Jan 13, 2017 - 3229
Oleh: Salina Ibrahim
PERKEMBANGAN terkini Othman Hafsham?
Hingga kini saya sebenarnya masih aktif dalam industri dan masih terus bekerja. Dalam bidang ini tidak ada istilah pencen. Jadi saya harus terus berfikir sebagai seorang businessman. Ya, walaupun saya sudah jatuh ke dalam golongan orang tua – 'otai' – tetapi pemikiran saya tak tua. Masih lagi saya berfikiran cara orang muda.
Terkini, saya menghasilkan sitkom Aku dan Tok Wan (disiarkan di ASTRO Warna), terbit daripada idea anak saya, Shamaine. Saya juga sedang develop animasi komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Latar belakang pendidikan yang membawa Hafsham ke dalam bidang seni?
Saya mengikuti pengajian di London pada tahun 1961. Saya dilatih dalam bidang teater di Guildhall School of Speech and Drama selama empat tahun. Kursus itu tiada di Malaysia. Singapura juga tiada. Sebab itu saya ke sana. Sewaktu saya ke sana, televisyen belum ada di Malaysia.
TV hitam putih juga tiada. Tetapi saya memikirkan suatu hari nanti TV akan sampai ke negara kita. Sebab itu saya senang beroleh kerja selepas balik ke tanah air. Di sana saya belajar segala selok-belok production, lakonan dan sebagainya. Dalam masa yang sama, saya juga ikuti pengajian di London International Film School.
Langkah seterusnya selepas kembali ke tanah air?
Saya bekerja di Filem Negara Malaysia sebagai pengarah dokumentari. Saya tak lama di sana, antara dua ke tiga tahun sahaja. Kemudian saya berhijrah ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai seorang penerbit. Selepas beberapa tahun, saya tinggalkan RTM dan bergerak sebagai pengarah bebas.
Nama sebenar adalah Othman bin Samsuddin, bagaimana pula timbul nama Hafsham?
Ketika saya bekerja di Filem Negara Malaysia, ada lima orang Othman Samsuddin. Ketua Pengarah ketika itu minta saya gunakan nama lain. Jadi saya gabungkan dua nama; emak (Hafsah) dan bapa (Samsuddin), maka jadilah Hafsham. Mungkin nama itu berkat, terus jadi nama pena saya, kekal hingga sekarang.
Hafsham dikenali sebagai orang belakang tabir – tepatnya pengarah – filem dan sitkom. Setiap karya Hafsham pasti menyelitkan elemen komedi. Kenapa memilih jalur komedi?
Sebab saya minat. Mungkin kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang suka berjenaka, terutamanya ayah, walaupun ayah saya bukan orang seni. Ketika saya membuat keputusan pada umur 21 tahun, keluarga membantah. Ayah kata, “Awak nak ganti P. Ramlee ya?”
Tetapi saya minat, jadi saya teruskan. Ketika saya masih bersekolah, saya suka tengok wayang. Saya selalu tertanya-tanya dan membaca buku tentang siapa yang terlibat dalam pembikinan filem.
Pengarah filem; lalu saya fikir, “Oh, saya nak jadi pengarah filem!” Dengan wang 500 ringgit, tanpa biasiswa, saya menaiki kapal dari Singapura untuk keluar negara. Selama 27 hari di dalam kapal dagang dari Singapura ke Calais, Perancis. Kemudian naik keretapi untuk ke London.
Terasa hebat jugalah hidup saya ketika itu. Bersama-sama saya, ada juga kawan yang lain, tetapi dari kursus berlainan. Kami mengembara. Saya juga belajar sambil bekerja.
Berkesempatan mengenali P. Ramlee dan belajar dengan Allahyarham?
Ya, saya sempat berkawan dengan P. Ramlee. Ketika berkenalan dengannya, saya bekerja di RTM. Selepas dia datang dari Singapura, apabila tak ada kerja, selalulah dia datang ke RTM berjumpa kawannya. Kami selalu berbual dan pernah berbincang program yang hendak dibuat untuk RTM tetapi hajat itu tidak kesampaian. Dia artis yang pintar, tiada yang seperti dia.
