bersedia. Syukur kerana saya ada pengalaman menyanyi, rapping, berlakon dan sebagainya lantas saya bawakan semuanya di pentas MLM.

 

 

 

 

Apa komen Dato' jika ada berpendapat lawak adalah sesuatu yang murah? Tidak eksklusif berbanding cabang seni lain?

Lawak sebenarnya terdiri daripada banyak kategori. Ada peringkat lawak yang sesuai untuk masyarakat kampung, pekan, bandar, bandaraya, negeri, negara dan dunia. Ia bergantung pada tahap mana yang anda mahu letakkan dan pandang dunia komedi dari arah mana.

 

Di mana anda mahu persembahkan lawak dan jenaka anda? Kepada siapa pula kumpulan penontonnya?Setiap peringkat ini mempunyai jarak perbezaan yang tersendiri — misalnya lawak untuk golongan atasan tidak akan sama dengan golongan masyarakat biasa di bandar. Contoh mudah, lawak di Kelantan tidak akan sama dengan lawak orang Kedah kerana bahasa dan dialekyang membezakannya.

 

Bagi saya, yang menjadi masalah kepada pelawak-pelawak hari ini adalah mereka tidak kenal audiens. Apabila hal ini berlaku, ia membuatkan lawak dan jenaka mereka tidak diterima ataupun tidak sampai kepada pemikiran penonton. 

 

 

 

 

Harapan Dato' terhadap masa depan dunia komedi?

Saya mahu lihat dunia komedi tempatan terus berkembang sesuai peredaran zaman. Hormatilah pelawak. Mereka adalah insan seni yang sanggup mengorbankan kepentingan dan kesenangan sendiri demi menghiburkan hati orang lain.

 

Ia satu kerjaya mulia. Saya sifatkan barisan pelawak dan penghibur tempatan harus dikenang jasa mereka. Baik yang telah tiada mahupun masih bergiat aktif dalam industri, mereka tidak seharusnya dipandang enteng. Tanpa mereka, kelam dan suram hari kita. 

 

 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Lepas 9 Tahun Bercerai, Kami Rujuk Kembali. Cinta Saya Kepada Arianie Terlalu Dalam” — Dato’ Hattan

  • Seterus →

    “Dengan Duit Cuma RM500, 27 Hari Saya Naik Kapal Laut Sampai Perancis” — Hebatnya Perjalanan Cari Ilmu Othman Hafsham