Saya belajar dengan menonton banyak filem Allahyarham P. Ramlee. Dia sangat original. Sebenarnya di luar kamera juga, dia suka berlawak. Kalau berbual dengan kita, selalu diselit benda lucu. Dengan menonton filemnya, saya juga mengkaji.
Saya juga berkawan dengan Allahyarham Aziz Sattar dan Allahyarham A.R. Tompel. Mereka juga lucu dan spontan. Lawak mesti ada skrip, bukan spontan. Kalau spontan, lawak itu akan jadi menceceh dan tak betul. Saya sendiri biasanya melantik penulis yang boleh menulis drama yang berbentuk komedi. Maksudnya, ada hitam putih. Apabila tak betul, ia boleh dibetulkan. Kalau tak berkesan, boleh diberikan kesan dan diberikan punch line yang kita mahu.
Tetapi hari ini, saya tengok kebanyakannya bersifat improvisation. Pelawak diberikan idea dan kemudian idea itu dilawakkan di atas pentas. Saya kurang berminat cara itu. Saya dilatih dengan cara lawak atau cerita itu ditulis. Ada dialog dan ada rehearsal. Tanpa rehearsal, lawak susah menjadi.
Di Amerika Syarikat, punch line yang sebaris pun ditulis, tidak dilepaskan begitu sahaja. Tetapi di sini, lain. Mungkin budaya itu belum wujud di sini. Mungkin ada yang berfikir, jadi pelawak itu harus dengan conteng muka dan berbaju koyak-rabak, tetapi cara saya lain.
Pelawak dari negara Barat sudah sampai ke tahap tidak lagi berlawak secara spontan. Jenakanya ditulis. Mereka cari pelakon yang boleh memegang watak sebagai pelawak, mereka tidak ambil pelawak. Pelakon itu diberi dialog supaya dialog itu apabila dikeluarkan dapat menjadi suatu bahan jenaka.
Penulisan itu perlu licik dan pintar. Bukan senang hendak ditulis, apatah lagi jika lawak, saya fikir itu lagi susah. Filem juga perlu ditulis, kan? Ada beberapa filem saya, dialognya ditulis oleh orang lain, tetapi apabila sampai ke tangan saya, kalau perlu saya ubah.
Mengenai produk komedi Hafsham sendiri, filem komedi yang pertama?
Adik Manja (tahun 1979), kemudian Mekanik (tahun 1983) dan banyak lagi selepas itu. Buat filem lebih susah kerana durasinya panjang, 90 minit. Terakhir, saya buat Karipap-Karipap Cinta (tahun 2011), tetapi gagal, tak menjadi, orang tidak suka. Untuk TV hanya berdurasi 30 minit, lebih mudah. Filem pula 90 minit, oleh itu, perlu serius tetapi lucu. Menghasilkan filem begini memang sukar kerana tidak boleh ada babak slapstick.
Sumber foto: www.themoviedb.org
Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu (PMPMTT) bertahan lama (sejak pertengahan 80-an hingga awal alaf baharu) sehingga menjadikan nama Hafsham begitu sinonim dengan dunia komedi. Boleh ceritakan sedikit?
Lama selepas balik dari luar negara, barulah saya buat sitkom kerana awalnya tiada stesen yang mahu rancangan komedi. PMPMTT asalnya naskhah teater berjudul Syyy...! karya Prof. Dr. Hatta Azad Khan. Saya menonton pementasannya dan berfikir menarik juga kalau dijadikan sitkom. Hasilnya, sitkom Syyy...! disiarkan di TV3. Kemudian saya buat untuk RTM, judulnya ditukar kepada Kampung Seri Wangi. Selepas itu saya kemukakan semula kepada TV3 dengan judul PMPMTT. Judul itu bertahan paling lama dan saya bawa penulis-penulis untuk bina ceritanya bersama-sama saya.
PMPMTT komedinya lain sedikit, berbentuk anti establishment. Suatu bentuk kritikan terhadap pemerintah, tetapi tidak begitu tegas, hanya dalam bentuk komedi. Umpamanya, melalui penggunaan papan tanda besar, projek tak wujud, yang tinggal hanya papan tanda. Maksudnya, kalau tiada papan tanda itu, rakyat tak tahu kerajaan ada projek. Hal-hal beginilah yang kami tulis.
Mengenai hubungan antara pengarah dengan pelakon, bagaimana Hafsham mendidik pelakon sehingga mereka berjaya membawa watak komedi dengan berkesan?
Ketika saya buat PMPMTT dan 2+1, saya menggilap bakat mereka. Kami orang yang suka berjenaka. Penulisnya juga suka berjenaka. Memang tak ramai yang ada bakat begitu. Yang penting, banyak latihan. Pada hari pertama latihan, rasa tak lucu, tapi pada hari kedua, kita tambah idea dan elemen lucu. Ketika itu, semua akan beri sumbangan idea. Begitulah seterusnya hingga hari kelima, akhirnya banyaklah idea terkumpul. Masuk hari keenam, saya buat rakaman.
Maksudnya, Isnin hingga Jumaat, hari latihan. Sabtu, hari rakaman. Ahad, cuti. Dan itu akan berulang semula setiap minggu. Skrip ada, ikut skrip tetapi setiap minggu bertukar. Dialog lawak juga tak panjang, hanya sebaris dua, sebab ini bukan drama. Setiap hari skrip akan dirombak. Latihannya tiga jam sehari, 15 jam untuk satu episod. Memang banyak makan masa, malah kadangkala dua episod seminggu. Tetapi semua orang sudah faham caranya.
Nak buat lawak memang susah. Untuk program TV, lebih baik jika rancangan itu dirakam di hadapan penonton. Penonton boleh beri reaksi kepada dialog lucu. Apabila penonton ketawa, ini akan memberi semangat pada pelakon untuk berjenaka. Pada saya, kalau buat lawak, tidak boleh terlalu sofistikated. Orang kampung mungkin sukar nak tangkap jika terlalu sofistikated.
Oleh itu, perlu seimbang, jangan terlalu slapstick tetapi tidak juga terlalu pintar. Kalau terlalu slapstick, orang pintar tak suka. Kalau terlalu pintar, orang kampung tak minat. Skrip perlu seimbang untuk pengisian orang kampung dan orang bandar.
-
Sumber foto: i716.photobucket.com
Bagaimana PMPMTT mengekalkan populariti yang begitu lama?
Dahulu tidak banyak syarikat dan persaingan juga tidak rancak. Sebab itu projek ini mendapat perhatian yang besar daripada stesen TV. Sekarang susah, banyak syarikat bersaing. Selepas lebih 50 tahun dalam industri, banyak yang dilihat, dibuat dan dilalui, apa harapan Hafsham terhadap industri komedi ini? Juga pesanan untuk generasi pelapis yang ada sekarang?
Saya amat berharap, ada peningkatan daripada segi pemikiran, tema dan segala yang lain supaya kita dapat membina pemikiran yang lebih baik dalam kalangan penggemar. Ya, saya mahu lihat lebih banyak naskhah-naskhah komedi pintar dihasilkan, walaupun saya tahu tidak mudah untuk membuatnya.
Sumber foto: wikipedia
Bagaimana Hafsham melihat cabaran dan masa depan bidang ini?
Kerjaya dalam bidang ini terhad. Sebab itu, ketika muda mesti pandai menyimpan duit. Kita tiada pencen. Kalau tidak, selepas tua, siapa nak bantu kita? Apabila anak-anak saya mahu masuk bidang ini, saya mula-mula tidak setuju. Dua orang anak saya terlibat dalam bidang ini. Shamyl sebagai pengarah dan Shamaine sebagai penulis, juga stand-up comedian Bahasa Inggeris.
Tidak dinafikan, bidang ini boleh membawa pendapatan, lebih daripada drama. Orang Melayu memang sukakan komedi. Sebab itu ASTRO buat Maharaja Lawak, Juara Parodi dan sebagainya. Semuanya sama sahaja tetapi diberi tajuk berbeza untuk menarik orang menonton.
Selepas lebih 50 tahun dalam industri, banyak yang dilihat,dibuat dan dilalui, apa harapan Hafsham terhadap industri komedi ini? Juga pesanan untuk generasi pelapis yang ada sekarang?
Saya amat berharap, ada peningkatan daripada segi pemikiran, tema dan segala yang lain supaya kita dapat membina pemikiran yang lebih baik dalam kalangan penggemar. Ya, saya mahu lihat lebih banyak naskhah-naskhah komedi pintar dihasilkan, walaupun saya tahu tidak mudah untuk membuatnya.